Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sambungan daripada : [Siri 1][Siri 2][Siri 3][Siri 4]


Kelas praktikal anatomi berakhir. Jam casio di tangan kanan dijeling. 1.25 p.m. Terus meluru ke masjid berdekatan. Masjid dalam universiti yang ala-ala sebuah surau di Malaysia itu kelihatan masih wujud manusia memenuhi ruangnya.

Kepala Muhammad terasa agak berat. Tepu. Biasalah, belajar medik, mestilah kena banyak menghafaz itu dan ini. Perlu ada waktu rehat sebentar untuk beri ruang sel-sel otak menghela nafas.

Beg di letak di dinding tempat pelajar-pelajar Malaysia melepak. Sweater dilungguk diatas beg. Lengan baju ditarik. Bersedia untuk ambil wuduk berairkan 'ais'. Suhu di luar kira-kira 12 darjah celcius. Sejuk, namun terus juga di harungi.

Habis sahaja salam terakhir, dia berdoa. Sampai sahaja pada rangkap doa buat ibu bapa, luruh air matanya tanpa disedari. Tak sempat nak cover. Mujur tiada yang melihat. Fikirannya terus berilusikan wajah ibu bapanya. Rindu~

Minda tepunya terus bertanggap pada kata-kata ayahnya. Satu kata-kata yang masih berlegar liar dalam kepalanya. Sering menerjah benak fikirannya.


Ayah

Ayahnya memang garang. Garangnya bukan kepalang, bagai nak tsunami Sungai Rajang! Tetapi, kata-kata nasihatnya cukup indah. Tersusun. Sangat berharga. Paling penting, kata-kata ayahnya sering sahaja terpahat di fikirannya.

" Nak tahu, kenapa ayah suka cari duit?? Bukan semata-mata nak bagi kita semua makan sahaja. Tapi, banyak sebabnya." Ayahnya memecah kesunyian dalam kereta Toyota Wish, tatkala dalam perjalanan pulang ke rumah dari Alor Setar.


Muhammad senyap. Tak mahu menyekat kalam ayahnya.


" Kamu perlu tahu jugak, kenapa ayah sengaja biar kamu semua hidup macam orang susah, tak terlalu bermewah-mewah, walaupun keluarga kita taklah susah sangat. Semua tu, ada sebabnya."


" Ayah pernah hidup susah satu ketika dahulu. Tok wan ( datuk ) kamu tu bukan hartawan atau orang berada. Hanya seorang peniaga kecil dan penoreh getah. Tok (nenek ) pun sama, bukan kerja pun, hanya tolong kerja tok wan sahaja. Ayah sebagai anak lelaki sulung takkan nak tengok saja kesusahan keluarga, mestilah tolong kan?"


" Mungkin kamu tak pernah hidup susah, kalau susah pun taklah susah macam hidup ayah dulu. Satu perasaan orang susah, dia akan teringin bermacam-macam benda. Sebab dia tak mampu beli dan memiliki benda yang dia inginkan itu. Hanya mampu meliur dan terus menanam impian. Menanam impian untuk menjulang kejayaan. Bagi mengubah nasib hidupnya dan keluarganya."


" Satu lagi, apabila kita susah, kita sukar hendak memberi. Terutamanya memberi dari segi wang ringgit. Kita hanya mampu lihat sahaja orang lain hidup susah lebih daripada kita. Tak mampu berbuat apa-apa. Hanya utusan doa kudus buat Sang Khaliq sahaja yang termampu."


" Sebab itu, ayah memilih untuk hidup dengan poket lebih terisi. Itu impian ayah dahulu. Mahu ada kereta mewah. Bantu orang-orang susah. Bantu orang-orang yang memerlukan. Tolong sesama adik beradik. Semua itu hanya mudah dilakukan kecuali azam yang kuat untuk berjaya, bi iznillah. "


" Kini, ayah tak perlu lagi lihat tok wan dan tok bekerja kuat untuk hidup. Tak melihat lagi, mereka mengikat perut untuk anak-anak mereka. Tak perlu juga melihat mereka menahan sakit kerana tak mampu membeli ubat-ubatan yang mahal diluar sana."


" Kekayaan bukanlah untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang lain. Ia adalah anugerah amanah buat kita, untuk menguji setakat manakah kemampuan kita menguruskan nikmat pemberian Allah itu. Ke jalan murka, atau ke jalan reda-Nya."


" Ramai yang menyangka orang kaya ini mudah, semua sudah ada. Padahal, mereka tak tahu, bagaimana tangga yang didaki orang kaya itu, mudah atau senang sebelum sampai ke tahap itu.


Analoginya mudah, ramai orang akan cakap penebar roti canai itu kaya raya kerana melihat ramai pelanggan yang berpusu-pusu mahu mendapatkan roti canai di kedainya. Namun, ramai yang tak tahu betapa susahnya si penebar roti canai mahu menghasilkan tepung tersebut. Bangun awal pagi dikala orang lain sedang nyenyak tidur. Menguli dan terus menguli. Mengorbankan kudrat mereka. Hanya mahu siapkan semua tepung-tepung itu sebelum ditebar pada keesokkan harinya. Tak mudahkan kerja mereka? Begitu juga orang kaya, bukan senang nak jadi senang seperti yang orang lihat sekarang."


" Jika diteliti sirah pun, sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang kaya bukanlah terdiri daripada golongan yang dimurkai Allah. Bahkan, mereka juga dijamin ke Syurga. Merekalah role model yang hakiki!"


"Lihat, tidak hina kan jadi orang yang kaya macam tu? Kaya harta, kaya jiwa."

Menitis air mata Muhammad. Tak berkata apa-apa. Hanya mengangguk setuju. Dia tahu, ayahnya memang datang dari keluarga yang susah.

Ayahnya selalu bertahajjud tatkala orang lain tidur. Berdoa sendirian mengharap ihsan Yang Esa. Muhammad selalu mendengar rintihan itu. Ayahnya tanpa jemu, suka mendidik anak-anaknya bertahajjud. Dia tidak marah jika anaknya culas bertahajjud, namun menegur dengan penuh hikmah.

" Ingat, tahajjud ini bukan semua orang mampu lakukan. Ianya perlukan pengorbanan yang besar dan jiwa yang selalu basah dengan limpahan rindu kepada Allah dan kekasihNya. Paling penting, ia ialah senjata besar umat Islam, sejak dahulu hingga sekarang. "

Kata-kata itu sentiasa mekar diingatan Muhammad. Sebagai motivasi buat dirinya.

Ayahnya juga selalu menganjurkan solat sunat dhuha. Kata ayahnya, ini salah satu wasiat Rasulullah S.A.W buat ummatnya. Jika ianya hanyalah ibadah  picisan, pasti Rasulullah S.A.W tak akan mewasiatkan ummatnya untuk melakukan ibadah sunat ini. Pasti ada satu rahsia di sebalik suruhanya. Sebuah rahsia besar. Hanya buat ummatnya yang beramal dengannya dapat menjejaki rahsia itu.

Hanya orang yang makan gula-gula itu sahaja yang merasa kemanisannya, yang melihat pasti tak merasai semua itu.


Meresap ke jiwa

Apabila berada jauh dari ibu bapa, kata-kata mereka amatlah berharga, meresap dalam ke dalam jiwa. Sentiasa diingati. Terpahat kukuh di benak hati. Ingin sahaja buat apa yang mereka suruh. Sentiasa ingat pesan mereka. Begitulah yang terjadi kepada Muhammad. Baru kini dia sedar semua itu.

Lelehan air mata diseka. Air mata kerinduan, air mata syahdu.

Beg yang tadinya tersadai di dinding, kini tergalas. Sweater dizip kemas. Terus berjalan bersama rakan-rakannya pulang ke rumah. Ingin memberi ruang buat si badan berehat sebentar.



 Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




5 Nasihat & Komen:

  1. yup... tahajjud itu appointment dgn allah.. xsemua orang dapat.. anda bertuah...


    doa2kan saya.. hehe

    ReplyDelete
  2. ye btul..kaya harta kaya jiwa..tahjud juga sumber keuatan..post yang cantik.. ^^

    ReplyDelete
  3. yui92 :

    ya betul tu. Tapi sayangnya, si Muhammad itu bukanlah saya. Jangan kata saya pulak. Moga saya jadi kuat seperti ayah Muhammad itu.


    hanan mahfuzah :

    itulah yang kita inginkan. Tak semestinya menjadi kaya ni zalim sahaja. Kedekut dan sebagainya. Jadi kaya juga boleh menyumbang :)

    Terima kasih.


    Healer :

    Andai tulisan ini mampu menyentuh hati, ianya bermaksud tulisan ini juga ditulis dengan hati. Namun, organ-organ lain sebagai medium.

    Faris :

    Thanks :)

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter

 
Top