Showing posts with label Akan Ada. Show all posts
Showing posts with label Akan Ada. Show all posts

10/7/16

Terima Kasih Menghinaku

[Akan Ada]


Akan ada,
Satu ketika
Engkau mahu berpusing
Berpaling semula ke belakang
Dan ucapkan
Pada insan-insan yang tegar menghina usahamu yang punya jalan yang berbeza
Dengan kata
'Terima kasih menghinaku.'


Kerna dengan 'menghinaku'
Satu saat dulu
Engkau di sini
Mampu melebar wajah mendepannya
Bergembira membuat apa yang engkau suka
Bahkan engkau tiada berbuat apa yang Allah dan Nabi tiada suka
Bukan berbuat apa yang dirinya mahu dan orang-orang lain mahu


Kerna setiap insan itu berbeza
Dan berbeza jalannya
Engkau ada jalanmu
Insan lain punya jalan mereka
Andai engkau belok pada jalan mereka
Engkau sudah belot pada dirimu sendiri
Tersadung sakit menghempap tanah


Kerna jauh di pelosok
Engkau sedar
Yang paling memuaskan
Ialah puaskan dengan apa yang Tuhan mahu
Dan yang Nabi mahu
Bukan sesiapa
Kita hamba Tuhan
Bukan hamba sesiapa


Sekali lagi
Engkau ingin lagi menghargai
'Terima kasih menghinaku'.



Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
0608
070416

11/27/15

Letih Meminta

Akan ada,
Engkau letih pada tempat yang tidak sepatutnya letih.


Lalu, firman Allah tajam meluru menghujam qalbu.

[3:142]
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang BERJIHAD (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang SABAR (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?"


Pedih.

Qalbu bagai ditonyoh cili burung.

Allah sentiasa ada, untuk hamba-Nya yang meng'ada'kan Allah dalam hatinya.
Pada Allah pengharapan paling melangit.

Pada Allah tempat meminta, yang tidak pernah lokek membiarkan hamba-Nya pulang kosong.

Lalu mengapa ada letih?

Mengapa letih meminta sedang Dia Maha Kaya?

Memang ada yang tidak kena.

Barangkali syaitan-syaitan kabir sedang bertenggek di lubuk hatimu yang duka dan leka.

Hati-hati.

Isi hatimu dengan zikrullah dan selawat.

Allahumma aa'inna 'ala zikrika wasyukrika wahusni 'ibadatik.





Muhammad Iqbal
Kuala Pegang. Baling, Kedah.
2019
290915

Kehendak

Akan ada,
Engkau sangka engkau geliga,
Mahu itu mahu segala,
Sekali bertempur di medan rasa,
Hampir tewas nafsu dunia.


Begitu Tuhan Maha Penyayang,
Walau leka menerbang,
Tak mampu diri membelah tebang,
Yang lama dicita ia datang,
Datang selamat menerjang.


Sedar ke pangkuan akal,
Pulang kembali ke pangkal.


Kehendak lama selalu tak sama,
Kehendak kini jauh tersasar,
Tuhan pulangkan kehendak lama,
Menyelamat hamba kembali mendasar.


Begitulah kehidupan,
Ada kala menggeringkan,
Namun tetap dengan nada kebaikan,
Ada kala membahagiakan,
Untung masih dalam pelukan.


Terima kasih Tuhan,
Walau kehendak tiada sehaluan,
Didakap terima penuh keyakinan.


image
Kerana kita hanya hamba. Sekecil-kecil hamba.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1303
150915

Dimamah Lumpur

Akan ada, suatu ketika,
Engkau merasa oksigen sekeliling mendengki menghimpit,
Lapangnya medan dikata sempit,
Dan engkau pasti engkau sudah sakit,
Membarah mendalam penuh perit.


Dada pula,
Dilambung-lambung gelombang nafas,
Bersabung mendakap puas,
Berjuang tidak hendak tewas.


Ia memakan segala rasa,
Menyepit menyakit penuh perisa,
Dirasa lemas ditekan kepala,
Sakit yang belum tentu kena dengan penawarnya.
Apakah ini semua?


Kerna,
Rupanya itu sebuah tabiat,
Tabiat yang memenat,
tabiat dosa yang menuntut ubat,
Ubat rasa perisa taubat.


Sesudah sedar jangan menangguh,
Jangan ego berasa jaguh,
Berlambat-lambat jadinya kian keruh,
Menebal ia lumpur dosa sungguh-sungguh.


Memada sudah mengejar dosa,
Kerna hakikat usia tiada boleh diduga,
Apatah lagi seni mati hujungnya.


image


Muhammad Iqbal,
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1714
050115

Dipaksa Mencinta

Akan ada.
Engkau tega melawan.
Bertelagah gagah bermadah.
Luar dan dalam enggan mengalah.
Merabak dirimu sendiri.

Koyak menangguh pedih.
Kala yang dalam, reda melawan,
Yang luar, cuba-cuba menawan,
Kerana itu sebaik ramuan,
Sakit walau harus ditelan.


Ini bukan lelucon usang,
Peritnya bukan kepalang,
Dilema datang di pertengahan,
Akur pada tuntunan taqdir,
Atau jujur pada diri,
Kekal bermusuhan hingga kini.


Ah, malang apakah ini?


Terhuyung dihurung dusta,
Terhayang bagai sakitnya kusta,
Renggut segala nista,
Tenggelam segala usaha.


Dalam dan luar bertarung kembali,
Sesekali menyalah diri,
Bina cinta dalam benci,
Bina sihat tika disakiti.


Ranah ini ranah suci,
Redha ini redha terpuji,
Walau dipaksa-paksa mencintai,
Walau disiat-siat membenci.


Kuberjuang hingga mati,
Hingga tanah bersatu dengan hati,
Hingga lupus segala benci.


Yang tinggal hanya meredhai,
Dan terus panjat tinggi.


image
Jangan hanya menangis, tetapi kuatkan juga menangkis.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1808
250615
8 Ramadan 1436H

Memerah Dosa

Akan ada,
Kotor-kotor dirasa merata,
Kotor memberi sakit sekian lama,
Rupanya kotor itu mendapan dosa!


Engkau bersimpuh,
Malu.


Hati makin rapuh,
Malu.


Bersangat keruh,
Ditusuk sembilu,
Sakit,
Tetap malu.


Kala mengucap istighfar,
Tiada terkira aqal,
Tiada terkira dijari,
Terus menerus khali,
Kerna dosa noda tiada terkira jadi.


Masih belum berhenti,
Istighfar berkali kali,
Memerah dosa diri lali,
Mengajar diri,
Istiqamah mengabdi.


Diperah-perah lagi dosa,
Mengekal taqwa,
Hingga balik mengadap DIA.


"Jangan berputus harapan. Jika tidak mampu berlumba membuat kebaikan, berlumbalah bertaubat menuju Tuhan."


image

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
0120
110615

Mencitra Cita

Akan ada,
rasa yang tiada dirasa,
Cinta dan cita berlawan siaga,
Pilihan memerit-merit raga.

Pedih.

Lawan dan kejar,
Tetap juga keduanya menjalar,
Cuba-cuba cinta itu dikelar,
Intai-intai cita memekar.

Penat.

Pilihan cuma satu,
Cinta menghalus dipangku,
Cita dikejar merayu-rayu,
Fikir makin layu.

Lalu, mengapa tidak menyatu?

Citrakan cita itu semula,
Akui apa yang ada,
Jangn dipaksa-paksa,
Citrakan cita dalam pelukan cinta.

Manis 💝


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1034
110215

Depang Dada Memilih

Akan ada,
Saatnya matamu jadi berkaca,
Engkau ingat hilangnya duit cukup derita,
Rupanya pilihan cinta sungguh memakan jiwa.


Ada yang punya satu pilihan mengeluh,
Ada yang dikurnia banyaknya pilihan juga riuh,
Lantas apa permasalahan menghilang keruh?


Bersyukur, teman.


Bersyukur,
Hargai apa sahaja yang dihulur.


Lalu, apa pilihan yang terbaik?

Pilihan yang paling baik, tetap pilihan daripada Allah.


Bagaimana?

Pohonlah petunjuk, jalan yang paling lurus untuk dirimu,
Istikharah dan istisyarah akan jadi bekalmu,
Supaya pilihan hakikat daripada Allah yang bertamu,
Bukan pilihan hina daripada talbis iblis dan nafsu fasadmu.


Yakin.

Ya, yakin itu penentu kira.

Kalau engkau yakin dengan Allah, engkau perlu yakin juga segala ketentuannya.

Jangan ngawur lebih lebihan.

Walau di mata kecil kita nampak sempurna,
Tapi lebih sempurna aturan perancangan DIA.


Berdamailah dengan segala ketentuan.

Kekal damai mensyukuri segala aturan.

Depang dadamu, terima segala pilihan.


Muhammad Iqbal,
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0917
170315

Sangkar Emas Bertatah Kayu

Akan ada,
Yang datang memerit raga menerima,
Yang hilang sakit jiwa melepaskannya.


Ngawur lagi sendiri-sendiri,
Membawa diri.


Lalu,
Soal itu datang bertalu.


Lagi dan lagi.


Engkau bilang,
Yang dari Sangkar Emas itu,
Tidak boleh dibawa pulang masuk ke Sangkar Kayu.


Tidak sepadan.


Tetapi,
Jika yang aku ambil itu dari Sangkar Emas Bertatah Kayu,
Apa mungkin ku bawa masuk ke Sangkar Kayu?

Mungkinkah jadi sepadan?

Atau kekal sempadan?

Ah, yang desak-desak itu selalunya nafsu,
Bahaya dibiar bertamu.


Pinta petunjuk Allah,
Berbincanglah.


Jangan hitam dinampak putih,
Yang putih dilihat pula hitam,
Gara nafsu main rintih,
Engkau pilih yang kelam.


Jangan.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2356
310315

11/26/15

Harga Pada Menghargai

[Akan Ada] [Nota Diri]

Akan ada satu masa,
Terdetik engkau dalam deria,
Akalmu menyentak rasa,
Jiwamu melarik daya fikirnya,
Lantas kalbu menimbul tanya.


Mengapa aku di tempat ini?
Semesta bisu tiada bunyi,
Derai tawa berlari pergi,
Mata bulat tibanya segi,
Tiada lagi tempat berlari.


Engkau merasa dirimu tidak kena,
Orang lain berbahagia,
Sedang dirimu digigit punah derita,
Hingga tiada lagi sisa rasa.


Pada keadaan itu,
Rasa menyata keliru,
Badan menunjuk buntu,
Hati menjadi sayu,
Tidak tahu apa yang perlu,
Tidak tahu ke mana arah menuju.


Kemudian engkau balik pada dahulu,
Engkau bayang wajah orang tuamu,
Terlintas wajah yang membantumu,
Bayangan guru turut menderu,
Jangan dilupa sejarahmu.


Engkau selalu lupa ,
Memandang jangan melulu,
Lupakah pada satu tanya,
Apakah tempat ini yang engkau citakan dahulu?


Tunduk.


Jangan kerna kesusahan musibah hari ini, kau lupa yang tempat inilah yang kau ingin duduk dahulu.

Dan jangan engkau lupa, tempat ini jugalah yang masih ramai yang menunggu-nunggu menuju.

Sedang engkau?

Merungut tidak menghargai. Menderita bagai direngsa. Memberat mengerah kudrat. Membeban tidak mahu ke hadapan.

Sedang engkau tahu, setiap kesusahan itu pasti dituruti kesenangan!

Pada apa jua tempat, pada apa jua keadaan, kalau engkau tidak hargai harga tempat yang engkau duduki, maka harganya hilang serta-merta.

Sirna!

"Kerna, jadi berharganya suatu tempat itu, pada ketika engkau cuba menghargainya."


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0940
151114

Menghela Dalam Zulumat

[Akan Ada]

Akan ada satu ketika,
Matamu terbeliak,
Hatimu berteriak celik,
Namun tetap gelap.


Kamu buka seluasnya bola-bola lihatmu,
Didepang sanubari syahdu,
Namun tetap juga bergelap.


Lalu kamu tutup kelopak matamu,
Rapat-rapat,
Bahkan jadinya makin kelam,
Terus ditelan zulumat.


Kamu hela nafas,
Masih terasa panas.
Kamu rasa nadi jantungmu,
Masih berdegup menggetarkanmu.


Kamu lupa bahawa ini medan duniawi,
Medan pejuang-pejuang diuji,
Ditapis dibahagi-bahagi,
Untuk nikmat sorga kekal tiada berperi.


Semuanya ini Tiadalah apa-apa,
Kerna apa saja dibuat hanya untuk Dia,
Mengikhlas hati hanya kerana-Nya,
Lalu untuk apa dikecewa bermuram durja?


Yang kekal,
Yang hakikat,
Kita hamba.


Yang jelas,
Yang pasti,
Di hujung nanti,
Menghadap Ilahi jadi sudah semesti.


Semua kita sama.

Di 'mata' Allah,
Yang istimewa,
Hanya yang paling utuh TAQWANYA.

T___T

[41:30] 
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata:
"Tuhan kami ialah Allah", 
kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): 
"Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Duduklah di mana sahaja semahumu. Di mana ada ilmu, di situ ada cahaya. Helalah nafasmu dalam cahaya.
Duduklah di mana sahaja semahumu. Di mana ada ilmu, di situ ada cahaya. Helalah nafasmu dalam cahaya.
Wallahua'lam
Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
2036
121014

Tidaklah Susah Selamanya

[Nota Diri]

"Selagi ada peluang, jangan lelah berjuang!"

Akan ada,
Satu ketika dalam hidup kamu,
Saat itu kamu sudah habis lelah.


Lelah berjuang,
selepas memanfaatkan segala peluang.


Tika itu,
hatimu menangis lebih kuat dari suaramu.

Kamu sudah buat yang terbaik, semampu kamu.

Hanya itu yang termampu.

Itu sahaja kudrat kamu.

Itu jugalah yang paling terbaik yang kamu lakukan.

Tetapi, allah lebih mengetahui, itu jualah ujian paling payah dalam hidup kamu.


Tika itu yang ada hanya,
PERCAYA.


YAKIN,
dengan penuh harapan,
dan diisi dengan penuh PERCAYA.


Percaya dengan segala janji Allah.


Ini,
Ada sesuatu di bawa,
Untuk kamu.


Ketika Buya Hamka mentafsir ayat 5 dan 6 daripada Surah al-Insyirah, beliau ada memetik kata-kata Sayyidina ‘Umar yang sangat menginspirasikan.

Maka tersebutlah di dalam kitab al-Mmuwaththa’ Imam Malik, di dalam kitab pada menyatakan jihad, suatu riwayat demikian bunyinya, 
Daripada  Zaid bin Aslam, berkata dia, Abu ‘Ubaidah bin Jarrah menulis surat kepada Umar bin Khathab yang isinya menerangkan bahwa suatu tentara rum yang sangat besar telah siap akan menyerang mereka, kekuatan tentara itu amat mencemaskan. 
Surat itu dibalas oleh Saiyidina Umar bin Khathab, di antara isinya,
“Amma ba’du. bagaimana jua pun kesukaran yang dihadapi oleh orang yang beriman, namun allah akan melepaskannya jua dari kesukaran itu, karena satu ‘usrin (kesulitan) tidaklah akan dapat mengalahkan dua yusran.” ( فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا. إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ) “oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Percayalah.

Kesenangan itu sedang berlari padamu, tetapi sabarlah, akan tiba waktunya ia akan sampai melutut padamu.

Saat itu bersyukurlah.

Syukurlah pada saat susah dan senangmu.

Allah sentiasa ada.

insyirah susah ada senang


"Life is no straight and easy corridor along which we travel free and unhampered,
but a maze passages,
through which we must seek our way,
lost and confused,
now and again checked in blind alley.
But always, if we have faith,
a door will open for us,
not perhaps one that ourselves would ever have thought of, but one that will ultimately prove good for us."
- A.J. Cronin

Wallahua'lam

Muhammad Iqbal
El-Abbsiyah, Cairo, Egypt.
Ogos 2014

Cukuplah Allah

[Nota Diri]


Akan ada satu ketika,
kamu memandang kanan,
tiada siapa.


Kamu pandang kiri,
juga tiada kelibat sesiapa.


Padahal,
saat itulah kamu sangat perlukan mereka.
ya mereka semua.


Namun,
yang ada hanya kamu.
ya, hanya tinggal kamu.


Maka, saat itu ucapkanlah, "hasbunallah wani'mal wakeel..." 

-
[3:173]"....cukuplah allah untuk (menolong) kami, dan dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-nya segala urusan kami)"


Lalu, sedarlah kamu, yang paling dekat bukan sesiapa, tetapi Dia.

Lebih dekat dari vena-vena jugular kamu.

[50:16] "dan demi sesungguhnya, kami telah mencipta manusia dan kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,"


Saat makhluk lain tiada, hanya Dia sahaja, yang setia bersamamu walau dalam apa jua keadaan sekali pun.


Namun, andai kita tidak dapat merasa betapa Allah itu paling dekat dengan kita.
Itu bermakna kita tiada usaha untuk pergi dekat dengan-Nya.


Kerna, selangkah kita pergi dekat kepada-Nya, dia makin mendekat kepada kamu lebih dari apa yang kamu sangka.


hasbunallah

Wallahua'lam

Muhammad Iqbal
El-Abbsiyah, Cairo, Egypt.
Ogos 2014