Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

5/3/26

BISNES YANG MUTAGHAYYIRAT

Jual beli akan berlangsung setiap hari hingga kiamat.

Selagi ada jual beli, selagi itulah akan adanya perniagaan.

Proses jual beli yang sama itu, tetap akan sama.

.

Yang berubah adalah;

- platform jual beli

- cara orang jual belil

- matawang orang berjual beli

.

Inilah mutaghayyirat. Bisnes adalah aktiviti menarik dan akan sentiasa berubah sepanjang masa.

Semakin maju dunia, akan makin cepat perubahan akan berlaku.

.

Yang tetap kekal?

yang cepat sesuaikan diri atau adapt dengan peruabahan yang berlaku.

inilah peran usahawan yang sebenar.

.

Kalau dirasakan runsing dengan bisnes kerana kerap berubah-ubah, pekerjaan lain juga akan berubah-ubah skop dan jenis kerja mengikut peredaran zaman.

.

Tapi mungkin bisnes lebih cepat. Siapa terlambat, maka akan tertinggallah dan akan merudum dengan cepat.

.

Hakikatnya yang tak berubah hanya satu;

SANG PEMBERI REZEKI.

ALLAH SWT.

.

Taqwa adalah kunci besar bagi rezeki.

Jaga hubungan dengan ALLAH, Jaga hubungan dengan manusia, jangan zalimi sesiapa.

Cari jalan rezeki yang barakah.

.

Barakah tak semestinya banyak.

Tapi pasti melimpah ruah rahmat yang diterima.


________

- Dr. Muhd Iqbal Samsudin

1140, 030526

KLINIK RIZ ARAU


4/26/26

AKU INGIN MENULIS LAGI

 "Hanya penulis yang sibuk yang boleh mampu menulis lebih banyak."


Aku pernah menerima kata-kata ini dari sa-orang penulis.


dan ia benar.


makin lapang masa, makin tak tertulislah perkara.


namun apabila kian sibuk, makin sempatlah kita menulis.


kerana saat kita sibuk itu, otak dan naluri menulis berjalan dengan lebih lancar dan gencar.


cumanya apabila sibuk itu benar-benar sibuk hingga tiada rencana untuk menulis dalam kesibukan itu, maka tak akan dapatlah menulis juga.


contoh tatkala aku menjalani latihan doktor siswazah atau houseman dahulu.


aku tak suka momen itu dan aku tak masukkan rencana menulis saat itu, lalu aku tak banyak menulis ketika itu.


ditambah pula ketika itu memang mental dan fizikal badan dikerah disemaksimum mungkin, memang teruk beban otak.


semalam ketika aku menulis satu manuskrip novel terbaharu, aku menangis teresak-esak kerana penutup novel itu sungguh menyedihkan, air mata tak henti senyap-senyap mengalir menulis garis lurus di pipi.


perasaan menulis seperti itu sudah lama tidak aku rasakan, dan aku begitu bahagia begitu.


dan aku ingin selalu menulis lagi dan lagi.


aku ingin merakam segala yang terjadi dalam tulisan.


aku ingin menulis perkara-perkara yang bermanfaat buat insan lain.


semangat ini yang aku perlu untuk menulis lagi dan lagi.



- Dr. Muhd Iqbal Bin Samsudin

1141, 260526

KLINIK RIZ ARAU

3/30/26

BELASUNGKAWA DR AIMAN AZHARI YANG KAMI KASIHI




 Pagi ini agak terkesan dengan pemergian sa-orang figura senior setahun ketika di Universiti Ain Shams, Cairo.


Tulis padam tulis padam, akhirnya saya memilih untuk menulis juga.


Amat mengejutkan.


Dan demikianlah sifat kematian,

tak terlepas awal,

tak terseret lewat.

Tepat waktu ketikanya.


Beliau sa-orang figura bijak dan genius menurutku.


Kami pernah tinggal berjiranan sebelah rumah ketika di Mesir.


Imarah Pink, Syari3 Gharbu Ishlak, Abbasiya.


Saat azan berkumandang, dia antara yang awal akan sama-sama turun lif untuk pergi ke masjid.


Usai solat, sama-sama naik semula ke rumah.


Durjanya sentiasa bermanis wajah, tersenyum dan tenang.


Beliau juga selalu menjadi pengisi untuk program akademik.


Antara yang saya ingat, saya pernah bertanyakan tips studi untuk ingat semua yang dipelajari macam beliau.


Beliau bertanya,

“Pernah dengar cara Albert Einstein belajar?”


Tambah beliau,

“Albert Einstein belajar dengan menggunakan kesemua deria yang dia ada.”


Tips tersebut betul-betul saya explore dan gunakan selepas itu kerana berkesan betul dengan saya.


Moga itu menjadi pahala jariah buatnya.


Ketika di Mesir, beliau tak hanya belajar walaupun antara top scorer, beliau juga aktif dalam persatuan pelajar, memberi khidmat yang beliau mampu, termasuk tak silap saya menjadi naqib usrah.


Hidupnya bukan sekadar untuk dia.


Pulangnya Allah jemput begitu mudah, pulang dalam tidur, bahkan ketika dalam fasa belajar melanjutkan kepakaran.


MasyaAllah hebat.


"Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju SYURGA" (HR. Muslim, no. 2699)


Mari doakan buat Allahyarham Aiman Azhari yang kami sanjungi.


‎إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ


‎أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ


_____


Muhd Iqbal Bin Samsudin

2013, 290326

Klinik Riz, Pauh, Arau, Perlis

3/3/26

TIGA. TIGA




Tiga.

Tiga.


Sesekali, melihat cermin, barulah menyedari bahawa diri ini sudah menginjak usia.


Namun...


Dalaman semangat dan diri aku masih sama seperti dulu-dulu, aku tak pernah merasa lelah kerana usia. Sentiasa membara, sentiasa mencari jalan untuk jadi lebih baik dari diri aku yang sebelumnya, sentiasa ghairah mahu jadi sa-orang yang bermanafaat kepada orang lain.


Kerana itu aku malas mahu melihat cermin dengan lebih kerap. 

Melihat cermin dengan kerap menyebabkan aku secara separa sedar 'menuakan' semangat dan kekuatan dalaman aku.


Hari mati itu pasti, namun tiada siapa pernah mengetahui.

Tak berbuat apa-apa pun mati, berbuat apa-apa pun akan mati.

Jadi aku memilih mati dengan berbuat apa-apa.


Apa-apa apa?

Apa-apa yang bermanfaat untuk orang lain.


and do no harm or zalim to others.


tiga tiga, apa yang istimewa?


aku rasakan perkataan paling hebat pada usia ini ialah 

ALHAMDULILLAH.


Membuang aku dari aku.

Menambah syukur kepada aku.


Perih atau pedih,

derita atau sengsara,

semuanya... ALHAMDULILLAH.


semuanya maha indah.


ketika perjalanan tidak menurut rencana, alhamdulillah.

ketika perjalanan menurut rencana, pun alhamdulillah.


apabila 'aku' sudah tiada dalam aku,

maka semuanya akan terlihat indah.


kerana apabila 'aku' sudah tiada dalam aku,

aku sudah memilih untuk bertemu.


apa lagi yang indah bagi sa-orang perindu selain bertemu?


demikianlah indah itu datang apabila kita berpulang sebelum pulang.


- Dr Muhd Iqbal Samsudin

KLINIK RIZ ARAU

0931, 030326


2/21/26

E-POH Sebuah Kota Duka

DISCLAIMER :

SEMUA YANG DICERITAKAN ADALAH KISAH BENAR, ADA BEBERAPA NAMA YANG TIDAK DIDEDAHKAN ATAS SEBAB-SEBAB TERTENTU. KALAU ADA YANG TERASA, ITU BUKAN TANGGUNGJAWAB PENULIS. KALAU HANG TAK BUAT NAYA KAT ORANG NAK TERASA PASAIPA KAN?

USAH DISOAL TENTANG SIAPA DI SEBALIK NAMA, SEBALIKNYA AMBILLAH PENGAJARAN DARI APA YANG MENIMPA DAN JANGAN SESEKALI BERSEKONGKOL DENGAN PENZALIM-PENZALIM LAKNATULLAH DAN MENYERTAI MEREKA.


*  *  *

Bukan salah sang E-POH(bukan nama sebenar), tapi latar tempat berlaku kecelakaan besar buat aku sekeluarga berlaku di sini.


Tak pernah aku terbayang aku akan berpindah dan hidup di kota ini walaupun aku sudah banyak menjelajah ke serata dunia.


Kerana aku lebih damai dengan bumi Kedah dan Perlis, lebih dekat dan tenang dengan jiwa kampung aku.


Namun apabila ada yang mengajakku untuk 'berjuang', aku terus serius dalam perkara ini, aku buat keputusan untuk aku 'berjuang' di sana, tinggalkan segala harta-harta aku yang sudah tersedia di bumi Perlis. 


Masih segar diingatan, tatkala si Niam(bukan nama sebenar) menepuk bahuku berkata, pemilihan E-POH ini adalah untuk PERJUANGAN FARDHU KIFAYAH, kerana mostly kawasan itu dihuni bangsa cina. 


Ya memang betul, di tempat itu kebanyakannya berbangsa cina, hingga terpaksa juga aku berbahasa mandarin berbaur hokkien kerana majoriti sekitar 70% pesakit adalah berbangsa cina.


Kalau aku tak memilih untuk pindah ke E-POH pun, aku sudah boleh hidup aman selesa di Perlis, kerana almost semua benda asas aku sudah pun miliki; rumah dan kereta yang selesa, sahabat-sahabat, jiran-jiran, kakakku dan mama ayah yang senang untuk selalu datang ke Perlis.


Tapi bila disebut soal 'perjuangan' aku memang cepat tertarik. Sebab aku fikir hidup aku ini mesti dihabiskan untuk berjuang, kerana aku tak tahu bila hayat terakhir aku, walau pun perjuangan ni tak berapa jelas di mata orang, tapi aku yakin di sisi ALLAH ada nilainya, dan tak semua orang boleh lakukannya.


Itulah 'perjuangan fardhu kifayah' untuk buka klinik di E-POH, kawasan elit Cina sejak sekian lama. Orang Melayu sangat kurang di situ. 


"Ni perjuangan fardhu kifayah kita bal, bukan semua orang boleh buat." 


Kata si Niam(bukan nama sebenar) yang mengajak aku semasa awal dahulu, sambil diiyakan oleh di Firidi(bukan nama sebenar) sebelum aku dapat kenal pasti, semua itu adalah tunggangan sahaja untuk aku run bisnes dia. 


Mereka semua menunggang agama dan menunggang aku untuk mereka gunakan seguna-gunanya bagi menjalankan bisnes mereka.


Bukan itu saja, isteri aku yang pada ketika itu baru cukup setahun menjawat jawatan sebagai guru disuruh berhenti untuk ikut aku ke E-POH, jikalau isteri aku tak berhenti, tak ikut aku pergi ke sana, bermacam-macam ugutan diberikan.


Aku yang sejak sekian lama mendokong sedokong-dokongnya impian isteriku menjadi sa-orang guru, pergi temankan dia di setiap interview dan prepare interview terakhir di rumah ketika PKP tampak seperti sa-orang sangat kejam, walhal aku juga tersepit. 


Setelah surat demi surat dan perjumpaan dengan orang kenamaan pun tak dapat menolong untuk isteriku untuk berpindah sekolah ke E-POH, dengan nama perjuangan aku pujukkan juga dia untuk berhenti. Hanya ALLAH saja yang tahu, hati kami berdua begitu berkecamuk dan remuk. 


Si Niam laknatullah (bukan nama sebenar) dan si Firidi laknatullah(bukan nama sebenar) memberi seribu satu janji manis yang aku dan isteriku takkan diapa-apakan, bahkan bakal menjana keuntungan besar selepas 3 bulan klinik beroperasi. Mereka juga berjanji syarikat akan membayar kos kerugian yang perlu dibayar kerana berhenti menjadi guru di situ.


Namun bila sekolah menghantar surat menyuruh bayar amount duit sekian sekian selepas, mereka hanya mahu membayar amount yang mereka mahu bayar saja, selebihnya aku yang tanggung. Di situ aku boleh bertoleransi sedikit, aku layan lagi hujah bodoh mereka berdua. Itu sebenarnya dah red flag awal betapa mereka berdua syaitan tamak bertopengkan manusia, akan pusing kona sana kona sini untuk menangkan mereka sendiri.


Perpindahan aku dan keluarga ke E-POH tidak ada secebis dan sekupang pun ditanggung oleh syarikat atau dua individu laknatullah itu. Walhal semua itu kos yang amat besar, tersangattt besar, aku diamkan juga demi 'perjuangan'.


Ketika itu, itulah cawangan pertama luar kawasan asal mereka di utara, ramai yang belum kenal. Jadi 'perjuangan' jadi bertambah berat. Untuk satu jenama atau branding baru itu diyakini mestilah mengambil sedikit masa, tambahan pula di kawasan berkepadatan bangsa lain dari Melayu. Namun aku sanggupkan dan tempuhi demi perjuangan.


Bila susah ini dilihat sang isteri, aku ingat pasti aku sebut kepadanya, "ini kan perjuangan, jarang perjuangan ini mudah." Dan dia akan menggangguk faham.


Bayangkanlah aku bekerja SETIAP HARI dari malam 10/11/2023 hingga pagi 1/7/2024 almost seorang aku. Tiada rehat, tiada cuti, kerja 24 jam. 


Hanya pada bulan Ramadan, rehat sejam 7pm-8pm, dapatlah aku berbuka dengan famili.


Memang takleh brain woooh. 


Segala duit minyak dan kereta untuk pergi balik buat perkhidmatan HOUSECALL seluruh E-POH juga tak pernah boleh claim.


Rehat aku hanya ada pada bulan ramadan, pukul 7pm-8pm, sejam setiap hari selama sebulan. Doktor ganti hanya didatangkan sekitar bulan Mei 2024, itu pun sekejap-sekejap saja. Bila ditanya bila residen akan ditempatkan di situ supaya boleh gantikan aku sebentar, banyak alasan diberikannya. Doktor locum untuk gantikan aku juga tak disediakan. Punya maha zalim mereka.


Raya haji bulan Jun 2024 barulah aku dapat balik ke kampung halaman, itu pun bukan raya pertama kedua. Alasannya kerana duit syarikat belum cukup untuk hire resident, walhal aku pun boleh tengok akaun dan tahu cara mereka gunakan duit. Dari situ dah boleh nampak betapa terlaknatnya mereka merancang semua ini.


Gaji bulan November 2023 aku tak dibayar, dan aku faham memang itu dah diletakkan dalam perjanjian, bahawa once profitable baru dibayar. Tapi gaji locum sepatutnya syarikat perlu bayar kerana tak dinyatakan tak perlu dibayar.


Gaji Disember 2023 dibayar setengah sahaja iaitu RM4000(KWSP & SOCSO/EIS tak dicarum dengan alasan yang macam-macam, walhal aku juga pekerja di syarikat itu). Locum tetap tak dibayar.


Gaji Januari 2024 barulah dibayar RM8000 (KWSP & SOCSO/EIS tetap tak dicarum). Locum tetap tak dibayar. Situasi ini berkekalan hingga April 2024 masih sama.


Gaji Mei 2024 barulah dibayar RM8000 (KWSP & SOCSO/EIS tetap tak dicarum) dan kali ini gaji locum dibayar, itu pun apa yang si Niam laknatullah ni setuju bayar saja.


Hari terakhir aku bekerja adalah 1/7/24, 8 pagi. Gaji aku pada bulan Jun 2024 tidak dibayar, gaji locum pun tak dibayar.


Ketika sekitar 4 bulan beroperasi, mereka berdua si Niam Laknatullah dan si Firidi Laknatullah, menyuarakan bahawa syarikat mesti ditambah modal lagi RM100,000. So aku kena bayar bahagian share aku iaitu RM39,000. Kata mereka, syarikat sedang tenat dan akan lebih tenat jikalau modal tak ditambah.


Dalam keadaan duit locum aku tak dibayar, gaji hanya RM8000 dibayar setiap bulan(KWSP & SOCSO/EIS tak dicarum dengan alasan yang macam-macam, walhal aku juga pekerja di syarikat itu), disuruhnya aku tambah lagi RM39,000. Diberikan bermacam-macam alasan itu dan ini. Aku yang tak mampu berbuat apa-apa ketika itu, tak mampu lagi buat loan bank memandangkan aku telah membuat personal loan yang sudah besar semasa mahu sertai syarikat klinik ini. Lalu dengan muka temboknya aku buat pinjaman sedikit kepada ayah. Selebihnya tolak duit gaji bulanan aku yang sedia dah nyawa-nyawa ikan. 


Sehingga begitu sekali aku berkorban. Sekali lagi aku diperguna. Hingga melibatkan ayah aku. Kasihan ayah aku yang baru pencen ketika itu. Aku dah banyak menyusahkan mereka sebelum ini, dan ketika itu aku menyusahkan lagi dia. Sungguh aku ini anak tak berguna.


Pada satu malam, selepas kejadian berkenaan satu 'panel' klinik, mereka panggil aku ke satu hotel di kota E-POH itu dan torture/ragging aku kaw kaw. Aku tak terfikir mereka akan buat sebegitu kat aku, tapi mereka betul-betul buat, aku terpaksa mengaku yang itu semua salah aku semuanya bagi meredakan keadaan dan mengurangkan ketegangan. Pada malam itu si Firidi laknatullah sudah pun mula menyebut  ura-ura aku akan disingkirkan atau dengan kata mudah kena kick dari company dan klinik.


Aku tak pernah menyangka bahawa mereka ini tergamak mahu menyingkirkan aku dari syarikat dan klinik, kerana aku fikir mereka 'sahabat' dan amat memahami aku dan faham keadaan famili aku. Bahkan merekalah yang sepatutnya faham tentang keadaan semasa aku.


Namun jelas sekali andaian aku silap.


Keesokan harinya (kiranya dua hari) mereka datang lagi pada jam sekitar kira-kira jam 1 pagi. Kali ini si Niam laknatullah lagi berapi-rapi marah aku seolah-olah aku melakukan kesalahan besar seperti mencuri wang syarikat jutaan ringgit, walhal tak ada sebab besar pun nak dibangkitkkan. Tiba-tiba mai ke klinik dengan baran-baran si Niam laknatullah kata itu ini kepada aku hingga menyebut akan menumbuk aku. Dan disokong rapat si Firidi laknatullah dan macam biasa kena ada si Biam laknatullah (bukan nama sebenar) sebagai enabler perkara mungkar. 


What??? Aku buat salah apa sangat sampai nak tumbuk-tumbuk aku ni? Tak reti berbincang elok-elok dan bercakap sopan. Very unprofessional as a doctor. Sifat baran, egois dan narsisis dia memang ramai orang dah tahu dan kenal. Tapi pada malam itu dah sangat overboard, sangat melampau. 


Dalam keadaan mental aku yang sangat letih, jumlah pesakit pun ketika itu dah mula ramai, aku seorang saja yang tengok semua pesakit di situ. Aku pun jadi blur. Bila aku dipersalahkan dan dilayan sebegitu rupa, mental aku terus koyak dan menangis. Gila weh, punyalah sukar ayaq mata jantan aku nak menangis, malam itu aku burst. Gila-gila punya menangis. Menangis macam orang bodoh aku pada malam itu. Sepatutnya aku bertegas melawan mereka, tapi bila mental dah koyak dan tak predict mereka akan buat begitu, memang teruk aku nangis. Tujuan mereka amat jelas, nak KICK aku segera dari company dan klinik dengan KEKERASAN.


Habis aja mereka keluar klinik pada malam itu aku terus naik ke atas.


Oh ya, aku dan famili aku tak dibenarkan menyewa rumah di luar, kena duduk di atas klinik, anak aku dua orang dan bini aku disuruh sumbat duduk dalam bilik kecil itu. Mungkin anggaran saiz bilik 10x 20 kaki macam tu saja. Ya ALLAH kasihannya anak bini aku turut berkorban, atas nama perjuangan kami bertahan.


Naik atas, aku kejut isteri aku, aku menangis tak mampu berkata apa-apa. Dia panik dan keep asking apa yang terjadi. Dengan sedu sedan aku ceritakan apa yang berlaku.


Lalu kami menangis bersama-sama. Sangat mengharukan. Momen itu masih jelas di ingatan.


Ketika itu orang yang paling aku rasa bersalah adalah isteriku. Dialah sebenar-benar mangsa keadaan.


Pada siang pagi harinya kami pergi bertemu dengan lawyer untuk merungkai dan mendapatkan nasihat daripada yang berautoriti. Lawyer menasihati kami dengan baik. Dan nampak mereka benar-benar melampaui batas perundangan. Kami juga merancang sesuatu.


Selang dua hari tak silap aku mereka datang lagi, kali ini mereka memang konsisten untuk KICK aku untuk keluar dari company dan klinik. Aku ingat lagi si Biam laknatullah boleh tanya ketika itu, "Hang dah ready ka lepas ni hang nak kerja mana, hang nak balik Perlis balik ka lagu mana?"

Dengan bengis aku reply, "Kalau hang duk di tempat aku sekarang apa yang hang akan buat?"

Lalu si Biam laknatullah senyap seribu bahasa.


Antara orang yang aku beritahu ketika itu adalah ayah aku. Ayah aku lagi menyirap dengan perbuatan mereka, sebab sebelum aku nak terima tawaran ini, mereka datang ke rumah aku untuk memujuk famili aku juga. Dan semua ini tak libatkan aku seorang, mereka dah libatkan kerjaya isteri aku dan mama ayah aku. Mereka dah lupa mereka dah buat pasai dengan ramai orang. Aku dah halang ayah untuk buat perkara yang tak baik, tapi aku terlepas satu hal, ayah aku telefon direct si Biam laknatullah yang pada masa itu di Niam laknatullah dan si Firidi laknatullah ada bersama sekali.


Panggilan telefon ayah pada ketika itu sedikit sebanyak merosakkan sedikit rancangan aku dan lawyer. Mereka sedar kesalahan mereka dan mereka rujuk peguam mereka.


Dalam pertemuan terakhir, mereka kona sana kona sini, pusing pusing pusing, katakan bahawa mereka nak aku blah keluar juga dari situ dan akan berikan the so called training di tempat lain. Dan aku akan pulang semula berkhidmat di E-POH setelah beberapa bulan. Semudah itu si Niam laknatullah, si Firidi laknatullah dan si Biam laknatullah kona aku. Ingat aku nak percaya lagi?


Pada pertemuan terakhir itu juga si Niam laknatullah sekali lagi mahu menumbuk aku dan begitu baran dengan aku kerana aku tak reply surat tuduhan mereka, pada ketika itu mereka tak tahu yang aku dah ada lawyer yang akan reply segala surat mereka.


Si Biam laknatullah suruh aku be professional kerana aku banyak senyap dan bersikap bengis dan sinis kepada mereka, dan aku soal kembali, adakah si Niam laknatullah ni professional sangat bila mai hayun penumbuk ke muka aku? Sekali lagi si Biam laknatullah senyap.


Atas nasihat lawyer, keesokkannya (1/7/24) kami pergi report polis atas segala yang berlaku dan ugutan tumbuk, pihak Niam laknatullah juga dipanggil polis untuk soal siasat beberapa hari selepas itu dan hingga kini tiada counter report yang dibuat mereka kerana secara terang-terangan mereka buat salah kepada aku, dengan lawyer boleh la nak kona itu ini. 

Malam itu, atas nasihat lawyer juga kami bawa semua barang kami dan pulang semula ke Perlis.

Berat, namun ianya satu pembebasan yang melegakan.


*  *  *


Kerana Perjuangan, aku dipergunakan oleh syaitan-syaitan tamak bertopeng manusia.

Ya, mungkin hang rasa aku bodoh, dan menyesal.

Mungkin. Mungkin aku rasa aku bodoh, tapi aku tak menyesal, kerana setiap yang berlaku aku yakin ALLAH aturkan sesuatu yang terbaik dan mungkin inilah jawapan istikharah yang perlu aku tempuhi.


*** AKU CUBA PERINCIKAN SETIAP PERKARA YANG BERLAKU, NAMUN PASTI ADA YANG TERTINGGAL, JADI INI ADALAH GAMBARAN BESAR PERISTIWA YANG TELAH BERLALU. MAAF JIKA ADA PERINCIAN YANG TERKURANG

*  *  *


DOAKU BUAT MEREKA YANG MENZALIMI AKU DAN KELUARGA AKU, MOGA ALLAH BALAS DENGAN SEBURUK-BURUK BALASAN (HANYA ALLAH YANG MENGETAHUI APA BALASAN PALING BURUK BUAT MEREKA) DAN MELAKNAT MEREKA DAN SELURUH KETURUNAN MEREKA DI DUNIA DAN AKHIRAT.

JAUH DI SUDUT HATI AKU JUGA AKU HARAP MEREKA SEDAR DAN DIBERIKAN HIDAYAH ALLAH, DAN MEMOHON MAAF DENGAN SEMUA ORANG YANG MEREKA TELAH ANIAYA, USAH RASA MALU KERANA SELAGI DENGAN MANUSIA TAK LEPAS, JANGAN HARAP DI AKHIRAT NAK LEPAS.

AKHIR SEKALI PESAN AKU KEPADA MEREKA, KEMBALILAH BERTUHANKAN ALLAH. HAMPA DAH JAUH TERSASAR. JANGAN BERTUHANKAN DUIT. MATI HAMPA TAK BAWAK DUIT SYUBHAH DAN HARAM ITU MASUK KUBOQ.


*  *  *


TAKE HOME MESSAGES & PENGAJARAN :

1. Dalam dunia bisnes, kawan-kawan baik dahulu belum tentu boleh dipercayai sebagaimana kita percayakan mereka satu ketika dahulu, walaupun pernah susah sama dahulu. Jangan mudah percaya sesiapa.


2. Sekali pun segala perjanjian lengkap, kalau kita sudah melihat beberapa red flag awal dengan 'partner' bisnes kita, cepat-cepat angkat kaki blah jauh-jauh. Tak mustahil lepas ni hang pulak yang akan kena.


3. Kalau dengan perjanjian yang lengkap pun masih boleh dipusing sana sini dan dianiaya, jangan cuba-cuba mudah percaya dengan sebarang penawaran yang tiada perjanjian lengkap.


4. Cara ALLAH kabulkan permintaan ada banyak, boleh jadi kegagalan hari ini adalah persediaan untuk kita belajar dan capai perkara yang lebih besar kelak.


5. Mungkin kita ini terlalu banyak dosa, lalu ALLAH hadirkan ujian, agar dosa-dosa kita berguguran hilang dengan sabar yang kita kemamkan.


6. Usah terburu-buru memburu untung dalam bisnes hingga menganiaya orang lain, adakalanya branding memerlukan masa dan perlu reputasi yang bagus untuk sustain. Menganiaya orang lain tak akan buat kita lebih berjaya dan bahagia.


7. Jikalau kita bahagia dengan menganiayai orang lain bermakna hati kita sudah pun rosak, seperti kata Imam al-Ghazali, pintalah kepada ALLAH hati yang baharu. Jika tidak matilah kau dalam keadaan 'bahagia' menzalimi orang, kelak kau akan belajar makna 'bahagia' sebenar setelah bertemu ALLAH dan setelah berada bersama orang zalim lain di neraka.


8. Untuk satu-satu bisnes, mesti ada SOP yang solid untuk mengawal dan menyeragamkan tindakan semua staf. Bila kau sebagai bos tak sediakan SOP, then bila berlaku kesalahan jangan senang-senang salahkan staf 100%. Kalau tak nyatakan perkara itu sepatutnya follow guideline SOP apa, lalu bagaimana kau nak kata benda tu salah? Kau sebagai bos yang bodoh tak sediakan guideline dan SOP.


9. HUTANG TETAP HUTANG. SEKALI PUN AKU MATI, WARIS-WARIS LAKNATULLAH DUA ORANG TU TETAP PERLU BAYAR HUTANG TERSEBUT KEPADA WARIS AKU. ITU HAK AKU. KALAU DUA ORANG LAKNATULLAH TU MATI PUN SAMA, WARIS-WARIS MEREKA WAJIB MAI BAYAQ SEGALA HUTANG DEPA KEPADA AKU. TIADA KOMPROMI. JUMLAH HUTANG SUDAH PUN MEREKA TAHU, SUDAH DIBERITAHU OLEH LAWYER AKU.


10. Apabila kalian menyakiti sa-orang penulis, kalian akan dapat bonus kisah ini akan kekal selama-lamanya dalam tulisan. InsyaALLAH anak cucu kalian akan tahu betapa korup dan teruknya penzaliman yang dilakukan ayah/datuk/moyang mereka.



_________________

DR MUHD IQBAL SAMSUDIN

KLINIK RIZ, PAUH, ARAU, PERLIS

1625H, 10/11/25

12/2/25

ANDAI AKU BERTEMU HAMKA

 Menonton podcast antara Yousaf dan Hafizul Faiz, aku sangat tertarik dengan soalan Yousaf kepada Hafizul Faiz.


"Kalau dapat berjumpa HAMKA, apa yang tuan akan cakap?"


Soalan ini juga merentap jiwa dan naluri aku.


Aku begitu terkesan dengan semua tulisan-tulisan HAMKA tatkala umurku 20-an.


Paling aku ingat adalah tentang keberanian menyatakan cinta.


Aku sa-orang introvert yang gila-gila punya introvert. Sangat pasif.


Namun aku juga jatuh cinta. Atau budak-budak sekarang menyebutnya sebagai ada CRUSH kepada seseorang.


Hanya sa-nya selepas aku membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan menonton filemnya, aku punyai satu kekuatan besar untuk MENYATAKAN CINTA aku kepada orang yang aku taruh perasaan sekian lama.


Walau ditolak akhirnya, aku tetap berpuas hati. 


Sekurang-kurang aku mencoba dan aku tahu cinta aku tidak bersambut.


Ianya lagi manis berbanding jika aku hanya sekadar menaruh perasaan namun aku tak pernah meluahkannya. Apabila dia disunting orang sudah barang pasti aku akan menyesal sesesal sesalnya.


Sekurang-kurangnya aku sudah bertanya dan berusaha.


Bagi aku kata-kata dalam TKVDRW ini amat memberi kesan besar dalam hidup aku. Ia menjadikan aku sa-orang laki-laki pemberani menegakkan perasaan dan tak malu menyatakan cinta.




Kemudiannya HAMKA mengesankan aku lebih rinci dalam buku PERIBADI, FALSAFAH HIDUP dan TAFSIR AL-AZHAR dan banyakkk lagi...


____

DR MUHD IQBAL SAMSUDIN

KLINIK RIZ, PAUH, ARAU, PERLIS

2200, 011225

4/15/24

TUMPUL TANPA SUGUL

6 BULAN TANPA REHAT DAN CUTI, BEKERJA 24 JAM, AKU TUMPUL TANPA SUGUL


GILA. 

Mungkin itu sahaja kata dan bahasa yang selayaknya buat keadaanku saat ini.


TUMPUL.

Jika ditanya apa perasaanku, inilah perkataan paling sesuai pada hematku.


SUGUL.

Sepatutnya aku akan lebih sugul, tetapi aku masih memilih untuk berlawan dengan diriku hingga saat ini. Ia perit, menggerit hingga ke urat paling pelit. Sakit. Namun tidak sesekali aku benarkan hinggap ke daerah sugul.


*  *  *


Ini keadaan paling gila dalam hidupku.

Aku perlu berikan menjadi doktor terbaik, beri rawatan yang terbaik, beri layanan paling ultra istimewa, namun pada masa yang sama aku struggle teruk memulakan bisnes di tempat yang baru dan langsung tak ada kena mengena dengan aku dan tidak pernah aku jejaki sebelum ini. 

Aku wajib usahakan agar sales tidak merudum, aku harus pastikan bekalan ubat-ubatan dan medical supplies lain tidak kehabisan, aku perlu uruskan hutang syarikat, uruskan staf keluar masuk dan training mereka, aku perlu perhalusi marketing dan promosi dan aku perlu patuh dengan pendapat sharing partner lain yang lebih berpengalaman.

Pada masa yang sama, aku masih sa-orang anak kepada mama ayah, sa-orang suami kepada sang isteriku yang satu, sa-orang ayah buat kedua-dua anakku; tanpa mengabaikan keperluan dan kewajipan aku kepada mereka..

Ya, dengar saja sudah gila, belum pun kau laluinya. Gila.


* * *


TUMPUL


Ini episod paling tragis dalam hidupku. Aku terasa kian tumpul.

perasaanku kepada aku, deriaku pada alam, sensitiviti aku pada cuaca, peka aku kepada iras durja manusia, semuanya kian hari kian tumpul.

Punca terbesarnya aku keletihan otak yang teramat sangat.

mulutku mampu tersenyum namun tidak otakku.

gembiraku mampu tercetus namun belum tentu dari perasaan hati naluri 


Aku menulis ini sekarang pun kerana aku risau tumpulnya aku akan lebih berleluasa dan teruk.

tapi aku masih belum ada pilihan melainkan bertahan setahan mungkin.


*  *  *


Anak-anak juga kian membesar, dan mereka membesar di klinik.

Bila tak ada patient dan kerja sudah dibereskan, aku akan terus naik atas.

Anak-anak kecil ini tak jemu-jemu menyambutku di hadapan pintu bilik, datang sa-orang demi sa-orang datang memeluk kakiku, tak dapat digambarkan betapa gembiranya hati ini bila dipeluk anak-anak, muka memang nampak cool tapi di dalam hati terpaling bahagia.

Idris pula sudah pandai berkata-kata dan sudah pandai untuk faham pekerjaan abatinya. Dia sudah pandai mengungkapkan, "Alaaa abati ada patient".

Adakalanya dia bersedih dan menangis bila telefon aku berbunyi, dia tahu abatinya ada patient dan perlu turun ke klinik untuk rawat pesakit

Allah...

Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa pilunya hati ini saat menuliskan perkara ini.

Tapi inilah perjuangan yang sedang aku ajarkan kepadanya dan qudwah sebagai pemimpin keluarga dan menyumbang dalam masyarakat setempat.

Sesekali apabila membawanya ke masjid, dia betul-betul terasa 'healing' dan gembira dengan sepenuh hatinya, hingga ada pakcik-pakcik di masjid yang memujinya sebagai anak kecil yang bagus kerana mengikut aku selalu ke masjid.

Acap kali dia cuba meraih perhatianku namun aku cuba sedaya upaya untuk memenuhi perhatiannya dan bercakap dengannya, tetapi ada masanya ketika aku letih aku sendiri tak terdaya lagi, terus kepala diletakkan di bantal dan luppp.

Maafkan daku duhai anak, tiada yang mudah bila kita memilih untuk berjuang. Aku sungguh berharap yang engkau akan mengerti sendiri apa perjuangan abatimu suatu hari nanti.


***

aku perlu menuliskan segala isi hatiku ini, buat tatapan masa hadapan. sesungguhnya ini adalah sejarah penting hidupku yang bakal aku kenang suatu ketika nanti.

dan tetap aku perlu menulis semua ini, kerana aku juga manusia biasa, aku perlu terapi kepada kegetiran yang sedang aku hadapi sekarang ini.

dengan menulis, aku akan kian sembuh.


***

sesungguhnya aku sangat dambakan doa kalian, terutama sekali doa syurgaku mama dan ayah.

tanpa doa mama dan ayah, tempang cacatlah hidupku di dunia ini, takk mampulah lagi aku berjalan laju di dunia ini.

Ya ALLAH, jangan KAU biar aku tumpul dan sugul dalam berjuang.


______

Dr Muhd Iqbal Bin Samsudin

Mediklinik Rakyat Ipoh, Arena Niaga Simee

0237, 150424

9/21/23

Pudina

Semasa kecil, antara pokok terawal yang aku berjaya tanam hingga tumbuh hidup segar dalam pasu ialah pokok pudina.

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1SDOxozUL44VcDfYusFGyJUQJcQB_E6jC

Pokok pertama yang aku berjaya tanam dari biji benih ialah pokok manggis.

Ianya satu kepuasan dan eksperimen sains yang paling menyeronokkan ketika itu. Melihat benih yang kita tanam tumbuh dan membesar hari demi hari membuatkan hati dan segala panca indera lain bergelumang rasa gembira yang tak terkata.

Di bidang menanam ini, ayahlah yang banyak mengajarkanku. Ayah ajar, ayah buat dan aku tiru. Bila menjadi aku gembira. Ia satu pengajaran indah buat sa-orang anak.

Bila sudah dewasa, pada hematku, bila seseorang yang ada pengalaman menanam pokok, dia akan membesar menjadi seorang yang lebih bersabar, tak gopoh dalam mendamba hasil dan bekerja kuat. 

Mana tidaknya, mana ada pokok atau benih yang tanam hari ini sudah dapat hasilnya pada hari yang sama?

Semuanya ada proses.

Cari benih. Sediakan medium tanaman. Cari tempat untuk menanam. Semai. Di siram agar cukup air. Dibaja agak cukup nutrisi. Bila sudah naik, apabila dikacau anasir serangga lain, kita racunkan pula serangga-serangga itu. Hari demi hari bersabar hingga akhirnya kita dapat menikmati hasil yang didambakan.

Proses itulah yang penting. Proses itulah yang perlu dilalui dan dihayati sebaik-baiknya. Tak perlu gopoh, kerana kebanyakan gopoh itu merosakkan.

Demikianlah pendidikan dan cara dibesarkan itu amat mempengaruhi tata adab sa-seorang itu.

____
Dr Muhd Iqbal Samsudin
Simpang Empat, Perlis
0820H, 210923

9/16/23

Klinik Sendiri

 tak terlintas dibenakku perkara ini akan berlaku sepantas ini

iya, aku pernah berimpian

teringin juga mahu ada klinik sendiri

namun aku agak goyah memandangkan cinta aku pada bidang ini masih belum betul-betul menyerlah


namun kerja buat ALLAH itu indah

setelah aku resign dari kerja kerajaan (KKM), aku bekerja di klinik swasta

dan di sini ALLAH hadirkan rasa cinta pada bidang ini

sebuah rasa yang tak pernah aku rasa walau dah lebih sepuluh tahun aku memaksa

akhirnya di sektor swasta ini ALLAH hadirkan rasa yang aku damba ini


Subhanallah...


maha hebat percaturan ALLAH

kemudian DIA hadirkan sahabat-sahabat baru yang sekepala dalam merawat pesakit dan bisnes

bersama mereka aku rasa lebih kuat untuk buat kerja ini, kerana kerja ini bukan kerja mudah

perlu kuat dalam dan kuat luar

tak semua orang mampu

bersama mereka juga buat aku rasa lebih kuat kerana buat kerja dalam keadaan berjemaah

aku yakin bekerja dalam jemaah ini ada berkatnya kerana dalam berjemaah ada syura yang akan dilaksana

kita tak memandai sendiri, tak buat kepalatau

dan kita akan bergerak lebih jauh dan pantas dalam masa yang lebih singkat


bulan oktober 2023 dijangka klinik kami di cawangan Ipoh akan dibuka

tak terlintas di fikiran yang saya akan berhijrah terus tinggal di negeri Perak untuk berkhidmat di sana

namun seruan fardhu kifayah perlu aku dan sahabat-sahabat perjuangkan segera

moga ada berkatnya 


mohon doa semua untuk Mediklinik Rakyat Ipoh 23 Jam


1148H

16/9/23

3/31/23

Selepas Resign Exit KKM

 

Bismillah.

Hari ini hari pertama aku tidak lagi bekerja di bawah kerajaan setelah sekitar 4 tahun bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terlalu banyak yang aku belajar, ada yang dijadikan pelajaran, ada juga yang dijadikan sempadan.

Kenapa resign?

Pasti ramai inginkan jawapan aku.

Orang ingat aku resign sebab ramai orang lain resign atau sebab aku nak teruskan bisnes-bisnes aku. Aku senyumkan saja.

Tapi jujurnya ini adalah sebahagian apa yang telah aku rancangkan sejak sebelum aku kerja dengan KKM lagi. Aku tak sangka ALLAH kabulkan apa yang aku rancangkan. Syukur, alhamdulillah.

Aku tak mahu duduk di tempat selesa yang lama dan tidak ada progression of career, dah tu kadar ketidaktentuan masa hadapan yang flip flop entah apa-apa. Jadi aku perlu segera 'cut loss' dan beredar segera kerana aku nak capai perkara yang lebih besar di hadapan nanti.

Pembelajaran aku selama di Mesir dahulu ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah, jadi ianya satu amanah yang sangat-sangat besar bagi aku kerana telah gunakan duit zakat orang Islam untuk aku berbakti dalam bidang ini. 

Kalau aku memilih untuk berhenti menjadi seorang doktor aku rasa seolah-oleh sudah khianati sekalian umat Islam negeri Kedah yang berikan zakat mereka untuk aku jadi seorang doktor.

Masih lagi aku ingat sa-orang kawan pernah menyebutkan satu kata-kata yang terpahat kejap di fikiran ini.

Katanya, "Kalau kita tak jadi doktor, orang lain tak boleh ganti kita, jalan nak jadi doktor ni sangat panjang dan susah. Kalau kita berhenti kerja doktor untuk buat bisnes, sebenarnya orang lain apabila dilatih boleh jalankan bisnes kita itu."

Pada awalnya kata-kata kawan aku itu aku tidak ambil berat sangat. Hinggalah apabila makin aku ke depan bergelumang dengan rentetan masalah, aku jadi tersedar yang semua itu ada benarnya.

Kerana untuk membentuk seseorang menjadi doktor ini perlukan masa, kepintaran, ketabahan yang tak semua orang dapat lalui.

(tak tak, aku tak pintar punnn)

Teringat juga aku apabila berjumpa dengan seorang doktor pakar yang sangat baik dan mesra dengan kami, apabila bertanyakan pendapatnya, dia juga berhemat yang hampir kurang sama. 

Menjadi seorang doktor ini tak semestinya perlu berada di hospital atau di klinik sahaja, tetapi boleh berperan di mana-mana sahaja. Misalannya, menjadi seorang developer teknologi bahagian kesihatan juga perlu sentuhan dari seorang doktor, kerana hanya doktor faham keperluan doktor.


Terus Jadi Doktor

Jadi, aku akan terus menjadi doktor, cumanya di bahagian yang lain; swasta.

Ramai yang mengucapkan tahniah apabila tahu aku akan pergi ke sektor swasta, tetapi jujurnya aku sendiri pun tak tahu yang apa bakal jadi pada aku di sektor ini pada masa hadapan. Aku cuma mampu merancang sahaja, selebihnya aku serah saja pada ALLAH.

Keputusan ini bukan keputusan terburu-buru, ini keputusan yang dipersetujui oleh mama ayah dan isteriku. Moga ALLAH rahmati mereka yang sentiasa menyokongku saat susah dan senang.

Mulai saat ini aku berazam untuk jadi doktor sepanjang hayatku, tapi dengan caraku sendiri, bukan dengan cara tipikal orang lain sebelum ini, aku ingin menyumbang sebagai sa-orang doktor dengan gaya dan caraku sendiri.

Bagaimana caranya?

Ke hadapan nanti jikalau aku berjaya kerjakan impian aku, aku akan kongsikan dengan kalian semua.

Mungkin di bahagian teknologi, who knows, kan.

Tetapi aku teringin sangat-sangat hidup santai-santai di kampung, sambil mengajarkan al-Quran kepada sesiapa saja yang mahu belajar, kanak-kanak mahupun dewasa. 

Aku ingin kecapi apa yang dikatakan Nabi SAW bahawa sa-seorang yang terbaik itu adalah yang mengajarkan al-Quran. Aku ingin hidup dengan al-Quran hingga akhir hujung hayatku, tak perlu masyhur, cukuplah bahagia sendiri-sendiri.

Pada masa itu mungkin aku boleh menjadi 'doktor kampung' yang berkhidmat di kampung bersantai-santai, mungkin juga boleh mulakan untuk bangunkan klinik wakaf yang menggunakan separa AI, sambil menguruskan bisnes-bisnes dari jauh, mungkin pada waktu itu sudah di quadrant business owner dan investor.

Ah. Berangan itu percuma.

Tetapi jikalau dikerjakan secara serius, takkan mustahil boleh dilaksanakan.

.

Cukuplah sekadar ini saja coretan aku. Moga-moga kalau selepas ini aku jatuh terpuruk, aku boleh baca semula catatan ini untuk aku ingat kembali apa yang pernah aku angankan.

Doakan aku guys.

____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Kangar, Perlis

2359, 300323



7/23/22

Pemergian Cikgu Hafizan Awang, Guru dan Warden SMKA Sik Kesayangan Kami

 Dalam banyak kematian yang amat memilukan, saya banyak berdiam diri di media sosial, sedih yang berombak ombak, buat diri ini terkedu untuk mengucapkan sa-suatu.

Namun, kematian guru kami yang mulia ini buat saya ingin menulis kebaikan-kebaikannya, saya mahu segala kebaikan-kebaikannya diabadikan dalam tulisan, agar dikenang sepanjang zaman dan saya sendiri tak akan lupakannya.

Saya masuk ke SMKA Sik pada tahun 2006. Antara kata-kata bapa menakan saya yang saya ingat, "Masuklah sekolah tu, exam cemerlang, sekolah cantik, budak-budak baguih, ketua wardennya sangat tegas."

Lalu saya masuk atas rekomen bapa menakan saya, iaitu Pak Long saya yang pada ketika itu masih bekerja di PPD Baling/Sik.

Generasi demi generasi sudah beliau asuh termasuk kami.

Pada awal saya masuk sekolah itu, gandingan beliau dengan Ustaz Lah sangat-sangat menakutkan. Tapi kedua-duanya baik.

Semua orang kenal dengan bunyi Yamaha Nouvo kepunyaan arwah yang amat kuat bunyinya. Bila arwah start saja motor, dua-dua bangunan aspura dan aspuri akan dengar bunyi dan mula bertempiaran bersiap untuk pergi ke surau. Dengar saja suara arwah buat pengumuman kosongkan asrama terus kecut perut. Berjumpa dengan arwah, siaplah rotan sedas (atau lebih).

Semua orang ada buat salah, dan yang sebaik-baik yang buat salah ialah yang segera bertaubat. Kecuali berbuat salah pada insan. Mungkin pada hayatnya ada yang arwah buat salah, kalau ada pada batang tubuhku saya sudah maafkan, dan saya harap murid-muridnya yang lain juga dapat maafkan arwah.

Saya sa-orang yang nerd ketika di asrama. Jarang sangatlah kena rotan dengan dia, tapi sepanjang tiga tahun lebih di sekolah itu, saya ada juga beberapa kali disebat arwah. Kebanyakannya kerana salah orang lain, tapi semua kena sebat. Yang betul-betul salah saya yang saya ingat hanya pi balik asrama masa waktu persekolahan untuk ambil barang tertinggal, nasib tak baik kantoi pula dengan arwah, memang mendapatlah sebatan.

Memang arwah garang, tapi anak-anak muridnya faham garangnya arwah shampir semuanya bertempat. Dan redha dengan cara didikannya yang banyak melalui teguran dan sebatan.

Gelaran 'anak cikgu pizan' ni selalu orang akan gelarkan kepada yang cikgu pizan buat baik, adakalanya saya juga digelar begitu, maklumlah nerd sangat waktu tu dan juga pernah jadi budak nasyid sat.

Apa-apa pun jasanya amatlah besar dalam sejarah sekolah itu. Terutamanya dari segi disiplin murid. Pengganti arwah sukar dicari ganti.



Berkali-kali saya tonton video ini, masih lagi ada sebak, masih lagi mengalir air mata ini 😢😢😢😢

Damailah dikau guru kami yang mulia, jasa besarmu amat kami sanjung, akan kami kenang hingga bila-bila.

Jikalau pada amalan kecil kami pada hari ini ada hasil dari didikan dan disiplin yang engkau perjuangkan dahulu, moga itulah pahala berterusan buatmu di sana. Terima kasih cikgu.

Kami pula akan menyusul 😢

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ


____

Dr Muhd Iqbal Samsudin
Kangar
0232, 230722



6/27/22

Menjadi Insan Bermanfaat

 

Menjadi sa-saorang yang bermnafaat buat orang lain adalah satu kejayaan besar. Itulah antara 'KPI' paling besar dalam hidup saya, walau hanya untuk perkara yang kecil-kecil.

Pernah sa-orang doktor kenalan saya bertanyakan, "Lepas rawat patient, patient tu sembuh, hang tak rasa puas ka?"

Pada ketika itu hatiku berkecamuk, sangat-sangat tak minat dengan bidang medik ini, keadaan depressed sangat menguasai diri.

Saya menjawab, "Tak sangat. Tak rasa apa-apa sangat. Kalau rasa puas pun sat sangat."

Begitulah jawapanku.

Hari demi hari, saya masih ditauk di sana sini untuk berkhidmat sebagai doktor. Saya masih tak berapa minat dengan bidang ini tapi saya taklah naif sampai nak bahayakan nyawa pesakit dan saya bukanlah bodoh.

Sesakali bila bertemu pesakit, disebutnya pula, "Terima kasih banyak doktor, sebelum ni nak bernafas pun payah, macam nak mati dah, lepas doktor bagi ubat, alhamdulillah lega elok."

Tak semena-mena saya gembira. 

Bukan kerana menjadi doktor, tapi kerana dapat menjadi sa-saorang yang bermanfaat buat orang lain.

Itulah kegembiraan dan kepuasan sa-orang insan yang mendambakan redha Tuhan-nya. 

Jauh dilubuk hati, saya redha, tapi diri ini takkan berhenti berjuang, tak akan putus asa atas mimpi-mimpiku.

Doakan daku teman, perjalananku masih panjang. 

Masih berjuang.



____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Kangar Perlis.

270622

4/27/22

Perbezaan Perlis dan Kedah



Beberapa tahun duduk di Perlis ni boleh la perasan serba sikit beza Perlis dan Kedah.


Selain penambahan ‘-uit’ di belakang seperti pulut jadi puluit, ada lagi benda lain yang boleh buat hangpa cam dia ni orang Perlis.


Orang Kedah banyak ’lagu’. Sikit-sikit ‘lagu mana’ dan macam-macam jenis ’lagu’ lagilah.


Orang Perlis ni tak pakai ’lagu’, depa pakai ‘gena’. Contoh, “Jadi gena?” Tak jadi macam orang Kedah, “Jadi lagu mana?”


Pengecualian bagi orang Baling dan Sik yang sebutan hampir sama, tapi ‘double N’. Contoh, “Jadi genna?”


Orang Kedah sebut ‘hat’, contoh ayat, ‘hat mana satu?’.


Orang Perlis pula sebut ‘hok’, contohnya ‘hok mana satu?’. Macam bunyi Ganu sikit.


Dan orang Perlis panggil hospital sebagai ‘gedung’. Menarik gedung depa noh. Mujoq ada satu saja gedung.


Perlis juga banyak ‘Behor’(saya cari maksud dalam kamus DBP tak ada) berbanding ‘Alor’ yang banyak di Kedah. Pulau Pinang pula banyak ‘Permatang’.

 

Sekian coretan ringkas pemerhatian saya. Hangpa boleh tambah lagi apa hat hangpa perasan. Hehe.


____

Muhd Iqbal Samsudin

Masih Orang Kedah

#ibnuDDin

4/22/22

Pelaburan Pembelian Chest Freezer



Sejak beberapa bulan survey chest freezer di Shopee untuk diletakkan di rumah.


Puaslah membaca dan dan mengenali brand yang ada di pasaran, iyalah sudah semestinya tak mahu buat kesilapan dan tak mahu ambil risiko yang terlalu tinggi.


Sebelum-sebelum ini, kebanyakan barangan elektrik rumah hampir semuanya beli online; peti ais, mesin basuh, microwave, air fryer dan segala mek nenek lain semua beli online saja sebab lebih murahhh.


Kali ni nak beli chest freezer ni kena consider beli di kedai fizikal sebab kos postage dia mahal kalau beli online, almost RM100 jugalah, kalau yang besar lagilah mahal.


Chest freezer ada banyak jenis kapasiti, 80L, 100L, 120L, 150L, 180L, 200L, 250L, 300L, 400L, 500L dannn banyak lagi, bergantung juga pada brand.


Jadi kena buat keputusan la nak beli besar mana. Kena tahu barang apa yang kita nak masukkan, nak simpan lama mana, apa yang nak diniagakan.


Macam saya target nak guna untuk letak barang frozen untuk jualan, sebab itu saya panggil pelaburan, sebab saya nak berniaga.


Beli yang kecil takut tak muat nanti, jadi belilah yang sederhana besar. Target saya sekitar 300L.


Ada banyak brand di pasaran, selepas buat sedikit penyelidikan dan berdasarkan sedikit pengalaman sendiri dan orang lain, saya menyimpulkan brand-brand ini ikut ranking.


1.Haier

  • satu-satunya brand yang berani bagi general warranty 2 tahun, untuk kompressor 5 tahun. Tapi untuk model keluaran baharu saja, model lama sama setahun juga. Harganya pun jadi mahal.
  • Boleh beli di sini :https://invol.co/claip7m


2. Toshiba dan Sharp

  • ini warranty general setahun sahaja dan kompressor sama juga 5 tahun. 
  • High reliability, dipercayai zaman berzaman. Harga ada kasih dan sayang sikit.
  • Saya sendiri memilih Toshiba memandangkan punya sejarah yang baik dengan brand ini. Saya ambil yang 320L. Warranty dan performance tak meragukan.
  • Di Shopee saya tengok tak ramai beli Brand Toshiba ini, mungkin kurang popular.
  • Boleh beli brand Toshiba di sini  : https://invol.co/claip2m 
  • Sharp : https://invol.co/claip8p


3. Khind, Elba, Butterfly, Berjaya, Hisense


4. Morgan, Hitec, midea


Saya beli di kedai Siang Electrical di Kangar. Harganya lebih murah berbanding di Shopee dan Lazada. Tawar menawar sikit dan angkat terusss.


Antara yang perlu kita jangkakan ialah kenaikan bil elektrik kita bulan seterusnya. Moga pelaburan ini berkat dan berbaloi.





_____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Moga pelaburan ini berkat

Kangar, Perlis

1148H, 220422


1/21/19

Al-Quran Akan Sentiasa Jadi Amanahmu


Itu malam jumaat paling berdebar yang pernah saya nantikan, selama diri ini diizin bernafas.

Setelah talaqqi tahsin bacaan al-Quran selama sekitar dua tahun lebih, akhirnya tibalah di hujung khatimah al-Quran.

Moga ALLAH limpahkan rahmat buat guruku yang mulia, al-Fadhil Ustaz Ahmad Anis yang sabar dan tak jemu mengajarkanku. Hinggakan, jikalau saya sibuk, beliau akan datang ke rumah saya untuk mengajar, tanpa minta segenih pun.

Sebelum ini saya bertalaqqi dengan beberapa orang masyeikh di sini, dan di pengakhir saya di bumi Kinanah ini ALLAH taqdirkan saya khatam bacaan al-Quran dengan Ustaz Anis yang amat amanah dengan ilmunya.

Petang itu, selepas asar saya terus bergegas ke Darrasah untuk ke maktabah berdekatan dengan Masjid Syeikh Soleh Ja'fari untuk membeli kitab al-Bayan, sebuah kitab tajwid dalam riwayat Hafs 'an 'Asim, thoriq Syatibiah dan Thayyibah.

Kitab itu disuruh beli oleh Ustaz Anis untuk rujukan saya pada masa hadapan. Saya sangkakan kitab nipis sahaja, rupanya boleh tahan juga tebal. Alhamdulilah kitab itu berjaya dibeli dengan harga LE75, selepas diskaun LE15.

Keluar dari maktabah terus saya berjalan menuju ke rumah Ustaz Anis di belakang Universiti dan Masjid Al-Azhar. Semasa berjalan Ustaz Anis telefon untuk menyuruh saya pergi ke Masjid Imam ad-Dardir berdekatan dengan rumahnya, nanti dia akan datang menemui saya kerana ketika itu dia sedang ada urusan di luar dan belum pulang ke rumah.

Setia menunggu sambil membaca al-Quran di dalam masjid. Kesempatan itu juga digunakan untuk bertawassul di Makam Imam ad-Dardir (w.1201H), seorang ulama' besar mazhab maliki, pengarang kitab Syarh al-Soghir Mukhtassir al-Khalil , menumpang barakah para solihin. Daku mencintai para ulama', auliya' dan solihin, tetapi daku bukanlah dalam kalangan mereka, hatta menjadi debu di telapak kasut mereka pun tiadalah layak bagi diri kecil ini.

Selepas solat maghrib Ustaz Anis tiba dan kami bergerak ke rumahnya seusai solat isyak.

Satu perkara yang jarang diketengahkan oleh para asatizah dan guru-guru di Malaysia adalah pada ketika khatam al-Quran, ketika itu sangat mustajab doa kita. Oleh sebab itulah dibuat 'majlis' agar ramai-ramai dapat bersama di dalam majlis itu dan menumpang barakah dan mustajab doa pada masa itu.

Malam penuh barakah itu bukan sahaja bertujuan untuk khatam al-Quran, tetapi juga diisi dengan khatam kitab Araba'un an-Nawawi, kitab 40 hadith Imam an-Nawawi. Juga disertakan dengan bacaan Ratib dari kitab Mukh al-Ibadah dan beberapa Silisilah Hadith Musalsal.

Majlis dimulakan dengan saya membaca al-Quran bermula dari Surah al-Lail, hingga Surah An-Nas, Surah Al-Fatihah dan lima ayat pertama Surah Al-Baqarah.

Selesai bacaan al-Quran, saya bacakan doa khatam al-Quran. Kemudian disambung doa-doa lain oleh Ustaz Anis.

Perasaan syukur sudah mula menyerbak seluruh pelosok hati.

Ustaz Anis meneruskan bacaan sardan untuk khatam Araba'un an-Nawawiyah, bermula dari hadis ke-40 hingga ke-42, menggunakan kitab toba' (cetakan) Darul Minhaj kerana dalam toba' ini ada muqaddimah dan khatimah asal daripada Imam an-Nawawi (w.676H). Menurut Ustaz Anis, jika mahu beli kitab Arba'un an-Nawawiyah, pastikan kitab itu ada muqaddimah dan khatimah.

Selesai khatam Arba'un an-Nawawiyah, majlis diteruskan dengan membaca sanad-sanad beserta pengalaman dan amanat guru-guru yang pernah menurunkan sanad kepadanya. Kemudian sama-sama membaca Ratib al-'Attas, seterusnya membaca beberapa Hadith Musalsal.

Setelah semua selesai, sekitar jam sebelas malam, kami mula menjamu selera. Masakan Nasi Briyani super power daripada ahli beit Ustaz Anis terutamanya Ustaz Rafiq (kembar) dan Ustaz Hafizuddin.

Hadirin lain yang hadir turut menjamu selera, menumpang barakah majlis. Tak lama selepas itu, datang Syeikh Nahriti secara mengejut bersama sahabatnya Dr. Khalid. Walaupun kehadiran mereka tidak diduga, namun taqdir ALLAH itu maha indah, mereka benar-benar menyerikan majlis khatam ini. Semakin syukur mekar di hati.

Jam sudah melepasi 12 pagi, saya ambil keputusan untuk pulang menaiki Uber memandangkan bas dan stesen metro sudah pun tutup ketika itu, dan terus pulang ke Abbasiyah. Kalut-kalut mahu pulang, saya terlupa bawa pulang kitab al-Bayan yang dibeli pada petang itu. Barangkali, ALLAH mahu saya datang lagi ke rumah Ustaz Anis selepas ini.

Badan sangat letih, pemandu Uber pula menduga imanku. Namun alhamdulillah masalah selesai dengan masing-masing menurunkan ego.

Alhamdulillah, Maha Suci ALLAH, tiada kata yang paling indah dan tiada kata syukur yang sepadan dengan rasa yang daku rasakan setelah selesai majlis khatam penuh barakah ini.

Tiadalah daku menulis ini untuk menunjuk-nunjuk atau sebagainya, cuma ingin diri ini mengambil barakah menuliskan semua ini agar ia abadi untuk diamati dan dicontohi anak-anak cucu, agar mereka jadi lebih baik daripada diriku yang serba kurang ini.

Di telinga ini, terngiang-ngiang kata Ustaz Anis, "Al-Quran ini amanah, dan akan sentiasa jadi amanah."

Saya sentiasa yakin ada hikmah besar ALLAH campakkan rasa cintaku pada al-Quran dan seluruh ilmu mengenainya. Para pembaca yang mulia, doakan diri kecil dan kerdil ini agar dapat meneruskan lagi pengajian al-Quran selepas ini, terutamanya di bidang tafsir.

Ya, al-Quran akan sentiasa jadi amanahku, dan amanahmu.

Wallahua'lam.

______

Muhd Iqbal Samsudin
2308, 200119
El-Abbsiyah, Cairo, Egypt




5/2/17

Pukul Berapa Sekarang?




Bila anda baru menjejakkan kaki ke bumi Kaherah ini, anda akan perasan Arab suka bertanya satu soalan bila bertemu dengan kita orang Melayu.

Soalannya mudah saja, "Sa'ah kam dilwakti (pukul berapa sekarang)?"

Tetapi soalan ini dapat menjawab banyak persoalan lain selain dapat tahu pukul berapa sekarang.

Ada beberapa tafsiran berkenaan Sa'ah Kam Dilwakti menurut pengalaman kecil saya.

.

[1] Memang dia mahu tahu pukul berapa.

Selalunya, ketika disoal oleh mereka, kedudukan anda tidak jauh dari masjid atau di stesen pengangkutan awam, dan tidak ada orang Arab lain atau manusia lain di situ. Itu selalunya memang soalan ikhlas daripada mereka. Memang dia nak tahu pukul berapa.

.

[2] Nak menguji.

Ketika ditanya, anda dapat lihat ada ramai lagi orang Arab yang memakai jam, bahkan terpampang jam besar di situ, tetap juga dia nak bertanya anda. Atau kadangkala anda sudah tunjukkan jam anda, tetapi dia tetap nak anda sebut juga.

Itu selalunya mahu menguji.

Pertama, ingin menguji anda pandai cakap bahasa pasar 'ammi Mesir atau tidak.

Kedua, daripada gaya anda bercakap, boleh dikesan sama ada anda orang baru atau sudah lama menetap di sini.

Kalau anda dapat menjawab, dengan baik insyaAllah selamat.

Kalau dijawab kurang tepat atau tak dapat jawab langsung atau dijawab dengan bahasa Arab fus-ha, dari situ anda akan dilihat sebagai seorang yang berpotensi besar untuk ditipu atau  dipermainkan. Ya, Arab ni memang ramai yang jenis jahat!

.

Jadi bagaimana mahu mengatasi masalah ini?

Sahabat saya Ahyad pernah ajar saya, kalau memang nampak si Arab ini memang jenis mahu menguji, serang kembali dia dengan satu pertanyaan selepas dia bertanya kepada anda.

"Enta 'āiz kam (hang nak berapa)?"

Selalunya bila saya buat begini, memang Arab akan angkat tangan dan pergi meninggalkan kita.

Selamat mencoba, terutama buat sahabat-sahabat yang baru jejakkan kaki di bumi barakah ini.



#CatatanMetropolitan

_______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
300417

4/19/13

Kerapuhan.


Saya punya sebuah meja studi. Selain buku dan alat tulis, di hadapan saya juga saya letakkan banyak kertas-kertas kosong. Fungsinya, pastilah untuk ditulis.

Apa sahaja yang mahu diluahkan secara ekspress, luahkan terus. Tulisan itu akan direkod dan insya-Allah berpontensi untuk berkekalan.

Dalam folder 'Writing Till Jannah' juga, saya masukkan perjalanan hidup saya, " Dari Charok ke Lapangan Juang". Semuanya, untuk saya lihat kembali suatu hari nanti, insya-Allah. Hidup bukan sekadar hidup, hidup biar meninggalkan kesan, tinggalkan perkara bermanfaat untuk orang lain.


12.4.2013

Ya Allah. 
Saat ini jelas terasa berat yang dipikul,
sudah terlalu berat. 
Tidak berdaya ku mengangkat. 
Disarati amanah dan masalah yang berat.
Andai ini kafarah dosa-dosaku yang dahulu,
tiada lagi yang terasa berat. 
Redha dan Rahmat-Mu sahaja mahu ku dapat.


nota kabur.


Tenangnya jiwa dan hati orang beriman, ialah dengan diisi hanya dengan mengingat Allah Ta'ala.

Saat musibah membelah-belah, nangislah walau kita gagah.

Terkadang, kerapuhan melambangkan kekuatan dan kelembutan.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
19.4.2013
9.32 a.m


4/9/13

Menjahit Lipatan Rindu.


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang.


Memang sejak kecil, saya aktif bermain di sana sini. Pelbagai permainan dicuba. Sudah jadi kebiasaan seorang anak kampung, meluangkan masa petangnya, bahkan kadang-kadang bukan sahaja petang, pagi petang dan malam pun masih aktif diluar lagi untuk bermain di seluruh pelosok kampung.

Pabila besar, saya rasakan tidak sia-sia menjadi seorang anak kampung dan betapa beruntungnya saya dapat melalui semua itu. Terasa masa kanak-kanak saya benar-benar dimanfaatkan, seronok!

Mana tidaknya, membesar di kawasan yang dikelilingi kehijauan dan kicauan, memang mendamaikan jiwa. Hatta hingga kini saya sangat merindui saat itu.

Bersembunyi sambil menikmati buah-buahan di atas pokok, lawan menyeberangi sungai dengan berenang, melastik burung-burung, mandi parit, terjun dalam sawah bendang, menembak dengan bijian buah terung, mengacau sarang tebuan dan temingat, panjat pokok untuk melihat sarang burung dan melihat anak-anaknya yang comel. That's the way I grew up.


Jahit.

Namun di sebalik keaktifan itu, banyak yang menjadi mangsa. Antaranya ialah pakaian saya. Paling teruk, pastilah seluar saya.

" Mama, seluaq abang terkoyak la, mama jahit sat..."

Sambil mama berleter panjang, pasti natijah akhir yang diperolehi adalah perkara yang sama.

" Mai sini nak tengok, biaq mama jahit. "

Walau panjang mana leteran, ke situ juga akhirnya.

Apabila melihat mama semakin sibuk dengan kerjanya, saya tak sanggup menyusahkan mama. Jadi saya belajar menjahit sendiri setiap kali pakaian saya terkoyak. Walau sentuhan jahitan saya tidaklah semulus seorang ibu, namun ianya cukup untuk saya pakai dan teruskan bermain untuk esok, tak perlulah beli yang baru. Keluarga kami bukan keluarga berada.

Sama juga situasinya dengan memasak. Setelah melihat mama sibuk dan letih setelah pulang dari kerja, saya belajar sendiri, tak sanggup mahu mengganggu mereka. Belajar hidup berdikari. Bahkan, sejak berumur 4 tahun, saya rasa saya telah belajar buat susu sendiri. Hehe.

Tengah saya membaca physiology, membaca berkenaan presbyopia, saya benar-benar teringatkan mama.

" It starts at age 40 years and becomes complete at 50 years. Accordingly reading or close work. e.g. threading a needle become very difficult."[1]

Kalau mama mahu mulakan jahitan, sayalah antara orang yang akan dipanggil mama untuk memasukkan benang ke dalam jarum. Hingga kini, tatkala mahu memasukkan benang ke dalam jarum untuk menjahit, saya mesti teringatkan mama. Rindu...

" Kalau dulu-dulu, mama yang tolong nenek masukkan benang ni. La ni hang pulak yang kena tolong mama..."

Senyum berseorangan mengenangkan semua ini.


Lipat.

Jika di asrama, saya kurang melipat pakaian. Semuanya gara-gara loker asrama yang agak besar saiznya. Jadi saya hanya menggantung semua pakaian saya, kalau ada yang perlu dilipat, ianya hanya sebilangan kecil.

Saya masih ingat, ketika saya mahu masuk ke asrama pada awal dahulu, mamalah yang mengajar cara melipat pakaian. Walaupun ada yang menayangkan kepada saya sebuah video, seorang wanita jepun yang mengajar cara melipat dengan cara yang cepat, namun saya hanya mengamalkannya semasa situasi sibuk di asrama sahaja. Tetapi kini, saya masih tetap mengamalkan cara lipatan yang mama ajarkan dahulu.

Di rumah dahulu, waktu mama melipat baju ialah waktu yang seronok bersembang dan mengacau mama. Masa kecil mungkin banyak mengacau, mengenjah apa yang telah dilipat mama. Mama marah sekejap,dan lipat kembali.

Tetapi bila semakin matang, saat itu banyak digunakan untuk bersembang dengan mama. Terutamanya bila balik dari asrama untuk bercuti di rumah. Sembang-sembang santai. Lebih sweet jika saya letakkan kepala di atas paha mama.

Sama juga keadaannya, kini apabila melipat pakaian yang sudah kering, inilah perkara yang laju menerjah minda. Di tambah berada jauh dari tanah air, boleh membuatkan air mata turun dengan sangat tak disangka-sangka. Nostalgia.


 Jahit + Lipat+ Rindu.

Sedar tidak sedar, sudah hampir dua tahun saya tidak pulang ke Malaysia. Rindunya usah ditanya. Saya sendiri tidak menyangka boleh berpisah selama ini. Sungguh syahdu.

Belajar bukan sekadar belajar, sambil belajar kita juga belajar untuk berkorban.

Dengan ini, saya dengan sayu dan syahdunya, menjahit lipatan rindu ini. Tidak sabar lagi mahu lepaskannya. Insya-Allah panjang umur dan dimurahkan rezeki, saya pulang. Ameen.

# Sambil mendengar lagu-lagu raya :)

[1] Lecture Note On Physiology For Medical Students, Faculty of Medicine Ain Shams University, Volume IV, Page 244.

Saya rindu mereka. Sungguh!



Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.


3/14/13

Arnab


Selepas selesai solat zohor di masjid berdekatan dewan kuliah, teman serumah datang merapati saya.

" Kejap lagi kau tolong belikan arnab kat pasar, aku nak masak."

Saya renung wajah dia tiga saat. Berhajat mahu buat muka terkejut ala-ala 9GAG, tapi tak jadi disebabkan saya rasa saya sudah dengar gosip-gosip di ruang tamu semalam mengatakan ada yang mahu masak arnab esok.

" Awat hang tak pi?"

" Aku ada kelas physio kejap lagi..."

" Aku pun tak balik rumah lagi sat gi, nak duk kat sini sat. Suruh la orang lain beli dulu."

Dia beredar dan pergi mencari pengganti pembeli arnab yang lain.

Nampak dia minta tolong rakan sebiliknya, saya senyum kerana ada yang sudi menolong dia.


*  *  *


Dengan takdir Allah, akhirnya saya yang membeli arnab pada hari itu. Dengan berat hampir dua kilo, saya belinya dengan harga LE42 di pasar.

Balik sahaja di rumah, semua ahli beit datang melihat. Benda first time beli, nak buat 'rare', maka beginilah ragamnya.

Ada yang pegang-pegang.

Picit-picit.

Angkat, letak balik.

Ambil gambar untuk post di instagram.

Ambil gambar untuk kenangan.


Lalu, datang seorang lagi rakan serumah.

" Huish, beli arnab ka?"

Dia turut membelek-belek, seperti sahabat lain.

Tapi dia ini, pelik sedikit. Bukan sahaja tekan-tekan pada arnab itu, tetapi dia juga mendekatkan muka ke arah arnab yang telah disembelih itu.

" Hang tengok pa?'

" Tak dak pa, aku tengok pupil dia."

" Awat? Jadi lagu mana?"

" Tengok, pupil dia duk dilate ja."

" Haa, lekaih ambik torch light henset hang, hang suluh tengok."

Dia menyeluk poket, lalu hanphone dikeluarkan. Torch light dihalakan di bahagian peripheral mata arnab itu, tidak direct.

" Kan, tengok tu. Pupil dia dilate, fixed ja, lepas tu tak react pun bila suluh. " Cekap dia mendiagnosa.

" Aku tau, ni mesti 4th stage of anasthesia, death!" Saya terus buat kesimpulan.

Dia senyum.

Kari asam pedas arnab pada malam itu berlangsung dengan jayanya. Beberapa orang jiran tetangga turut terlibat.

Sedap.

"Tapi mahai..."



Tara...

Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
13.3.2013
6.44 p.m




12/27/12

Chenta dan Cinta

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Tidak sangka, suatu ketika dahulu, akaun twitter saya seolah-olah mayat hidup. Hidup, tetapi seakan tiada apa-apa.

Namun, hari ini, saya kira ianya sudah berfungsi. Alhamdulillah. Apa saja ruang dakwah yang ada, manfaatkan. Jangan sampai terlalu lalai. Peringatan untuk diri saya juga.

Twitter, bagi saya satu medan dakwah yang baharu. Paling penting, ia membina minda kita menjadi kreatif kerana bilangan huruf yang dibenarkan terhad. Jadi, untuk sampaikan sesuatu, harus bijak, harus kreatif. Baru mesej boleh disampaikan dengan baik.

" Sesiapa yang mengucapkan dua kalimah syahadah, mengakui Allah tuhannya dan Rasulullah itu pesuruh-Nya. Maka, dia adalah seorang da'ie. Seorang da'ie itu, tidak duduk saja menanti ruang dakwah, tetapi harus bijak mencari ruang-ruang dakwah."

Chenta.

Remaja, tidak dapat lari dari perbincangan yang melibatkan soal cinta. Hari-hari, ada saja perbincangannya. Entah bila mahu bosan pun tidak tahu, bahkan boleh buat topik pencerah mata.

Saya tertarik dengan soalan sahabat saya di twitter, yang bertanyakan mengapa saya menggunakan kalimah 'chenta' berbanding 'cinta'.

Cinta biasa kepada siapa? Kepada yang bergelar manusia. Ibu bapa, adik beradik dan sebagainya.

Chenta luar biasa? Kepada Allah Subhanallah Ta'ala dan kekasih-Nya, Rasulullahi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Rasulullah bukan manusiakah? Ya, manusia. Tetapi hakikatnya, baginda manusia yang bukan seperti manusia lain. Maqamnya terjauh mulia berbanding manusia biasa.


Sebut.

Saya letakkan perkataan 'cinta' hanya manusia biasa. Manakala 'chenta', kepada Allah dan Rasulullah.

Kerana, intonasi ketika menyebut lafaz 'chenta' itu lebih istimewa dan lebih 'power' auranya berbanding menyebut 'cinta'. Tidak percaya, silakan cuba dengan penuh penghayatan.

Itu manifestasi 'cinta' dan 'chenta' dari segi lafaz. Segala lafaz yang keluar itu, mudah-mudahan menjadikan hati lebih rasa 'zouq' kegahannya.

Bersama dengan para ulamak dan auliyak, boleh membawa hati kita belayar dengan hati mereka, membenih rasa  chenta kita kepada Allah dan Rasulullah.
[ Foto : Syeikh Usamah as-Sayyid Mahmud al-Azhari, Rektor Universiti al-Azhar, antara tokoh ulama muda yang saya kagumi ]


Wallahua'alam. 


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
26.12.2012
10:04 pm.