Showing posts with label Nota Medik. Show all posts
Showing posts with label Nota Medik. Show all posts

6/27/22

Menjadi Insan Bermanfaat

 

Menjadi sa-saorang yang bermnafaat buat orang lain adalah satu kejayaan besar. Itulah antara 'KPI' paling besar dalam hidup saya, walau hanya untuk perkara yang kecil-kecil.

Pernah sa-orang doktor kenalan saya bertanyakan, "Lepas rawat patient, patient tu sembuh, hang tak rasa puas ka?"

Pada ketika itu hatiku berkecamuk, sangat-sangat tak minat dengan bidang medik ini, keadaan depressed sangat menguasai diri.

Saya menjawab, "Tak sangat. Tak rasa apa-apa sangat. Kalau rasa puas pun sat sangat."

Begitulah jawapanku.

Hari demi hari, saya masih ditauk di sana sini untuk berkhidmat sebagai doktor. Saya masih tak berapa minat dengan bidang ini tapi saya taklah naif sampai nak bahayakan nyawa pesakit dan saya bukanlah bodoh.

Sesakali bila bertemu pesakit, disebutnya pula, "Terima kasih banyak doktor, sebelum ni nak bernafas pun payah, macam nak mati dah, lepas doktor bagi ubat, alhamdulillah lega elok."

Tak semena-mena saya gembira. 

Bukan kerana menjadi doktor, tapi kerana dapat menjadi sa-saorang yang bermanfaat buat orang lain.

Itulah kegembiraan dan kepuasan sa-orang insan yang mendambakan redha Tuhan-nya. 

Jauh dilubuk hati, saya redha, tapi diri ini takkan berhenti berjuang, tak akan putus asa atas mimpi-mimpiku.

Doakan daku teman, perjalananku masih panjang. 

Masih berjuang.



____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Kangar Perlis.

270622

8/20/21

Tips Mengharungi Tagging Period Semasa Housemanship (HO)





Jarang saya kongsikan berkenaan pekerjaan saya sebagai doktor pelatih (houseman), tapi andai ini ada manfaat untuk adik-adik HO yang baru nak masuk kerja, ambillah. 

Video ini dirakam selepas berjaya offtag di posting Surgery, posting kelima saya, sekitar Jun 2021. Lega wohhh boleh offtag, letih namatiii!

Moga ada sedikit manfaat untuk hampa amalkan!

Subscribe please! Letih rakam sambil drive ni. Hehe

Ini buku-buku yang boleh anda beli untuk persediaan sebelum HO :

1. Handbook Of Clinical Housemanship Procedures : https://invol.co/cl7rueh

2. Pre HOUSEMANSHIP STARTER KIT : https://invol.co/cl7ruer

3. Sarawak Handbook of Medical Emergencies 4th Edition + Drug doses Frank Shann 17th edition : https://invol.co/cl7ruf3

4. Sarawak Handbook of Medical Emergencies 4th Edition (20th Anniversary Edition) : https://invol.co/cl7rufi

5. Be A Happy Houseman (Bahasa Melayu) Dr Noor Hayati Yasmi : https://invol.co/cl7rug8

6. The ECG Made Easy : https://invol.co/cl7rugt


Nak buat cop sebelum masuk HO? boleh buat kat sini saja. saya buat kat sini : https://invol.co/cl7rujp

4/3/20

Reformasi Pendidikan Kesihatan : Pendidikan Gula


“Awat gula makcik tinggi sangat ni? Nampak tak control ni makcik.”

“Ya ka Dr...”

“Makcik minum kopi buh gula banyak sangat kot...”

“Dak aih... makcik minum kopi tak buh gula pun Dr...”

“Huihhh baguih la lagutu... Makcik tak buh gula tapi makcik buh susu dak?”

“Tak buh gak, sebab makcik makan kopi 3 in 1..”

Patut la manihhh 😂🤦‍♂️


_____


Antara reformasi pendidikan yang patut dilakukan pada anak bangsa kita mungkin soal ‘Pendidikan Gula’. Fokus kepada GULA dan kesannya.

Mungkin boleh dimasukkan dalam subjek sains atau pendidikan jasmani. Sains mungkin lebih sesuai sebab subjek tumpuan PT3 dan SPM.

Pencegahan kepada kencing manis ini perlu dibumikan sejak dari awal pendidikan, tak boleh harapkan di peringkat perawatan saja. Benda boleh elak, kita cuba sebaik mungkin untuk elak.

Akibat kencing manis dan komplikasi-komplikasinya yang sangat banyak, kerajaan banyak menghabiskan duit untuk merawat.

Ramai dalam masyarakat kita walaupun tak ketagihan dadah, rokok atau vape; mereka KETAGIHAN GULA.

Ini sangat membimbangkan, terutamanya orang Kedah yang masih memegang rekod tertinggi kencing manis.

Dengan adanya ‘Pendidikan Gula’, bukan saja boleh beri kesan kepada para pelajar, tetapi juga kepada guru-guru yang mengajar. Dan jangan lupa, guru-guru ini juga insan penting dalam masyarakat untuk beri kesedaran. Ini boleh menjadikan kesedaran yang ingin dibumikan lebih menyeluruh.

_____

Muhd Iqbal Samsudin
#NotaSihat #ibnuDDin
1156, 08032020

1/22/20

6 Tips Berperang di Medan e-Housemen (e-HO)




Alhamdulillah setelah menunggu hampir setahun, maka keluarlah pengumuman di laman web e-HO yang kami 'bertempur' di medan e-HO pada 7 Januari 2020 dan sistem e-HO akan ditutup pada 14 Januari 2020.

Semua jadi terkejut dan grup wasap yang krik krik sebelum ni gegak gempita semula. Semula kalut nak buat persiapan itu ini dan activate otak medik yang dah nak berkarat. Setahun wehhh, lama jugak tu. Hahaha.

Jadi bila naik pengumuman itu, benda pertama yang perlu kita buat ialah sahkan maklumat itu dulu. Tapi adakalanya elok juga terus buka laman web e-HO itu dan terus daftar. Jangan tangguh-tangguh.

Kami semua beranggapan pengumuman itu pengumuman official. Jadi kami terus daftar beramai-ramai.

Semasa daftar tu, saya tersilap masukkan emel yang salah. Waduh waduh, gelabah bewak la weh.

Kena pulak masa itu hari sabtu, pejabat kerajaan memang cuti la. Kalau call memang bunyi, tapi tak berangkat.

Kena la tunggu isnin. Saya dah ready dah sebab ada juga kawan yang intake sebelum ni yang mengalami masalah yang lebih kurang sama, jadi dia syorkan untuk mula call bahagian sumber manusia yang ada nombor di web e-HO tu.

Bahagian Sumber Manusia ditalian 03-8883 2735 atau emelkan kepada bsm@moh.gov.my

Sejak lepas subuh lagi dah ready depan laptop dan fon untuk harungi pahit getir melakukan kesilapan fatal tu. Memang dah ready nak start call pukul 8 pagi.

Cuba cuba cuba cuba sampai lebam, akhirnya call berjawab sekitar pukul 9.15 pagi.

Call yang pertama dia bagi nombor bahagian sumber manusia bahagian masalah saya.

Kemudian call nombor yang diberikan, dan surprisingly dia kata pengumuman di laman web e-HO tu tak official lagi, masih dibincangkan lagi. Dia duk buat hairan kenapa pakat duk kalut dah daftar.

Tentang masalah fatal yang saya buat tu, dia suruh ubah masa hari 'pertempuran' tersebut. Fuh berbakul la cabaran masa e-HO tu.

Saya pun buatlah pengumuman di grup wasap yang semua ni belum official. Dengan girang gembira kembali tenang dan buat kerja macam biasa semula. Yang dah berhenti kerja serta merta semua dah gelabah, yang tak berhenti lega. Saya yang kerja freelancer ni, dua-dua tak ada hal.

Pengumuman di laman web e-HO pun pihak KKM padam. Fuh!

Tup tup, sekitar pukul  5 petang, pengumuman naik semula dengan tarikh PTM saja yang diijak ke tarikh 3 februari, tarikh e-HO tetap sama.

Kemudian, diberitakan e-HO akan dibuka pada tarikh yang sama, 7 Januari 2020. Terkejut kami sekali lagi.

Tak lama selepas itu, sekitar pukul 6.30 petang masuklah emel yang menandakan secara official-nya kami dapat untuk intake pertama 2020.


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Sujud Syukur.

Jadi apa persiapan dan persediaan yang perlu dilakukan?

Baik, mudah saja.

.

[1] Tenang

Tenang aja. Okay sekarang anda perlu ubah semula mindset untuk bekerja. Bekerja yang kemungkinannya akan buat anda koyak sekoyaknya.

Jadi kena mula study balik segala persiapan. Belilah buku-buku tulisan Tok Ilman dan Amalina's Notes. Dua buku itu pun dah sangat-sangat membantu.

Rasa insecure lagi, bacalah lagi buku-buku lain, ulangkaji.

.

[2] Teliti Manual e-HO

Nanti akan ada kawan kita share manual e-HO di grup wasap atau di telegram. Baca betul-betul, teliti satu per satu, terutamanya malam sebelum 'pertempuran' berlaku.

Dan make sure baca yang latest punya ya, boleh dapatkan manual latest di laman web e-HO.

Sebab kalau baca yang lama, ada maklumat yang dah tak perlu kita isi dah, contohnya maklumat keluarga. Dulu kena isi, sekarang dah tak perlu masa 'pertempuran' isi e-HO tu. Nanti kalau adik beradik ramai semua, jenuh la nak pilih penempatan.


.

[3] Tulis apa yang akan anda isi nanti

Semua ni kena tulis. Di page 1 ada maklumat apa yang perlu di isi, di page 2 maklumat apa, page 3 ada apa lagi perlu klik. Tulis siap-siap.

Supaya nanti masa bertempur kita dah betul-betul ready dengan semua benda.

Macam kami haritu, ramai terlekat dekat poskod dan nombor telefon, sebab tak cukup nombor. Bila tak cukup nombor, tak boleh nak tekan NEXT, so akan jadi lambat.

Poskod  kami haritu dia letak empat nombor saja.
Contoh : 9110
Sepatutnya : 09110

Kosong di bahagian depan dia macam automatik terbuang. So kita kena letak kosong.

Nombor telefon pun sama, kosong di depan dia buang. So kita kena letak kosong.
Contoh : 1111151899
Sepatutnya : 01111151899

Macam tu saja.

.

[4] Kena ada target masa dan hospital

Target nak isi semua maklumat : within 1 minute, approximately 50 seconds

Cikai-cikai pun 2 minit jadi la, kena cepatkan jari jemari dengan mouse dan keyboard. Geng gamers antara yang sudah terlatih bab ni.

Cuba isi secepat mungkin. Kecuali kalau dah tahu hospital yang anda nak pilih tak HOT sangat. So it's okay.

Target hospital yang kita mahu :
Contoh
1. Hospital Tuanku Fauziah, Kangar
2. Hospital Kulim
3. Hospital Sultanah Maliha, Langkawi
4. Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani
5. Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar
6. Hospital Teluk Intan

Buat at least 6 buah hospital, bila buka list hospital tu tak ada, kita tak gelabah, kita boleh terus ambil pilihan kita yang seterusnya. Kena sedia mental dah kalau-kalau hospital yang kita nak tu tak ambil intake kali ni.

Macam geng kami kali ini, Hospital Kulim tak ada intake, so ramai geng Kulim ambil Hospital Sultan Abdul Halim dan Hospital Seberang Jaya.




[5] Pilih Cyber Cafe paling laju INTERNET dan KOMPUTER

Kami haritu dah pergi ping siap-siap di CC yang nampak berpotensi. CC yang jadi tumpuan para gamers ni selalunya CC yang paling terbaik, sebab geng gamers ni akan pilih CC yang internet laju dan komputer yang laju.

Makin rendah ping ni, makin lajulah internet di CC itu.

CC kami haritu tak la terlalu power, tapi still okay untuk bertempur. Ping kami hanya sekitar 7 atau 8 saja.

Macam mana nak tahu ping semua tu? Hampa pi kat link ni naa : http://speedtest.tm.com.my/tmspeedtest.html

Make sure pilih komputer high spec ya, tertutamanya dari segi RAM dan processor dia. Saya personally recommend komputer atau laptop RAM 8GB ke atas dan processor i7 ke atas, atau yang setara dengannya.

Senang-senang pergi CC gamers tu ja guys, PC depa memang dah tiptop.


[6] Setting Google Chrome

Saya personally recommend hampa guna Google Chrome, lebih padu.

So sebelum nak mula bertempur, kita akan selalu refresh laman web tu supaya dapat masuk sistem dengan mudah.

Takkan setiap kali lepas refresh kena isi semual nombor kad pengenalan dan password. Jenuh la weh.

Jadi takmau penar-penat, kita boleh tetapkan setting di Google Chrome. Lepas kali pertama isi No. KP dan password, anda cuba login macam biasa. Kemudian anda tengok di penjuru kanan atas di bahagian  e-houseman.gov.my itu ada lambang kunci, tekan lambang kunci itu dan save. Lepas refresh anda dah tak perlu susah-susah isi lagi.

Satu lagi setting, hampa tekan 3 dots kat atas belah kanan, tekan settings. Kemudian ambil adressess and more. Lepas tu tekan add dan isilah semua details anda, supaya bila buka e-HO tu nanti, dia akan automatik isi sendiri.

INGAT!

Masa dah selesai semua urusan di CC, delete semula semua setting ni.


.

[6] Tempur dan Tawakkal

Selalunya pertempuran e-HO ni akan bermula pada jam 12 tengah hari.

Jadi kena peka, kena alert. Pukul 11.57 tu dah boleh login dan refresh, login dan refresh, login dan refresh, login dan refresh. Sampai boleh masuk dan mula isi.

Tumpu sepenuh perhatian dan isi sebaik mungkin.

Tawakkallah kepada ALLAH., kita dah usaha sedaya mungkin.

Apa yang kita dapat itulah yang terbaik untuk kita.

.


Alhamdulillah saya dapat hospital yang saya inginkan, Hospital Tuanku Fauziah Kangar Perlis. Kalian doa-doakanlah saya ya, saya perlukan doa kalian. Moga saya kuat. Moga ALLAH permudahkan segala urusan kita.



Saya doakan agar ALLAH memudahkan pertempuran anda untuk menjadi seorang doktor yang terbaik buat ummat.

Be a save doctor. Do no harm.


Ini buku-buku yang boleh anda beli untuk persediaan sebelum HO :

1. Handbook Of Clinical Housemanship Procedures : https://invol.co/cl7rueh

2. Pre HOUSEMANSHIP STARTER KIT : https://invol.co/cl7ruer

3. Sarawak Handbook of Medical Emergencies 4th Edition + Drug doses Frank Shann 17th edition : https://invol.co/cl7ruf3

4. Sarawak Handbook of Medical Emergencies 4th Edition (20th Anniversary Edition) : https://invol.co/cl7rufi

5. Be A Happy Houseman (Bahasa Melayu) Dr Noor Hayati Yasmi : https://invol.co/cl7rug8

6. The ECG Made Easy : https://invol.co/cl7rugt


Nak buat cop sebelum masuk HO? boleh buat kat sini saja. saya buat kat sini : https://invol.co/cl7rujp
______

Muhd Iqbal Samsudin
Bakal HO Cabuk
2252, 220120
Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah


1/15/19

12 Cara Elak Jerawat Tumbuh Membiak



Ramai yang sangat suka menjaga kecantikan dan kebersihan wajah.

Jangan salah faham, itu bukan sesuatu yang salah. Tetapi kita boleh terjemahkan usaha itu sebagai tanda syukur kita pada segala nikmat yang ALLAH berikan.

Jagalah, peliharalah sebaiknya rupa wajah yang telah ALLAH kurniakan kepada kita.

Apa yang telah dikurnia, inilah yang terbaik buat kita. Tidak perlu nak jadi cantik flawless persis artis, cuma perlu jaga kebersihan sebaik mungkin.

Semua ini dapat dijaga jikalau kita ada ilmu mengenai penjagaannya.

Saya sendiri yang menulis bukanlah sa-orang yang tulus mulus gebu kulit muka, tetapi ingin berkongsi atas kapasiti ilmu sebagai sa-orang doktor atau graduan perubatan.

Jadi, bagaimana caranya untuk jaga kulit wajah kita agar tak tumbuh jerawat?

Baik, saya akan terangkan satu per satu supaya mudah kita FAHAM dan AMAL ilmu ini.


1) Jaga kebersihan kulit

Kadang kita hairan, dari mana sebenarnya jerawat ni datang? Entah dari planet mana, tiba-tiba mendarat tanpa izin. Siap tumbuh membiak pulak tu. Geram.

Tetapi ketahuilah saudara saudari sekalian, bahawa jerawat ini tumbuh kerana ada bakteria di kulit kita, kebetulan pula masa itu liang pori-lori kulit kita dah tersumbat kerana banyak sangat minyak, dalam bahasa yang lain jarang dicuci. Sebab itulah jerawat tumbuh membiak dengan suka hatinya.


2) Tahu jenis kulit anda

Anda perlu kenal pasti apa jenis kulit muka anda. Kulit yang paling mudah untuk tumbuh jerawat adalah kulit yang berminyak. Minyak itu keluar daripada kelenjar sebaceous dari dalam kulit secara berlebihan. Kawasan yang selalu berminyak adalah kawasan dahi, hidung dan dagu, iaitu kawasan yang digelar T-zone.

Satu jenis kulit lagi yang mudah tumbuh jerawat adalah campuran kulit berminyak dan kulit kering.

Bila anda tahu jenis kulit anda, ia memudahkan anda untuk memilih produk penjagaan muka anda. Kalau tersalah pakai produk penjagaan muka, menggunakan produk yang tidak sesuai dengan kulit anda, ruang liang-liang di wajah anda boleh bertambah tersumbat dan akan buat jerawat tumbuh lebih banyak.


3) Lembabkan kulit anda

Kulit yang kering, boleh mengundang rekahan dan luka pada kulit, dan seterusnya mengundang bakteria membiak membuat jerawat.

Jadi gunakan pelembab wajah. Biar kulit 'stay hydrated'. Pilih pelembab yang 'fragrance-free' dan 'noncomedogenic moisturizers'.

Kerana banyak pelembab yang ada sekarang mengandungi 'oil', 'synthetic fragrance' dan ramuan lain yang boleh menyebabkan jerawat tumbuh lebih banyak.


4) Selalu minum air

Sekurangnya sehari 8 gelas air kosong. Biar badan juga 'stay hydrated'. Jangan minum air manis 8 gelas pula ya.

Kerana kalau badan kita tidak cukup air, ia akan menghantar signal kepada kulit untuk hasilkan lebih banyak minyak melalu kelenjar sebaceous. Bila keadaan itu berlaku maka jerawat akan tumbuh lebih banyak!


5) Hadkan penggunaan make up


Kurangkan memakai make up, kerana penggunaan make up yang banyak, boleh buat liang kulit di muka akan tersumbat hingga boleh buat jerawat tumbuh.

Go au naturel when you can. When you do wear makeup, avoid greasy, heavy foundation, and use products that are noncomedogenic, sheer, and fragrance-free.

Greasy or oily shampoos, body washes, shaving creams, and hair styling products may all cause pimples. To help prevent outbreaks, choose oil-free, noncomedogenic options.


6) Ops, jangan sentuh muka anda selalu

Tangan kita ini seharian memegang bermacam-macam benda. Macam-macam bakteria dan kuman lain yang melekat pada tangan kita.

Bila kita kerap sentuh muka atau garu muka, itu boleh mengundang bakteria berpindah ke muka untuk cetuskan outbreak!


7) Kurangkan pendedahan cahaya matahari

Dalam jangka masa yang singkat mungkin pendedahan cahaya matahari pada muka akan mengeringkan jerawat yang tumbuh.

Tapi dalam jangka masa yang panjang, kerapnya pendedahan kulit kepada cahaya matahari akan buat kulit menjadi kering dan boleh buat kulit jadi berminyak dan buat ruang liang-liang di muka tersumbat.


8) Jangan picit jerawat

Hati memang terasa puas bila memicit jerawat, kan? Haa ambik kau berani tumbuh kat muka aku!


Tetapi kesan seterusnya buat muka akan jadi lebih teruk!

Selepas jerawat itu dipicit, kulit akan berdarah, menginggalkan parut yang teruk dan menyemarakkan jangkitan kuman di muka.

Dalam kebanyakan keadaan, muka akan jadi lebih teruk!


9) Elakkan beberapa jenis makanan

Elak makan 'junk food', jajan-jajan, keropok yang banyak MSG itu. Elak makan makanan yang tinggi 'glycemic diet', makanan yang banyak karbohidrat.

High glycemic foods and beverages such as chips, baked goods made with white flour, and soft drinks spike blood sugar levels and are often less nutritious than low glycemic foods.

The study also found eating dairy (ya, cokelat yang anda suka tu) may trigger pimples.


10) Elakkan stress

Stress tak menumbuhkan jerawat, tapi stress boleh buat jerawat sedia ada akan jadi lebih teruk.

Berzikirlah, banyakan berzikir, kerana pada zikir itu, akan menjemput ketenangan. Fahami setiap zikir yang dizikirkan. InsyaALLAH stress akan mula beransur hilang.


11) Ubah gaya hidup


- Tidur awal, dapatkan tidur yang cukup
- Hadkan pengambilan gula, kurangkan makan manis
- Selalu bersenam
- Minum air kosong secukupnya
- Boleh jadikan Omega-3 sebagai supplement anda
- Selalu cuci muka, sekurang-kurangnya dua kali sehari
- Exfoliate your face. Gunakan skrub wajah sekitar 3 kali seminggu untuk elak jerawat tumbuh, dan gunakan pelembab muka.


12) Urus jerawat anda sebaiknya

Makan makanan berkhasiat, selalu bersenam, kurangkan stress, tak picit jerawat, mulakan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat itu tak boleh dicapai dalam masa sehari. Bila sudah hidup dengan gaya hidup sihat, barulah ia dinamakan 'gaya hidup'.

Jika jerawat makin teruk, pergilah berjumpa dengan doktor pakar dermatology. Mereka akan memeriksa anda sebaiknya dan beri nasihat yang sesuai untuk anda.




_____ Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2345, 150119

8/13/18

Breast Cancer : Hilang Breast Hilang Setia?



Beberapa bulan lepas, tular beberapa tweet saya berkenaan kanser payudara.

Tweet ini tiba-tiba sahaja tular tanpa diduga. Rupanya ada ramai yang tersalah faham dan marah-marah dengan penuh emosi, walhal apa yang mahu disampaikan perkara lain.











Membetulkan semula salah faham netizen.


Berkongsi sedikit dari bacaan jurnal yang dikeluarkan pada tahun 2004 berkenaan kanser payudara.

1) Secara purata, 1 daripada 20 wanita Malaysia menghidap kanser payudara.

2) Turutan tertinggi mengikut bangsa : 

(1) Cina 59.7%
(2) India 55.8%
(3) Melayu 33.9%


3) Umur kebiasaan wanita yang menghidapi kanser payudara adalah antara umur 40-49 tahun. 

50% kes wanita 50 tahun dan ke atas.


4) Simptom yang biasa dirasakan adalah mereka rasa sendiri ada ketulan di payudara.

Saiz ketulan itu secara puratanya sekitar 4.2 cm.

Lazimnya mereka mengambil masa menunggu 3 bulan, sebelum berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan lanjut.


5) Sekitar 60-70% wanita yang mendapatkan rawatan berada pada stage awal kanser (stage 1-2).

30-40% lagi datang dalam keadaan parah, sudah di hujung stage kanser (stage 3-4)

Wanita MELAYU selalunya datang dapatkan rawatan apabila keadaan sudah parah dan sel tumor sudah besar!

Akibat lewat berjumpa doktor atau lewat dapatkan rawatan di hospital, selalunya survival untuk hidup bagi wanita MELAYU jadi lebih rendah berbanding bangsa lain.


Sekian perkongsian berkenaan kanser payudara.

Sakit atau sihat, kedua-duanya ujian buat kita.

Apa yang penting terus usaha dengan cara yang betul.




Kalau rasa ada tanda-tanda awal kanser payudara, boleh terus berjumpa doktor.


Saya abadikan dalam blog ini, agar dapat diluaskan manfaatnya di sini.


Boleh baca berkenaan self-examination breast cancer : http://www.mmgazette.com/pemeriksaan-sendiri-payudara-azizul-ismie/

How to do self-examination for breast cancer : https://www.breastcancer.org/symptoms/testing/types/self_exam

https://www.nona.my/buat-pemeriksaan-sendiri-payudara-psp-ini-cara-caranya-untuk-kesan-kanser-peringkat-awal-di-rumah/



Saya juga pernah menulis berkenaan kanser payudara LELAKI. Jangan ingat lelaki tak berpotensi menghidap kanser payudara!

Jemput baca : http://www.ibnuddin.com/2015/11/simptom-kanser-payudara-lelaki.html

____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt

5/1/18

Organmu Hidup Selepas Mati




Seolah menjadi sesuatu yang ‘taboo’ jika membicarakan dalam masyarakat kita tentang ‘pemindahan dan perdermaan organ’ suatu ketika dahulu. Bahkan hingga kini, ia adakalanya masih menjadi bahan bualan yang agak ‘taboo’ walaupun pencerahan tentang isu ini telah diusahakan oleh pihak-pihak tertentu.

Eh tak mudaratkan orang yang menderma ke? Dia kan masih hidup? Tak haram?” Kata seorang mak cik apabila selepas jirannya mahu mendermakan organ.

Tak boleh, tak boleh. Haram. Ini sudah menyiksa mayat!”Respons seorang pelajar yang baru sebulan bertalaqqi di hadapan dua guru keramat; ‘Ustaz Gugel’ dan ‘Sheikh YuTiub’.

Oleh kerana usaha untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pencerahan daripada sumber autentik tentang sesuatu perkara itu sungguh sukar, tidak ramai yang memilih jalan ini. Yang mudahnya, berkata-kata dan bercakap semberono dengan apa yang tidak kita ketahui. Nampak seakan diri pandai tapi pada hakikatnya membodohkan diri.



Pindah dan Derma

Penciptaan manusia adalah penciptaan kompleks paling terindah dan terbaik kurniaan ALLAH Subhanallah Ta’ala. Jutaan sel dalam badan manusia membentuk sesuatu yang dipanggil organ. Jumlah organ dalam badan manusia pula adalah sekitar 78 organ dan setiap organ itu berbeza saiz, fungsi dan posisinya.

Subhanallah. Maka benarlah firman ALLAH dalam surah az-Zaariyat ayat 21 yang menyoal kita dengan soalan yang merentap aqal fikir kita.


وَفِي أَنْفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu?

Pendermaan dan pemindahan adalah dua perkara yang berbeza. Jika tidak berlaku pendermaan, maka tidak berlakulah pemindahan. Kerana, jika organ atau anggota badan yang diperolehi itu melalui proses jual beli, ianya satu proses yang HARAM menurut jumhur ulama. Organ atau anggota badan manusia sangat mulia, ia bukan untuk diperdagangkan.



Apakah Ia Tidak HARAM?

Banyak pendapat ulama’ kontemporari dan badan fatwa pada hari ini, mengharuskan pendermaan dan pemindahan organ, dengan beberapa syarat yang ketat.

Syarat-syarat itu juga terbahagi kepada dua; pemindahan organ manusia yang sudah mati kepada yang hidup dan pemindahan organ manusia yang hidup kepada yang memerlukan.


Antara syarat pemindahan organ manusia yang sudah mati kepada yang hidup :

  1) Hendaklah orang yang diambil sebahagian daripada anggotanya telah mengizinkannya sebelum dia mati, dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.

  2) Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.

  3) Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan yang lain.

  4) Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.



Manakala bagi syarat pemindahan organ manusia yang hidup kepada yang memerlukan pula adalah :

1) Hendaklah persetujuan memberi itu atas kerelaannya dan bukan dengan paksaan.

2) Hendaklah pemindahan organ itu merupakan usaha yang terakhir serta dalam keadaan darurat bagi mengubati pesakit.

3) Hendaklah dipastikan bahawa operasi mengambil organ dan memindahkannya kepada pesaki itu pada umumnya berjaya menghasilkan faedah yang diharapkan.

4) Janganlah orang yang diambil organnya itu menempuh bahaya yang akan mengganggu keadaan hidupnya yang biasa. Ini adalah kerana kaedah syarak menegaskan bahawa bahaya tidak boleh dihapuskan dengan sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya lain yang sama berat dengannya. Apatah lagi jika bahaya mendatang lebih besar daripadanya. Jika berlaku demikian bererti orang itu mendedahkan dirinya kepada bahaya dan hukumnya adalah tidak harus dari segi syarak.


Lihatlah, ia tidaklah semudah seperti yang digambarkan dalam drama di kaca TV, sang lelaki dermakan matanya untuk kekasihnya demi cinta. Islam tidak meluluskan atau mengharuskan dengan cara yang begitu walau di mata kasar kita  nampak seakan ‘mulia’.

Islam sangat rinci dan teliti dalam membahaskan perkara sebegini. Bahkan perkara ini sudah pun dibincangkan di Tanah Melayu dan sekitar nusantara seperti perdebatan tulisan antara Syed Hussein al-Attas dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang dirakamkan dalam buku ‘Biarkan Buta : Sekitar Perbahasan Ilmiah Derman Kornea Mata’ circa tahun 1970-an lagi.

Institusi yang menyokong fatwa mengharuskan ini adalah Majlis Fatwa Kebangsaan Jun 1970, Lajnah Fatwa Al-Azhar (Fatwa 491), Darul Ifta’ Mesir (Fatwa 88/212), Majlis Ulama Indonesia (29 Jun 1987), Lajnah Fatwa Kebangsaan Jordan dan Hai’ah Kibar Ulama Kerajaan Arab Saudi (nombor keputusan 99).

Ulama’ yang senada dengan pendapat yang mengharuskan pula adalah Bekas Mufti Republik Mesir Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Mantan Syeikh Al-Azhar Syeikh Jada al-Haq Ali Jada al-Haq, Syeikh Abdul Rahman As-Sa’di, Syeikh Ibrahim Al-Ya’qubi, Dr. Rauf Syalabi, Dr. Abdul Jalil Syalabi, Dr. Mahmud Ali Al-Syartawi, Dr. Hashim Jamil Abdullah dan Prof. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Ada juga pendapat ulama’ yang mengharamkan, dengan hujah ampuh masing-masing dan memang mereka ahli dalam berijtihad. Perbezaan ini bukan sebagai modal untuk berbalah dan berpecah, tapi untuk perbahasan ilmu ini bercambah. Antaranya Syeikh Abdullah bin al-Sadiq al-Ghumari, syeikh Muhammad Mutawali Sya’rawi, Dr. Hasan Ali Al-Syazili, Dr. Abdul Salam Abdul Karim Al-Sukkari, Syeikh Muhammad Burhanuddin Al-Sambohli dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Namun begitu, kita di Malaysia masih tetap berpegang dengan pendapat Majlis Fatwa Kebangsaan negara kita yang mengharuskan.



Hidup Selepas Mati

Dengan keluasan ilmu dan fikiran menjangkau masa yang dikurniakan oleh ulama kita dahulu hingga kini, pendapat yang mengharuskan ini membawa banyak maslahah dan kebaikan untuk orang awam terutama pada masyarakat berbilang bangsa di negara kita.

Dari keadaan itu juga membuatkan perbahasan seputar isu ini makin bercambah. Bolehkan kita mendermakan organ kepada orang bukan Islam? Bolehkah menerima derma organ daripada seorang kafir? Apakah boleh dilakukan derma testis (bahagian yang mengeluarkan sperma)? Dan banyak lagi persoalan-persoalan lain yang timbul.

Segala persoalan-persoalan tersebut telah pun dijawab dengan tuntas oleh para ulama kita, tinggal kita pulalah untuk berkerah kudrat untuk membaca dan memahaminya.

Oleh sebab itu tulisan ini tidak terlalu disesakkan dengan perbahasan dalil dan kaedah-kaedah fiqh yang mendalam, supaya mudah ditatap oleh pembaca awam. Tulisan kecil ini bolehlah dijadikan sebagai penyemarak semangat untuk meneruskan pembacaan dan pembelajaran lagi dalam bab ini.

Mungkin hari ini, amalan menderma organ dan anggota badan ini masih agak langka dan ‘taboo’ (terutamanya bagi bangsa Melayu) dalam masyarakat kita. Namun, jika kesedaran menyelamatkan nyawa orang lain ini dimulakan dengan kita masing-masing mendaftarkan diri menyatakan ikrar derma organ, maka tidak mustahil amalan ini mampu merebak sedikit demi sedikit, seterusnya akan membuatkan amalan ini tersebar luas.

Sesuatu kebaikan ini, adakalanya tidak perlu pun cakap yang berhambus kencang, tapi cukup tingkah laku kita sendiri yang berkata-kata dan menjadi contoh buat orang lain.

Bayangkan, betapa mulianya amalan derma organ ini. Tatkala nyawa sang jasad sudah kembali ke pangkuan Tuhan untuk bersemadi di daerah abadi, organ dan anggota jasad yang masih elok berfungsi meneruskan ‘hidup’ untuk berfungsi di jasad orang lain. Manfaat fungsinya diteruskan. Jariahnya masih kekal berjalan menjana pahala buat sang penderma.

Ya, organ itu masih hidup selepas mati!

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ

“…dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…

[Surah Al-Maidah (5) : Ayat 32]














Rujukan :

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pemindahan & Pendermaan Organ, UPSN Publications, Cetakan Pertama, April 2012

Syed Hussein AlAttas, Biarkan Buta : Sekitar Perbahasan Ilmiah Derma Kornea Mata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Cetakan Pertama, 2015

Rakaman Video Perbahasan Derma Organ Dalam Islam yang disampaikan oleh Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.





Muhd Iqbal Samsudin
2202, 300418
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.