5/11/26

TINGGALKAN DUNIA SEBELUM MENINGGAL DUNIA

 Teman-teman berniaga adakala bertanya, 


"Dr tidoq malam-malam okay ka, bisnes banyak-banyak tu selalunya payah nak tidur?"

.

Jawab saya, "alhamdulillah saya mudah tidoq, lena elok."

.

"Macam mana doktor buat, saya punyalah serabut, setiap malam memang payah nak tidoq sebab pikiaq pasai bisnes."

.

"Dunia letak tepi, jangan letak dalam hati."

.

Senyum.

.

Tambah saya lagi, 

.

"Serabut banyak-banyak dengan perkara dunia ni, akhirnya kita tak bawa mati pun. 

Dunia sekadarnya saja, jangan biar dia ganggu hidup dan akhirat kita. 

Ambil sekadarnya. 

Usaha setakat terpaling habis mampu, dan serahkan kepala ALLAH. 

Kalau kita kaya sekali pun bukan sebab kita hebat, tapi asbab ALLAH yang bagi, DIA yang punya. 

Apa-apa yang DIA bagi, bila-bila pun DIA boleh tarik balik. "

.

Nampak mudah. 

Tapi perlukan guru dan latihan hati.

Buat setiap hari.


*  *  *


وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ ٧٧


"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; 

dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-NYA yang melimpah-limpah); 

dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; 

sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


5/3/26

BISNES YANG MUTAGHAYYIRAT

Jual beli akan berlangsung setiap hari hingga kiamat.

Selagi ada jual beli, selagi itulah akan adanya perniagaan.

Proses jual beli yang sama itu, tetap akan sama.

.

Yang berubah adalah;

- platform jual beli

- cara orang jual belil

- matawang orang berjual beli

.

Inilah mutaghayyirat. Bisnes adalah aktiviti menarik dan akan sentiasa berubah sepanjang masa.

Semakin maju dunia, akan makin cepat perubahan akan berlaku.

.

Yang tetap kekal?

yang cepat sesuaikan diri atau adapt dengan peruabahan yang berlaku.

inilah peran usahawan yang sebenar.

.

Kalau dirasakan runsing dengan bisnes kerana kerap berubah-ubah, pekerjaan lain juga akan berubah-ubah skop dan jenis kerja mengikut peredaran zaman.

.

Tapi mungkin bisnes lebih cepat. Siapa terlambat, maka akan tertinggallah dan akan merudum dengan cepat.

.

Hakikatnya yang tak berubah hanya satu;

SANG PEMBERI REZEKI.

ALLAH SWT.

.

Taqwa adalah kunci besar bagi rezeki.

Jaga hubungan dengan ALLAH, Jaga hubungan dengan manusia, jangan zalimi sesiapa.

Cari jalan rezeki yang barakah.

.

Barakah tak semestinya banyak.

Tapi pasti melimpah ruah rahmat yang diterima.


________

- Dr. Muhd Iqbal Samsudin

1140, 030526

KLINIK RIZ ARAU


4/26/26

AKU INGIN MENULIS LAGI

 "Hanya penulis yang sibuk yang boleh mampu menulis lebih banyak."


Aku pernah menerima kata-kata ini dari sa-orang penulis.


dan ia benar.


makin lapang masa, makin tak tertulislah perkara.


namun apabila kian sibuk, makin sempatlah kita menulis.


kerana saat kita sibuk itu, otak dan naluri menulis berjalan dengan lebih lancar dan gencar.


cumanya apabila sibuk itu benar-benar sibuk hingga tiada rencana untuk menulis dalam kesibukan itu, maka tak akan dapatlah menulis juga.


contoh tatkala aku menjalani latihan doktor siswazah atau houseman dahulu.


aku tak suka momen itu dan aku tak masukkan rencana menulis saat itu, lalu aku tak banyak menulis ketika itu.


ditambah pula ketika itu memang mental dan fizikal badan dikerah disemaksimum mungkin, memang teruk beban otak.


semalam ketika aku menulis satu manuskrip novel terbaharu, aku menangis teresak-esak kerana penutup novel itu sungguh menyedihkan, air mata tak henti senyap-senyap mengalir menulis garis lurus di pipi.


perasaan menulis seperti itu sudah lama tidak aku rasakan, dan aku begitu bahagia begitu.


dan aku ingin selalu menulis lagi dan lagi.


aku ingin merakam segala yang terjadi dalam tulisan.


aku ingin menulis perkara-perkara yang bermanfaat buat insan lain.


semangat ini yang aku perlu untuk menulis lagi dan lagi.



- Dr. Muhd Iqbal Bin Samsudin

1141, 260526

KLINIK RIZ ARAU

ROMANSA NAN HILANG

 Aku pernah beromansa dalam tulisan.


aku tidak pernah menuliskan kata-kata romansa

kerana romantis itu aku, 

dan aku hanya menuliskan aku


namun romantis aku tidak diterima

sering kali tidak dihargai

sering kali di salah erti

sering kali dipandang sebelah mata

sering kali dihinakan


lalu aku pun berhenti menjadi romantis

dan aku tidak lagi menuliskan aku


apabila ditanya,

"kenapa tiada romantis lagi dalam tulisanmu seperti dulu?"


aku hanya senyum


romansa yang separa layu di dalam hati

masih lagi memendam rajuk


aku menunggu 

hingga kini

siapa lagi insan

yang akan datang untuk menyiram

dan menyegarkan sang romansa yang layu

dan sedang terbungkam rajuk



- Dr. Muhd Iqbal Samsudin

1120, 260426

KLINIK RIZ ARAU



4/9/26

Salahkah Biar Bini Tengok Netflix Lama-lama? ULASAN SUDUT KESIHATAN

Salahkah Biar Bini Tengok Netflix Lama-lama?

Ini bukan dari sudut agama, tapi dari sudut kecil kesihatan.

.



Kadang-kadang kita nampak situasi yang nampak ‘simple’, isteri duduk rumah, buka Netflix, rehat, layan drama. 

Dari luar, nampak macam harmless. 

Malah, ada yang rasa itu bentuk “me time” yang patut diraikan. 

Dan memang betul, rehat itu penting. 

Tapi kalau perkara ini jadi rutin harian tanpa kawalan, dari sudut kesihatan sebenarnya ada beberapa kesan yang kita kena ambil serius.

.

1) METABOLISME MENURUN DAN PERLAHAN

Bila seseorang banyak habiskan masa dalam keadaan duduk atau baring, badan kita sebenarnya banyak berada dalam keadaan ‘low activity mode’. 

Metabolisme kita jadi perlahan, penggunaan tenaga menurun, dan lama-kelamaan boleh menyumbang kepada PENINGKATAN BERAT BADAN. 

Ini bukan sekadar soal fizikal atau rupa, tetapi berkait rapat dengan RISIKO PENYAKIT seperti kencing manis, darah tinggi, dan kolesterol tinggi. 

Kita selalu bayangkan penyakit-penyakit ini datang bila umur dah meningkat, tapi hakikatnya sedentary lifestyle bermula lebih awal daripada itu.

.

2) SLEEP CYCLE TERGANGGU DAN HURU HARA

Dalam masa yang sama, tabiat menonton secara berpanjangan, terutama waktu malam, boleh ganggu kitaran tidur. 

Skrin telefon atau TV mengeluarkan cahaya biru yang mengurangkan hormon melatonin, iaitu hormon yang membantu kita tidur. 

Jadi, walaupun badan penat, otak masih aktif. 

Akhirnya tidur lewat, bangun pagi rasa lesu, dan mood pun boleh jadi tak stabil. 

Yang ni ramai suami mungkin pernah perasan, bukan sebab apa, kadang-kadang emosi pun terkesan tanpa kita sedar puncanya.

.

3) MENTAL HEALTH (MOOD FLIP FLOP TURUN NAIK, KERAP OVERTHINKING)

Dari sudut mental pula, menonton terlalu banyak kandungan emosi, terutama drama berat, boleh beri kesan psikologi. 

Otak kita sebenarnya memproses emosi dalam cerita seolah-olah ia real. 

Bila terlalu kerap terdedah kepada konflik, kesedihan, atau tekanan dalam cerita, ia boleh menyumbang kepada rasa cemas, overthinking, atau emosi yang turun naik. 

Tambahan pula kalau menonton seorang diri tanpa interaksi sosial yang seimbang.

.

4) MINDLESS EATING, MAKAN TAPI TAK SEDAR KITA MAKAN

Satu lagi perkara yang jarang kita bincang ialah ‘mindless eating’. 

Bila fokus kita pada skrin, kita cenderung makan tanpa sedar kuantiti sebenar. Snek ringan jadi berat, minuman manis jadi kebiasaan. 

Lama-kelamaan, ini menyumbang kepada lebihan kalori tanpa kita sedar langsung. 

Tiba-tiba berat naik, tapi rasa macam, ‘ehhh aku makan biasa je’.

Namun begitu, ini bukan bermaksud menonton Netflix itu salah. 

Hiburan itu perlu juga sesekali. 

Rehat itu penting. 

Cuma dalam apa juga perkara, keseimbangan itu kunci. 

.

5) KURANG INTERAKSI SOSIAL DAN PERGERAKAN FIZIKAL

Manusia ini secara fitrahnya perlu BERCAKAP-CAKAP dengan orang lain dan perlu BERGERAK. 

Apabila mula menongkah norma ini, segalanya akan mula jadi nadir.

Sedikit pergerakan fizikal, sedikit aktiviti luar rumah, sedikit masa tanpa skrin, semua ini membantu badan dan minda kekal sihat.

Akhirnya, isu ini bukan tentang “bini tengok Netflix sangat”, tapi tentang gaya hidup secara keseluruhan. 

SUAMI pun sama juga, bukan bini sahaja yang perlu diambil kisah tentang soal ini. Tak perlu halakan kepada satu pihak. Ini soal kesihatan bersama.

Kalau kita boleh ubah sedikit, mungkin tambah 20–30 minit berjalan, buat a

ktiviti bersama, atau sekadar keluar ambil udara segar, kesannya besar dalam jangka panjang.

Netflix tu tak salah. 

Yang bahayanya bila episod habis, tapi sambung lagi ‘last episode’ sampai subuh. 🤣🤣🤣

Ketagihan perembesan hormon dopamine tanpa kita sedar.

.

______

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Klinik Riz Arau

0943, 090426