Showing posts with label Duhai Teman Ayuh Menuju Tuhan. Show all posts
Showing posts with label Duhai Teman Ayuh Menuju Tuhan. Show all posts

7/4/18

Hitam Tak Pernah Mencerahkan


Pengisian jiwamu, hatimu, batinmu yang terlanjur kosong, dengan cara hakiki,
bukanlah dengan ‘isian-isian’ hitam
di ‘lorong-lorong’ hitam.

Tapi dengan isian-isian Nūr
di sumber-sumber Nūr nan cerah.

Jangan sama sekali kau dalihkan, tidak pernah hitam itu mencerahkan.



_____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt

27062018

5/28/18

Dosa Setinggi Awan


Q&A : Dosa Setinggi Awan


Cikgu kalau saya buat dosa lepastu saya taubat...lepastu saya buat dosa...Allah akan maaf kan dosa saya ke cikgu kalau saya taubat 2 kali?

____



Jawapan :



1. Terima kasih atas pertanyaan ini. Pertanyaan ini secara indirect ALLAH ingin tegur juga kepada insan yang ditanya macam saya, supaya selalu bertaubat.



2. Pertanyaan ini juga buat saya teringatkan hadith terakhir (hadith ke-42) dalam kitab hadith 40 susunan Imam an-Nawawi. Kalau adik nak baca pun boleh, cari dan download pdf hadis 40 atau boleh beli di mana-mana kedai buku.


حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik ia berkata; saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata:

 Allah tabaraka wa ta'ala berfirman: 

"Wahai anak Adam, tidaklah engkau berdoa kepadaKu dan berharap kepadaKu melainkan Aku ampuni dosa yang ada padamu dan Aku tidak perduli, 

wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu niscaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. 

Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan kepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak mensekutukan sesuatu denganKu niscaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi."

[Hadith Riwayat Tirmidzi]





3. Hadith ke-42 ini merupakan hadith qudsi; bermakna ini firman ALLAH sendiri, tetapi disampaikan lafaznya daripada Rasulullah.


4. ALLAH tak kejam. ALLAH cipta kita, DIA sangat tahu bagaimana kondisi hamba-Nya.


5. Oleh itu, ALLAH memberikan harapan dan rahmat besar buat seorang pendosa. Betapa ALLAH memperlihatkan bahawa DIA bersifat dengan al-Ghafūr, iaitu sangat-sangat maha pengampun!


Antara yang ALLAH sebut dalam hadith ini,

"...Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit  kemudian engkau memohon ampun kepada-KU, nescaya Aku akan ampunkan dosamu dan AKU tak peduli..."



6. Ketahuilah bahawa taubat ini ada syarat-syaratnya.

 1- Meninggalkan dosa-dosa itu.
 2- Menyesal sedalam-dalamnya.
 3- Berazam sungguh-sungguh untuk tidak mengulangi lagi dosa.

Seterusnya, kalau dosa yang dilakukan melibatkan dengan manusia, perlulah diselesaikan minta maaf dengannya.



7. Kita berjalan dalam dunia ini makin hari akan berat ujian yang akan ditimpakan kepada kita.

Berjalan dengan khauf dan raja'. Khauf itu takut kepada ALLAH. 

Dan dalam masa yang sama raja' iaitu berharap yang baik-baik kepada ALLAH.


ALLAH juga berfirman dalam satu hadith qudsi :

"AKU bersama dengan sangkaan hamba-KU terhadap-KU. Maka bersangkalah terhadap AKU sebagai mana yang dikehendaki."


Tatkala terjatuh, bangun semula. Bersangka baik dengan ALLAH. Semuanya pasti berhikmah, walaupun hari ini belum kita tahu apa hikmahnya.



8. Yakin pada ALLAH, pada setiap taubat yang ikhlas dan bersungguh-sungguh itu pasti ALLAH akan terima. Ya walau berapa kali sekali pun kita terjatuh dalam lubang dosa.

Saya petik kata-kata Imam Ibn 'Aththar (murid kanan Imam Nawawi) ketika mensyarahkan hadith ke-42 ini :

"Sekiranya manusia melakukan perbuatan (dosa) seperti ini setiap hari secara berulang kali, lalu dia bertaubat memenuhi syarat-syaratnya, sesungguhnya ALLAH mengampunkannya!"





Wallahua'lam





_____

Muhd Iqbal Samsudin

5/15/18

Konfrontasi


Telah ramai yang kutemui berkata kepadaku, 

“Aku menyesal lari dari masalah. Lepas lari, aku jumpa masalah yang lebih besar!”

Akhirnya dari hanya satu masalah menjadi dua masalah. Bahkan adalanya bertambah ganda masalah baru yang menimpa.

Kebanyakan masalah, jangan sama sekali lari. Berdiri di hadapannya dan selesaikan segera. Confront immediately.

Namun ada juga beberapa masalah yang kita tak boleh selesai segera, kita biar keadaan stabil dahulu, tapi tetap jangan lari! Lepas stabil kita berdepan selesaikan.

Setiap masalah yang pernah hadir, setiap resah yang pernah bermandir, terselit pelajaran besar untuk kita belajar mentadbir diri.

Kerana itu hidup ini untuk kita sentiasa ambil pengajaran!

Jangan biar hidup berlalu tanpa kita belajar sesuatu.

____

Muhd Iqbal Samsudin 
110518

#ibnuDDin #NotaDiri

4/28/18

Syurga Percuma!



SYURGA itu memang percuma!

Yang kaya, yang miskin, semua mampu masuk ke dalamnya.

Semua orang punyai modal yang sama untuk berkunjung ke sana, tapi tak semua orang tahu dan mampu gunakan modal tersebut!


Kita tidak beli SYURGA menggunakan wang ringgit atau apa jenis mata wang sekali pun.
Kerana jual beli antara sang hamba dan Rabb-nya istimewa!

Nilainya tiada nilai yang setara dengan harta material dunia.

Kecuali dengan nilai JIWA dan HARTA, yang dilaburkan pada perjuangan di jalan ALLAH. Hanya ketinggian nilai yang semacam itu saja yang akan ‘laku’ di sisi ALLAH.

Selamat berjual beli, teman. 


.
۞ إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang yang beriman akan JIWA mereka dan HARTA benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh SYURGA,

(disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.

(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran;

dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada ALLAH?

Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

[Surah at-Taubah (9) : Ayat 111]

_____
Muhd Iqbal Samsudin

2/16/18

Emosi dan Egois




Telah aku temukan, ramai insan yang bijak-bijak, rajin-rajin dan berilmu, bahkan ada antara mereka yang rapat dengan ulama'.

Namun apabila bergaulnya mereka dalam masyarakat yang berbeza-beza pegangan dan darjat pendidikan, mereka kalah. Ilmu dan kebijaksanaan mereka tidak dapat membantu mereka untuk 'masuk' dalam lingkungan perbezaan. Perbezaan yang sepatutnya diraikan dan dihormati, akhirnya menjadi tragedi pergaduhan.

Khabarkan padaku duhai teman, apabila insan-insan bijak dan punya ilmu ini terlibat dalam permusuhan dan persengketaan, pada siapa lagi kita boleh harapkan?

Ilmu-ilmu segudang banyak dan kepintaran setinggi mentari akhirnya tewas hanya kerana EGOIS dan EMOSI. Dengan ditambah talbis sang iblis, ilmu-ilmu di dada 'dibiliskan', kepintaran di otak di bekukan.

Sudahnya jadi sama dengan insan lain yang tidak punya ilmu dan tidak punya pintar.

Walhal ALLAH menyebutkan yang berilmu pasti tidak sama dengan yang tidak berilmu, yang celik tak sama dengan yang buta.

Duhai diriku dan teman sekalian, kita tidak punya masa untuk bergaduh balah dalam keadaan kondisi umat kian membarah.

Jangan kita lupa nilai-nilai insani yang perlu dihormati.

Jangan kita tewas dengan EGOIS dan EMOSI lagi.

Sesaat kita berbalah dan berpecah, sudah menjadi kerugian besar buat segenap dunia dan membuka ruang pada pihak yang jahat untuk merosakkan agama kita.

Kita kuat kerana kita tidak berseorangan. Kita ada 'kita'.

Tamadun yang hebat tak akan bangkit dari tidurnya jika yang hebat hanya sebatang tubuh.

Tetapi jikalau jiwa-jiwa yang mengisi tamadun itu hebat dan besar, kemudian bersatu hati, tamadun yang gilang gemilang akan bingkas bangun membangunkan dan memakmurkan dunia ini dengan penuh keagungan rahmat.



______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1944, 150218

5/11/17

Dia Saiz Lain, Kita Saiz Lain




Ada sepasang kasut yang sangat cantik kita berkenan tumbuh indah mekar di hati. Saiznya sepadan dan harganya pun berpatutan!

Lalu, di satu sudut kita melihat ada seseorang sedang cuba memakai sepasang kasut yang kita berkenan itu, elok saja dia pakai, terdengar dia berkata, "Ah, sakitlah pakai kasut ini, bawakan kasut lain yang lebih besar."

Kita yang melihatnya pun tercetus di fikiran untuk terus membuat satu keputusan, 'Aku pun tak mahulah kasut yang serupa macam itu, nanti sakit!'

____

Teman, bagus kiranya jika kita mahu belajar daripada kesilapan orang lain.

Tapi adakalanya kita salah membanding tara dengan orang lain. Bandingan yang kita buat boleh jadi bandingan yang ralat dan tidak tepat.

Barangkali orang yang kita bandingkan itu kakinya saiz 9, apabila dia tersilap memakai saiz 7, sudah pastilah ketat dan menyakitkan.

Tetapi kita yang saiz 7 ini, terus terburu-buru buat keputusan dengan bandingkan dengan orang itu. Akhirnya salah membuat keputusan dan lama kelamaan setelah difikirkan, penyesalanlah yang banyak bertandang di fikiran.

Jangan terburu-buru. Tahu keadaan diri dahulu, timbangkan baik-baik.

Kemudian, buatlah keputusan dengan bijak dan adil.



~ ALLAH jua sebaik-baik pemberi petunjuk. 😇

#DiaSaizLainKitaSaizLain
#DuhaiTemanAyuhMenujuTuhan


_____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1845, 100517

12/2/16

Tip-tip Menangani Pengaruh Rokok



 Tip-tip Menangani Pengaruh Rokok

_____


Hukum dan fatwa merokok sudah tersebar luas di pelosok dada akhbar dan pelosok dada-dada umat Islam.

Jelas, ianya HARAM.

Lebih jelas lagi, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia kali yang ke-37 pada 23 Mac 1995, telah memutuskan, tabiat merokok itu HARAM mengikut pandangan Islam.

Demikianlah lumrah barang yang Haram, makin diharamkan makin dicari, makin suka diguna.

Yang sudah terjebak dalam jerat  ketagihan rokok, selalu kita dengar daripada mereka, "Aku sudah terjebak, sudah terlajak, payah untuk berhenti. Engkau jangan berani cuba-cuba."

Kata-kata itu daripada kebanyakan mulut perokok tegar sendiri. Sudah terjebak, sudah terlajak. Tiada daya lagi.

Baik, dengan rendah hati, kami berikan beberapa tip untuk menangani pengaruh rokok, agar kita sama-sama kuat mengelak dan menangani pengaruh buruk ini.


____


Tip 1 : Pelihara Fungsi Aqal


Pepatah Melayu menyebut, "Mengikat binatang dengan tali, mengikat manusia dengan aqalnya."

Sebagaimana tali mengikat binatang supaya tidak berkeliaran lari, aqal manusia mengikat diri agar tidak terlepas mengikut hawa nafsu.

Aqal yang dipelihara, yang dijaga fungsinya, akan mengenal yang baik dan yang buruk. Lalu, aqal yang terpelihara itu tidak sewenang-wenang mudah membuat perkara yang ditafsir buruk, kerana fitrah dan fungsi asalnya hanya berpihak pada yang baik-baik.

Bahkan dalam maqasid syariah sekali pun, memelihara aqal itu amat dititik-beratkan dan berada diletakkan bersama memelihara agama, nyawa, harta dan nasab.

Dalam buku Falsafah Hidup, HAMKA menukilkan, "Orang yang berakal ialah orang yang mendapat inayat dari Allah (S.W.T). Barangsiapa mendapat inayat demikian, lebih kaya dia dari milioner. Sebab dari batinnya itulah memancar cahaya hidayah Rabbaniya. Hatinya penuh dengan kebijaksanaan, sangkanya baik, pengharapannya benar. Orang lain melihat sesuatu dari kulitnya, sedang dia (melihat) sampai ke dalam isinya. Sukar dia tergelincir dengan sengaja."

Dan, pada orang-orang beraqal dan sentiasa terpelihara fungsi aqalnya itu, ada tanda-tandanya.

Memetik kata-kata HAMKA lagi, "Orang yang berakal, luas pandangannya pada sesuatu yang menyakiti atau yang menyenangkan. Pandai memilih perkara yang memberikan manfaat dan menjauhi yang akan menyakiti. Dia memilih mana yang lebih kekal walaupun sulit jalannya daripada yang mudah didapati padahal rapuh. Sebab itu mereka pandang keutamaan akhirat lebih dari keutamaan dunia. Lebih mereka utamakan kegembiraan kesopanan daripada kegembiraan hawa nafsu. Mereka menimbang biarlah susah menempuh suatu perkara yang sulit asal akibatnya baik, daripada perkara yang mudah tetapi akibatnya buruk."

Terlintas pula di benak kita, lalu bagaimana kita mahu memelihara fungsi aqal kita?

Secara ringkasnya dengan tiga perkara ini, aqal kita akan dapat dijaga dan dipelihara.

Pertama, dengan menuntut ilmu yang benar. Kerana dengan ilmu, aqal kita akan sentiasa diguna dan diasah. Bahkan ilmu jugalah antara yang dapat memandu keputusan aqal.

Kedua, merenung setiap ciptaan dan kekuasaan Allah, kerana dengan dengan renungan mendalam, kita akan dapat berfikir, meneliti, dan menyelidik sarwa alam ini. Dengan itu, aqal kita akan lebih luas berdamping dengan kekuasaan Allah, dan membawa kita jadi lebih kuat keyakinan pada Allah dan Rasulullah.

Ketiga, tidak sesekali masuk ke jebak maksiat. Kerana sekali diri sudah terlarut dalam kongkongan maksiat, aqal jadi sedikit demi sedikit tunduk dan merelakan perbuatan maksiat itu. Akhirnya, fungsi aqal punah, dan sukar buat diri untuk berpatah balik.



____

Tip 2 : Penuhi Dada Dengan ILMU



Imam al-Ghazali menyifatkan aqal itu sebagai sumber ilmu, tempat timbul dan sendi ilmu. Ilmu itu berlaku daripada aqal sebagaimana berlakunya buah-buahan daripada pohon kayu, sinar daripada matahari dan penglihatan daripada mata.

Dengan aqal yang dipelihara fungsinya, ilmu akan mudah dirangkul dan lebih membantu diri menilai yang manakah ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang bathil.

Rasullullah sallallahu 'alaihi wasallam, dalam satu hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad, mengajarkan kepada kita satu doa,

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Maksudnya, "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima."

Daripada ilmu yang benar dan bermanfaat itu, maka terlahirlah satu rasa dan perasaan yang tulen daripada ilmu; iaitu perasaan takut kepada Allah.

Saidina Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu'anhu, sahabat Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam pernah berkata,

ليس العلم بكثرة الرّواية، إنّما العلم الخشية

"Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah."

Dan kata beliau lagi,

رأس الحكمة مخافة اللّه عزّ و جلّ

"Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah 'Azza wa Jalla."

Kata Imam Malik radhiyallahu'anhu, "Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengan siapa yang dikehendaki-Nya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah."

Oleh itu, dengan perjuangan memenuhi dada dengan ilmu, dapat menatijahkan hakikat ilmu itu sendiri; iaitu takut kepada Allah.

Dengan takut itulah terbinanya Taqwa yang memandu hidup kita menolak segala maksiat dan perkara haram, seterusnya terus membawa kita destinasi abadi menuju syurga.




____

Tip 3 : Memilih Kawan Yang Betul


Bahagian ini adalah perkara yang penting dalam pergaulan kita.

Kita berkawan-kawan dengan semua orang, namun dalam berkawan-kawan itu, ada dalam kalangan mereka, kita akan buat sebagai kawan karib, merangkap sahabat kita, yang akan kita rapat dan akan ikut jejak mereka. Dalam perkara ini, kita perlu memilih dengan cermat.

Kerana sebagaimana agama sahabat-sahabat kita, seperti itu jugalah keadaan agama kita.

Sabda Nabi sallallahu'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi,

َ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

"Seseorang itu akan mengikuti agama temannya, kerananya hendaklah salah seorang di antara kalian mencermati kepada siapa dia berteman."

Bahkan, jika kita bersama dengan sahabat-sahabat yang punya ilmu dan peribadi yang luhur, lama kelamaan ia akan memberikan kesan kepada diri kita.

َ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa daripada bapanya radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

"Perumpamaan orang yang bergaul dengan orang soleh dan orang yang bergaul dengan orang buruk seperti penjual minyak wangi dan tukang tempa besi,

Pasti kau dapatkan dari pedagang minyak wangi apakah kamu membeli minyak wanginya atau sekedar mendapatkan bau wangiannya,

sedangkan dari tukang tempa besi akan membakar badanmu atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap".

[HR Bukhari 1959]



Malah, Syeikh al-Imam Abu Hasan as-Syazili radhiyallahu 'anhu juga ada menitipkan nasihat buat kita :

Kekasihku(guru) berpesan kepadaku, "Janganlah engkau mendatangi (suatu tempat) melainkan untuk mendapatkan pahala Allah Ta'ala;

Janganlah engkau hadir melainkan engkau aman dari maksiat kepada Allah Ta'ala;

Janganlah berteman kecuali dengan orang yang dapat membantumu dalam melalkukan ketaatan kepada Allah Ta'ala; dan

Janganlah memilih teman rapat kecuali kepada orang yang dapat menambahkan keyakinanmu, sedang mereka itu sedikit."

Berkata lagi, "Orang yang menunjukkanmu  kepada dunia bererti ia telah menipumu, yang menunjukkanmu kepada amal bererti ia membuatmu letih, dan orang yang menunjukkanmu kepada Allah Ta'ala bererti ia telah menasihatimu dengan baik."

Lalu timbul pula persoalan yang melonjak lompat dari benak kita, "Bagaimana jika kami kini tercampak di tempat orang-orang yang tiada langsung orang-orang yang baik-baik?"

Jawapannya mudah, namun praktikalnya agak memeritkan.

"Kuatkan jiwa dan jasadmu. Jadikan dirimu pemula. Pemula orang baik yang melahirkan lebih ramai orang-orang yang lebih baik."

Senyum.


____


Tip 4 : Berani Mengatakan Tidak



Banyak situasi yang kita lihat, apabila kita didesak dan terus didesak, kita jadi makin lemah, lalu syaitan pula jadi kuat sama-sama bertepuk sama kuat bersama dengan pembawa obor kegelapan.

Kita banyak akur dan merelakan. Kebaikan dalam diri tidak mampu memberontak untuk buat lidah dengan tegas mengatakan "Tidak!".

"Tidak" itu amat berkuasa dalam melawan. Bahkan mampu melenyapkan ajakan-ajakan kegelapan.

Namun tanpa komponen 'Berani', tidak itu tidak mampu diungkap dengan mudah.

Dan, berani mengatakan "Tidak" pada perkara mungkar dan haram itu, terlahir dari keutuhan iman. Apabila iman sudah luntur, makin lunturlah keberanian itu.



____

Tip 5 : Berani Meninggalkan



Adakala kita sudah berani, tetapi ajakan syaitan dan sekutunya jauh lebih kuat.

Dicuba berkali-kali mengungkapkan "Tidak" tetapi pada setiap berkali-kali itulah mereka makin kuat mengajak dan menolak-nolak ke curam penuh noda itu.

Maka saat itu, berani kita harus dihala ke keberanian yang lebih tinggi; dengan meninggalkan tempat-tempat yang mudah membuat kita terjebak dengan perkara-perkara haram itu.

Berani keluar!

Dibawa sekali lagi ungkapan Syeikh al-Imam Abu Hasan as-Syazili radhiyallahu 'anhu,

"Janganlah engkau mendatangi (suatu tempat) melainkan untuk mendapatkan pahala Allah Ta'ala..."

Jikalau tempat yang kita pergi dan duduki itu tidak mampu membawa kita pada mendapatkan pahala bahkan membawa pula kita ke arah menghasilkan dosa, maka tinggalkanlah tempat itu. Tinggalkan. Ianya berbaloi, percayalah. Usahakan segera.

Beranilah keluar dari lingkungan itu, walau sayang kita pada tempat itu kadangkala melebihi segalanya, tetapi ingatlah cinta kita pada Allah dan Rasul-Nya, harus lebih besar melebihi segala.

Sekali lagi, beranikan dirimu untuk keluar!



_____

Ayuh tinggalkan rokok, tinggalkan pengaruh rokok.



Di pengujung ini, ingin dikhabarkan pada sekalian hamba-hamba Allah sekalian, tinggalkanlah puntung-puntung rokok di celah jarimu dan di celah-celah bibirmu itu.

Tuhan amat menyayangi hamba-hamba-Nya, dan disuruh kepada kita agar tidak mudah-mudah mencampakkan diri kita ke lembah yang penuh dengan kebinasaan.

Nasihatkan diri sendiri. Nasihatkan orang di sekeliling kita.

Buat insan yang sudah berjaya meninggalkan tabiat merokok ini, bimbinglah, bantulah orang-orang di sekeliling untuk mereka juga sama-sama berjaya berhenti meninggalkan rokok.

Mana tahu, boleh jadi, dengan asbab kuatnya mujahadah kita meninggalkan perkara haram ini, dengan asbab satu nasihat kita agar tinggalkan rokok ini, Allah melebarkan rahmat-Nya dengan menjadikan kita ahli tetap syurga, selama-lamanya.


_____


Wallahua'lam.

Moga tulisan ini jadi tulisan yang bermanfaat hingga akhirat.



_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1459
021116

11/27/16

Tip-tip Menjemput Keberkatan Masa



[Tip-tip Menjemput Keberkatan Masa]



Selalu kita lupa bahawa masa itu juga merupakan makhluk Allah.

Bahkan, kita sendiri yang diciptakan sebagai ciptaan paling sempurna turut diletakkan bersama dalam perjalanan makhluk masa ini.

Keberkatan masa bermaksud boleh melakukan banyak perkara dalam waktu yang singkat. Allah Subhanallah Ta'ala permudahkan urusan kita dengan melancarkan pelaksanaan kerja kita, dan tidak ditimpa halangan dan musibah yang mengendalakan kerja dalam perancangan kita.

Keberkatan masa juga bukanlah terletak pada kuantiti masa yang diperolehi tetapi kualiti pengisian masa itu sendiri.

Kita boleh lihat, ada orang hanya dengan satu jam sahaja, dia mampu melakukan dan menyelesaikan kerja atau tanggungjawab yang berbagai-bagai. Tetapi ada juga orang dengan satu jam, dia hanya mampu makan dan minum. Ada orang lain pula, dengan satu jam, dapat melakukan pelbagai jenis ibadah, tetapi ada orang yang hanya mampu melakukan satu jenis ibadah.

Keberkatan masa adalah antara kurniaan terindah Allah yang kadang-kadang sukar dipercayai oleh manusia kerana ia adalah sesuatu yang abstrak; tidak dapat dilihat, hanya dapat dirasa.

Hal ini dapat dilihat apabila kita telusuri hidup ulama' silam dahulu. Seperti Imam al-Ghazali, beliau mampu mengarang sebanyak 300 buah kitab dalam masa lebih kurang tempoh 14 tahun.

Betapa ramai manusia yang berumur 40 tahun, tapi adakah ada yang mampu mengarang 300 buah kitab apabila meninggal dunia pada umur 54 tahun? Itulah contoh hasil keberkatan masa Imam al-Ghazali.

Keberkatan masa ini perlu dicari. Ya, perlu dicari teman-teman.

Ingin sekali ditekankan di sini, bahawa kesedaran dalam mencari keberkatan masa itu amat penting, dan perlu diusahakan.

Jadi, ayuh mari kita lihat apa yang boleh menjemput keberkatan masa.



____


1) Solat di Awal Waktu


Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda, "Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah."
[Hadith Riwayat Tirmidzi]

Solat sangat mempengaruhi susun atur waktu kita dan solat juga punya banyak hikmahnya.

Apabila kita benar-benar menjaga hak-Nya dengan beriltizam istiqamah menjaga solat di awal waktu, kita akan dapat rasa betapa berkatnya waktu-waktu yang Allah kurniakan buat kita.

Ianya berat, tetapi percayalah, ianya berbaloi. Berbaloi di dunia, berbaloi akhirat.



____

2) Merancang Pengisian Masa


Mahu membuang masa itu mudah, tidak perlukan tong sampah.

Tetapi untuk merancang itu memerlukan kerah. Sedikit kerah agar apa yang bakal kita lalui makin mudah dilihat dan cerah.

Tatkala kita akan berhadapan dengan waktu lapang, jangan lagi lengah-lengah. Terus capai pen dan catat segera perancangan masa kita, lebih teperinci lebih baik.

Jika kita tidak bersiap dengan perancangan, kita tetapmengisi waktu kita, tetapi ia laksana mengisi air dalam plastik yang bocor. Airnya masuk, tetapi tidak tahu ke mana mengalir hilang.

Sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam,

“Dua nikmat daripada nikmat Allah yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah; sihat dan masa lapang” [Hadith Riwayat  Bukhari]


___


3) Membaca Al-Quran


Kata seorang ulama' Salaf:

كلما زاد حزبي من القرآن، زادت البركة في وقتي

"Setiap kali bertambah hizib bacaan al-Quranku, aku merasakan bertambah keberkatan pada waktuku."

Sungguh, saat kita membaca al-Quran, kita merasakan sangat lama untuk menghabiskan satu muka surat al-Quran, walhal untuk satu muka surat hanya memerlukan sekitar 2-5 minit sahaja.

Amalan ini tidak dapat kita rasakan jika kita sendiri tidak istiqamah membaca al-Quran.

Cubalah target, paling kurang pada setiap selesai solat, satu muka surat habis dibaca. Kemudian kita akan rasakan sedikit demi kesannya.


Telah berkata adh-Dhiya al-Maqdisi:

كنت إذا قرأت (القرآن) كثيرًا تيسر لي من سماع الحديث وكتابته
الكثير ، وإذا لم أقرأ لم يتيسر لي

"Bila aku membaca al-Quran dengan banyak, maka menjadi mudah bagiku untuk mendengar hadis dan menulisnya dengan banyak. Bila aku tidak membaca al-Quran, maka ia tidak menjadi mudah bagiku."



___

4) Buang Sikap Bertangguh-tangguh


Inilah antara racun utama dalam menjemput keberkatan masa. Kadang, kerana perkara inilah yang kita tidak sedar ada dalam amalan hidup kita. Ia sedikit demi sedikit membaham keberkatan masa kita.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Qardhawi, tatkala membicarakan tentang hubungan kehidupan dan waktu,

“Waktu adalah hidup itu sendiri maka jangan sekali-kali engkau sia-siakan sedetik pun dari waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Setiap orang akan mempertanggungjawabkan usianya yang tidak lain adalah rangkaian dari waktu. Sikap negatif terhadap waktu nescaya membawa kerugian, seperti gemar menangguhkan atau mengulur waktu, yang bererti menghilangkan kesempatan. Namun, kemudian ia mengkambinghitamkan waktu saat ia merugi, sehingga tidak punya kesempatan untuk memperbaiki kekeliruan."


___


5) Beriman, Beramal Soleh, Berpesan-pesan


Ini ialah intipati Surah al-'Asr yang selalu kita bacakan pada setiap kali di akhir pertemuan.

Dan inilah juga yang patut kita amalkan supaya dapat kita elak daripada menjadi golongan "خُسْرٍ" yang difirmankan Allah.

Kita lihat kembali satu per satu, ayat ketiga daripada Surah al-'Asr ini.

Kecuali :

- orang-orang yang beriman.

- beramal soleh.

- dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.

- serta berpesan-pesan dengan sabar.



Buya HAMKA menyimpulkan dalam tafsirnya,

"Maka daripada pengecualian yang empat ini: (1) Iman, (2) Amal shalih, (3) Ingat-mengingat tentang Kebenaran, (4) Ingat-mengingat tentang Kesabaran, kerugian yang mengancam masa hidup itu pastilah dapat dielakkan.

Kalau tidak ada syarat yang empat ini rugilah seluruh masa hidup.

Ibnul Qayyim di dalam kitabnya “Miftahu Daris-Sa’adah” menerengkan: “Kalau keempat martabat telah tercapai oleh manusia, hasillah tujuannya menuju kesempurnaan hidup.

Pertama: Mengetahui Kebenaran.

Kedua: Mengamalkan Kebenaran itu.

Ketiga: Mengajarkan kepada orang yang belum pandai memakaikannya.

Keempat: Sabar di dalam menyesuaikan diri dengan Kebenaran dan mengamalkan dan mengajarkannya. Jelaslah susunan yang empat itu di dalam Surat ini.

Dalam Surat ini Tuhan menerangkan martabat yang empat itu. Dan Tuhan bersumpah, demi masa, bahwasanya tiap-tiap orang rugilah hidupnya kecuali orang yang beriman. Yaitu orang yang mengetahui kebenaran lalu mengakuinya. Itulah martabat pertama.

Beramal yang shalih, yaitu setelah Kebenaran itu diketahui lalu diamalkan; itulah martabat yang kedua.

Berpesan-pesanan dengan Kebenaran itu, tunjuk menunjuki jalan ke sana. Itulah martabat ketiga.

Berpesan-pesanan, nasihat-menasihati, supaya sabar menegakkan kebenaran dan teguh hati jangan bergoncang. Itulah martabat keempat. Dengan demikian tercapailah kesempurnaan.

Sebab kesempurnaan itu ialah sempurna pada diri sendiri dan menyempurnakan pula bagi orang lain. Kesempurnaan itu dicapai dengan kekuatan ilmu dan kekuatan amal. Buat memenuhi kekuatan ilmiah ialah Iman. Buat peneguh kekuatan amaliah ialah berbuat amal yang shalih. Dan menyempurnakan orang lain ialah dengan mengajarkannya kepada mereka dan mengajaknya bersabar dalam berilmu dan beramal.

Lantaran itu meskipun Surat ini pendek sekali namun isinya mengumpulkan kebajikan dengan segala cabang rantingnya. Segala pujilah bagi Allah yang telah menjadikan kitabnya mencukupi dari segala macam kitab, pengobat dari segala macam penyakit dan penunjuk bagi segala jalan kebenaran.”


___

6) Berpagi-pagi


Ini antara yang berat dilakukan, tambah pula buat para pemuda hari ini yang kebanyakannya leka diulit talian internet hingga lewat malam.

Natijahnya, pagi kita pagi yang kusam dan dan tidak dihargai.

Pada menghargai pagi dan tidak tidur selepas solat subuh, sangat banyak kelebihan dan keberkatan yang boleh kita perolehi. Terlalu banyak perkara yang boleh diisi dan dilakukan.

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا قَالَ وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ قَالَ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا فَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
Daripada Shakhr Al Ghamidi dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,
"Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu paginya."
Shakhr Al Ghamidi berkata, "Beliau jika mengutus ekspedisi, atau pasukan beliau memberangkatkannya pada pagi hari."
Dia (perawi) berkata, "Shakhr Al Ghamidi adalah seorang pedagang, dia biasa mengirim barang dagangannya pada pagi hari hingga beruntung dan melimpahlah hartanya."
[Hadith Riwayat Ibnu Majah, nombor 2227]


Diriwayatkan daripada Saidatina 'Aisyah radhiyallahu'anha bahawa Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda,
"Berpagi-pagilah kamu dalam mencari rezeki dan keperluan, kerana keluar pada waktu pagi itu terdapat keberkatan dan kejayaan."[Hadith Riwayat Thabrani]


____

7) Doa


Akhir sekali, terus panjatkan doa, mohon dengan penuh kesungguhan, agar ALLAH berikan keberkatan masa dan keberkatan hidup kepada kita.

Lebih molek jika kita cari dan bertemu dengan waktu-waktu yang mustajab berdoa, lalu kita bersungguh-sungguh berdoa dalam waktu itu.

Moga dengan hidup kita yang singkat ini, dikurnia barakahnya. Yang sedikit dirasa banyak, yang sempit dirasa luas, yang nipis dirasa tebal.


Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda,

“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa; memohon kepada Allah, waktu dia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.” [Hadith Riwayat Ibnu Hibban]



____

Selamat Beramal.


Tiadalah gunanya jika diberikan tip-tip berjela, tetapi kita tidak lakukan walau satu pun.

Ukur kemampuan diri kita sendiri dan buatlah sekadar mampu. Tidak mampu lakukan semua, buatlah separuh atau lebih kurang daripada itu. Jangan sampai tidak diamal walau secebis satu.

Sebagaimana satu kaedah menyebut,


مَا لاَ يُدْرَكُ كُلُّهُ لاَ يُتْرَكُ كُلُّهُ

“Apa-apa yang tidak boleh dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya."


Lakukanlah dan rasakan sendiri kesannya. Kata ulama' tasawuf,

من لم يذق لم يعرف

"Barang siapa yang tidak merasa, tidak akan mengetahui."



Barangkali masih banyak lagi amalan dan tip untuk menjemput keberkatan masa, dan yang diberikan di sini hanya sedikit daripadanya. Jika ada yang ingin lagi berkongsi, boleh sama-sama kita kongsikan lagi di sini.

Moga bermanfaat dunia akhirat.


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1652
250616

11/10/16

Melangkah Bersama Ke Syurga



Menjadi idaman dan cita-cita seorang pendakwah, untuk mengajak seluruh manusia mencintai Allah dan Rasulullah, dan sama-sama ingin masuk ke dalam syurga.

Sama-sama. Masuk Syurga.

Semua itu dilakukan dengan ikhlas dan sayang.

Ikhlas, sebagai syarat menuju syurga, bertemu Allah Maha Mulia.

Sayang, sebagai bahasa indah, menyeru dan sama-sama berpaut pimpin, menuju syurga.

Kita bertemu dan bergaul dengan sekalian insan, bertemankan dengan satu senjata yang paling ampuh, iaitu Kasih Sayang.

Kita sayang, dan kita  kasih, pada sekalian insan, sekalian makhluk Allah. Itulah yang Rasulullahi sallallahu 'alahi wasallam ajarkan pada kita, kerana kasih dan sayang itu mengharmonikan dan bahasa paling universal yang membahagiakan,..

Tetapi andai segala 'ilmu agama' yang dipelajari itu membuatkan kita asyik membida'ahkan dan mengkafirkan umat manusia, di mana rahmat dalam dakwah kita?

Andai menjumpai golongan seperti ini, khabarkan yang benar-benar buat mereka; pada makna sebenar kasih dan sayang.

Santuni mereka.

Khabarkan kepada mereka, "Syurga itu untuk kita. Ayuh sama-sama kita bergerak ke sana. Tiada yang lebih mulia, melainkan yang paling bertaqwa."


#DuhaiTemanAyuhMenujuTuhan



____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
0111, 150316

11/9/16

Menangkan Sabarmu



Kita memandu kereta di jalanan.

Di hadapan, ada sebuah kereta yang dipandu dengan sangat perlahan.

Kita bertekad mahu memotong kereta di hadapan, namun kereta di belakang kita jauh lagi pantas menghidu peluang memotong, keretanya laju ke hadapan memotong.

Dengan rasa melonjak-lonjak dan membuak-buak, kita juga ingin ikut jejak kereta yang memotong tadi. Sudah bunyi azam dalam hati, 'Selepas dia, pasti aku!'

Elok sahaja mahu memotong, datang lori besar dan panjang laju di hadapan.

Kita tunggu dan terus menunggu, dan kita sabar dan sabar lagi.

Apabila jalan kosong dan tempat pula sesuai, kita teruskan niat kita yang tadi; dengan tekad dan berani.

Demikianlah dalam hidup.

Adakalanya, kita tidak boleh sama laju dengan orang lain, kerana suratan mereka lain dan suratan kita lain. Kalau kita ikut sama laju dengan mereka, barangkali ada sesuatu yang kita tidak diingini di hadapan bakal membaham kita.

Lalu, apabila datang waktu dan ketikanya yang sesuai, semuanya jadi serba kena dan serba menjadi. Tanpa ada yang tersekat-sekat lagi.

Hanya yang perlu saat sebelumnya, kita tunggu dengan sabar.

Menangkan sabarmu dahulu, teman.

____

Muhd Iqbal Samsudin
Baling, Kedah, Malaysia.
1825
130716

10/12/16

Berkira


Aku pernah jadi seorang yang berkira.

Dengan sikap berkira, aku fikir segalanya akan lebih menguntungkan.

Berkira itu, berkira ini, dengan siapa saja semuanya aku kira.

Hinggalah aku merasakan, apabila aku berkira, Tuhan juga seakan-akan berkira denganku.

Akhirnya aku memilih untuk tidak berkira.

Rezeki yang ada, sama-sama dikongsi. Kenikmatan yang ada, kita sama-sama nikmati.

Dan aku dapati, Tuhan juga tidak berkira untuk memberiku limpah kurnia-Nya.

Rezeki ini, bukan milik kita, bukan aturan kita, teman.

Makin kita berkongsi, makin kita kurang berkira-kira, makin Tuhan gandakan semahu-Nya.

Yakinlah, teman.


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
0650, 121016

12/23/15

Ikut Saja Aku!

Aku berhadap engkau. Senyum.

Engkau menghadap aku. Menyungging.

Aku jelaskan. Panjang. Berjela, berela-ela. Aku lampirkan rujukan, tanda aku tidak memandai-mandai, atau berhujah dungu guna aqal terhadku. Aku senyum. Aku sangka engkau dengar.

Engkau jelaskan. Panjang. Henti-henti, berjeda. Engkau tidak setuju dengan segala yang aku jelas, dengan segala rujukanku. Engkau bawa buah fikirmu, tidak selari dengan mana-mana rujukan. Sambung lagi. Aku tekun mendengar. Setia dan tekun memikirkan.

Aku pening. Aku hairan.

Saatku berhujah tanpa rujukan-rujukan besar, engkau bilang hujahku lemah.

Apabila aku tunjukkan rujukan-rujukan seperti mahumu, engkau bilang fikir aqalmu lebih absah, lebih sahih.

Aku tambah pening. Hairan, campur darap bahagi sang geram.

Tidak engkau mahu jawapanku. Tidak engkau mahu penjelasanku.

Tapi engkau bilang mahu kebenaran. Bahkan ironi-ironi bermain lagi, fikir intelektualmu mengatakan hanya hujahmu paling benar.

Aku terpaksa berpatah balik semula ke daerah kemanusian. Lupa juga aku dengan satu dua perkara  bernama EGO dan EMOSI.

Dua anasir ini benar-benar memusnahkan. Musnahkan intelek dan daya fikir rasional manusia.

Gagalnya mengawal kestabilan dua anasir ini, maka berderet-deret jugalah punah yang memanah, memecah busuk-busuk yang ada, di dada, lalu mengalirlah alir-alir hitam yang tidak sepatutnya. Mencemar yang tidak sepatutnya.

Ia sama sahaja seperti senario segelintir sikap manusia.

Berpusing itu, berpusing ini, itu dan ini, itu ini. Rupanya, yang dia mahu hanya satu, "Engkau harus ikut aku. Aku tidak akan mahu dengar segala penjelasan dan prinsipmu, prinsip aku jauh lebih benar, intelekku lebih luas, jauh lebih absah daripada segala, tanpa leluasa!"

Lihat saja sabda Nabi. Betapa emosi itu merosakkan segalanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُأَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ 
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa seorang lelaki berkata kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam;
"Berilah aku wasiat?" Baginda bersabda: "Janganlah kamu marah."Lelaki itu mengulangi kata-katanya, Baginda tetap bersabda, "Janganlah kamu marah." [Hadis Riwayat Bukhari. Nombor 5651]


Lalu, tiada guna aku bersyarah panjang. Akhirnya yang engkau mahu, hanya pendirianmu jadi ikutan. Yang lain silap-silap belaka.

Aku sungging, engkau senyum. Luar sama, dalam lain-lain.

Sikap ini sikap salah, bahkan ralat besar dalam menyelami dan mengutip ilmu. Ilmu-ilmu akan jadi terbatas dan tidak berkembang. Berkat apatahlah lagi, jauh.

Lalu apa lagi gunanya ilmu-ilmu, jika berkat ilmu tiada menghinggap lagi di dada kita?

Moga kita tidak terjebak dalam arena hilang kawalan dua anasir besar itu. Jika ditegur manusia lain, jangan gelabah-gelabah pertahan diri. Senyap dahulu, dan cerna. Perlahan-lahan cari antidot daripada orang-orang yang ahli, berubah perlahan-perlahan. Orang yang sanggup tegur kita, itulah orang tinggi tumpah sayangnya pada kita, sayangi dia. Ketat-ketat.


"Jangan habiskan waktu menjelaskan kepada orang yang tidak mahu penjelasan. Sejuta penjelasan tetap tidak dia terima.

Jangan berikan jawapan kepada orang yang sejatinya tidak mahukan jawapan. Sejuta jawapan dia tetap tidak percaya.

Waktu terlalu berharga dihabiskan sia-sia."

- Tere Liye




Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Cairo.
2018
311015

11/27/15

Membuah Harmoni

...

Duhai teman.

Pernah engkau bayangkan, satu dunia nan indah.

Dunia itu isinya, isi yang sama.

Manusia.

Haiwan.

Tumbuhan.

Oksigen.


Namun, yang pandai bercakap hanya satu. Satu makhluk yang ada cip paling bernilai, yang tiada pada makhluk lain, isimnya dipanggil aqal.

Cip yang tiada taranya itu, laksana pisau jua, gunanya harus ada komponen yang bernama bijak.

Bijak itu pula dipandu teliti oleh ilmu. Tetapi ilmu itu pula, bukanlah ilmu rapuan, tapi ilmu asli daripada ilmuwan, bersanad sahih dari yang sahih.

Mulut mereka ini, mulut nan mewangi.

Mulut mereka subur dibaja ilmu, khas alirannya dari aqal yang sihat dan diguna dengan betul.

Mereka juga ada yang bodoh, ada yang pandai. Ada pula yang sederhana bijaknya. Masing-masing mereka tahu batas mereka, tahu takat ilmu mereka.

Bercakap pada yang patut. Berbicara hanya pada yang mereka tahu. Bahkan, tidak pernah terlanjur bercakap apa yang mereka tidak tahu.

Lalu, atmosfera yang tercipta, ialah udara harmoni. Berbeza, tetapi merayakan, mendamaikan.

Laksana makannya kita hidangan nasi campur. Setiap lauk punya rasa yang tersendiri, punya warna yang berbeza, nuansa pula teksturnya. Namun, tatkala masuk hinggap dalam rongga mulut, diadun pula dengan cairan saliva, lalu yang tercetus ialah rasa sedap.
Begitu juga alunan denai yang indah. Alirnya deras, bunyinya keras. Namun pabila digaul dengan angin sepoi-sepoi basah, digoreng rangup pula bersama kicau-kicau burung nan bertenggek, cuacanya bertambah segar. Mencorak suasana menjadi bahagia.


HARMONI.


Membahagiakan.

Mendamaikan.

Engkau boleh bayangkan? ^^

Oh, indah.

Barangkali, sudah syibih syurga.

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمٌ

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar."
[Surah An-Nur 24 : Ayat 15]


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu'anhu bahawa Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia BERKATA BAIK atau dia DIAM. 
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. 
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." 
[Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim]

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
2117
280215

11/22/15

Menekan Ke Hadapan

image


Teman,
Andai membaling pen ke dinding itu,
Satu kepuasan atas ketertekananmu,
Lakukan sahaja.

Andai kamu malu menangis di khalayak atas tekanan semasa melawan,
Pergi ke belakang mereka,
Pekuplah bantal,
Nangislah sepuasnya,
Lakukan sahaja.

Teman,
Saat dirimu ditekan,
Kamu mesti pandang ke hadapan,
Yang di belakang jadikan bekal sebagai pengajaran,
Sesungguhnya itulah keluasan universiti kehidupan.

Tetapi,
Aku mahu kamu mengerti,
Walau dalam apa jua keadaan,
Jangan menjauh daripada Allah,
Kerana Allah itu sentiasa dekat,
Kalau kamu menjauh,
Tiadalah lagi makna keperitan semua ini.

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, [50:16]

Teman,
Carilah saat waktu istimewa meluah pada Rabb mu,
Kerana Dia sentiasa ada untuk mendengar segala rintihan hamba-Nya,
Kerana Dialah yang menjanjikan akan menunaikan segala permintaan doa hamba-Nya.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [40:60]

Teman,
Apa yang kita nampak,
Tidak semuanya betul,
Kerana itu tafsiran dhaif kita,
Kerana perancangan Allah itu sentiasa yang terbaik buat hamba-Nya,
Kerana Dia yang maha mengetahui segala.

Teman,
Dikau permata ummah,
Teruskanlah,
Tsabatlah.
^^


Muhammad Iqbal,
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
4.04 a.m
9.12.13

1/23/13

Fikir.


Fikir.




Berfikir, ia nampak mudah.

Namun reliti, ia susah.

Ianya kenyataan. Berapa ramai yang waras dalam dunia ini, yang jadi pemikir? Padahal semua yang berakal sihat mampu berfikir.

Yang membezakan ialah kualiti hidup kita. Malas atau Rajin?

Sebab itu adanya pepatah, 'belakang parang jika diasah, boleh jadi tajam'.

Maka, sebab itu saya fikir, dalam al-Quran, banyak sekali ayat yang menyatakan sangat sedikit golongan yang bersyukur.

" Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur"." (Al-Mulk 67:23)

Bersyukur, sekadar di lidah mungkin mudah, namun menzahirkan kesyukuran dalam bentuk perbuatan, tidak semua mampu. Kerana, untuk bersyukur, nyata seseorang itu perlu berfikir. Berfikir, berfikir dan berfikir.

Walau pahit untuk ditelan, perlu juga diakui, ramai yang malas berfikir.

Kerana itu, kita lebih mudah menonton dan mendengar banyak perkara yang melaghakan, banyak perkara yang kelakar, yang kurang proses berfikir.


Mahu atau tidak.

Semuanya, antara mahu atau tidak. Malas atau rajin. Sungguh, untuk berfikir, itulah pilihan-pilihannya.

Mahu buat status, upload dan share gambar dalam facebook.

Mahu tweet status, upload dan retweet gambar dalam tweeter.

Mahu upload gambar dalam instagram.

Perlu FIKIR.


Mahu melihat.

Mahu cakap.

Mahu berjalan.

Perlu FIKIR.


Ya, perlu fikir.


Fikirkan, adakah ianya mendatangkan pahala atau dosa?

Ke arah syurga atau neraka?

Mengundang redha Allah atau murka-Nya?

Sia-sia atau berguna?


Perlu FIKIR. Perlu fikir sehingga itu dan seperti itu.


Sebagai contoh, jika mahu upload dan share gambar yang ada terbuka aurat, walau bukan aurat kita, mungkin aurat kawan kita, ianya tetap aurat. Apabila orang lain lihat, boleh mungundang dosa kepada diri kita dan orang lain yang melihat juga. Di alam maya, bukan sukar untuk tersebar, sangat mudah. Mengundang dosa atau pahala? Syurga atau neraka? Redha atau murka? Sia-sia atau berguna? Ya, itu sahamnya.

Fikir dan syukur.



Fikir, hanya kenderaan.

Ada juga yang suka berfikir, sangat suka. Tetapi sayangnya, matlamat pemikirannya bukanlah Allah. Bantuan proses pemikirannya bukanlah bersandar dengan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, ianya tetap punah. Rugi.

Di hujung fikir kita, semua berbalik kepada Allah.

Terbaca status senior saya, saudara Nasiruddin,

"Kebenaran merupakan destinasi yang sebenar. Berfikir itu pula kenderaan menuju ke destinasi itu. 

Namun ada orang yang tertipu dengan nikmat kenderaan itu, sehinggakan apabila telah tiba ke destinasi yang sebenar, ia masih berada dalam kenderaan dan terus berpusing-pusing di jalanan. 

Apabila tiba masanya, tersadailah ia di jalanan tanpa sempat menjejakkan kaki di destinasinya.

Tuhan itu matlamat, berfikir itu wasilat."


Fikir.

Supaya kita tidak di bodohkan.

Fikir.

Fikirkan yang baik-baik.



Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
23.1.2013
2:23 p.m.