Showing posts with label Cerita Dari Jalanan. Show all posts
Showing posts with label Cerita Dari Jalanan. Show all posts

5/2/18

Fakkah


Ini satu senario dan masalah buat yang tinggal atau berkunjung ke Mesir.

Masalah fakkah.

Fakkah = Duit pecah.

Yang namanya Arab ini, kalau kita orang Melayu berurus niaga beli apa-apa dengan dia, kalau kita bagi duit besar, selalu sungguh dia pulangkan duit kertas yang koyak atau lunyai teruk(مضروب).

Ianya tak jadi masalah kalau masa beli dengan mereka, mereka boleh terima duit yang semacam itu. 

Masalahnya, mereka cukup tak terima duit macam tu. Tak ada duit kecil pun selalu tak bagi beli, apatah lagi kalau duit koyak lunyai. Itulah Arab Mesir. Mereka suka berniaga, tapi tak tahu menghargai pelanggan.

Jadi, kalau mereka bagi duit koyak atau lunyai, cepat-cepat minta tukar.

Cakap, "Mumkin baddillu?"

Maksudnya, "Boleh saya tukar?"

Selalunya dia bagi saja tukar. InsyaALLAH.

Duhai Melayu, jangan biar dirimu dizalimi lagi.


____

Muhd Iqbal Samsudin
020516
#CatatanMetropolitan

8/10/17

Di Awal Tasbih, Di Akhir Tasbih




Selepas menghantar buku di Arabiata, saya bergegas berjalan ke rumah Kelantan untuk hantar buku di sana pula.

Ustazah itu beritahu Wisma Kelantan Tengku Mahkota, jadi pergilah saya ke Wisma Kelantan. Bagus juga, dah lama saya tak ke kawasan itu.

Sudah sampai, saya tunggu di bawah, sambil duduk bersama bawwab penjaga bangunan yang berbaju pak guard di situ.

Mulanya dia mundar mandir sambil hisap rokok di kawan depan bangunan, kemudian dia duduk berdekatan dengan saya. Badannya tak gempal macam kebiasaan arab, kurus saja. Usianya nampak sebaya dengan ayah saya, sekitar 50-an.

"Tunggu kawan?" Dia memulakan perbualan.

"Ya, tunggu kawan. Nak beri buku ini kepadanya." Sambil saya tunjukkan buku 'Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri' karya Za'ba.

Dia belek-belek buku itu dan nampak ada ayat-ayat al-Quran, "Ini tafsir?"

"Bukan tafsir, tapi kalau yang ini tafsir; Tafsir Surah an-Nur." Sembari saya tunjukkan buku di tangan saya.

Dia masih lagi membelek-belek buku Za'ba itu.

Kemudian dia bersuara, "Surah apa yang dimulai dengan tasbih, dan diakhiri juga dengan tasbih?"

Oh, berteka-teki pula dia. Tak apalah, bagus juga ada trivia pasal al-Quran.

Sambil-sambil fikirkan jawapan teka teki itu, saya kerling phablet di tangan, kalau-kalau ustazah sudah beri isyarat mahu turun.

Aduh, tak dapat pula capai jawapan, banyak dosa sangat agaknya 😂.

Yang saya ingat surah yang dimulai dengan tasbih, Surah al-Hadīd, Surah al-Hashr, Surah Shāf, Surah al-Jumu'ah, Surah at-Taghābun.

Tapi tak tahu yang mana satu yang berakhir dengan tasbih. Saya meneka, "Surah al-Hadīd?"

'Ammu itu menggelengkan kepalanya. Aduh salah pula.

Terus saya nyatakan saya tak tahu, dan dia memberikan jawapan, "Surah al-Hashr."
"Surah al-Hashr? Ooo..." Saya senyum.

Kumudian, saya pula melontarkan trivia saya, "Ada berapa surah yang mula dengan kalimah 'الحمد'?"

Dia tak mahu mengalah dan asyik pusing bercerita soal kelebihan al-Quran secara tiba-tiba.

Lalu saya tanya lagi, "Jadi ada berapa semuanya?"

Dia kata, "Banyak..."

Kemudian menyambung lagi cerita pada perkara yang tak berkaitan.

Dia tak mahu sebut tak tahu. Ini perangai biasa bagi kebanyakan orang arab. Mereka akan pusing cerita supaya tak nampak seolah mereka tak tahu.

Kadangkala, direka-reka pula cerita. Sebab itu petua tanya jalan dengan arab ini kena tanya lebih daripada seorang, takut ada yang buat kepala tau padahal mereka-reka buat-buat tahu saja.

Saya akhirnya tidak lagi menunggu jawapan daripadanya selepas mendapat mesej dari ustazah, yang dia sudah mahu turun,
"Ada lima surah yang dimulakan dengan kalimah 'الحمد'. Al-Fatihah, al-An'am, al-Kahfi, as-Saba' dan al-Fāthir."

Satu mesej ustazah diterima, dan bila tak berjawab, dia call, "Ustaz di mana? Wisma itu ada tulis Wisma Tengku Mahkota tak?"

Alamak. Tahulah saya yang saya dah tersilap rumah. Peta dalam kepala saya, Hayyu Sabi' versi 2011. Belum update.

Rupanya rumah Kelantan ada lagi sebuah yang lebih baru. Baru saya tahu selepas ustaz-ustaz tunjukkan jalan.

Mujurlah tak jauh, saya terus bergegas ke sana dan ustazah itu sudah siap sedia di sana sambil melambai tangan.

Syukur atas pengajaran yang baik hari itu.

Kita tak akan dapat tahu semua benda. Bila kita tak tahu, katakan saja tak tahu, tak ada salahnya, bahkan Lā Adri itu juga sebahagian dari ilmu.

Tak tahu, tak akan buat kita jadi kurang sempurna. Bahkan tak tahu itulah menjadi manifestasi bahawa kita ini sempurna.

#CatatanMetropolitan
#ibnuDDinBookShop


____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1638, 010817

1/7/17

Daya Ihsan




Hampir setahun rasanya lampu isyarat wujud di Kota Kaherah ini.

Walaupun sekejap hidup, sekejap buat-buat hidup, sekejap tak hidup-hidup, perkara peliknya ialah rakyat Mesir kebanyakannya berubah boleh mengikutnya tanpa perlukan polis yang ramai atau tak perlukan langsung polis untuk mengawal lalu lintas seperti sebelum ini.

Pelik. Tetapi itulah hebatnya 'daya ihsan'.

Jika ditanya kepada pemandu Arab kenapa mereka tidak melanggar lampu isyarat seperti sebelum ini, kata mereka,

"Kau nampak kamera di atas lampu isyarat itu? Sekali langgar, dapat tangkap, 550 genih saman akan dikenakan."

Apabila kita nampak ada yang memerhati, dan rasa diperhati, kita akan buat dengan bersungguh-sungguh dan tidak sanggup untuk melanggar yang ditegah.

Demikianlah 'daya ihsan'.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buuthi menyebutkan di awal kitab Syarah Hikam Ibnu Athaiyyah,

"Sekarang siapa yang tidak mengerti, bahawa IHSAN seperti yang diserukan oleh Rasullullah itu merupakan pintu kepada Islam. Bahkan itulah yang menghimpunkan antara iman dan Islam! Mungkinkah Islam itu tanpa IHSAN?..."



َ قَالَ مَا الْإِحْسَانُ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك

(Jibril 'alaihis salam) berkata, "Apakah ihsan itu?"

Nabi ﷺ menjawab: "Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan jika kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu".

[HR. Bukhari No. 48]



'Kamera Allah' Di Mana-mana.






#CatatanMetropolitan

____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1405, 070117

Dua Kitab



6.17 p.m.

Aku sudah lewat. Hampir 17 minit menunggu, bas tak kunjung tiba.

Nampak bas 1010, terus aku tahan dan tanya, "Moski?"

Pemandunya menggeleng dan menjerit, "Atabah!" sambil tangannya menyuruh aku naik.

Disebabkan sudah lewat aku naik juga.

Selepas bayar tambang terus aku duduk di belakang tempat duduk single seorang yang wajahnya seakan Melayu. Jarang jumpa Melayu di dalam bas di tempat aku ini.

Aku lihat di skrin hadapan ditulis 'Gamiah Al-Azhar'.

Terus aku tanya orang di hadapan aku, "Bas ni lalu Hussein tak ustaz?"

Dia toleh ke belakang.

Wajahnya blur. Namun dia cuba juga katakan sesuatu.

"Ana sa-anzil fil Abdou Basha." (Saya akan turun di Abdou Basha)

Jawabnya gagap-gagap dan bahasa Arab fus-ha.

Tahulah aku bahawa dia bukan seorang Melayu atau Indonesia. Dan mungkin masih baru di Mesir ini.

Aku minta maaf kepadanya dan mula berkenal-kenalan dengannya. Dia orang Thailand rupanya. Asal dari Bangkok.

Aku bertanya juga soalan tadi dalam bahasa Arab, dia menjawab dan aku angguk kepala tanda faham. Sebenarnya petua yang dia bagi itu menunjukkan dia masih lagi baru di sini, rupanya dia lagi noob dari aku. Haha. Tapi dia betul-betul bersungguh-sungguh mahu membantu.

Allah... Aku amat hargai jasanya. Doaku moga Allah permudahkan segala urusannya.

Sampai di Abdou Basha dia turun dan melambaikan tangan kepadaku.

Tenang.

Di Bab El-Sha'riyya jalan terlalu sesak. Jem. Arab Mesir sebut Zahmah Muuut.

Elok sampai di 'Atabah, tengok jam sudah agak lewat, dan masih tinggal sekitar 40 minit lagi untuk maktabah (kedai kitab) nak tutup. Tak mengapalah aku buat keputusan untuk solat dahulu di masjid kecil celahan gedung beli belah yang penuh hiruk pikuk.

Habis solat, terus berjalan ke tempat yang ingin dituju. Nak naik tremco macam tak berbaloi kerana tambangnya sekarang sudah dua genih! Walhal dekat saja.

Jalan punya jalan sambil menikmati kesibukan kota 'Atabah ini, sampai akhirnya tanpa sedar sudah sampai ke maktabah.

Gelap sudah rupanya. Tutup rapat pintunya.

Sedih betul hati. Luluh.

Lalu aku toleh ke belakang, dan berjalan berpatah balik.

Baru dua tiga langkah tiba-tiba ada bunyi orang minta tolong dari dalam maktabah.

"Tolong kami, tolong kami!"

Rupanya pintu maktabah itu tak boleh dibuka dari dalam dan ada orang terperangkap dalam maktabah itu.

Aku berseorangan di hadapan maktabah ketika itu.

Aku tolong sekadar termampu tapi malangnya tak terbuka juga pintu itu. Kemudian, datang lagi dua orang Arab tolong, berkali-kali mencuba akhirnya terbuka juga pintu itu.

Ketika terbuka pintu, aku terus menonong masuk dan minta izin untuk hanya beli dua kitab sahaja.

Dia mengadu yang dia sudah lewat dan mahu pulang, tetapi akhirnya dia beralah.

Aku cari cepat-cepat dua kitab yang aku mahu itu. Dapat dua kitab itu, terus aku pulang.

Sedih sedikit kerana harga kitab sudah melambung tinggi.

Namun tetap berbunga-bunga. Alhamdulilah.

Demikian jugalah hidup.

Ada masanya, kita dapati banyak jalan sudah tertutup, seakan tiada lagi harapan yang ada.

Dan kadang kita lupa siapa tuan empunya kepada jalan-jalan tersebut.

DIA empunya segala, DIA juga yang mampu bukakan pintu-pintu alternatif sebagai jalan keluar, pada waktu yang tak disangka-sangka.


Apa tawaran Tuhan?


وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

"...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)"





#CatatanMetropolitan

____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
050117
2301

12/15/16

Menjemput Rezeki




[Menjemput Rezeki VS Mencari Rezeki]



Teringat satu sembang bual panjang dengan seorang Pak Cik yang datang melawat anaknya di sini beberapa minggu lepas.

Di hujung-hujung bual dia bercerita,


"Dulu pak cik kerja makan gaji di satu syarikat, bila dah naik pangkat, jadi banyak kerja dan banyak meeting yang perlu dikendali, balik rumah pun lewat.

Pak Cik rasa tak selesa, sebab solat Pak Cik jarang-jarang dapat di awal waktu. Asyik di tengah dan di hujung waktu saja. Hidup rasa kurang senang dan tenteram.

Lepas tu, Pak Cik tekad dan nekad untuk berhenti kerja. Pak Cik yakin yang rezeki tu bukan bos yang bagi, tapi Allah yang bagi, jadi Pak Cik berhenti terus."


Aku terpegun. Melihat Pak Cik itu yang berkobar bercerita, aku tidak mecelah, takut-takut mematahkan semangat dia.


Dia menyambung, "Pak Cik cuba berbagai-bagai jenis perniagaan. Ada yang untung ada yang lebur rugi. Biasalah adat berniaga, sementara modal PERCAYA dan AMANAH kita orang nak pegang, semua tu perlukan masa.

Dulu semasa makan gaji, gaji Pak Cik tak lebih sepuluh ribu. Sekarang, dah kerja sendiri lebih senang, solat pun dah boleh ditunai awal waktu, alhamdulillah berkat perniagaan yang Nabi kata sembilan per sepuluh daripada rezeki ni, Allah luaskan lebih rezeki Pak Cik, sebulan paling kurang belas-belas ribu juga Pak Cik dapat. Lepas tu dapat pulak jalan ke serata dunia, orang lain support, itu yang best!"


Tiba-tiba anak perempuannya masuk ke bilik, aku tersipu-sipu lalu minta izin daripada Pak Cik dan Mak Cik untuk keluar.


= = =

Ada beza, antara menjemput rezeki dan mencari rezeki.

Kita usaha, jaga hak Allah, insyaAllah Allah beri dengan apa yang kita tidak sangka-sangka.


Titis-tis yang kecil kadang lebih barakah dari simbah-simbahan yang besar.
[credit : intrawallpaper]




وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا


"...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

[Surah At-Talaq 65 : Ayat 2 - 3]



_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2051, 151214






Barakah.
[credit : mahligai vitamin]

11/10/16

Tetamu Dari Tuhan




Aku ke Alexandria. Kali ini, tujuan aku hanya satu, iaitu untuk buat follow up untuk post-operative LASIK.

Sebelum ini, aku berkelana berseorangan. Ya aku pergi ke Alexandria berseorang dari Cairo. Bukanlah kerana aku berasa aku kuat dan tak perlu pertolongan sesiapa, tetapi aku tidak mahu susahkan sesiapa, sebab masing-masing punya kelas dan urusan masing-masing.

Sampai di Alexandria, terus aku bergerak ke klinik itu. Habis urusan follow up, aku terus ke rumah sahabat rapatku di sana. Dapat melihat senyum mereka pun sudah tidak mengapa, dapat mengubat rindu di hati.

Sahabat aku yang tinggal di tempat lain di Alexandria turut datang menjenguk aku. Aku jadi kagum dengannya dan dengan perubahannya.

Lalu aku jujur bertanya, "Dulu kalau aku mai masa musim exam, hang langsung tak layan aku. Tapi sekarang, walau tengah exam, hang sanggup mai kat aku. Kenapa?"

Tiada lapik-lapik. Terus aku tanya.

Dia mengakui akan sikapnya yang dahulu itu dan berkata, "Aku rasa, apabila aku tidak endahkan tetamu, markah exam aku tidak banyak-banyak juga, tak banyak bezanya kalau aku layan tetamu pun. Bahkan, kadang-kadang boleh jadi markah aku tinggi kalau aku layan tetamu. Sekarang, aku ambil keputusan untuk layan sebaik-baik layanan pada semua tetamu, pada semua orang yang mai melawat aku."

Aku terpaku mendengar jawapan tersebut. Jelas, aku juga merasai apa yang dia rasakan.

Pada tetamu itu, ada rahmat, yang tidak dapat dilihat, namun dapat dirasa dari hati yang bening.


_______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1456
250516

10/25/16

Gerabak Ayam

[Cerita Dari Jalanan]

Benarlah, berseorangan itu penat.

Dari Kaherah, aku bergerak ke Kota Iskandariah berseorangan, untuk lakukan pembedahan kecil yang dilakukan pada kedua-dua belah kornea mataku; LASIK.

Laser-assisted in situ keratomileusis atau LASIK ini merupakan satu pembedahan mata yang menggunakan laser, yang berupaya membetulkan semula myopia(rabun dekat), hyperopia(rabun jauh) dan astigmatism(silau). Selepas semua defective ini dapat dibetulkan semula, maka bebaslah kita dari cengkaman kaca mata. Bagi seorang yang aktif bersukan dan aktiviti lasak, maka ini ialah satu nikmat besar!

Oleh kerana itulah, setelah kaca mata aku pecah semasa perlawanan futsal antara batch dahulu, aku terus bertekad untuk lakukan LASIK, kerana mengikut kira-kira aku, ianya lebih menguntungkan. Iyalah, cuba bayangkan, kalau setiap kali pecah atau rosak kaca mata perlu diperbaiki atau ditukar, sudah berapa kos semua itu, boleh tahan mahal juga.

Memandangkan kos buat LASIK di Mesir ini tidak terlalu mahal seperti di Malaysia, maka aku membulat tekad bertegak azam untuk buat juga LASIK. Walaupun final exam ketika itu sudah agak di hujung tanduk, aku tetap teruskan,

Selepas kerja-kerja membandingkan harga sudah dibuat, aku memilih untuk buat LASIK di bumi Iskandariah, memandangkan kos di sana jauh lebih murah berbanding di Kaherah.

Dengan tekad itulah aku bergerak. Tidak kisah jika tiada yang dapat menemani aku, dan aku pun tak sanggup mahu menyusahkan orang lain pada musim peperiksaan yang makin dekat. Aku memahami situasi ini, tatkala peperiksaan mendekat, semuanya seakan bertukar menjadi narsisistik, kadangkala aku juga terikut menjadi begitu.

Jarak dari Kaherah ke Kota Iskandariah sekitar 200km, kutempuh berseorangan. Pada sebelah pulang kutempuh lagi 200km, menjadikan jumlah perjalanan aku lebih kurang 400km totalnya. Aku bertabah.

Ini bukan kali pertama aku berseorangan ke kota ini, sudah kali kedua kalau tidak silap ingatan aku. Jadual kehidupan kita, tidak akan mampu mengubah jadual hidup orang lain, tambah-tambah pada musim peperiksaan. Aku pula, apabila sudah membulat tekad, aku tidak kira apa sahaja di hadapan, aku tempuh, yang penting aku berjaya.

Tak mengapa semua itu, biar berseorangan, aku harus kuat, aku perlu memandang hadapan dan terus berjalan.

Seperti biasa, teman akrab yang terus menerus menemaniku, walau tidak bernyawa, nyata ianya sebuah buku. Ke mana-mana pasti bersama; teman paling setia.

Setibanya di sana, mujurlah ada sahabat karib aku di kota persisiran pantai ini, dalam kesibukan mereka masih mampu melayan tetamu persis aku. Dalam bab melayan tetamu, aku banyak belajar daripada mereka. Sahabat-sahabat ini, siapa pun mereka, kurniaan nikmat besar daripada Tuhan buatku, harus sentiasa menghargai mereka.

Ahyad, Ahmad Naufal, seandainya kalian baca tulisan ini, aku amat berterima kasih pada kalian. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan kebaikan yang lebih besar.


*   *   *

Di sebelah pulang, kali ini aku memilih pilihan yang langka, iaitu menaiki tren ayam.

Tren ini dipanggil tren ayam, kerana kebanyakan marhaen Mesir apabila mereka menaiki tren ini, mereka akan bawa sekali bersama mereka haiwan ternakan mereka, dengan berbagai-bagai tujuan. Ada yang mahu dijual di bandar lain, ada yang mahu dibawa ke rumah saudara-mara, ada yang ternak di tempat lain,dan bermacam-macam lagi.

Sudah semacam bahtera Nabi Nuh jadinya. Menguntum senyum keseorangan.

Bukan apa aku memilih tren ini. Pertama, kerana saat aku meraba-raba kocek seluarku, aku tersedar yang aku sebenarnya sudah pokai. Masakan tidak, sudah berapa ribu genih aku habiskan untuk bayar kos pembedahan LASIK itu. Tren ayam ini murah saja tiketnya, tak sampai pun lima genih, perbezaan yang amat ketara jika mahu dibandingkan dengan tren kelas dua atau kelas pertama. Kedua, kerana aku benar-benar ingin melihat sendiri suasana keadaan tren ini. Keinginan dala diri aku amat tinggi untuk merasai sendiri pengalaman berbeza ini, pasti menarik untuk ditambah pengalaman di bumi Kinanah ini, tidaklah asyik merasa naik yang mewah-mewah saja.

Usai sahaja membeli tiket, terus aku berjalan di sisi tren. Tak tahu gerabak mana satu, aku pastikan dengan bertanya pegawai di situ, dan aku pun naiklah gerabak yang aku sendiri tidak pasti apa yang ada di dalamnya. Ada sahabat-sahabatku mengatakan tren ayam ini berbau hancing dan amat sesak, namun aku tak kisah, aku tetap naik.

Setelah menapak kaki di dalam gerabak, rupanya tidaklah buruk seperti yang dicerita, atau mungkin nasib aku baik dapat gerabak yang baik. Tidak terlalu sesak, tiada binatang-binatang bawaan yang pelik-pelik. Semuanya damai, cuma fasilitinya sahajalah yang berbeza; hanya sekadarnya saja, seperti yang dijangka.

Ya, aku sekonyong-konyong sa-orang Melayu dalam gerabak tren ayam ini.

Bersebelahan dan berhadapan aku dua orang pemuda asli Mesir, aslinya mereka ini hingga negara yang bernama Malaysia pun mereka tidak pernah kenal. Itu tidak menjadi kehairanan, kerana tentera yang buta huruf masih ramai di Mesir ini.

Tetapi, perbualan sesama kami mudah, mereka memahami aku, aku memahami mereka.

Kedua-dua mereka bernama Mustafa, dan kedua-dua mereka berumur dua-dua; lebih muda daripadaku.

Si baju merah menjerit kepada si baju hijau "Mustafa!", si baju hijau pun menjerit kepada si baju merah, " Mustafa!". Begitulah di Mesir, nama sama jadi biasa, memanggil nama orang lain dengan nama sendiri pun biasa.

Sa-orang penjual roti gula berbijan lalu dilaluan kami, lalu si Mustafa berbaju merah belikan tiga. Dua untuk mereka, satu untuk sekonyong Melayu ini.

Mustafa baju merah tanya, "Malaysia tu dekat dengan China?" Yakin persis yakin sa-orang Arab bertanya.

Aku masih berkaca mata hitam Ray Ban, menjawab, "Tidak, jauh. Tapi masih sama-sama dalam benua Asia". Kacak betul aku.......punya spek.

Dia bertanya lagi, "Kau ni ada masuk tentera ke?" Dia tunjuk-tunjuk abam askar berbaju celoreng coklat muda bersulam tulisan di dadanya Geish El-Masri.

Aku terus menepis, "Eh tak, aku ni hanya pelajar saja." Sambil sinyium-sinyium, acah-acah aku pun buat badan ketak-ketak.

Selepas mereka turun, ada seorang perempuan berhijab gaya Arab sekitar awal 30-an masuk ke gerabak itu dan duduk di hadapan kanan aku.

Kami hanya duduk tanpa bicara. Aku cuba juga berinteraksi dengannya apabila sampai di stesen baru, "Kita sekarang di mana?"

Lalu dia pun memandangku sembari menjawab dengan santun. Kemudian menyambung lagi meletak dagu di jendela gerabak, melihat isi alam.

Di tempat duduk sebelah kiri aku ada sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki. Anak mereka sekitar umur tiga tahun dan nampak begitu memanjakannya, barangkali itulah satu-satunya anak yang merek ada.

Rupanya bukan aku seorang yang sedang melihat budak itu, perempuan berhijab tadi pun sedang memerhatikan anak kecil itu. Wajahnya redup, matanya seakan berkolam dan berkaca-kaca. Kadangkala dia senyum melihat keletah anak kecil itu. Romannya berubah menjadi seorang ibu yang penyayang. Riaknya seakan menunjukkan kalbu seorang ibu sedang hangat merindui anaknya, atau dia sudah berkahwin tetapi belum direzekikan menimang anak. Ah, entah aku pun tak tahu.

Tetapi daripada wajahnya, benar-benar mengesan hatiku. Wajah keibuan yang tiada siapa mampu menduga apa yang telah dilaluinya.

Lama sungguh perjalanan kali ini. Tren ini seakan laju, tetapi agak perlahan rupanya. Hampir lima jam lebih perjalanannya, berbanding tren kelas dua yang hanya mengambil masa sekitar tiga jam.

Hinggalah apabila matahari sudah menyorok ke bawah, barulah tiba semula aku di stesen kereta api Ramses, Kaherah.

Aku bangkit dan lihat sekeliling, takut ada barang yang tertinggal, sambil berkata sunyi dalam hati, 'Betapa banyak aku belajar dari gerabak ini.'

Perjalanan yang sepatutnya penat, tetapi apabila hati sudah puas, segalanya jadi riang.

Selamat tinggal gerabak ayam!



Muhd Iqbal Samsudin
Dalam tren ayam.
080516

4/25/16

Kesalahan Hari Ini

[Cerita Dari Jalanan]


Selepas solat asar, saya terus berjalan pulang ke rumah. Sengaja saya melencong ke jalan yang agak jauh, memandangkan tiada apa-apa yang mendesak untuk dilakukan, melainkan seruan indah buku-buku di meja dan rak, untuk dibaca.

Berpusinglah saya ke jalan yang agak jauh, menikmati permandangan petang Kota El-Abbasiyah. Pemandangan-pemandangan petang di sini agak indah walaupun bingit, penuh rencam drama dan keindahan yang dilitup.

Hingga tiba di persimpangan masuk ke rumah saya, tiba-tiba saya lihat seorang akhawat(pelajar perempuan) yang merupakan jiran dan rakan sekuliah saya.

Dia berseorangan membawa dua beg bagasi besar, dan pada masa yang sama cuba menahan teksi. Apabila ada teksi telah berhenti, dia angkat bagasi-bagasi itu masuk ke dalam teksi dengan begitu susah payah. Ya, dia seorang wanita, sudah pasti itu sesuatu yang berat dia.

Namun, pada masa yang sama, saya yang melewati persimpangan itu masih berkira-kira mahu menolong atau tidak. Perasaan malu yang tidak bertempat, akhirnya menatijahkan hati saya untuk terus lalu tanpa menolong akhawat tersebut.

Apabila sampai di rumah, saya berfikir kembali hingga dasar paling dalam.

Saya benar-benar kecewa dengan diri sendiri kerana tidak berperanan menolong akhawat itu.

Mulai saat itu, saya menulis di buku nota saya.

"Kesalahan Hari Ini"

Selepas setahun, kesalahan-kesalahan yang telah saya senaraikan itu benar-benar mengubah saya.

Pertama, tulisan-tulisan itu membawa saya jadi berani mengaku kesalahan diri.

Kedua, tulisan-tulisan itu juga melancarkan momentum saya untuk jadi berani mengubah diri.

Ketiga, tulisan-tulisan itu akan sentiasa mengingatkan supaya saya tidak lagi melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang.

Ya, walau hanya dengan tulisan.


Wallahua'lam

Muhd Iqbal Samsudin
Canal Suez, Egypt
1957
220416

11/27/15

(Bukan Resepi) Nasi Goreng Gajah

Sebagai mahasiswa cergas dan kachak, aktiviti futsal pada malam hari adalah satu aktiviti yang penting untuk melunturkan lemak dan mengeluarkan peluh.

Tapi, selalunya kelaut juga aktiviti ni, ibarat menyepak bola ke langit sidratul muntaha, sia-sia saja semuanya, akhir sekali ke bawah juga dia kembali bersama graviti.

Semuanya salah perut, bila habis saja futsal, maka perut pun berqasidah merdu. Tak lain dan tak bukan, cari makananlah jawabnya.

Malam tu kami semua bajet nak makan nasi balado, tetapi disebabkan dah habis, kami terpaksa cari nasi goreng jenis lain, yang boleh senyapkan perut dum dam dum dam kami.

"Nasi goreng ayam besar takde ke bang?"

"Yang besar ni selalunya gajah je.."

"Oooo...Kalau macam tu, nasi goreng gajah ade tak bang?"

Abang tu tak layan!

Kami terus lepak makan dan bersembang tawa.

Bila nak balik, kami nak ambik duit baki kembali. Abang itu bertanya semula, "Eh, sape yang nak nasi goreng gajah tadi?"

Semua senyap. Ambik duit, dan terus balik.

Tak layyannnn!

Hehe.


Muhammad Iqbal
1453
180315

Maidah ar-Rahman

[Maidah ar-Rahman] [Cerita Dari Jalanan]

Pada hujung tahun satu, ketika itu sudah bulan #Ramadan, dan sudah beberapa hari tinggal di Abbasiyah. Pada tahun itu saya tidak pulang ke Malaysia dan memilih untuk berada di Mesir.

Di hadapan imarah(bangunan rumah) kami akan ada meja-meja dan kerusi-kerusi yang disusun panjang di tepi jalan. Lebih kurang pukul lima petang sudah siap tersusun siap berlapik kain putih di atas meja.

Manakala pada pukul enam suku pula, sudah tersiap hidangan makanan-makanan lazat. Pada kebanyakan hari, menu yang akan siap terhidang ialah ayam rubu'(1/4), sedikit nasi, 'aish baladi, salatoh, tahinah, air gas pelbagai perisa sebotol kaca seorang dan air tamar.

Di bahagian atas, direntang kain bertulis tulisan arab 'Maidah ar-Rahman' yang ditaja oleh taukey kedai kereta di situ, 'Ammu Shaady.

Disebabkan hidangan di situ agak lazat dan mewah, maka ramailah masyarakat tempatan dan luar datang berbuka puasa di situ. Saya yang berseorang di rumah kerana tidak pulang ke Malaysia, turut bersama mereka berbuka puasa.

Ketika menunggu saat berbuka, tiba-tiba ada mesej masuk ke dalam handphone, lalu saya keluarkan dari kocek seluar dan baca. Sedang saya baca, rupanya kebanyakan mata tertumpu ke arah saya.

Saya terlupa, saya berada dalam kalangan orang-orang susah yang budiman. Punyalah malu, saya masukkan semula senyap-senyap handphone saya ke dalam kocek dan mulakan kembali bual sembang dengan mereka.

Hari-hari selepas itu, saya tidak lagi bawa handphone, hanya membawa senyuman sebagai bahasa universal yang disukai semua bangsa.

Selalu saya lihat, seorang nenek tua di sebelah saya akan menyimpan 'aish baladi(roti arab) dalam beg plastiknya. Barangkali, itulah bekal makannya untuk dijamah pada waktu malam atau sahur nanti. Boleh jadi juga itu untuk bekalanan makan anak-anaknya. Kebetulan, saya pula jarang dapat habiskan semua 'aish baladi itu, jadi saya berikan saja kepadanya.

Pada awalnya dia menolak, namun akhirnya dia menerima juga, kerana saya katakan saya tidak mampu lagi makan kerana terlalu kenyang.

Saat menerima kepingan 'aish baladi itu, serta merta wajahnya berubah, seakan tiada lagi kerut tua di wajahnya. Bertambah berseri air mukanya. Betapa tinggi nilai sekeping 'aish buat dirinya.

Begitulah pemberian, apabila diberi pada yang memerlukan, ianya akan dihargai setingginya. Laksana beri seringgit kepada orang lapar dan tidak punya wang, sudah pasti dia akan hargai betul-betul dan gembira walaupun sedikit. Tetapi kalau diberi seringgit kepada orang kenyang dan kaya, mungkin yang keluar daripada lohong trakeanya, "Seringgit saja?"

Setelah mula berbuka, selalunya saya akan jadi antara insan terakhir habis makan walau sudah cuba makan selaju mungkin, namun tetap juga arab menang mendahului. Tidak sampai lima minit sudah selesai, cepat betul!

Mereka boleh meneguk sebotol besar Pepsi atau minuman bergas yang sangat kuat gasnya bagi saya, dengan hanya sekali teguk sahaja. Hingga hari ini saya masih hairan dengan mereka. Hebat sungguh.

Walau bagaimana pun, saya percaya, pengalaman-pengalaman sebeginilah yang akan menari-menari meniti di benak fikiran setelah pulang ke tanah air nanti.

Hargailah masa-masa yang ada dan masyarakat di sekeliling kita. Luaskan perantauan, selami perbezaan, dalami persefahaman.


image


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0856
280615
11 Ramadan 1436

Chincha Malizia

[Cerita Dari Jalanan]

Hari hujan.

Renyai, dan kadang-kadang melebat juga.

Titis-titisnya tegar mencium kepala dan pipi, apatah lagi si tanah gersang. Keadaan yang sudah sedia sejuk, jadi bertambah dingin, menggerit halus isi jasad.

Saya melewati kawasan Gami' sambil membawa bebanan berkilo-kilo untuk pulang ke Abbasiyah.

Pada larut malam sebegitu, atas asbab keselamatan, melalui Gami' adalah pilihan tepat berbanding lalu di kawasan Souq Sayyarat, kawasan puaka dan lubuk buat haromi(perompak) arab dan kaum kulit hitam.

Terus melintas dua jalan besar. Bercadang mahu naik bas(yang ada tempat duduk kosong) saja, lebih murah dan selesa kalau mahu membaca, tetapi yang ada hanya tremco. Tidak mengapalah, naik sahaja, zulumat makin lumat, mahu cepat.

Sambil buat isyarat tangan untuk pergi ke Ramses, sebuah tremco berhenti.
Saya bertanya," 'Abbaseyyaa?"

Makhraj sebutan kena betul, jika tidak arab payah nak tangkap perkataan kita dan kita perlu ulang banyak kali, saya benci ulang cakap.

Si pemandu mengangguk, "Aiwah!"

Saya tengok belakang, hanya ada seorang penumpang. Dua tempat duduk di hadapan pula kosong. Agak bahaya juga kalau tidak ramai penumpang, tetapi yakin sajalah, saya terus celapak naik ke tempat duduk hadapan.

Selesai meriba bebanan-bebanan, saya melurus kaki untuk mengambil wang tambang dalam kocek.

" Ugrah bikam?" Bertanya juga walau sudah tahu, sebagai buah mula bersembang lebih panjang selepas ini.

" Ithnin wannus"

Saya terus beri kepadanya.

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba dia bersuara.

"Enta minnin?"

Soalan masyhur orang arab.

Saya jawab dengan nada seorang letih yang asyik berkawat Sabi'-Asyir-Abbasiyah seharian, "Malizia..."

Dia tiba-tiba bersuara lagi, "Aqqu CHINCHA Malizia..."

Mata yang kuyu tiba-tiba membundar, "Eihhh?"

Sekali lagi dia mengulang perlahan satu persatu, "Aqqu... CHINCHA... Malizia..."

Saya dia seminit. Jeda.

Berfikir dalam, apa sebenarnya yang dia cakap. Chincha? Dia cakap Korea? Serius? Ah, tak mungkin. Virus kpop belum merebak besar dalam kalangan orang Mesir.

Dan...tinggg!

Dapat ideaaaa.

Belum sempat saya cakap, pemandu itu bercakap lagi.

"Ana bihibb Malizia..."

Ketawa saya puas-puas dalam hati, ingat cakap apa...lah tadi.

Saya balas, "Mish CHIN..CHA ya sodiq, bassa CIN..TA!"

Meneruskan perjalanan dan tipikal arab jenis ini, akan terus buka cerita puji orang Melayu dan puji kemajuan Malaysia, dari Mahathir sampailah ke Putrajaya, hinggalah akhirnya aku sampai di akhir kubri(fly over) Abbasiyah.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
2047
060615

Ustaz Indonesia dan Kisah Mengundi

Malam itu saya perlu mengambil barang di kawasan berdekatan Rab'ah, tempat bersejarah berlakunya peristiwa Rab'ah yang telah banyak mengorbankan rakyat Mesir dan kebenarannya masih belum terungkap dari balik yang mana.

Terjun dari Tremco, puas saya mencari Ta'min as-Sihhiy, kata ustaz itu berdekatan dengan Al-Azhar Conference Center, saya terus mencari sembari bertanya masyarakat setempat dan akhirnya berjumpa juga.

Saya tunggu di kedai bunga di simpang jalan supaya mudah ustaz itu jumpa saya, tetapi akhirnya kami bertemu di hadapan Unionaire bersama adik ustaz itu yang masih kecil.

Rupanya, beliau orang Indonesia dan adiknya yang masih kecil itu turut ikut belajar tahfiz di sini, comel romannya.

Sedang saya memeriksa barangan, ada satu bungkusan lagi pula yang tertinggal, dan terus ustaz itu mengarahkan adiknya mengambil bungkusan itu di rumah mereka.

"Adik, naik ke atas ambil lagi satu bungkusan yang ada tulis ibnuDDin's Book Shop, bawa turun ke mari..."

Sambil-sambil menunggu, dia menanyakan saya beberapa perkara.

"Ustaz Malaysia asal mana ustaz?"

"Oh, Kedah."

Dia berseloroh, "Uih hang mai dari Kedah noo..."

Saya senyum.

"Ustaz Indonesia di mana ya?"

"Saya di Medan ustaz. Tapi saya sudah lama kerja di Malaysia, adik saya pun ada belajar kat sana, Darul Hikmah, tempat ABIM punya."

"Ustaz Kedah di mana ya ustaz?"

"Saya di Baling, ustaz tahu ke? Ustaz kerja apa di Malaysia?" (punya la pulun cakap key ell)

"Tahu ustaz, Air Panas Ulu Legong, Lata Bayu, Pekan Baling semua saya dah sampai ustaz. Saya kerja di bahagian kargo di Penang. Dah lama saya duduk Malaysia, saya cakap Penang pun dah boleh."

"Wah, jauh ya ustaz merantau.."

"Jauh ustaz, kawan saya dari Perlis yang bawa saya kerja di Malaysia, macam-macam saya dah buat." Bersemangat penuntut tahun tiga usuluddin itu bercerita.

Dia menyambung, "Bukan setakat itu saja, kami di sana siap boleh mengundi lagi di Baling masa pilihan raya lepas, tapi kawan-kawan saya ada juga yang undi P**, tak undi U***. Lepas undi, terus pergi ke pejabat U***. Itu ketua Tabung Haji sekarang, Az**z Rah** sudah janji mau bagi duit. Kawan-kawan saya yang mengundi semua pergi ambil."

Adik ustaz itu datang, dan kami terus timbang semua barang dengan penimbang digital, kerana ustaz itu mahu kiraan yang tepat, tidak mahu saya tertipu dan dia takut nak jawab di hadapan Allah nanti.

Entahlah mahu kata bagaimana, tetapi yang jelasnya saya malu mendapat pemimpin yang begitu. Masyarakat yang dangkal ilmu dan susah, diumpan dengan duit, untuk memberi undi. Entah sampai bila perkara ini akan berlarutan.

Selepas bayar dan berterima kasih, saya terus bergerak membawa beban berkilo-kilo barangan menaiki bas pulang semula ke Abbasiyah. Syukur rezeki dapat bas yang lalu di jalan Abdou Basha, tidak perlu lagi jalan jauh-jauh balik ke rumah.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2128
040615

Seluas Mana Pandanganmu?

"Aku sudah banyak berjalan, tapi mengapa tetap juga dirasa tidak luas segala pandangan aku?"

"Kau nak tahu 'pandangan' kau itu sebesar mana?"

"Sebesar mana?"

"Kau tengok skrin telefon kau. Hah, sebesar itulah!"

"Kenapa?"

"Masa kau pergi berjalan, bukan kau berfikir sangat pun. Kau main telefon kau saja lebih. Sebesar itu sajalah pandangan kau."

"Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; 
yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir!
Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka." 
[Surah Sad 38 : 27]

image
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? [67:3]

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1040
110215

Tisu Deria Biasa

[Tisu "Deria Biasa"] [Nota Jalanan] [Nota Si Peniaga Buku]

Ralit saya membelai rasa sambil-sambil mengulit Merantau Ke Deli karya HAMKA dalam tremco. Di sebelah saya ada seorang perempuan arab, tiba-tiba menjerit kapada pemandu di hadapan, " Ala gambe yastho!", sambil membuat gaya ala-ala panggil waiter.

Tremco pun brek mengejut dan berhenti di tempat yang sedikit berair gara-gara hujan renyai sebentar tadi. Seperti biasa, saya perlu turun dahulu untuk beri laluan kepada perempuan arab tadi untuk turun ke destinasinya.

Setelah dia turun dengan selamat, saya pun ingin naik semula, tremco seperti biasa sedikit-sedikit telah berjalan, malangnya kasut saya bukanlah kasut ASADI yang boleh cengkam kuat tempat naik itu dengan baik, tremco mula memecut, lalu saya jatuh terjelepok menghandas tar bertongkatkan siku tanpa sedar.

Ah, bagai Rikishie menghentam kepala, malunya bukan kepalang.

Bangkit dari jatuh terus cepat saya masuk ke dalam tremco, duduk di depan di samping jendela (tapi tak nyanyi la Aku Tanya Apa Khabar, Aku Tanya Apa Khabar).

Pemandu beralih kepala kepada saya, lalu mentertawa sambil berkatakan sesuatu. Saya tak ambil pusing, takut-takut naga merah dalam badan saya keluar makan pemandu itu. Lantas, buku di tangan kembali dibuka berpura cool.

Tiba-tiba ada jari runcing mencuit bahu persis mahu meminta menjadi makmum. Pelik, terus saya toleh melihat.

Rupanya, ada gadis manis di belakang menghulurkan sehelai tisu dari beg tangannya sambil menyuruh saya mengelap siku saya. Tergamam saya, sembari mengucapkan terima kasih.
Saya letakkan buku dan mula mengelap kotor di siku, "Eh ada luka jugak rupanya..."

Tinggi betul common sense gadis arab ni, kalau saya mungkin tak sampai tahap itu, sebab saya selalu tak bawa tisu. Nasib baik buku-buku yang akan dihantar tak rosak, syukur. Kalau rosaknya, alamatnya berkelah makan sowabi' bil lahmah bersama pelanggan-pelanggan di hadapan Arabiata sajalah gamaknya.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2159
290315

11/26/15

Dinamika Dinamit

[Cerita Dari Masjid] [Nota Jalanan]

Usai solat subuh. Udara terhad metropolitan Kaherah menusuk berlumba memasuki rongga hidung hingga sampai ke daerah paru-paru bagi membekal oksigen yang lebih berkualiti. Maklumlah, Kota Kaherah ini terkenal dengan indeks pencemaran udara yang paling teruk di dunia.

Syukur juga dapat tidur lebih awal semalam selepas lelah membaca satu buku travelog santai perihal ekonomi, akhirnya dapat bangun sedikit awal memerah keringat otak.
Ketika melangkah keluar, aku cuba ingat kembali surah apa yang dibaca imam dalam solat tadi. Ustaz-ustaz selalu cakap, kalau mahu uji solat yang telah dikerjakan lalai lewa atau penuh ruh khusyuk,  boleh cuba ingat kembali surah dan ayat mana yang dibaca oleh imam. Itu satu petanda baik yang kita fokus dalam solat.

Ya, tidak syak lagi, imam muda tadi membaca surah ad-Dukhan. Imam menyambung kisah Nabi Musa dan Fir'aun di muka surat kedua dan seterusnya perihal neraka dan syurga di muka surat ketiga. Permulaan surah pada muka surat pertama sudah dibaca dalam solat isyak semalam. Walaupun ada juga yang tersalah, namun makmum masyarakat arab di belakang kebanyakannya penghafaz al-Quran. Terus akan tegur jika ada kesilapan, tanpa ragu-ragu.

Entah mengapa, dalam perjalanan pulang di lorong kosong dilimpah zulumat itu, perut seakan merintis lama merungut kosong, mahu dirinya diisi, rentak borborygmus seraya memain lagu balada.

Melintasi gerai to'miah di lorong itu sepertinya telah membawaku ke daerah rindu pada keenakan dan kerangupan to'miah yang dicampur dengan pelbagai adunan lain. Jiwa marhaen Mesir sedikit sebanyak sudah merasuk jasadku.


image
Gerai kecil biasa yang menjual to'miah. [Lokasi : Darrasah]

Aku seluk poket, 'Alhamdulillah, ada sepuluh genih!'

Gembira tidak terkata. Musim-musim 'puasa-belanja' ini memang sukar untuk ada duit dalam poket, takut-takut 'terbeli' macam-macam, makan apa saja makanan yang berada di rumah,  jimat! Kenal nasib diri bukan macam insan lain.

Bau fuul, to'miah dan shakshukah benar-benar merangsang cerbral cortex, setelah membayangkan keenakan sandawich Dinamit. Tanpa ragu rangsangan itu menyelinap masuk salivary center dalam medulla, dan terus ke saraf autonomik dan kelenjar salivary. Natijahnya, terliur-liur aku membayang kelazatan dinamit. Borborygmus dari perut makin meliar meluah rasa.

'Ah, ini tak boleh jadi ni, kena pergi jugak ke kedai to'miah yang sedap tu...' Jerit batinku dengan nada dengus.

Pernah aku beli beli Dinamit di gerai lorong itu, tetapi rasanya tidak seenak di kedai yang selalu aku beli. Bahkan, aku memang kurang yakin dengan kebersihannya. Dengan pekerjanya yang kurang bersih dan dijual pula di tempat yang agak kotor.

Lalu, aku terus melangkah ke kedai to'miah kegemaran komuniti Melayu di sini. Aku lihat seorang pak cik tua yang sering menyantuni warga Malaysia dengan baik itu, setia menunggu di kaunter. Barangkali dua juga baru lepas solat subuh. Tepat pada waktunya, tak perlu bersesak-sesak dengan pembeli-pembeli arab yang lain.

Aku terus berjalan menuju ke dalam kedai, setelah memberi salam kepada pak cik tersebut. Nampak dia sedang sibuk di kaunter. Dalam kedai pula, seorang pemuda ceria sedang memotong 'aish(roti arab) jenis shami sebagai persediaan untuk dibuat sandwich nanti. Aku kenal dia, namanya Ramadhan, persis nama bawab rumahku yang dulu.

Lantas, dia memulakan bicara, "Kau pelajar Universiti Ain Shams kan?"

Aku jawab, "Ya...".

Dia terus menyambung soalan, "Hari ini dengarnya akan ada muzaharot(demonstrasi) besar-besaran, betul ke?"

Soalan begini aku sudah biasa, lalu aku sudahkan dengan jawapan biasa bercampur realiti semasa, "Aku tak tahu ada atau tidak hari ini, sebelum ini ada, tapi tak besar sangat pun, kecil-kecil saja..."

Soal muzaharot tersebut terhenti apabila pak cik di kaunter bayaran tadi masuk ke 'gelanggang' persediaan makanan dan berkata, "Eh, yang itu bukan kuliah Tibb(perubatan), itu semua berlaku di kuliah-kuliah Ain Shams yang lain."

Tanpa berlengah, terus aku pesan satu Dinamit kepada pak cik itu. Persoalan politik Mesir ini tak boleh dibicara banyak, terlalu sensitif. Dia tidak bertanya banyak, dia terus buat berdasarkan pengalamannya yang sudah dikira masak dengan selera warga Malaysia di sini.

Dinamit jarang-jarang dibeli oleh marhaen Mesir oleh kerana harganya yang agak mahal, sekitar LE3.00 ke LE3.50. Namun, aku sudah gemarkannya sejak di awal perkenalan aku dengan makanan Mesir. Ustaz-ustazlah insan yang bertanggungjawab memperkenalkan dan memasyhurkan dalam kalangan kami.

Ianya mahal kerana inti isinya diisi dengan segala macam rasa. Ada to'miah, telur, fuul, shakshukah, jejari kentang, mashed potato, potato chip, terung goreng pedas. Penuh!
Tambah-tambah, kalau diisi dalam 'aish baladi, maka bertambah banyak dan kenyanglah jadinya. Namun, atas faktor kebersihan, aku lebih gemar makan menggunakaan a'ish shami. Lebih bersih walau kecil sedikit.

image
Dinamit yang telah dimakan sedikit. Tak tahan lapar.


'Aish baladi saiznya lebih besar, murah dan dimakan kebanyakan warga Mesir, bahkan 'aish subsidi kerajaan juga menggunakan 'aish jenis ini untuk diberikan kepada rakyat. Manakala, 'aish shami pula lebih lembut, bersih dan mahal, walaupun saiznya lebih kecil.

Dinamakan 'aish pula katanya kerana 'aish itu sendiri bermaksud 'hidup', dan masyarakat warga Mesir memang makan apa sahaja menggunakan 'aish ini untuk meneruskan kehidupan.  Ringkas kata, jika di Malaysia makanan ruji kita nasi, maka di Mesir makanan ruji mereka ialah 'aish.

Pagi-pagi begini seronok pemandangan di kedai to'miah ini. Bau-bau makanannya mampu menggodam minda. Semuanya segar bugar baru dimasak dan keadaan kedai belum sibuk. Setelah bilah-bilah cahaya mentari menujah cahayanya ke tanah, mulalah arena sibuk di kedai ini.

Walaupun to'miah dan makanan-makanan warga Mesir yang lain berlambak-lambak, namun tidak ramai Melayu yang suka makan. Kebanyakan warga Malaysia yang menjadikan makanan arab seperti ini sebagai pilihan ialah pelajar-pelajar yang status kewangannya kurang dan perlu memilih makanan murah, sebagai langkah penjimatan.

Teringat aku semasa di kursus persediaan bahasa arab sebelum datang ke Mesir, ada satu video yang telah ditayangkan kepada kami.

Video itu bukanlah video baru, tapi video itu jelas memberikan kesan yang lebih mendalam ketika menonton pada saat itu, kerana ketika itu lagi beberapa bulan sahaja kami akan bertolak belajar di Mesir.

Video tersebut memaparkan seorang marhaen Mesir yang fasih bercakap bahasa Melayu longat Kelantan, atau dalam bahasa mudahnya, 'kecek kelate'. Beliau juga mengaku beliau sudah menggemari budu.

Satu kata-katanya, yang masih saya ingat ialah beliau nyatakan bahawa orang Melayu di Mesir, kurang gemar makan makanan masyarakat arab Mesir. Maka jadinya bagaimana mahu fasih berbahasa arab dengan lahjah bahasa yang betul?

Kata-kata itu aku renung hingga hari ini.

Aku ingat juga kata guru al-Quran aku di sekolah dahulu, Ustaz Abdul Talib, kalau mahu ikut cara bacaan al-Quran yang tepat, perlu lihat betul-betul mulut guru yang mengajar, ikut dan latih. Barulah dapat amalkan bacaan dengan betul.

Dinamit itu aku bawa balik ke rumah. Tambah padu 'meletup-letup' rasanya apabila ditambah sos cili.

'Alhamdulillah... Syukur.'

Moga-moga dengan makanan apa sekali pun, ianya tidak sekadar memberatkan perut dan menjadikan kita malas melakukan ketaatan kepada-Nya dan banyak pula kelaratan berbuat dosa durjana.


image
Sandawich To'miah atau nama lainnya Falafel. [Credit to Google]


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
2105
141114