Showing posts with label mesir. Show all posts
Showing posts with label mesir. Show all posts

12/29/21

Tiada Pulang



 Sungguh,

terasa masa sudah banyak dibazirkan dengan hiburan.


Oh ruginya.


Doraemon tiada untuk kita pulang ke masa lalu.


Yang boleh hanyalah menghargai masa yang kita ada sekarang.


___

Muhd Iqbal Samsudin

2013

Akad



Budak-budak Mesir kalau bab akad dengan sekali lafaz ni fasih sangat dah.


Yalah, kadang sampai setiap tahun, kadang setahun dua tiga kali pun ada.


Dulu-dulu masa first time akad di Mesir, lepas saja akad terus mesej mama (masa tu tak ada WhatsApp lagi).


"Alhamdulilah mama, akad hari ni semua lancar dengan sekali lafaz saja."


Punya terkejut mama.


Hampir nak marah dah, sebab sebelum bertolak ke Mesir mama dah siap habaq dah, jangan gatai nak kahwin di Mesir, apa-apa pun balik Malaysia.


Mujurlah sempat beritahu.


"... akad rumah sewa."


😁


#CatatanMetropolitan 

2013

5/2/18

Fakkah


Ini satu senario dan masalah buat yang tinggal atau berkunjung ke Mesir.

Masalah fakkah.

Fakkah = Duit pecah.

Yang namanya Arab ini, kalau kita orang Melayu berurus niaga beli apa-apa dengan dia, kalau kita bagi duit besar, selalu sungguh dia pulangkan duit kertas yang koyak atau lunyai teruk(مضروب).

Ianya tak jadi masalah kalau masa beli dengan mereka, mereka boleh terima duit yang semacam itu. 

Masalahnya, mereka cukup tak terima duit macam tu. Tak ada duit kecil pun selalu tak bagi beli, apatah lagi kalau duit koyak lunyai. Itulah Arab Mesir. Mereka suka berniaga, tapi tak tahu menghargai pelanggan.

Jadi, kalau mereka bagi duit koyak atau lunyai, cepat-cepat minta tukar.

Cakap, "Mumkin baddillu?"

Maksudnya, "Boleh saya tukar?"

Selalunya dia bagi saja tukar. InsyaALLAH.

Duhai Melayu, jangan biar dirimu dizalimi lagi.


____

Muhd Iqbal Samsudin
020516
#CatatanMetropolitan

6/8/17

Puasa dalam Haba




Hari ini suhu di Kota Kaherah sekitar 42°c. Tempoh puasa pula hampir 16 jam. Di pertengahan dan hujung musim panas ini nanti, barangkali akan lebih tinggi dari ini.

Sangat mencabar untuk pergi ke kelas di hospital dan menjalankan urusan harian di sana sini.

Buat yang ALLAH berikan taufiq untuk bertahan, iman yang tegap, InsyaAllah akan mampu bertahan​.

Perjalanan mahu ke hospital pagi ini saja saya lihat pekerja-pekerja lelaki dan perempuan selamba saja makan roti dan minum shai berasap di tepi jalan. Entahlah, barangkali mereka ada uzur. Husnuzhon sajalah.

Di tepi-tepi jalan, pekerja-pekerja yang mengutip sampah dan membersihkan jalan masih setia berjalan menjalankan kerja di bawah terik panas mentari.

Askar-askar pula gagah berjaga entah berapa jam di atas kereta kebal dan di tembok kubu mereka, sambil memegang senjata berat. Polis-polis juga sama, di tepi jalan kuat berdiri menjaga keselamatan rakyat.

SubhanAllah, kuat dan mulia sungguh mereka.

Dalam keadaan panas-panas begini juga, pujian dan tanda hormat patut kita berikan pada muslimah-muslimah yang masih istiqamah memakai pakaian labuh menutup aurat.

Sedang sa-orang laki-laki seperti saya yang memakai baju nipis ini pun bahangnya sangat menyiksa, apatahlah lagi buat mereka. Hail to them!

Datanglah apa jua cabaran, apa jua musim, sejuk atau panas, perang atau aman; tatkala iman masih ada, kita senantiasa akan rasakan bahawa ALLAH melihat setiap apa yang kita lakukan.

Daya ihsan sama sekali tidak sirna.

Terutama ibadah puasa yang sedang kita jalani ini, hanya kita dengan ALLAH sajalah yang tahu.

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ [11:88]

#CatatanMetropolitan
#PelukRamadanDenganTaqwa


______
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
070617

5/2/17

Pukul Berapa Sekarang?




Bila anda baru menjejakkan kaki ke bumi Kaherah ini, anda akan perasan Arab suka bertanya satu soalan bila bertemu dengan kita orang Melayu.

Soalannya mudah saja, "Sa'ah kam dilwakti (pukul berapa sekarang)?"

Tetapi soalan ini dapat menjawab banyak persoalan lain selain dapat tahu pukul berapa sekarang.

Ada beberapa tafsiran berkenaan Sa'ah Kam Dilwakti menurut pengalaman kecil saya.

.

[1] Memang dia mahu tahu pukul berapa.

Selalunya, ketika disoal oleh mereka, kedudukan anda tidak jauh dari masjid atau di stesen pengangkutan awam, dan tidak ada orang Arab lain atau manusia lain di situ. Itu selalunya memang soalan ikhlas daripada mereka. Memang dia nak tahu pukul berapa.

.

[2] Nak menguji.

Ketika ditanya, anda dapat lihat ada ramai lagi orang Arab yang memakai jam, bahkan terpampang jam besar di situ, tetap juga dia nak bertanya anda. Atau kadangkala anda sudah tunjukkan jam anda, tetapi dia tetap nak anda sebut juga.

Itu selalunya mahu menguji.

Pertama, ingin menguji anda pandai cakap bahasa pasar 'ammi Mesir atau tidak.

Kedua, daripada gaya anda bercakap, boleh dikesan sama ada anda orang baru atau sudah lama menetap di sini.

Kalau anda dapat menjawab, dengan baik insyaAllah selamat.

Kalau dijawab kurang tepat atau tak dapat jawab langsung atau dijawab dengan bahasa Arab fus-ha, dari situ anda akan dilihat sebagai seorang yang berpotensi besar untuk ditipu atau  dipermainkan. Ya, Arab ni memang ramai yang jenis jahat!

.

Jadi bagaimana mahu mengatasi masalah ini?

Sahabat saya Ahyad pernah ajar saya, kalau memang nampak si Arab ini memang jenis mahu menguji, serang kembali dia dengan satu pertanyaan selepas dia bertanya kepada anda.

"Enta 'āiz kam (hang nak berapa)?"

Selalunya bila saya buat begini, memang Arab akan angkat tangan dan pergi meninggalkan kita.

Selamat mencoba, terutama buat sahabat-sahabat yang baru jejakkan kaki di bumi barakah ini.



#CatatanMetropolitan

_______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
300417

4/19/13

Kerapuhan.


Saya punya sebuah meja studi. Selain buku dan alat tulis, di hadapan saya juga saya letakkan banyak kertas-kertas kosong. Fungsinya, pastilah untuk ditulis.

Apa sahaja yang mahu diluahkan secara ekspress, luahkan terus. Tulisan itu akan direkod dan insya-Allah berpontensi untuk berkekalan.

Dalam folder 'Writing Till Jannah' juga, saya masukkan perjalanan hidup saya, " Dari Charok ke Lapangan Juang". Semuanya, untuk saya lihat kembali suatu hari nanti, insya-Allah. Hidup bukan sekadar hidup, hidup biar meninggalkan kesan, tinggalkan perkara bermanfaat untuk orang lain.


12.4.2013

Ya Allah. 
Saat ini jelas terasa berat yang dipikul,
sudah terlalu berat. 
Tidak berdaya ku mengangkat. 
Disarati amanah dan masalah yang berat.
Andai ini kafarah dosa-dosaku yang dahulu,
tiada lagi yang terasa berat. 
Redha dan Rahmat-Mu sahaja mahu ku dapat.


nota kabur.


Tenangnya jiwa dan hati orang beriman, ialah dengan diisi hanya dengan mengingat Allah Ta'ala.

Saat musibah membelah-belah, nangislah walau kita gagah.

Terkadang, kerapuhan melambangkan kekuatan dan kelembutan.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
19.4.2013
9.32 a.m


4/9/13

Menjahit Lipatan Rindu.


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang.


Memang sejak kecil, saya aktif bermain di sana sini. Pelbagai permainan dicuba. Sudah jadi kebiasaan seorang anak kampung, meluangkan masa petangnya, bahkan kadang-kadang bukan sahaja petang, pagi petang dan malam pun masih aktif diluar lagi untuk bermain di seluruh pelosok kampung.

Pabila besar, saya rasakan tidak sia-sia menjadi seorang anak kampung dan betapa beruntungnya saya dapat melalui semua itu. Terasa masa kanak-kanak saya benar-benar dimanfaatkan, seronok!

Mana tidaknya, membesar di kawasan yang dikelilingi kehijauan dan kicauan, memang mendamaikan jiwa. Hatta hingga kini saya sangat merindui saat itu.

Bersembunyi sambil menikmati buah-buahan di atas pokok, lawan menyeberangi sungai dengan berenang, melastik burung-burung, mandi parit, terjun dalam sawah bendang, menembak dengan bijian buah terung, mengacau sarang tebuan dan temingat, panjat pokok untuk melihat sarang burung dan melihat anak-anaknya yang comel. That's the way I grew up.


Jahit.

Namun di sebalik keaktifan itu, banyak yang menjadi mangsa. Antaranya ialah pakaian saya. Paling teruk, pastilah seluar saya.

" Mama, seluaq abang terkoyak la, mama jahit sat..."

Sambil mama berleter panjang, pasti natijah akhir yang diperolehi adalah perkara yang sama.

" Mai sini nak tengok, biaq mama jahit. "

Walau panjang mana leteran, ke situ juga akhirnya.

Apabila melihat mama semakin sibuk dengan kerjanya, saya tak sanggup menyusahkan mama. Jadi saya belajar menjahit sendiri setiap kali pakaian saya terkoyak. Walau sentuhan jahitan saya tidaklah semulus seorang ibu, namun ianya cukup untuk saya pakai dan teruskan bermain untuk esok, tak perlulah beli yang baru. Keluarga kami bukan keluarga berada.

Sama juga situasinya dengan memasak. Setelah melihat mama sibuk dan letih setelah pulang dari kerja, saya belajar sendiri, tak sanggup mahu mengganggu mereka. Belajar hidup berdikari. Bahkan, sejak berumur 4 tahun, saya rasa saya telah belajar buat susu sendiri. Hehe.

Tengah saya membaca physiology, membaca berkenaan presbyopia, saya benar-benar teringatkan mama.

" It starts at age 40 years and becomes complete at 50 years. Accordingly reading or close work. e.g. threading a needle become very difficult."[1]

Kalau mama mahu mulakan jahitan, sayalah antara orang yang akan dipanggil mama untuk memasukkan benang ke dalam jarum. Hingga kini, tatkala mahu memasukkan benang ke dalam jarum untuk menjahit, saya mesti teringatkan mama. Rindu...

" Kalau dulu-dulu, mama yang tolong nenek masukkan benang ni. La ni hang pulak yang kena tolong mama..."

Senyum berseorangan mengenangkan semua ini.


Lipat.

Jika di asrama, saya kurang melipat pakaian. Semuanya gara-gara loker asrama yang agak besar saiznya. Jadi saya hanya menggantung semua pakaian saya, kalau ada yang perlu dilipat, ianya hanya sebilangan kecil.

Saya masih ingat, ketika saya mahu masuk ke asrama pada awal dahulu, mamalah yang mengajar cara melipat pakaian. Walaupun ada yang menayangkan kepada saya sebuah video, seorang wanita jepun yang mengajar cara melipat dengan cara yang cepat, namun saya hanya mengamalkannya semasa situasi sibuk di asrama sahaja. Tetapi kini, saya masih tetap mengamalkan cara lipatan yang mama ajarkan dahulu.

Di rumah dahulu, waktu mama melipat baju ialah waktu yang seronok bersembang dan mengacau mama. Masa kecil mungkin banyak mengacau, mengenjah apa yang telah dilipat mama. Mama marah sekejap,dan lipat kembali.

Tetapi bila semakin matang, saat itu banyak digunakan untuk bersembang dengan mama. Terutamanya bila balik dari asrama untuk bercuti di rumah. Sembang-sembang santai. Lebih sweet jika saya letakkan kepala di atas paha mama.

Sama juga keadaannya, kini apabila melipat pakaian yang sudah kering, inilah perkara yang laju menerjah minda. Di tambah berada jauh dari tanah air, boleh membuatkan air mata turun dengan sangat tak disangka-sangka. Nostalgia.


 Jahit + Lipat+ Rindu.

Sedar tidak sedar, sudah hampir dua tahun saya tidak pulang ke Malaysia. Rindunya usah ditanya. Saya sendiri tidak menyangka boleh berpisah selama ini. Sungguh syahdu.

Belajar bukan sekadar belajar, sambil belajar kita juga belajar untuk berkorban.

Dengan ini, saya dengan sayu dan syahdunya, menjahit lipatan rindu ini. Tidak sabar lagi mahu lepaskannya. Insya-Allah panjang umur dan dimurahkan rezeki, saya pulang. Ameen.

# Sambil mendengar lagu-lagu raya :)

[1] Lecture Note On Physiology For Medical Students, Faculty of Medicine Ain Shams University, Volume IV, Page 244.

Saya rindu mereka. Sungguh!



Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.


3/14/13

Arnab


Selepas selesai solat zohor di masjid berdekatan dewan kuliah, teman serumah datang merapati saya.

" Kejap lagi kau tolong belikan arnab kat pasar, aku nak masak."

Saya renung wajah dia tiga saat. Berhajat mahu buat muka terkejut ala-ala 9GAG, tapi tak jadi disebabkan saya rasa saya sudah dengar gosip-gosip di ruang tamu semalam mengatakan ada yang mahu masak arnab esok.

" Awat hang tak pi?"

" Aku ada kelas physio kejap lagi..."

" Aku pun tak balik rumah lagi sat gi, nak duk kat sini sat. Suruh la orang lain beli dulu."

Dia beredar dan pergi mencari pengganti pembeli arnab yang lain.

Nampak dia minta tolong rakan sebiliknya, saya senyum kerana ada yang sudi menolong dia.


*  *  *


Dengan takdir Allah, akhirnya saya yang membeli arnab pada hari itu. Dengan berat hampir dua kilo, saya belinya dengan harga LE42 di pasar.

Balik sahaja di rumah, semua ahli beit datang melihat. Benda first time beli, nak buat 'rare', maka beginilah ragamnya.

Ada yang pegang-pegang.

Picit-picit.

Angkat, letak balik.

Ambil gambar untuk post di instagram.

Ambil gambar untuk kenangan.


Lalu, datang seorang lagi rakan serumah.

" Huish, beli arnab ka?"

Dia turut membelek-belek, seperti sahabat lain.

Tapi dia ini, pelik sedikit. Bukan sahaja tekan-tekan pada arnab itu, tetapi dia juga mendekatkan muka ke arah arnab yang telah disembelih itu.

" Hang tengok pa?'

" Tak dak pa, aku tengok pupil dia."

" Awat? Jadi lagu mana?"

" Tengok, pupil dia duk dilate ja."

" Haa, lekaih ambik torch light henset hang, hang suluh tengok."

Dia menyeluk poket, lalu hanphone dikeluarkan. Torch light dihalakan di bahagian peripheral mata arnab itu, tidak direct.

" Kan, tengok tu. Pupil dia dilate, fixed ja, lepas tu tak react pun bila suluh. " Cekap dia mendiagnosa.

" Aku tau, ni mesti 4th stage of anasthesia, death!" Saya terus buat kesimpulan.

Dia senyum.

Kari asam pedas arnab pada malam itu berlangsung dengan jayanya. Beberapa orang jiran tetangga turut terlibat.

Sedap.

"Tapi mahai..."



Tara...

Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
13.3.2013
6.44 p.m




3/5/13

Orang-orang Besar.


" Eh, kenapa bila hang cakap dengan aku, hang asyik sembang pasai kahwin, pasai jodoh, pasai akhawat?

Dia masih lagi muka kering, sekering biskut marie.

" Aku pun tak tahu. Dengan orang lain aku jarang cakap benda-benda macam ni, tapi bila sembang dengan kau je aku sembang benda macam ni."

Terkedu.

" Oh, kat aku jugak hang bubuh noh. "


*  *  *


Malam itu, jika hendak diikutkan kalender masihi, itu malam terakhir dia berumur belasan tahun.

" Hoi, hang nampak file physio aku dak, time nak guna la nak cari tak jumpak..."

Sambil terus meneroka dan terus menyelak-nyelak.

" Dak. " Jawapan ringkas menandakan kekhusyukannya sudah mencapai tahap 'qad aflahal mukminun'.

" Larrr, hat ni jugak yang aku jumpak..."

" Apa dia?"

" Sijil Kursus Nikah. Hahaha. "


*  *  * 


Lazimnya, berjumpa senior yang sudah berkahwin, sembang yang ada potensi untuk dipanjangkan, tiba-tiba menjadi perkara yang mesti diringkaskan. Entah.

" Assalamualakum, abang sihat noh.."

" Waa'alaikumussalam, alhamdulillah sihat je...Ahli beit semua ada?"

" Ada ja semua..."

" Diorang sihat? "

" Alhamdulillah, setakat hari ni depa semua sihat ja..."

" Tak pe la, ana nak kena pergi dulu ni..."

" Oh tak pa, ada masa free mai la rumah."

" Insya-Allah..." Sambil berjalan.

Sang senior berhenti.

" Eh, ana tengok enta ni dah tak lama dah..."

Dia mengangkat kening hairan.

" Tak lama pa bang?"

" Haaa, ada la..."

Dalam hati, dua sahaja dia fikirkan. Satu, dah tak lama sangat dah nak hidup di dunia fana ini. Kedua, dah tak lama nak berpasangan hidup.


*   *   *

" Kau nak tahu ciri-ciri orang yang nak kahwin macam mana?"

" Apa?"

" Dia senyap je, tak bincang pun pasal kahwin sangat. Tup tup dah ada pengumuman."

" Ooooo. Patut enta senyap noh."


*   *   *


STOP.


Serius tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Peace.



Bukan mudah mahu bina sebuah rumah. 



Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
4.3.2013.
10.19 p.m

1/23/13

Fikir.


Fikir.




Berfikir, ia nampak mudah.

Namun reliti, ia susah.

Ianya kenyataan. Berapa ramai yang waras dalam dunia ini, yang jadi pemikir? Padahal semua yang berakal sihat mampu berfikir.

Yang membezakan ialah kualiti hidup kita. Malas atau Rajin?

Sebab itu adanya pepatah, 'belakang parang jika diasah, boleh jadi tajam'.

Maka, sebab itu saya fikir, dalam al-Quran, banyak sekali ayat yang menyatakan sangat sedikit golongan yang bersyukur.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur"." (Al-Mulk 67:23)

Bersyukur, sekadar di lidah mungkin mudah, namun menzahirkan kesyukuran dalam bentuk perbuatan, tidak semua mampu. Kerana, untuk bersyukur, nyata seseorang itu perlu berfikir. Berfikir, berfikir dan berfikir.

Walau pahit untuk ditelan, perlu juga diakui, ramai yang malas berfikir.

Kerana itu, kita lebih mudah menonton dan mendengar banyak perkara yang melaghakan, banyak perkara yang kelakar, yang kurang proses berfikir.


Mahu atau tidak.

Semuanya, antara mahu atau tidak. Malas atau rajin. Sungguh, untuk berfikir, itulah pilihan-pilihannya.

Mahu buat status, upload dan share gambar dalam facebook.

Mahu tweet status, upload dan retweet gambar dalam tweeter.

Mahu upload gambar dalam instagram.

Perlu FIKIR.


Mahu melihat.

Mahu cakap.

Mahu berjalan.

Perlu FIKIR.


Ya, perlu fikir.


Fikirkan, adakah ianya mendatangkan pahala atau dosa?

Ke arah syurga atau neraka?

Mengundang redha Allah atau murka-Nya?

Sia-sia atau berguna?


Perlu FIKIR. Perlu fikir sehingga itu dan seperti itu.


Sebagai contoh, jika mahu upload dan share gambar yang ada terbuka aurat, walau bukan aurat kita, mungkin aurat kawan kita, ianya tetap aurat. Apabila orang lain lihat, boleh mungundang dosa kepada diri kita dan orang lain yang melihat juga. Di alam maya, bukan sukar untuk tersebar, sangat mudah. Mengundang dosa atau pahala? Syurga atau neraka? Redha atau murka? Sia-sia atau berguna? Ya, itu sahamnya.

Fikir dan syukur.



Fikir, hanya kenderaan.

Ada juga yang suka berfikir, sangat suka. Tetapi sayangnya, matlamat pemikirannya bukanlah Allah. Bantuan proses pemikirannya bukanlah bersandar dengan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, ianya tetap punah. Rugi.

Di hujung fikir kita, semua berbalik kepada Allah.

Terbaca status senior saya, saudara Nasiruddin,

"Kebenaran merupakan destinasi yang sebenar. Berfikir itu pula kenderaan menuju ke destinasi itu. 

Namun ada orang yang tertipu dengan nikmat kenderaan itu, sehinggakan apabila telah tiba ke destinasi yang sebenar, ia masih berada dalam kenderaan dan terus berpusing-pusing di jalanan. 

Apabila tiba masanya, tersadailah ia di jalanan tanpa sempat menjejakkan kaki di destinasinya.

Tuhan itu matlamat, berfikir itu wasilat."


Fikir.

Supaya kita tidak di bodohkan.

Fikir.

Fikirkan yang baik-baik.



Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
23.1.2013
2:23 p.m.


1/17/13

Duduk-duduk.


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Duduk-duduk, studi . Bersiap untuk exam seterusnya. Ketika studi, itulah antara masa otak ligat berfikir. Idea-idea besar akan berduyun-duyun beratur datang. Perlu suatu medium, untuk menyambut segala idea-idea itu. Jangan biar ia terbang kembali. Rugi. Entah bila mahu datang lagi.

Studi, studi, studi.

Di hadapan, ada kertas-kertas kecil. Dahulunya hanya kertas-kertas perca yang asalnya dari kertas A4 garis-garis. Namun kini, beli yang lebih cantik, lebih tersusun, tidak lagi buat sendiri. Gunanya, untuk catat segala idea-idea yang datang. Mereka perlukan teduhan untuk terus berpecah lebih jauh lagi.

Idea-idea itu ilham-ilham berharga daripada Allah. Rugi jika biar hanyut dan tenggelam dek kesibukan. Biar ianya ditulis, biar kekal terus di situ.

Lebih untung, punya keberkatan waktu kurniaan Ilahi. Sangat beruntung. Tika itulah, segala idea-idea itu dikorek semula. Tangkap kembali dan susun semula. Ia bagaikan precursor untuk cetuskan idea-idea lain datang.

Fikir, fikir, fikir.

Segala apa yang bermanfaat buat Islam, buat bekalan di sana nanti, tuliskan. Dari sebuah rasa, lahirlah sebuah tulisan. Ia kekal menjadi tatapan.

Namun, saat tibanya waktu lapang, di situlah juga datang panglima-panglima syaitan untuk menghasut membuat perkara-perkara lagha. Yang kurang manfaatnya. Jadi rugi.

Tapi, bila saat jiwa ditekan, dari situlah segala bahan-bahan lagha dilupakan. Sesekali, ada baiknya juga berada dalam situasi ditekan. Supaya, boleh lebih sedar dan laju bergerak. Barulah datang erti syukur atas masa-masa lapang yang dilaghakan.

Pandang hadapan, pandang belakang. Hingga umur ini, apakah yang telah kita sumbangkan buat Islam?

Jika masih menggaru-garu kepala dan telinga, mungkin itu satu petanda kita sudah banyak melagha dengan masa yang Allah kurniakan kepada kita.

Tunduk, dan bangunlah untuk banyak berfikir dan bergerak untuk Islam.

Sudah umur ini, apa sumbangan kita?


Cari dan terus mencari, apakah nilai diri kita untuk disumbangkan buat Islam. Jangan ingat, hanya dengan tertera perkataan ‘MUSLIM’ dalam mykad, kita sudah boleh selesa dengannya dan boleh sewenang-wenangnya langgar apa yang Tuhan seorang Muslim itu telah tetapkan. Tidak, bukan begitu.

Bahkan kitalah umat terbaik. Ya terbaik, tetapi hanya apabila kita menyuruh perkara yang makruf dan menghalang daripada segala perkara mungkar. Begitu, barulah terbaik.

Fikir,fikir,fikir. Tenang mata mengenang sawah padi kampung halaman. Pemandangan baik untuk berfikir.



Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
17/1/2013
2.26 p.m



1/2/13

Lughah Jannah.





Tiba-tiba, saya jadi rindu.

Rindu pula kepada majlis ilmu agama.

Entah.

Dahulu, semasa first year, ketika tinggal di Hayyu Sabi', saya selalunya akan hadiri kelas hadis yang disampaikan Syeikh Rifa'at Fauzi selepas solat subuh, setiap hari.

Nama pun first year, pastilah mengambil masa untuk faham bahasa arab. Tambahan, bahasa arab yang digunakan pula bukan sepenuhnya fusha, tetapi 'ammiyyah.

Ternyata mengambil masa.

Namun, nasihat ustaz lain, sentiasa lekat. Kata mereka, " Enta dengar dulu, insya-Allah lama-lama nanti Allah bukakan kefahaman kepada enta. Cumanya, jangan putus asa sahaja..."

Teringat juga kata seorang guru arab saya yang juga marhaen Mesir, ketika di kursus persediaan bahasa dahulu, selalu berpesan, " Jangan risau, kita dahulu semasa kecil, kita mulakan dengan mendengar dahulu, faham dan barulah boleh bercakap. Jadi, jangan gundah, teruskan mendengar dan mendengar. Seterusnya cuba faham dan amalkan dan kehidupan..."

Dalam kesibukan belajar medik, saya cuba menjadi pendengar.

Cuba hadir ke kelas pengajian dalam bahasa arab daripada masyeikh, walau tidak sebanyak mana sangat, namun saya cuba.

Saya cuba beli sebuah speaker multifungsi, boleh dengar al-Quran, boleh dengar lagu, boleh juga dengar siaran radio arab di Mesir, terutamanya siaran radio al-Quran ( izaa'atul qur'anil kareem minal qaahirah ).

Selain itu, saya cuba bergaul dengan para asatizah yang lebih berpengalaman dan arif dalam bahasa arab ini. Mereka juga banyak membantu.

Selalu juga saya tanya mereka yang lebih berpengalaman, " Bagaimana ya mahu belajar bahasa arab setiap hari dengan mudah, tanpa sesi membosankan dan mudah untuk kami pelajar medik?"

Ada juga yang menjawab, " Cuba tengok filem-filem yang ditayangkan di TV atau download subtitle kalau mahu menonton filem di laptop, dan ikuti subtitle di bawah itu, insya-Allah dapat membantu dan mudah!"

Saya ambil nasihat itu. Saya dengar, saya tapis.

Hingga kini saya masih mencuba, saya masih memperbaiki. Bahasa al-Quran, bahasa ahli jannah, nyata bukan bahasa yang calang-calang.


Ma'rad Kutub.

Ma'rad kutub, atau Pameran Buku Antarabangsa Kaherah bakal kembali insya-Allah pada hujung Januari ini.

Tahun lepas, saya sempat pergi lebih dari lima kali, itu pun masih belum dapat jelajah semua kedai. Saya kira, lebih dari 10 buah padang bola luasnya. Terlalu besar!

Waktu itu, satu yang saya fikir, ' Andai aku boleh baca dan faham bahasa arab dengan baik, sudah tentu banyak buku-buku arab yang sangat menarik boleh aku beli, berbagasi-bagasi. Oh, betapa indahnya...'

Impian hanya impian. Sungguh, sungguh sukar.

Namun, ada sesuatu yang menarik saya jumpai di laman muka buku. Saya mahu berkongsi, 23 video Syarah lengkap Matan al-Ajurumiyah dan syarahnya Tuhfatus Saniyyah oleh al-Alim al-Fadhil Fadhilatus Syaikh 'Ali Soleh Hafizahullah di Masjid al-Azhar. Sesiapa yang berminat, bolehlah ikuti di SINI.





Yang lekat.

Seingat saya, ada suatu hadis yang melekat di fikiran ketika saya belajar kitab muwatta' bersama Syeikh Rifa'at dahulu.

Sungguh, saya sangat terkesan dengan hadis ini.

Harapnya, hadis yang mulia ini juga, bakal memberi kesan buat anda, dan sentiasa terus memberi inspirasi kepada kita semua untuk istiqamah menchentai Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam.

Suatu ketika, seorang Arab Badwi (Arab kampung) datang berjumpa Rasulullah SAW dan melontarkan sebuah pertanyaan yang mengejutkan. "Ya Rasulullah (sallallahu 'alaihi wasallam) bilakah kiamat akan datang?"

Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam menyoal semula lelaki tersebut, "Apa yang telah engkau persiapkan untuk menyambut datangnya hari kiamat?"

Jawab si lelaki, "Aku tidak memiliki persiapan apa-apa wahai rasul kecuali rasa cintaku yang besar kepada Allah SWT dan kepadamu (Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam)."

Jawab baginda, "Itu sudah cukup, kelak di akhirat orang akan dikumpulkan dengan orang-orang yang dicintainya."

Anas bin Malik yang meriwayatkan hadis ini menitiskan air mata lalu berkata, "Sepanjang hidupku aku tidak mendapati satu hadis yang lebih indah daripada hadis ini."


Allah. Allah. Allah.

Kecilnya diri ini.

Mari. Mari. Mari, didik hati kita untuk terus suburkan rasa chenta kepada Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam.

Allahumma salli 'ala Sayyidina Muhammad.

Allahumma salli 'ala Sayyidina Muhammad.

Allahumma salli 'ala Sayyidina Muhammad.

Edited in Hayyu Sabi' last year.



Wallahua'lam.



Muhammad Iqbal.
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1.1.13
10:07 p.m


12/27/12

Chenta dan Cinta

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Tidak sangka, suatu ketika dahulu, akaun twitter saya seolah-olah mayat hidup. Hidup, tetapi seakan tiada apa-apa.

Namun, hari ini, saya kira ianya sudah berfungsi. Alhamdulillah. Apa saja ruang dakwah yang ada, manfaatkan. Jangan sampai terlalu lalai. Peringatan untuk diri saya juga.

Twitter, bagi saya satu medan dakwah yang baharu. Paling penting, ia membina minda kita menjadi kreatif kerana bilangan huruf yang dibenarkan terhad. Jadi, untuk sampaikan sesuatu, harus bijak, harus kreatif. Baru mesej boleh disampaikan dengan baik.

" Sesiapa yang mengucapkan dua kalimah syahadah, mengakui Allah tuhannya dan Rasulullah itu pesuruh-Nya. Maka, dia adalah seorang da'ie. Seorang da'ie itu, tidak duduk saja menanti ruang dakwah, tetapi harus bijak mencari ruang-ruang dakwah."

Chenta.

Remaja, tidak dapat lari dari perbincangan yang melibatkan soal cinta. Hari-hari, ada saja perbincangannya. Entah bila mahu bosan pun tidak tahu, bahkan boleh buat topik pencerah mata.

Saya tertarik dengan soalan sahabat saya di twitter, yang bertanyakan mengapa saya menggunakan kalimah 'chenta' berbanding 'cinta'.

Cinta biasa kepada siapa? Kepada yang bergelar manusia. Ibu bapa, adik beradik dan sebagainya.

Chenta luar biasa? Kepada Allah Subhanallah Ta'ala dan kekasih-Nya, Rasulullahi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Rasulullah bukan manusiakah? Ya, manusia. Tetapi hakikatnya, baginda manusia yang bukan seperti manusia lain. Maqamnya terjauh mulia berbanding manusia biasa.


Sebut.

Saya letakkan perkataan 'cinta' hanya manusia biasa. Manakala 'chenta', kepada Allah dan Rasulullah.

Kerana, intonasi ketika menyebut lafaz 'chenta' itu lebih istimewa dan lebih 'power' auranya berbanding menyebut 'cinta'. Tidak percaya, silakan cuba dengan penuh penghayatan.

Itu manifestasi 'cinta' dan 'chenta' dari segi lafaz. Segala lafaz yang keluar itu, mudah-mudahan menjadikan hati lebih rasa 'zouq' kegahannya.

Bersama dengan para ulamak dan auliyak, boleh membawa hati kita belayar dengan hati mereka, membenih rasa  chenta kita kepada Allah dan Rasulullah.
[ Foto : Syeikh Usamah as-Sayyid Mahmud al-Azhari, Rektor Universiti al-Azhar, antara tokoh ulama muda yang saya kagumi ]


Wallahua'alam. 


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
26.12.2012
10:04 pm.





12/17/12

Logika.



Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.





Entri ini ada kaitan dengan cerpen Dua Down.

Ketika usai kelas Phychology dalam dewan kuliah, saya teringat untuk bertanyakan kepada doktor tentang kadar keterencatan akal dan IQ bagi insan-insan Down Syndrome. Kerana, perkara tersebut tidak dinyatakan dalam buku yang department sediakan.

Namun, Allah Maha Mendengar, seorang rakan dari belah pelajar perempuan telah bertanya soalan itu. Syukur. Lalu, jawapan yang diberi ialah, insan-insan Down Syndrome ini punya kadar Mental Retardation ( MR ) dalam ketegori Moderately Retarded Patients ( imebecile ) atau boleh jadi hingga Severely Retarded Patients ( Idiot ).

Ciri-ciri Moderately Retarded Patients ( imbecile ) :

- Kadar IQ 30-50
- Trainable ( boleh dilatih ) dan Not Educable ( tidak boleh diajar ).

Manakala, ciri-ciri Severely Retarded Patients ( idiot ) :

- Kadar IQ dibawah 30.
- Not trainable ( tidak boleh dilatih ) dan Not educable ( tidak boleh diajar ).
- Mereka memerlukan Rehabilitation ( Pemulihan ) dan Institualization ( Penerapan ).

Nota : IQ untuk Mental Retardation ( terencat akal ) ialah di bawah 70. [1]

Begitulah apa yang telah termaktub dalam buku Phychology. Mendengar jawapan daripada doktor saya jadi puas hati. Soalan terbuku sudah terjawab.


Dua Down.

Sengaja saya buat cerpen itu berkaitan dengan penyakit Down Syndrome. Ianya pada saya merupakan cebisan idea besar dan cita-cita saya untuk menulis sebuah novel berkaitan dengan penyakit itu satu ketika nanti. Moga-moga tercapai cita-cita itu, insya-Allah.

Sebahagiannya logik diterima akal, sebahagiannya kurang logik. Kekurangan logik itu bukanlah hanya mahu buat sebuah kisah fantasi, tetapi hanya mahu mengajak kita saling berfikir dan terus berfikir.

Dalam cerpen Dua Down tersebut, sengaja saya akhirkan dengan penutup yang kurang logik pada akal manusia. Manakan boleh, dua kanak-kanak Down Syndrome, selepas berlaku kemalangan jadi manusia yang tinggi IQ-nya dan sangat bijak? Bahkan terjadi serentak kepada kedua-dua adik beradik itu.

Nah, memang tidak diterima dek akal!

Namun ada yang lupa, Allah itu Maha Kuasa, Maha Besar, Maha Mengetahui segalanya. Yang tidak logik, boleh jadi dengan izin-Nya. Tanpa ragu-ragu, yakin dengan kuasa Sang Pencipta kita semua.

"Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi."
(Surah Yaa Siin 36 : 82)


Aqidah.

Ketika mana kita ghairah mencari ilmu lain, kadang-kadang kita terlupa satu ilmu yang sangat penting iaitu ilmu aqidah. Kadang-kadang kita pernah mempelajarinya, tetapi perlu juga kita sedar bahawa betapa lama juga kita telah meninggalkan ilmu itu.

Ada orang yang membesar dalam suasana kurang atau tidak menekankan cara hidup Islam. Lalu hidupnya tidak pernah endah betapa tingginya peri penting ilmu ini. Ianya mungkin mudah bagi sesetengah orang, tetapi ramai yang tidak ambil tahu.

Ramai juga yang dilahirkan dalam persekitaran gaya hidup Islam, namun nilai aqidah dalam diri tidak diletakkan sebati dan tertinggi dalam diri. Ada yang belajar, tetapi hanya untuk habiskan silibus, maka itulah yang akan kita dapat. Intipatinya dilupakan.

Bahkan, ketika anak-anak masih kecil, persoalan aqidahlah perkara pertama yang perlu diajar. Mengajar mengenal TUHAN bukan hanya mengenal HANTU. Realitinya, didikan ini, ramai yang telah meinggalkannya.

Lihat kisah Nabi Ibrahim 'alaihissalam, ketika hendak dibakar oleh penyembah-penyembah berhala, kisahnya tidak logik. Masakan seorang manusia yang dicampak ke dalam api besar yang marak menyala-nyala tetapi langsung terjadi apa-apa kepada dirinya.


" (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya! "

" Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

" Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya). "

" Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. "

(Surah al-Anbiyaa' 21: 68 - 71) 


Singkap juga kisah Nabi Ibrahim 'alaihissalam yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail 'alaihissalam. Walau pisau yang telah diasah tajam, tetapi ketika mahu disembelih, pisau tersebut tidak berjaya memotong. Logikkah itu disisi akal kita?


Tetapi buat yang yakin seratus peratus kepada Allah, yang aqidahnya tiada cacat cela, pasti percaya tanpa banyak bicara. Imannya membenarkan segala-galanya.


Bukan api yang membakar, tetapi dengan izin Allah api itu mampu membakar.

Bukan pisau yang tajam itu yang memotong, tetapi dengan izin Allah pisau itu mampu memotong.


Hantar.

Saya tidak kisah jika apa yang saya tulis tidak diterima untuk dipublish atau sebagainya hanya kerana ianya tidak logik. Di sana ada ramai yang menulis kisah yang langsung tak logik dek akal, namun ditolak.

Yang dikisahkan, hanya apabila ada perkara-perkara yang salah dan cacat celanya dalam penulisan dan apa saja berkaitan diri saya, mohon ditegur. Itu sahaja.

Namun, tidak dapat dinafikan juga segala penolakan atau kritikan itulah yang akan membuatkan kita bergerak lebih kuat dan ke hadapan.

" Jika JK Rowling berputus asa ketika menghantar Siri 1 Harry Potter kepada penerbit buat pertama kalinya, tentu adikaryanya itu tidak wujud. Dan dia tetap seorang janda anak satu yang tidak dikenali orang.

Tetapi, JK Rowling menghantar kepada penerbit lain, masih gagal. Dia mencuba lagi. 11 kali mencuba, baharulah Penerbit Bloomsbury dari London sudi menerbitkan dengan bayaran muka 1500 pound. Buku itu cuma dicetak 1000 naskah, 500 daripadanya diberikan ke perpustakaan.

Keadaan berubah selepas itu. Kini kekayaan JK Rowling bernilai 7 bilion (hasil novel dan filem Harry Potter). Malah Forbes menyenaraikan JK Rowling antara 12 wanita paling kaya di Britain.

Pengajaran yang baik untuk kita semua teladani daripada wanita ini; jangan mudah berputus asa!" [2]

Moga, segala usaha dan amalan kita dikira sebagai amal soleh di sisi Allah. Moga-moga diredhai-Nya.

Tidak logik jika singa mampu dekat dengan manusia  hingga mampu dipeluk seperti memeluk teddy bear, tetapi andai diizinkan-Nya, semuanya mampu terjadi. ^^




[1] Brief Notes In Phychology. Prof. Mohamed Ghanem, Chair, Institute of Phychiatry, Ain Shams University.

[2] Status facebook seorang penulis, Ummuhani Abu Hassan.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.

16.12.2012
11.40 p.m


10/29/12

Bahagia Iduladha

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Kehangatan hari raya aidiladha di kawasan tempat tinggal saya sudah dapat dirasai seminggu sebelum raya lagi. Lembu-lembu, unta-unta dan kambing-kambing mula berpeleseran mengeluarkan pelbagai bau-bauan masing-masing. Harga daging yang sebelum ini hanya layak dibeli orang kaya, tiba-tiba turun mendadak jadi murah.

Namun, saya masih hanya merasai kehangatan. Kuliah-kuliah di universiti masih berjalan seperti biasa, sibuk masih juga seperti biasa. Hangat dalam sibuk.

Perkataan sibuk itu, hanya untuk yang menyibukkan diri. Bagi yang genius, mereka lazimnya ada banyak masa kosong. Setiap orang tidak sama. Yang gifted inilah yang banyak menolong memeriahkan dan melaksanakan pelbagai kerja. Allah Maha Adil. Bersamalah kita menghormati dan memahami.


Malam Raya.

Kali ini merupakan malam raya di perantauan buat kali ketiga buat saya. Jika malam raya aidilfitri lepas, saya keseorangan, alhamdullillah untuk raya kali ini tidak lagi. Riang bersama sahabat-sahabat.

Walaupun agak sukar dan rasa bersalah nak lepaskan buku-buku tebal di atas meja, namun hati perlu redha berkorban untuk pulang ke perkampungan Hayyu 'Asyir di rumah Kedah di sana. Kalau dah bersama buku, payah nak lepaskan. Kalau dah tak bersama buku, sukar pula mahu kembali. Itu normal.

Malam raya, saya tidur di rumah Kedah Hayyu 'Asyir kerana niat di hati ingin beraya di sana dan juga memudahkan segala kerja-kerja melapah daging yang bakal dilakukan nanti.


Pagi.

Di rumah Kedah Hayyu 'Asyir, menjadi satu perkara yang normal jika berlaku ketiadaan air. Entah mengapa saya pun tidak tahu. Dan pada pagi raya juga, perkara yang sama terjadi. Mujurlah persiapan telah dilakukan, air-air telah disimpan. Maka, kuranglah sedikit masalahnya.

Seperti biasa, Suq Sayyarat yang sebelum ini menjadi medan penjualan kereta-kereta, akan menjadi medan untuk umat Islam dari seluruh pelosok dunia untuk solat raya di sini. Seawal jam 6.30 pagi, solat sunat aidiladha sudah bermula. Jika lambat, habislah.

Berpakaian raya dan terus menuju ke sana. Angkat sahaja takbir, rasa dunia bagaikan hilang di minda. Tenang. Bukan mudah nak dapat rasa yang begitu, tambah-tambah solat di atas jalan tar seperti itu.

Usai mendengar khutbah, adegan-adegan mengambil gambar kenangan terus dilakukan. Seronok.

Mungkin gambar-gambar ini akan muncul kembali selepas sepuluh tahun lagi untuk bercerita kembali detik-detik riang di bumi kinanah ini.

Bersama para asatizah.

Sahabat-sahabat asatizah.

Para junior Ain Shams.


Kopiah itu terlalu besar. Kopiah pinjaman seorang sahabat ustaz.

Bersama sahabat-sahabat ahli beit ( roomates )




Unta-unta sedang dilapah.


Selepas semua haiwan-haiwan korban telah disembelih, saya dan sahabat-sahabat lain yang ditugaskan untuk melapah, teruskan kerja-kerja kami. Mujur ada senior-senior, boleh juga tolong ajarkan kami yang kurang berpengalaman ini. Mereka memang cekap. Seronok dapat belajar sesuatu yang baharu.

Perkara istimewa jika dalam program PERUBATAN sebegini ialah jika cedera, ada Med Team yang akan tolong rawatkan. Mereka memang cekap. Tahniah saya ucapkan. Selamat jari saya yang terhiris oleh pisau tajam sang sahabat.

Sebelah petang, setelah siap dimasak, hadirin yang hadir untuk membantu segala kerja di sebelah pagi diberikan makanan. Sup daging dan masak kurma yang sedap dan agak pedas. Rasanya, daging yang digunakan ialah daging unta.


Hari kedua.

Hari kedua merupakan jamuan besar-besaran. Juga turut diadakan di Hayyu 'Asyir, selepas pembatalan tempat di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah ( DMAK ) atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Hari kedua ini juga nampak kemeriahannya. Ramai pelajar-pelajar perubatan seluruh Kaherah hadir untuk memeriahkan suasana. Ada banyak juga program dan persembahan yang berlangsung.

Tak terlepas, banyak juga booth yang di sediakan, agak menarik. Dapat juga saya ambil buku Attachment Logbook yang dah lama tertangguh pengambilannya. Penting buku itu untuk digunakan jika ingin membuat elective posting atau attachment di mana-mana hospital di Malaysia nanti.


Laporan lama.

Sudah lama sebenarnya saya tak bercerita dalam keadaan seperti ini. Selalunya, saya akan bercerita, tetapi dalam bentuk lain. Mungkin sebab ada ahli keluarga yang suruh ceritakan, jadi saya buatlah untuk tatapan umum.

Apapun, moga ini bermanfaat buat semua.


Wallahua'alam.



Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
29 Oktober 2012
11:10 a.m



7/29/12

Siri 13 : Harumnya Kitab

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Mereka berdua, berjalan pulang dari kuliah. Tak terlalu tergesa-gesa, tenang. Beriringan di jalanan nan berdebu.

Hari kian gelap. Langit makin malap. Bunga-bunga purple di jalanan kembali mengecut. Musim bunga sudah pun berada di penghujung menanti tiba musim panas.

Langkahan kaki Muhammad dan rakan karibnya, mantap bertenaga, bersemangat mahu ke satu majlis malam itu. Majlis itu bagi Muhammad sungguh bermakna, sebagai manifestasi penat lelah dia menghadiri majlis ilmu yang diadakan setiap hari sejurus selepas solat subuh.

Majlis seperti itu majlis kedua buatnya. Majlis itu merupakan majlis penkhataman sebuah kitab hadis Muwatto' dan disekalikan dengan penyerahan sanad. Sebelum ini kitab yang sama, tetapi daripada riwayat yang lain.

Kali ini, tidak seperti selalu. Selalunya, majlis akan dibuat di masjid tetapi kali ini diadakan di perpustakaan atau maktabah milik Syeikh. Muhammad sudah lama mendengar berkenaan maktabah tersebut, tetapi belum pernah menjejakkan kaki lagi ke dalam maktabah itu.

Malam itu, usai solat isyak, semua meluru ke maktabah berusaha mengambil tempat. Takut kalau terlewat, tiada pula tempat nanti. Kelihatan ramai sungguh yang datang pada malam itu, semuanya bersungguh mahu menuntut ilmu.

Masuk saja ke dalam maktabah itu, hati Muhammad berbunga-bunga. Mana tidaknya, haruman kitab-kitab yang memenuhi rak terus menusuk rongga hidung. Ah, betapa indah bau itu. Bau ilmu.

Sudah lama tertanam impian untuk memiliki perpustakaan sendiri. Impian itu telah lama terbina oleh Muhammad. Namun, semua itu bukan boleh dilompat dengan sekali harung, tetapi mestilah melangkah perlahan-lahan. Tak boleh gelojoh. Takut-takut tersadung pula batu di tengah jalan.

Akhir kelas, sekeping sanad diterima. Allah, betapa seronok dan puasnya hati. Itulah kepuasan seorang penuntut. Moga segala ilmu yang dituntut dapat menjadi wasilah terbaik untuk lebih dekat dengan Allah Subhanallah Ta'ala, untuk lebih cinta kepada Kekasih-Nya. Juga, boleh membawa manfaat kepada orang lain.

Cinta ilmu, cinta majlis ilmu, cinta buku.

Tasik Qarun. Salah satu tempat yang diturunkan bala oleh Allah. Ada ulama' yang mengatakan makruh dan ada juga yang katakan boleh melawat tempat sebegini. Jika melawat, tidak boleh berlama-lama di situ. Wallahua'lam.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal,
Abbasiyah, Cairo, Egypt.







6/28/12

Diuji Untuk Mengingati


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Sakit itu lumrah buat yang hidup. Juga medan ujian untuk hamba-Nya. Tak kurang juga sebagai manifestasi ingatnya Sang Pencipta buat kita hamba dhaif lagi hina.

Namun, sedarkah kita?

Saya, ketika menaip ini, baharu sahaja reda demam yang melanda. Seperti biasa, selalunya demam akan datang berpekej dengan batuk dan selesema. Lebih menarik, tika saya direzekikan untuk sakit, ia merupakan masa study leave saya untuk final exam. Makanya, tak dapat tidak saya akan ketinggalan untuk studi berbanding kawan-kawan yang lain.

Kadang-kadang kita rasa macam masa kita diambil, hingga tak dapat lagi studi. Lalu yang muncul dibenak hati rasa stress! Rasa tension!

Tapi, kita selalu salah. Kita gagal berhusnuzzon atau berfikir positif. Lantas yang merana diri sendiri. Benda yang berhikmah ini, memang tak nampak. Kita hanya sedar ianya akan datang dalam pelbagai hikmah satu ketika nanti yang kita sendiri pun tak tahu bila tarikhnya. Dan berfikir positif itu lazimnya selepas kita sudah belajar ilmu mengenainya dan tak lepas, melalui pengamalan atau latihan yang kita sendiri yang cuba lakukan dalam hidup kita.

“Mungkin Allah beri aku sakit untuk beri kifarah dosa-dosa aku yang banyak”

“ Mungkin dengan kesakitan ini aku lebih bersyukur dengan nikmat kesihatan selama ini”

“Berkat kesakitan ini, mungkin Allah akan aturkan keberkatan masa buat aku study lepas ni”

“Dalam tempoh masa aku sakit ni, Allah mahu elakkan aku untuk buat lebih banyak maksiat atau dosa kepada-Nya”

" Alhamdulillah, aku terpilih untuk diuji."

Hidup akan lebih mudah dan indah bahkan meriah jika kita boleh berbaik sangka dengan Allah Subahanallah Ta’ala dan juga dengan hamba-hamba-Nya. Belajarlah dan latihlah diri kita. Insya-Allah, tak rugi!

Dalam tempoh sakit juga, andai berjauhan dari keluarga, kawan-kawan sangat penting. Apa-apa terjadi, merekalah yang akan banyak membantu. Pada waktu beginilah, kita dapat lihat, siapa dalam kalangan rakan kita yang caring dan cakna dengan perihal kawan-kawan sendiri.  Dan selepas itu, kita boleh ukur sendiri kawan-kawan kita.

Sabda Nabi Muhammad sallallahu a’laihi wa sallam :

“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam.”

 (Riwayat Muslim)

Sakit itu satu anugerah, bukan untuk disumpah seranah. Bersyukurlah setiap kurniaan daripada Allah.

Kita diuji sakit, moga-moga kita ingat, kita semakin dekat dengan hari mati.




Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.



6/14/12

Calitan F50


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Pagi itu pagi yang biasa-biasa.

Ada exam kedua, selepas Anatomy minggu lalu. Kali ini Histology pula. Buku-buku berkenaan puas ditatap, agak puas dibaca, dibuat latihan. Namun, tika fasa berserah diri bertawakkal kepada Allah tiba, hati entah apa rasanya. Rasa yang begitu pelik, selalunya tidak seperti ini.

Mulut cuba berselawat kepada Kekasih Allah, namun rasa pelik itu tetap ada. Rasa yang indescribable.  Pelik sungguh. Rasa itu sedikit sebanyak, mempuakakan hati ini. Rasa takut. Entah mengapa.

Setelah beberapa minit perjalanan, Tremco berjaya mendarat dengan jayanya di hadapan pintu utama Universiti Ain Shams. Kemudiannya, sebulat suara mahu berehat sebentar di masjid hospital di hadapan pintu masuk universiti memandangkan jam yang dijeling tadi menunjukkan masih awal lagi untuk masuk lecture hall.

Pintu Utama


Sekumpulan kami berkumpul di masjid itu. Masjid itu sentiasa menjadi tempat belajar dan lepak kami. Suasana yang tenang dalam masjid, tidak ada tolok bandingnya dengan yang lain, termasuk shopping complex!

Tatkala semua dalam masjid, semua masing-masing membuat persiapan akhir membaca buku atau nota-nota dengan penuh kesungguhan dan kekhusyukan. Saya juga turut serta mengkhusyukkan diri. Kira-kira 15 minit sebelum peperiksaan bermula, ramai yang semakin beransur ke dewan kuliah. Saya masih duduk membatu di tepian tiang menatap nota-nota akhir.

Habis saja semua, nampak seakan saya seorang saja yang tinggal di samping ada dua lagi sahabat yang terkehadapan sikit.  Saya pun terus memakai kembali stoking yang ditanggalkan tadi. Lalu, laju saya bergerak ke rak kasut yang terletak dekat sahaja dengan saya. 

Melihat rak kasut itu yang seakan tiada lagi seri kasut F50 hitam hijau muda saya, saya jadi sedikit gelabah. Mana tidaknya, hanya lebih kurang 10 minit sahaja lagi exam akan dimulakan.

Inna lillah wa inna ilaihi raaji’un…. Allah dah tarik balik….”

Saya terus berlari memanggil dua orang kawan yang baharu sahaja melangkah keluar  pintu masjid. Panggilan keempat barulah mereka sedar. Seakan blur, saya minta mereka cetuskan idea bagaimana saya mahu ke dewan kuliah memandangkan masa yang suntuk dan dan jarak kedai yang memakan masa yang mengerikan. Selepas dua tiga idea dilontarkan, akhir ada cadangan paling style telah dipersetujui, Alhamdulillah.

Hah, kau ambik je la slipper jamban masjid, habis exam letak la balik”.

Dengan wajah kesenyuman bersalut sedikit duka di hati, terus tergesa-gesa masuk ke dewan kuliah. Tiada patah ayat lain yang saya ingat tika itu, hanya beberapa patah ayat suci al-Quran yang terus menerobos tajam ke dalam minda, memujuk hati nan lara. Bermain laju ayat-ayat itu.




Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”
( Surah al-Baqarah : 155-157 )

Walau diri ini yakin dengan segala yang telah ditetapkan Allah, namun hati kecil masih tegar meronta, entah dari mana perasaan begitu datang pun tak tahulah. Ia tak dapat dinafikan, sedikit sebanyak agak mengganggu saya menjawab soalan-soalan essay ketika itu. Ah, mengapa ini semua terjadi..

Seperti biasa, anak ini pasti memberitahu kondisi dirinya kepada ibu tercinta, walau jauh berlainan benua, namun dekatnya hati kami hanya Allah sahaja yang tahu, moga-moga terubat sedikit apa-apa yang terluka. Nasihat dan keprihatinnya tiada tolok bandingnya. Tajam menujah jiwa lara. Doanya jadi asset utama.

Dari Suhaib radhiyallahu ‘anhu, Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

"Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka."

[Hadis riwayat Muslim: 2999]

Jarang saya meluahkan sesuatu peribadi di sini. Saya tak terlalu kisah sangat dengan sirnanya calitan hijau muda F50 saya, cuma yang saya kisah ialah Histology saya. Moga tiada apa yang buruk berlaku. Na'uzubillahi min zaalik. Doakan kejayaan saya dalam final exam ni, masih ada beberapa lagi exam yang perlu saya hadapi.

# Di Mesir, kasut biasanya akan di letakkan dalam masjid bagi mengelakkan risiko besar kecurian.

# Kecurian kasut itu sesuatu yang boleh saya sifatkan terlalu biasa jika di sini. Semuanya perlu dijaga rapi, andai hilang juga, terima saja dengan redha.

Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo.


5/14/12

Aktif


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Hari-hari ingat mati. Ingat matinya hati, ingat matinya hakiki. Agar tak terlalu leka dek sebarang ilusi dunia yang menyebabkan ditangisi kelak nanti di negeri abadi.

Menyubur terus tarbiyah hati daripada Sang Ilahi. Oh indah, andai hati sudah dipeluk-Nya.

" Aku rasa, musim exam ni, baik hang deactivate sat facebook hang." 

" Erk, elok jugak tu. Kalau hang rasa itu antara solusi terbaik bagi aku, apa salahnya kan. Aku ni kadang-kadang terperangkap jugak dengan 'penjara' facebook ni."


" Bukan apa, aku takut hang tak dapat tumpu ja study untuk final exam ni. Banyak gila kot. Nak cover semua tu bukan senang. Alah, untuk musim exam ni ja, sat ja. Aku yakin hang boleh. Aku nasihat ja, terpulang la nak buat ka dak."


" Terima kasih. Aku suka jenis kawan macam hang, sebab mampu tegur aku. Aku kadang-kadang hairan, kenapa la tak ramai yang berani nak tegur aku. Padahal, aku rasa aku banyak ja buat salah. Hmm."

Deactivate facebook insya-Allah boleh saja buat. Tapi, untuk deactivate mode menulis, kurang boleh sikit. Bukan apa, mode menulis bukannya sentiasa aktif pun, sekejap datang sekejap pergi.

Jalan juang bukan mudah. Sekali sudah terjebak, terus berjuang hingga akhir. Tiada sakit itu bukan adat berjuang.


Luah Si Perindu.

13 Mei. Oh hampir terlupa, hari ibu. Minggu kedua setelah mei menjelang. Mesej berjela-jela terus dihantar sambil menghirup mi sup lebihan breakfast pagi tadi.

Masih tak puas. Pantas mencapai laptop 17 inci untuk terus telefon melalui internet.

" Assalamualaikum, mama apa khabaq? Sihat ka?"


" Alhamdulilah, sihat ja.."


" Mama, selamat hari ibu....! "


Terbayang mama tersenyum cute sambil meriba adik Danish di riba.


" Awat mesej panjang sangat, jenuh nak baca."


" Biasa la mama, tak dak apa pun, saja ja."

Tak pandai sangat berkata-kata, jadi aku simpulkan rasa yang terpendam dengan aksara-aksara sahaja. Moga rasa sayang buat insan yang mulia yang mengenali aku 9 bulan lebih awal daripada orang lain ini, sampai ke benak hatinya. Selepas Allah dan Rasulullah, tiada yang lain, mama dan ayah sahajalah di hatiku.


Suram

Pagi nan suram, muram. Subuh yang terlalu awal, meletihkan sedikit, memengantukkan. Usaikan kelas akhir Muwatta'.

 Lagu mula berdendang dari speaker baharu, memenuhi fitrah insan yang suka hiburan. Tidur-tidur ayam sebentar.

Beberapa minit berlalu. Opick, Maha Penyayang menerjah lowongan udara. Indah. Melayan sambil mengutip jemuran semalam di penyidai, penuh debu.


Engkau Allah yang pengasih, Engkau Allah yang penyayang
Engkau Allah di tangan-Mu segala kuasa kejadian
Ampunilah ampunilah segala dosa kesalahan
Terangilah terangilah bimbing ke jalan yang benar

Engkau Allah yang pemurah, Engkau Allah yang dermawan
Engkau Allah di tangan-Mu segala rahmat pertolongan
Padamulah digantungkan segala harap keselamatan
Lindungilah kami semua wahai sang penguasa alam

Engkau Allah Engkau Allah yang pengasih dan penyayang
Ampunilah ampunilah semua dosa
Engkau Allah Engkau Allah yang pemurah dan dermawan
Lindungilah lindungilah kami semua

Engkau Allah Engkau Allah yang pengasih dan penyayang
Ampunilah ampunilah segala dosa
Engkau Allah Engkau Allah yang pemurah dan dermawan
Lindungilah selamatkan kami semua

Engkau Allah, Engkau Allah, Engkau Allah, Engkau Allah
Engkau Allah yang pengasih, Engkau Allah yang penyayang
Engkau Allah di tangan-Mu segala rahmat pertolongan.



Lirik yang indah. Sayu mengenang khilaf.

Mohon diberi kekuatan untuk hadapi rencah hidup yang kian mencabar.





Wallahua'lam 



Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




5/4/12

Siri 12 : 'Asir Asob

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Speaker dan mp3, tika studi ianya merupakan elemen yang agak penting dalam hidup Muhammad. Kehadiran speaker dan mp3 lazimnya dengan izin Allah akan memanjang tempoh studi Muhammad. Kepentingan dua benda alah itu, memang tak dapat dinafikan lagi.

Speaker kecil molek yang boleh dicas semula itu hampir 3 tahun berkhidmat untuk tuannya. Setelah menemani tuannya studi selama beberapa bulan di Mesir, tiba-tiba dia menjadi semput, seakan mahu menghela ruhnya pergi sejauh-jauhnya tanpa kembali lagi. Muhammad reda dengan pemergiannya setelah pelbagai cara dikerahkan untuk pulihkan kembali, namun gagal. Lalu jasadnya terus disemadikan dalam laci bersama kawan-kawan baharunya yang lain. Tak sanggup pula mahu membuang mengenangkan jasanya yang agak mecurah sejak zaman pra SPM.

Keluar Malam.

" Qadir, malam ni hang teman aku pi Technology Mall sat, kita pi beli speaker. Speaker aku rosak la.." Muhammad bersuara dihadapan pintu rumah Qadir setelah bertembung kedua-dua mereka.

" Insya-Allah, boleh ja. Lepas aku balik ARMA kita pi terus 'ala tuul. Aku nak kena pi pasang komputer kawan aku sat kat ARMA nu." Balas Qadir sambil tersengih-sengih bak kerang 'wangi' di pasar malam.

" Lepas tu boleh la kita pekena Takobe sekali, dah mengidam lama dah ni." Tambah Muhammad.

Malam yang dingin. Dingin malam musim bunga tetap tidak sama dengan malam musim dingin, namun dinginnya masih dapat dirasa. Selepas ditelefon Qadir, Muhammad terus meluru turun imarah dengan sepantas mungkin.

Melangkah keluar dengan penuh yakin. Lebih yakin dengan pesanan Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam yang menyuruh membaca satu doa sebelum keluar rumah. Insya-Allah, keselamatan lebih terjamin.

" بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ "
( H.R Abu Daud ; 5097 )

Tengok jam, sudah pukul 11 lebih. Memang sangat lewat bagi Muhammad, di tambah pula keesokkan harinya ada kuliah. Bukan apa, musim sekarang ni, subuh awal, seawal pukul 3 lebih pagi. Agak memenatkan kalau tidak tidur awal. Takut-takut ter'syahid' dalam dewan kuliah pula nanti.


Memilih.

Kesian si Qadir, mujurlah dia jenis penyabar. Boleh la bersabar dengan kecerewetan Muhammad memilih speaker yang berkenan di hati. Entah berapa kali Technology Mall itu ditawaf, sampai letih si Qadir. Setelah hampir 40 minit, baru selesai memilih dan terus beli.

Mahukan yang elok dan tahan lama, perlulah cerewet sikit kan. Biar susah sikit awal-awal, moga mudah kemudian nanti. Cerewet memilih juga satu ikhtiar. Cerewet memilih pasangan hidup juga mungkin satu ikhtiar.

Sebagai 'upah' sebagai peneman Muhammad bertawaf di Technology Mall, Muhammad membelanja Qadir Takobe. Walaupun malam tu entah macam mana tiba-tiba ayam goreng yang dimasak tidak sesedap selalu, namun perut yang semakin sayu berkeroncong, sanggup terima saja apa yang masuk, asalkan halal!

Makan tanpa ragu, makan tanpa risaukan duit yang digunakan melayang kepada pihak Israel. Walau tak sedap mana, tenang sahaja hati, tak perlu fikir banyak.

Sambil menunggu makanan sampai, banyak perkongsian ilmiah yang dapat Muhammad dapat daripada Qadir. Qadir pelajar tahun 2 Syariah Islamiah Universiti al-Azhar. Dia paling minat bab fiqh, jadi kalau nak bersembang dengannya, mesti la bab-bab fiqh juga. Baru sedap bersembang.

Sempat kami berbincang tentang fatwa semasa yang dikeluarkan Syeikh 'Ali Jum'ah dalam Majalah al-Azhar yang berharga L.E 1.50 itu. Banyak sungguh mutiara ilmu yang dikutip. Sambil menyelam di lautan ilmu, makin banyak mutiara yang dapat dikutip.


'Asir Asob

'Asir asob atau dalam bahasa arab fushanya 'asir qosob iaitu jus tebu. Mesti terbayangkan bulan ramadan kan, sebab air tebu kan popular tatkala ramadan menjelma.

Kedai 'asir atau kedai jus ni kalau di Mesir ni bercambah tak terkira banyaknya. Harganya tak mahal sangat, memang berpatutan. Dan, paling penting keasliannya yang tiada bandingan berbanding dengan yang telah dibungkus dalam kotak di pasar raya. Sedap!

" Muhammad, jom kita singgah sat kedai 'asir depan tu. Aku dah lama tak pekena 'asir asob dah ni. Dahaga  pulak malam-malam ni." Tanya Qadir dengan muka penuh pengaharapan.

" Insya-Allah, boleh ja, aku dah lama tak minum asob ni, setakat secawan tu insya-Allah boleh saja..Jom!" Muhammad menjawab sambil menutup hidungnya gara-gara pemandu teksi yang menghisap rokok durjana.

" Aiwah, hena ya raais." Arah Qadir kepada pemandu teksi.

Betul-betul hadapan kedai 'asir pemandu teksi memberhentikan teksi putihnya. Bayar dan terus keluar menuju ke dalam kedai tersebut. Kelihatan tak sibuk sangat, mungkin dah agak malam.

" 'Asob itnin." Qadir beritahu kepada pak cik penjaga kaunter.

Pak cik kaunter memberikan dua keping plastik bulat berbentuk duit syiling lima puluh sen yang berwarna hijau, melambangkan dua tempahan asob.

Seterusnya, diserahkan kepada abang si pembuat 'asir tersebut. Tak payah cakap pun dah faham dah, hanya senyum tanda hormat.

Tiba-tiba datang lagi seorang orang arab untuk menempah 'asir asob juga. Dia berada dekat sangat dengan kaunter pembuatan 'asir tersebut. Kelihatan dia seperti marhaen biasa, comot sikit namun tetap kemas.

Siap sahaja asob tu, dengan kecekapan dan pengalaman yang menggunung tinggi, dia hanya tolak sahaja cawan yang hampir penuh dengan muatan jus tebu itu. Akhirnya, tertumpah terkena baju orang arab tadi.

Gulp. Senyap seketika. Muhammad dan Qadir hanya melihat.

Muhammad sangka, orang arab itu akan marah sebab kebanyakkan orang arab ni panas baran, pantang silap sikit mesti nak gaduh saja. Tapi...

Tiba-tiba terhambur pantas satu ayat al-Quran dari mulutnya, lantas dia tersenyum.


"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;"
( Ali 'Imraan 3 : 133 )


Lalu, Qadir secara tak semena-mena menyambung bacaan ayat yang dibacakan orang arab tadi. Mereka gelak ketawa bersama-sama.


"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;"
(Ali 'Imraan 3 : 134)


Dekat di sudut hati Muhammad, dia kagum. Kagum dengan akhlak yang Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam anjurkan. Paling penting, dia dapat melihat, bagaimana ilmu dan iman seseorang dapat mengawal emosi. Walhal, dia wajar untuk marahkan abang si pembuat jus tebu tadi. Tapi, semuanya gara-gara akhlak Rasulullah yang telah tertanam dalam dirinya. Akhlak al-Quran akhlak hebat!

Muhammad dan Qadir jalan beriringan menerjah kegelapan malam pulang ke rumah. Sambil bergurau satu sama lain hiburkan hati sedikit. Malam yang penuh manfaat. Maka, beruntunglah buat hamba-Nya yang sentiasa berfikir tentang keagungan-Nya tatkala merantau alam fana ini.




Wallahua'alam.



Muhammad Iqbal,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.