11/27/16

Tip-tip Menjemput Keberkatan Masa



[Tip-tip Menjemput Keberkatan Masa]



Selalu kita lupa bahawa masa itu juga merupakan makhluk Allah.

Bahkan, kita sendiri yang diciptakan sebagai ciptaan paling sempurna turut diletakkan bersama dalam perjalanan makhluk masa ini.

Keberkatan masa bermaksud boleh melakukan banyak perkara dalam waktu yang singkat. Allah Subhanallah Ta'ala permudahkan urusan kita dengan melancarkan pelaksanaan kerja kita, dan tidak ditimpa halangan dan musibah yang mengendalakan kerja dalam perancangan kita.

Keberkatan masa juga bukanlah terletak pada kuantiti masa yang diperolehi tetapi kualiti pengisian masa itu sendiri.

Kita boleh lihat, ada orang hanya dengan satu jam sahaja, dia mampu melakukan dan menyelesaikan kerja atau tanggungjawab yang berbagai-bagai. Tetapi ada juga orang dengan satu jam, dia hanya mampu makan dan minum. Ada orang lain pula, dengan satu jam, dapat melakukan pelbagai jenis ibadah, tetapi ada orang yang hanya mampu melakukan satu jenis ibadah.

Keberkatan masa adalah antara kurniaan terindah Allah yang kadang-kadang sukar dipercayai oleh manusia kerana ia adalah sesuatu yang abstrak; tidak dapat dilihat, hanya dapat dirasa.

Hal ini dapat dilihat apabila kita telusuri hidup ulama' silam dahulu. Seperti Imam al-Ghazali, beliau mampu mengarang sebanyak 300 buah kitab dalam masa lebih kurang tempoh 14 tahun.

Betapa ramai manusia yang berumur 40 tahun, tapi adakah ada yang mampu mengarang 300 buah kitab apabila meninggal dunia pada umur 54 tahun? Itulah contoh hasil keberkatan masa Imam al-Ghazali.

Keberkatan masa ini perlu dicari. Ya, perlu dicari teman-teman.

Ingin sekali ditekankan di sini, bahawa kesedaran dalam mencari keberkatan masa itu amat penting, dan perlu diusahakan.

Jadi, ayuh mari kita lihat apa yang boleh menjemput keberkatan masa.



____


1) Solat di Awal Waktu


Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda, "Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah."
[Hadith Riwayat Tirmidzi]

Solat sangat mempengaruhi susun atur waktu kita dan solat juga punya banyak hikmahnya.

Apabila kita benar-benar menjaga hak-Nya dengan beriltizam istiqamah menjaga solat di awal waktu, kita akan dapat rasa betapa berkatnya waktu-waktu yang Allah kurniakan buat kita.

Ianya berat, tetapi percayalah, ianya berbaloi. Berbaloi di dunia, berbaloi akhirat.



____

2) Merancang Pengisian Masa


Mahu membuang masa itu mudah, tidak perlukan tong sampah.

Tetapi untuk merancang itu memerlukan kerah. Sedikit kerah agar apa yang bakal kita lalui makin mudah dilihat dan cerah.

Tatkala kita akan berhadapan dengan waktu lapang, jangan lagi lengah-lengah. Terus capai pen dan catat segera perancangan masa kita, lebih teperinci lebih baik.

Jika kita tidak bersiap dengan perancangan, kita tetapmengisi waktu kita, tetapi ia laksana mengisi air dalam plastik yang bocor. Airnya masuk, tetapi tidak tahu ke mana mengalir hilang.

Sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam,

“Dua nikmat daripada nikmat Allah yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah; sihat dan masa lapang” [Hadith Riwayat  Bukhari]


___


3) Membaca Al-Quran


Kata seorang ulama' Salaf:

كلما زاد حزبي من القرآن، زادت البركة في وقتي

"Setiap kali bertambah hizib bacaan al-Quranku, aku merasakan bertambah keberkatan pada waktuku."

Sungguh, saat kita membaca al-Quran, kita merasakan sangat lama untuk menghabiskan satu muka surat al-Quran, walhal untuk satu muka surat hanya memerlukan sekitar 2-5 minit sahaja.

Amalan ini tidak dapat kita rasakan jika kita sendiri tidak istiqamah membaca al-Quran.

Cubalah target, paling kurang pada setiap selesai solat, satu muka surat habis dibaca. Kemudian kita akan rasakan sedikit demi kesannya.


Telah berkata adh-Dhiya al-Maqdisi:

كنت إذا قرأت (القرآن) كثيرًا تيسر لي من سماع الحديث وكتابته
الكثير ، وإذا لم أقرأ لم يتيسر لي

"Bila aku membaca al-Quran dengan banyak, maka menjadi mudah bagiku untuk mendengar hadis dan menulisnya dengan banyak. Bila aku tidak membaca al-Quran, maka ia tidak menjadi mudah bagiku."



___

4) Buang Sikap Bertangguh-tangguh


Inilah antara racun utama dalam menjemput keberkatan masa. Kadang, kerana perkara inilah yang kita tidak sedar ada dalam amalan hidup kita. Ia sedikit demi sedikit membaham keberkatan masa kita.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Qardhawi, tatkala membicarakan tentang hubungan kehidupan dan waktu,

“Waktu adalah hidup itu sendiri maka jangan sekali-kali engkau sia-siakan sedetik pun dari waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Setiap orang akan mempertanggungjawabkan usianya yang tidak lain adalah rangkaian dari waktu. Sikap negatif terhadap waktu nescaya membawa kerugian, seperti gemar menangguhkan atau mengulur waktu, yang bererti menghilangkan kesempatan. Namun, kemudian ia mengkambinghitamkan waktu saat ia merugi, sehingga tidak punya kesempatan untuk memperbaiki kekeliruan."


___


5) Beriman, Beramal Soleh, Berpesan-pesan


Ini ialah intipati Surah al-'Asr yang selalu kita bacakan pada setiap kali di akhir pertemuan.

Dan inilah juga yang patut kita amalkan supaya dapat kita elak daripada menjadi golongan "خُسْرٍ" yang difirmankan Allah.

Kita lihat kembali satu per satu, ayat ketiga daripada Surah al-'Asr ini.

Kecuali :

- orang-orang yang beriman.

- beramal soleh.

- dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.

- serta berpesan-pesan dengan sabar.



Buya HAMKA menyimpulkan dalam tafsirnya,

"Maka daripada pengecualian yang empat ini: (1) Iman, (2) Amal shalih, (3) Ingat-mengingat tentang Kebenaran, (4) Ingat-mengingat tentang Kesabaran, kerugian yang mengancam masa hidup itu pastilah dapat dielakkan.

Kalau tidak ada syarat yang empat ini rugilah seluruh masa hidup.

Ibnul Qayyim di dalam kitabnya “Miftahu Daris-Sa’adah” menerengkan: “Kalau keempat martabat telah tercapai oleh manusia, hasillah tujuannya menuju kesempurnaan hidup.

Pertama: Mengetahui Kebenaran.

Kedua: Mengamalkan Kebenaran itu.

Ketiga: Mengajarkan kepada orang yang belum pandai memakaikannya.

Keempat: Sabar di dalam menyesuaikan diri dengan Kebenaran dan mengamalkan dan mengajarkannya. Jelaslah susunan yang empat itu di dalam Surat ini.

Dalam Surat ini Tuhan menerangkan martabat yang empat itu. Dan Tuhan bersumpah, demi masa, bahwasanya tiap-tiap orang rugilah hidupnya kecuali orang yang beriman. Yaitu orang yang mengetahui kebenaran lalu mengakuinya. Itulah martabat pertama.

Beramal yang shalih, yaitu setelah Kebenaran itu diketahui lalu diamalkan; itulah martabat yang kedua.

Berpesan-pesanan dengan Kebenaran itu, tunjuk menunjuki jalan ke sana. Itulah martabat ketiga.

Berpesan-pesanan, nasihat-menasihati, supaya sabar menegakkan kebenaran dan teguh hati jangan bergoncang. Itulah martabat keempat. Dengan demikian tercapailah kesempurnaan.

Sebab kesempurnaan itu ialah sempurna pada diri sendiri dan menyempurnakan pula bagi orang lain. Kesempurnaan itu dicapai dengan kekuatan ilmu dan kekuatan amal. Buat memenuhi kekuatan ilmiah ialah Iman. Buat peneguh kekuatan amaliah ialah berbuat amal yang shalih. Dan menyempurnakan orang lain ialah dengan mengajarkannya kepada mereka dan mengajaknya bersabar dalam berilmu dan beramal.

Lantaran itu meskipun Surat ini pendek sekali namun isinya mengumpulkan kebajikan dengan segala cabang rantingnya. Segala pujilah bagi Allah yang telah menjadikan kitabnya mencukupi dari segala macam kitab, pengobat dari segala macam penyakit dan penunjuk bagi segala jalan kebenaran.”


___

6) Berpagi-pagi


Ini antara yang berat dilakukan, tambah pula buat para pemuda hari ini yang kebanyakannya leka diulit talian internet hingga lewat malam.

Natijahnya, pagi kita pagi yang kusam dan dan tidak dihargai.

Pada menghargai pagi dan tidak tidur selepas solat subuh, sangat banyak kelebihan dan keberkatan yang boleh kita perolehi. Terlalu banyak perkara yang boleh diisi dan dilakukan.

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا قَالَ وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ قَالَ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا فَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
Daripada Shakhr Al Ghamidi dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,
"Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu paginya."
Shakhr Al Ghamidi berkata, "Beliau jika mengutus ekspedisi, atau pasukan beliau memberangkatkannya pada pagi hari."
Dia (perawi) berkata, "Shakhr Al Ghamidi adalah seorang pedagang, dia biasa mengirim barang dagangannya pada pagi hari hingga beruntung dan melimpahlah hartanya."
[Hadith Riwayat Ibnu Majah, nombor 2227]


Diriwayatkan daripada Saidatina 'Aisyah radhiyallahu'anha bahawa Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda,
"Berpagi-pagilah kamu dalam mencari rezeki dan keperluan, kerana keluar pada waktu pagi itu terdapat keberkatan dan kejayaan."[Hadith Riwayat Thabrani]


____

7) Doa


Akhir sekali, terus panjatkan doa, mohon dengan penuh kesungguhan, agar ALLAH berikan keberkatan masa dan keberkatan hidup kepada kita.

Lebih molek jika kita cari dan bertemu dengan waktu-waktu yang mustajab berdoa, lalu kita bersungguh-sungguh berdoa dalam waktu itu.

Moga dengan hidup kita yang singkat ini, dikurnia barakahnya. Yang sedikit dirasa banyak, yang sempit dirasa luas, yang nipis dirasa tebal.


Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda,

“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa; memohon kepada Allah, waktu dia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.” [Hadith Riwayat Ibnu Hibban]



____

Selamat Beramal.


Tiadalah gunanya jika diberikan tip-tip berjela, tetapi kita tidak lakukan walau satu pun.

Ukur kemampuan diri kita sendiri dan buatlah sekadar mampu. Tidak mampu lakukan semua, buatlah separuh atau lebih kurang daripada itu. Jangan sampai tidak diamal walau secebis satu.

Sebagaimana satu kaedah menyebut,


مَا لاَ يُدْرَكُ كُلُّهُ لاَ يُتْرَكُ كُلُّهُ

“Apa-apa yang tidak boleh dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya."


Lakukanlah dan rasakan sendiri kesannya. Kata ulama' tasawuf,

من لم يذق لم يعرف

"Barang siapa yang tidak merasa, tidak akan mengetahui."



Barangkali masih banyak lagi amalan dan tip untuk menjemput keberkatan masa, dan yang diberikan di sini hanya sedikit daripadanya. Jika ada yang ingin lagi berkongsi, boleh sama-sama kita kongsikan lagi di sini.

Moga bermanfaat dunia akhirat.


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1652
250616

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter