Showing posts with label Nota Niaga. Show all posts
Showing posts with label Nota Niaga. Show all posts

6/15/22

Tak Semua Orang Boleh Jadi Usahawan

 

Satu perkara yang saya bersetuju dengan Azri Walter ialah :

"TAK SEMUA ORANG BOLEH JADI USAHAWAN"

Bahkan di akademi beliau pun begitu, bila dah setahun dua tak nampak boleh pi dalam bidang bisnes ni, lebih baik pergi bekerja dengan orang.

Memang begitu ALLAH jadikan manusia, tak semua ada kemampuan JADI BOS, untuk manage people, manage business. Tak semua orang mampu.

Ada orang yang ALLAH jadikan dia sa-orang pekerja yang baik, dia bagus bila dia bekerja dengan orang. Itulah posisi yang kena dengan dia.

Jadi, lebih baik dia bekerja dengan orang saja, dari asyik kerugian buat bisnes tak jadi jadi.

Sepak terajang dunia keusahawanan ni sangat keras kawan, tak semua orang mampu. Inilah realitinya.

Tak salah mencuba, tapi kena tahu batas untuk pulang semula bila tidak lagi mampu.

Akhir sekali, saya suka dengan kata-kata Azri Walter yang saya tulis semula di bawah. 

Selamat merenung dan jangan putus asa.



____

Muhd Iqbal Samsudin

Kangar, Perlis

1122H, 150722

4/7/16

Panggilan Pelanggan Di Alam Maya

[Nota Niaga]

Sebelum saya menjadi penjual, saya juga seorang pembeli, dan sampai sekarang masih lagi sebagai pembeli.

Dan siapa sekali pun yang menjual, pasti ada ada pengalaman membeli dan menjual. Oleh itu, si penjual perlu menjiwai dan empati dengan kedua-kedua keadaan ini.

Dulu-dulu(sekarang tidak lagi), dalam sebulan, hampir 200-500 orang pelanggan perlu saya jawab mereka satu persatu untuk membeli buku atau al-Quran. Memang nak termuntah kalau tak pernah jawab WhatsApp sebanyak itu, terus hipoglesemia.

Kebanyakannya, tak terjangka dan tak tahu langsung dengan siapa kita berhadapan.

Lelaki atau perempuan?

Tua atau muda?

Tua sangat atau muda sangat?

Abang pencuci bangunan, Akak meniaga kantin, Cik Adik sekolah rendah, Mak Cik karipap simpang jalan, Doktor gigi, Professor, Engineer, Cikgu, Ustaz atau Ustazah?

Tak tahu. Kebanyakannya memang tak tahu.

Kadang-kadang teka jugalah melalui DP WhatsApp. Tapi tak semua yang jenis letak gambar. Kalau letak gambar pun kadang-kadang gambar perempuan tetapi lelaki, kadang-kadang gambar keluarga, tak tahu nak teka lelaki atau perempuan. Yang letak gambar kucing, lagilah tak tahu nak pilih lelaki atau perempuan.

Untuk teka semenanjung atau Sabah Sarawak boleh lagi untuk tengok pangkal nombor telefon. 95% tepat selalunya, kecuali kalau dia bekerja di luar.

Tetapi kalau saya tahu jantina, itu sangatlah memudahkan kerja. Kebanyakan order yang dapat tahu jantina, ialah daripada order melalui web atau blog, itu sudah satu rahmat kemudahan.

Yang perempuan saya akan terus gunakan "Cik". Tidak gunakan "sis". Saya tidak gunakan "Cikpuan" sebab ramai yang menganggap "Cikpuan" ini sama macam "Puan", untuk yang sudah berkahwin saja, walhal ianya boleh saja digunakan untuk kedua-duanya bahkan lebih memuliakan.

Lagi pun, perempuan yang sudah berkahwin sekali pun, mereka juga dahulu pernah bergelar "Cik", kadang-kadang gelar itu membuatkan mereka rasa muda, kalau ditegur untuk guna "Puan", barulah saya bertukar. Mudah.

Kalau lelaki paling senang, panggil saja "Tuan". Melayu, Cina, India, Indonesia, Brunei, Singapore, semuanya "Tuan", dan kebanyakannya faham. Kebanyakannya tidak kisah, tetapi ada jugalah dua tiga hamba Tuhan yang mulia, merasa diri mereka tidak layak dipanggil tuan, saya tukar kepada panggilan yang mereka suka.

Pelanggan yang berbahasa Inggeris, saya pun berbahasa Inggeris dengan mereka. Hormati mereka. Sama macam tips pergi temuduga.

Mudah.

Perempuan panggil "Cik", lelaki panggil "Tuan".

Panggil dengan gelar yang memuliakan, bukan menghina. Cakap yang baik-baik, balas dengan santun. Empati dengan kedua-dua posisi; pembeli dan penjual.

Biar miskin diri, jangan miskin budi dan bahasa.

Wallahua'lam

#ibnuDDin
#NotaNiagaibnuDDin

___

Saya juga pernah menulis ringkas berkenaan perkara ini dahulu : http://www.ibnuddin.com/2015/11/berakhlak-dalam-niaga.html


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1416
070416

11/27/15

Berakhlak Dalam Niaga

Semua orang punya emosi.

Semua orang suka dilayan dengan akhlak dan layanan terbaik. Hatta yang garang-garang dan yang berperibadi kasar sekali pun, suka jika dirai dengan santunan penuh akhlak. Dan itulah yang antara asbab Rasulullah sollallahualaihiwasallam diutuskan; buat menyempurnakan akhlak yang mulia.

Jadi, dalam berurus niaga, kita perlu juga pandai mengurus emosi dengan cara paling terbaik.

Tambah pula, dalam alam niaga ini, banyak bermain dengan manusia - raja segala emosi.

___

Jadi, persediaan pertamanya, pastikan emosi sendiri dahulu, biar lurus, biar stabil. Ini yang paling penting, kerana penentu emosi-emosi yang berhadapan dengan dengan kita nanti, ialah diri kita sendiri.

Kedua, emosi pelanggan. Perlu dibelai-belai semampu mungkin. 

Yang ketiga pula, emosi pembekal. Ini juga perlu sentiasa dibaja.

Bagaimana caranya?

Lihat kembali bagaimana akhlak al-Quran dan siapa yang mempunyai akhlak al-Quran.

Sama saja praktikalnya.

Sentiasa membalas yang baik-baik dan sopan-sopan walau dihina dan disumpah seranah (ya, peniaga perlulah bersifat tahan makian jika sudah terlanjur membuat salah dna meminta maaf, tahanlah sekejap, ini biasa dalam berniaga, pasti ada silap)

Jika berniaga online, baiki cara penyampaian tulisan kita. Tulisan biar ditulis dengan ejaan paling sempurna, yang apabila orang baca, orang boleh faham, bukan singkatan perkataan yang entah apa-apa dan serupa tidak pernah belajar Bahasa Melayu di sekolah. Ingat, kita mudahkan urusan orang, insyaAllah Allah mudahkan kita. Lagi pun kalau pelanggan tak faham atau salah faham, siapa yang akan susah? Siapa yang akan lari?

Jika berniaga di alam nyata, baiki segala penampilan dan keterampilan berbahasa dengan orang. Lebarkan senyuman, lemparkan aura positif. Barulah orang berminat mahu membeli dengan kita 

Bukan berniaga sahaja sunnah, tetapi berakhlak dan bersopan juga tidak terlepas, itu juga sunnah. Itu juga ada ganjaran pahala.

Semoga berjaya. Moga Allah murahkan rezeki kita semua.

Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad.

#NotaNiagaibnuDDin

Muhammad Iqbal
Kuala Pegang, Baling, Kedah.
2343
280915

Mengapa Saya Berniaga Buku?

[Nota Niaga] [Nota Diri]


Tidaklah saya berhajat dan bercadang untuk mulakan perniagaan, sama ada berskala kecil atau besar pada alam mahasiswa saya ini, lagi-lagi pula menjadi mahasiswa jurusan perubatan yang sudah terkenal dengan kesibukan menggilanya.

Ya, saya lahir dalam biah keluarga yang berniaga dan memang sudah terbiasa berniaga. Tetapi, sama sekali tidak saya bercadang mahu mulakan perniagaan semasa saya masih bergelar pelajar perubatan.

Namun, itu hanyalah perancangan lemah seorang hamba. Kita merancanglah serapi mana kemahuan kita sekali pun, tetapi yang menentukan segalanya, hanya Dia.

Hanya Dia.


Mula Berniaga.

Pada masa hampir penghujung saya di tahun dua fakulti perubatan, saya mulakan perniagaan. Bukanlah saya sengaja berniaga, ada sabab musabab yang BESAR yang menyebabkan saya benar-benar TERPAKSA mulakan perniagaan pada waktu itu. Jika ditanya sebab apa, maka saya tidak boleh jawab di sini, kerana ianya bersifat terlalu peribadi.

Dalam seni sebelum melakukan apa-apa pekerjaan dan keputusan, haruslah kita membayangkan apa hasil di hujung keputusan atau pekerjaan kita ini. Laksana kita beramal di dunia ini, jenis amalan manakah yang kita perlu pilih, yang natijahnya membawa ke syurga atau membenamkan diri kita ke neraka durjana?

Dalam buku 'The Seven Habits of Highly Effective People'  juga diajar perkara tersebut. Stephen R. Covey bercerita dan mengajar kita dalam bab, 'Begin with the end in mind'.

Saya tahu apa akibat baik dan buruk yang bakal menimpa kalau saya lakukan semua ini, tetapi tiadalah jalan lain yang lebih sesuai dan efisyen untuk saya selesaikan masalah yang saya hadapi secara mengejut itu. Saya mencari ruang dan peluang yang ada di bumi Kinanah ini, untuk saya mulakan perniagaan, sebagai buah mula. Hinggalah akhir sekali saya mencebur juga dalam bidang yang saya suka, iaitu bidang buku.

Mengapa Buku?

Ada yang bertanya, "Mengapa memilih berniaga buku, sedangkan hasil untungnya sangat sedikit?"

Ingin saya jawab, "Tuan nampak sebegitu, kerana tuan tidak minat dalam bidang perniagaan buku dan tuan tidak minat dengan buku. Jika kita minat dan punya bekal ilmu, walaupun untung yang kita dapat cuma sedikit, kita akan dapat biakkannya supaya jadi banyak berlipat kali ganda. Ya, itu kuasa MINAT dan ILMU. Itu sahaja."

Maka, apa yang menyebabkan saya berniaga buku?

Sini saya rumuskan.



1- Minat Berniaga

Pertamanya mestilah kerana saya minat berniaga.

Ada orang mahu berniaga, tapi tiada minat. Lalu, perniagaannya akhirnya bersifat statik, kurang bergerak dan jadi kurang proaktif.

Minat dan cinta pada pekerjaan kita itu sangat penting, itu jugalah telah dipetuakan oleh jutawan Amerika Syarikat terkenal, Donald Trump.

Jika sebelum ini, yang dinampak apabila berniaga dan melalui berniaga itu boleh untung banyak, lebih banyak daripada kerja makan gaji, makanya ianya memang benar. Tetapi, ingat, ianya juga bersyarat.

Yang pertama, kita pasti kena yakin dengan janji Nabi, bahawa rezeki berniaga ini lebih dari rezeki melalui pekerjaan lain, kena yakin betul-betul. Sembilan per sepuluh itu memang daripada perniagaan.

Yang kedua, perlu ada buka hati untuk sungguh-sungguh minat dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi. Jika tidak, segalanya jadi susah dan akan ada saja yang tidak kena nanti.

Yang ketiga, mestilah ada kerelaan hati untuk belajar selok belok perniagaan. Tidak boleh hentam keromo sahaja, nanti hasilnya kurang memberangsangkan. Kena rajin bertanya dengan orang yang berpengalaman dalam bidang niaga yang yang kita mahu ceburi.

Contohnya, kalau benar mahu ceburkan dalam bidang buku, kena banyak tahu pasal buku dan tahu dengan siapa kita mahu berkongsi cerita dan minta pandangan, baru mudah dalam perjalanan kita nanti.

Pendek kata, minat itu penting untuk kita istiqamah dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi.

حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ثنا دَاوُدُ بْنُ أَبِي هِنْدَ عَنْ نُعَيْمِ بْنِ عَبْدِ الرحمن قال بَلَغَنِي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ. وقال نُعَيْمٌ: كسب الْعُشْرِ الْبَاقِي فِي السَّائِمَةِ يَعْنِي الْغَنَمَ 
Kata Nuaim bin Abd Rahman: telah sampai kepadaku bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 
"9/10 daripada rezeki (datangnya) dari perniagaan. Kata Nuaim: 1/10 yang berbaki (dari rezeki) datang dari pengembalaan yakni gembala kambing." 
- Lafaz ini diriwayatkan oleh Musaddad dalam musnadnya (Lihat: Ibn Hajar, al-Matalib al-'aliah, jld. 7, hal. 352)


2- Suka Buku

Benar, saya mata bukuan, bukan mata duitan.

Buku itu, walaupun padanya tiada rupa jelita dan tiada suara ayu memggoda, tetapi tetap juga ia mampu membolak rasa, dan setia memujuk-mujuk jiwa.

Apatah lagi, apabila padanya terlekat segala ilmu-ilmu penting untuk dipelajari.

Melihatnya jadi tenang.

Menyelaknya rasa berbunga.

Membacanya membawa lenang dan riang.

Memeluknya pula membujuk kalbu, menguja nuansa.

Memang tidak dapat tidak, suka dan cinta pada buku itu satu perkara yang sangat kuat untuk saya ceburkan dalam bidang perniagaan buku ini.

Al-Jahiz, antara nama cendiakawan yang tidak asing dalam dunia Arab Islam, yang kematiannya pada satu sisi tragis, maut ditimpa buku-buku, namun dilihat juga sebagai romantis dek maut dibawah pelukan buku-buku.

Katanya, " Sesiapa yang ketika membeli buku tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli hal-hal yang dinginkankan, ataupun tidak melebihi cita-cita para hartawan dalam membina bangunan, sesungguhnya dia belum mencintai ilmu. Perbelanjaannya tidak bermanfaat sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku, sepertimana si Arab Badwi lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya."




3- Bergelumang Dengan Ilmu

Buku dan ilmu bagai purnama dan malam. Ada malam, adalah purnama.

Sementelah pula dengan buku-buku agama, bertambah-tambah ilmu yang tidak rugi masuk bergelumang bersamanya. Ilmu yang bakal membenih amal buat bekal di negeri abadi sana.
Bonusnya, penjual buku-buku agama juga, jika benar niat sucinya, dia juga tergolong dalam orang yang menyebarkan Islam.

Maka, apakah itu tidak meguntungkan?



4- Malar Hijau

Malar hijau atau digelar juga 'evergreen' ialah aspek penting dalam dunia perniagaan.
Buku sentiasa diguna dan dibaca manusia dari dahulu, kini dan insyaAllah berpuluh ratus tahun akan datang.

Maka, pada sudut pandang sekangkang saya, perniagaan buku ialah sebuah perniagaan malar hijau. Walau dunia kini sudah berkembang dengan teknologi ebook dengan meluas, namun permintaan buku 'nyata' masih tinggi.

Ternyata, kepuasan membelek-belek buku, menyelak-nyelak kertasnya, perasaan memiliki sebuah kumpulan kertas, tidak sama dengan memiliki buku di alam digital.




5- Pelanggan Jarang Mengadu Macam-macam

Perniagaan buku tidak seperti perniagaan lain yang mempunyai jaminan waranti dalam jangka masa tertentu seperti penjualan kebanyakan gajet.

Selepas buku telah sampai di tangan pembeli, urus niaga untuk buku tersebut selalunya terhenti di situ dan dapat meneruskan urus niaga baharu bersama pelanggan lain.

Ini dapat menjimatkan masa, tenaga, dan dapat banyak mengelak kerugian yang perlu ditanggung. Lantas, mengurangkan kadar risiko dalam rencah perniagaan ini.

Bukanlah tidak ada aduan langsung berkenaan kerosakan buku yang berlaku selepas buku dipos, atau ada masalah pada kertas muka surat di dalamnya, tetapi permasalah seputar perkara itu sangat-sangatlah terpencil.




6- Puas Membantu Orang Lain Mendapatkan Buku

Saya tidak tahu perasaan penjual buku lain bagaimana, tetapi bagi diri daif saya ini, kepuasan itu akan timbul setelah saya dapat bantu orang lain dapatkan ilmu, memudahkan orang lain menuntut ilmu, tambah pula jika al-Quran yang dibeli, bertambah-tambahlah peri puas saya.

Puas itu hanya datang jika kita minat dan cinta dengan apa yang kita buat dan kerjakan.




Wallahua'lam.
Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1954
220115

Tips Ringkas Berniaga di Instagram

[Nota Niaga]


1) Nama Instashop kita, perlu melambangkan apa yang kita jual. Ini penting dalam pembinaan branding kedai kita.

2) Kena rajin cari followers. Saya pernah menulis berkenaan ini, boleh rujuk tulisan saya sebelum ini.

3) Hashtag kena betul dan banyak. Yang ini aspek penting di instagram.

4) Rajin update setiap hari, paling kurang 3 kali sehari.

5) Jangan lupa banyakkan testimoni. Ini sangat penting untuk bina keyakinan pembeli dengan kita.

6) Terus update dan aktif. Persistent. Istiqamah.

7) Tawakkal.


Seringkas tu sahaja untuk berniaga di instagram. Sesuai buat yang baru menceburkan diri berniaga di instagram.



Wallahua'lam

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1404
230115

Kudrat Meranduk Payah

"Ah, kau berniaga, kau banyak duit."


Saat orang bertanyakan aku,
"Patut tak kalau aku berniaga sekarang semasa belajar?"


Jawapan pilihan aku hanya ini,
"Jikalau kau betul-betul yakin akan dapat seimbangkan masa untuk pelajaran dan perniagaan, dan perniagaan tidak akan mengganggu langsung pelajaran, silakan. Aku sokong sepenuhnya.

Tapi, kalau kau bukan jenis yang multitasking minded, jangan perjudikan nasib kau. Tumpukan pada satu-satu bidang. Jangan campurkan, nanti hasilnya tak memuaskan, dan mungkin berisiko mengalami sakit."


Jangan buat pasal. Bidang niaga ini nampak mudah, tapi ternyata jalur pahitnya amat menyakit, kalau kau belum cukup ilmu dalam menempuhnya.

Multitasking minded and action, antara kebolehan wajib yang mesti ada.  Dan kebanyakan lelaki, gagal dalam bab ini, kerana kebanyakan mereka hanya dapat berfikir dan bertindak hanya dalam satu perkara sahaja, tidak boleh lebih. Kalau buat juga, hasilnya akan jadi susut tidak mengeyang seperti selalunya.

Kalau masih ada sumber kewangan yang utuh untuk kau belajar dengan lunak tanpa berfikir tentang duit, belajarlah dalu.

Serius, belajarlah dulu.

Umpama cerita dhaif tiada apa ini. Mulanya aku ceburi perniagaan bukanlah main-main atau saja-saja, semuanya bersebab, hinggalah TERPAKSA juga aku terjun menyelam-nyelam dalam alam perniagaan ini.

Aku tidak kisah orang mahu kata apa-apa. Kerana kebanyakan kata-kata orang tak akan buat kita ke mana-mana. Kerana saatnya kita susah berapa kerat sangat yang akan menolong berbanding mengeji dan membuang peduli.

Kalau kau tak ada sumber kewangan yang utuh, sumber yang ada pula tidak menentu, tak akanlah setiap hari mahu meminta kepada orang lain yang nyata sifatnya manusia ada jemu dalam memberi. Sedang badan jasad kau masih solid untuk gagahkan mencari sesuap rezeki, apa kau mahu jadi pengecut dengan duduk sahaja menunggu rezeki?

Begitu?

Jawab sendiri.

Aku lebih lunak bersembang dengan beberapa sahabat satu pengajian yang juga turut berniaga, terasa mereka lebih faham. Walau mereka juga berada dalam keadaan kekurangan, namun mereka ada lebih dari sudut faham dan akal budi yang kenal erti susah, yang sama-sama bercengkang urat meranduk payah.

Mereka lebih faham bahawa berniaganya pada waktu belajar ini bukanlah berhadaf mahu kekayaan, tetapi hanya mahu  menampung makan.minum.pakai moga sempurna terjaga.
Mahu berniaga semasa belajar?


Fikir.

Fikir-fikirkan lagi.


image



Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal 
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0356
030215

11/26/15

Menanggung Tunggu

[Nota Diri] [Nota Niaga]

Berseorang menuju ke Hayyu Sabi', Madinah Nasr. Sebelum ini aku bawakan dua beg sendeng yang dimuatkan dengan buku-buku. Tapi kali ini lengang sedikit buku-buku yang perlu dihantar ke sini. Hanya satu beg galas belakang sudah cukup untuk diisi semuanya.
Aku katakan pada para pelangganku, "InsyaAllah lebih kurang pukul empat petang aku akan di sana." Dan aku cuba sedaya termampu untuk jadi 'punctual'. Tidak mahu dipotong pedang-pedang masa.

'InsyaAllah' itu lambang aqidah kita. Kita tidak tahu sama ada Allah benarkan atau tidak kepada apa yang kita rancangkan. Bukan sebuah alasan yang dicanang-canang bangsa Melayu yang mengatakan bahawa itu lambang seorang itu tidak mahu buat atau meringan-ringan sesuatu perkara.

'Lebih kurang' itu bahasa budi kita. Juga kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di depan. Boleh jadi terlewat sedikit, dengan lewat yang betul-betul tidak dapat dielak. Seterusnya, mahu elak kita dari jadi seorang fasiq yang membohong.

Dalam perniagaan, sama juga seperti di alam kedoktoran dan perubatan, banyak berinteraksi dengan manusia.

Satu perkara yang aku cuba elak ialah menjadi seorang yang lambat setelah satu janji temu dibuat. Cuba sedaya yang termampu untuk jadi berdisiplin dengan masa.

Namun, yang namanya manusia ini, walau difirmankan sebagai sebaik-baik kejadian, namun banyak lopong lemahnya. Melalui penjagaan masa ini juga, aku banyak belajar daripada manusia-manusia.

Menjaga ketepatan masa itu rupanya tidak boleh berseorang, harus beramai-ramai, harus secara berjemaah memahami pentingnya menjadi seorang yang menghargai masa, tambah-tambah lagi yang mengaku Islam seperti diriku yang serba tiada apa ini. Kerana, rata-rata umat Melayu Islam atau lebih tepat dituju kepada kebanyakan golongan agamawan, ramai yang dilihat culas dengan masa.

Aku tidak dinafikan, kadang-kadang terikut-ikut rentak orang-orang disekeliling.
Kita beriman dengan al-Quran dan segala isinya. Surah al-'Asr sentiasa meniti di kulit-kulit bibir kita, namun masih tetap sama perilakunya, tidak pernah tepat masa kalau berjanji.
Sampai sahaja di lokasi, seperti biasa saya terus menunggu dan menunggu lalu menyeru-nyeru para pelanggan untuk datang, walau mereka sudah diberitahu beberapa jam yang lalu.

Di sebabkan berurusan dengan umat Melayu, aku jadi sudah lali, tambah-tambah lagi jika menunggu kebanyakan (tidak semua) para bakal agamawan, tak perlukan dos pelali lagi, aku sudah memang lali. Lalu tunggulah aku menempuh sejuk gigil musim shita' ini.

Kadang-kadang, untuk mengubat rasa duka kalau manusia-manusia yang datang lewat ini, aku bertanya balik pada diri serba lemah ini, 'Kau jaga tak masa kau dengan Allah? Kau solat di awal waktu tak selepas mendengar seruan-Nya dialunkan?'

Selepas aku malu sendiri, aku jadi akur. Tidak mengapalah, sambil berbisik, 'Mungkin ini salah aku kepada Allah. Moga-moga Dia ampun segala dosa aku.'

Di celah-celah menunggu itu, seronok juga aku melihat suasana di tempat sibuk. Ada pelbagai ragam, Banyak pelajaran kalau boleh melihat dengan mata-mata hati kita, sambil-sambil menanggung tunggu.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal

Perkataan Mujarab Untuk Pelanggan

[Nota Niaga]
"SPECIAL" 
"ISTIMEWA" 
"EKSKLUSIF" 
"FREE POSTAGE"

Ini semua antara patah perkataan 'mujarab' untuk menarik hati pelanggan dan untuk close sale dengan mudah.

Olah mengikut ayat yang sesuai.

InsyaAllah sangat mujarab!

Oh ya, disebabkan manusia itu perlunya bergantung pada Tuhan, maka MENDOAKAN pelanggan juga sangat penting.

Ekpresikan doa anda kepada pelangganapa daripada hati tulus anda, insyaAllah ada baiknya, di dunia dan akhirat.

Cubalah! ^^

image
Kenangan ke Piramid Giza pada 2011.


Wallahua'lam

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
0823
121114

Trik Fikir Gaya Ayah

[Nota Diri] [Nota Niaga]

Kalau suatu ketika dahulu, apabila terliur tengok iklan-iklan mengancam burger McDonald's dan ayam KFC, selalu saya minta ayah belikan.

Tapi, selalunya ayah tak akan belikan, dan mengajak kami fikir dengan cara lain.

"Mahai tu abang. Harga satu burger McDonald's tu kita dah boleh buat sendiri tiga empat biji burger dah. Nanti ayah beli roti dengan daging, kita masak sendiri. Jimat, boleh makan ramai-ramai."

Lalu, sehingga hari ini saya kira, ayah tak pernah beli McDonald's untuk kami.

Kalau minta dibelikan ayam KFC pula, pasti kata ayah, "Tak apa abang, ayam hat dalam TV tu mahai, harga tu dah boleh beli seekoq ayam dah kalau kita beli hat pasar malam. Nanti ayah pi beli ayam seekoq, kita balik goreng sendiri."

Untuk KFC, ayah hanya beli ketika ada kejayaan yang dirai, atau paling nak beli sangat pun ketika ada hari lahir. Syukur, dapat juga merasa.

Hari ini, apabila melihat iPhone 6 dipromosi di sana sini. Jiwa muda mana tidak terliur kan? Pasti teringin juga. Kadang-kadang, ada yang sudah melekat iPhone 5s di tangan pun masih terliur kencang mahu dapatkan iPhone 6.

Jadi, saya cuba aplikasikan trik gaya fikir ayah.

Tengok di grup Pasaf Mesir, ada yang jual iPhone 6 Plus RM3***. Maka, saya pun berfikir, dengan duit sebanyak itu, benda apa yang agaknya bermanfaat kepada orang ramai dan lebih bersifat kekal.

Terus saya ke mudah.my lalu cari kereta bawah daripada RM5000. Ya, sudah tentulah kereta second hand.

'Huish, banyak jugak noh. Kancil, kelisa, Toyota SEG, Honda Accord(90-an), Toyota Rush, Toyota Camry Auto (90-an). Kemaih gak rupanya.'

Kalau kereta yang dicari bawah RM10000, pastilah lebih elok.

Maka, fikiran saya terus menghala kepada kereta. Terasa kereta jauh lebih berbaloi walaupun second hand. Boleh jalan-jalan, bawa orang ramai, boleh sumbat stok buku-buku untuk jualan.

Kalau sehari meniaga untung RM500. Sebulan dah boleh dapat sekurang-kurangnya RM15,000.

Nampak sukar?

Itu kerana kita belum mencuba.

Ada orang main, pegang smartphone, langgan internet sebulan, main fb, main instagram, main whatsapp, main clash of clan, main itu main ini, tapi penghujungnya satu hasil pun tak ada. Hanya yang ada kisah cintan cintun yang tidak berkesudahan.

Ada orang lain, main smartphone juga, langgan internet sebulan, main fb, main instagram, main whatsapp, dah boleh jana duit lima angka. Semuanya mahu dengan tak mahu saja.
Akhirnya, dapat juga berfikir seperti yang ayah. Fikir membuat keputusan yang tepat, supaya tak jadi fakir, tanpa menjadi kikir.

Sekian.

image

Ya Allah, rezekikanlah sebaik-baik balasan atas segala kebaikannya kepadaku dan kurniakannya firdaus al-a'la dalam syurgamu nan indah.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2342
041114

Kad Bisnes Menjadi Penanda Buku

[Nota Diri]


Ayah selalu berpesan, ke mana saja kita pergi, lihatlah cara orang berniaga. Kemudian, setelah pulang, dan lakukan inovasi baharu kepada peniagaan kita.

Bertitik tolak dari itu, aku suka melihat orang berniaga. Selalu pergi tempat orang berniaga. Bukanlah nak membeli belah sangat, tetapi sekadar melihat dan buat interpretasi sendiri.

Lalu, dengan itu, maka banyaklah juga koleksi bisnes kad yang para peniaga berikan.

Sekali pandang aku tidak dapat melihat semua bisnes kad itu berfaedah pada aku.

Tetapi hari ini, aku sedar bahawa semua bisnes kad itu sangatlah besar manfaatnya.

Kerana, semua bisnes kad itu berpostensi besar untuk dijadikan penanda buku-buku aku.

Yeaaaay, akhirnya bermanfaat juga semua bisnes kad itu... ^^

Fikir, sebelum buang.

Fikir, untuk menatijahkan manfaat.

image

Wallahua'lam

Muhammad Iqbal.
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
250914

Tips Niaga InstaShop : 1000 followers Dalam Masa Seminggu

[Nota Niaga]
image
1000 followers InstaShop Dalam Masa Seminggu

Sekadar berkongsi pengalaman.

Bagi yang mempromosikan buku menggunakan instagram, saya cadangkan, capai cepat-cepat followers sehingga 1000.

Berdasarkan pengalaman saya menguruskan instagram, ibnuDDin's Book Shop dan El-Kitab Shop, sejurus follower mencapai 1000, insyaAllah pasti order akan bertalu-talu datang.

Instagram boleh jadi lubuk niaga untuk capai keuntungan, tetapi semuanya hanya biar kena dengan caranya sahaja.

Ini adalah cara saya lakukan kepada dua instashop saya, ibnuDDin's Book shop dan El-Kitab Shop. Semuanya berdasarkan pengalaman, pembacaan, try&error dan pengamatan saya.

image
htttp://www.elkitabshop.net

image


Anda boleh 'beli' followers instashop dengan pelbagai khidmat yang ditawarkan. Ada yang menawarkan RM50 untuk 1000 followers. Tetapi followers yang diberikan bukanlah semuanya warganegara Malaysia, tetapi kebanyakan majoritinya warganegara luar. Jadi, followers yang kita dapat hanyalah 'hiasan' untuk meyakinkan pembeli.

Pada hemat saya, cara ini lebih mudah target pembeli dan lebih banyak berinteraksi dengan followers. Dan, sesuai dengan peniaga kecil instashop, yang tidak punya kedai sebenar di alam nyata.


☆ ☆ ☆

Ini serba sedikit yang sempat saya simpulkan. Ikuti tips ini.


[1]
Ketahui secara mendalam barang apa yang kita niagakan, dan tahu golongan manakah berpotensi besar untuk menjadi pembeli kita.


[2]
Pastikan ada target. Kalau mahu capai1000 followers dalam masa seminggu, maka paling kurang, sehari anda perlu dapatkan 143 followers. By hook or by crook.


[3]
Update instashop anda seiring dengan pencarian followers. Paling kurang sehari 3-5 kali. Kalau baru mula berniaga, lagilah perlu banyak update barangan niaga kita.


[4]
Kemudian, ini cara yang agak merenyahkan sedikit. 
Setelah anda tahu golongan yang berpotensi besar akan membeli barangan anda, maka tugas anda sekarang ialah pergi ke instagram orang lain, yang bertemakan sama dengan apa yang anda jual, follow lah followers mereka. Satu per satu, dengan penuh sabar, sedikit demi sedikit.
Instagram orang lain seperti artis atau sesiapa yang terkenal juga berpotensi, tetapi akan jadi kurang berfokus sedikit target kita. 
Contoh, kalau anda menjual barangan bertemakan keibubapaan, maka carilah instagram-instagram bertemakan ibu bapa. Banyak sebenarnya. Follow lah followers mereka. 
Dengan cara ini, mereka akan datang ke instashop kita untuk lihat barang dagangan kita. Perlu faham, tidaklah semua yang kita follow itu akan follow kita kembali, tapi insyaAllah akan ada juga yang follow, tambah-tambah kalau sasaran target pembeli kita benar-benar kena.


[5]
Maka, seterusnya, teruslah update instashop anda. Update dan update. Dengan cara yang betul. Followers anda akan perhatikan setiap apa yang kita update. InsyaAllah rezeki Allah itu luas.  Usahalah selagi ada kudrat ^__^



Wallahua'lam.
Muhammad Iqbal.
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1352
300914

Budaya Niaga Berjaya

[Nota Niaga]


Tanpa ragu-ragu saya merasa apa yang saya alami ini, ramai juga usahawan-usahawan atau peniaga-peniaga Melayu turut sama rasai.
"Eh, kau baru meniaga kan? Mesti banyak duit. Belanja la aku sikit.
"Wah, kau dah buka kedai baru, boleh la bagi diskaun banyak-banyak kat aku nanti." 
"Hari ni makan, biar kawan kita ni yang belanja, dia kan baru buka bisnes baru sekarang ni."

Melalui dialog-dialog di atas, apakah perkataan yang berulang-ulang?

BARU?

Ya, BARU.

Baru mula berniaga. Baru buka kedai. Baru kembangkan perniagaan. Hatta kadang-kadang walau hanya mula perniagaan di facebook dan instagram pun dianggap sudah kaya!

Sekali dengar seakan biasa.

Tetapi hakikatnya, ia membawa gambaran bahawa, bangsa Melayu, bukanlah bangsa berniaga.

Kerana itu, kita sesama sendiri gagal memahami seni berniaga dan kurang mengalami sendiri pengalaman berniaga.

Tidak hairanlah, walau sebanyak mana peruntukan yang pihak kerajaan salurkan untuk membantu para usahawan bumiputera, masih ramai yang 'bungkus'.

Selain sikap peniaga itu sendiri, keadaan masyarakat Melayu kita juga merupakan salah satu punca kegagalan ramai peniaga kita.



Bangsa Niaga.

Saya pernah mendengar cerita-cerita daripada bangsa Cina di Malaysia. Sangat mengujakan.

Sekilas pandang, kita sudah tahu, mereka adalah bangsa berniaga. Padahal, kebanyakan mereka bukanlah beragama Islam. Tiada anjuran berniaga seperti mana yang Nabi kita ajarkan.

Tidak dapat dinafi, mereka keturunan peniaga turun temurun.

Di Mesir, saya sendiri kagum dengan bangsa Cina. Mereka akan sentiasa berusaha untuk berniaga, walau di mana mereka berada. Kalau mereka tak pandai berbahasa arab dan sukar menembusi marhaen Mesir dalam perniagaan biasa, mereka kumpul duit, mereka bina kedai makan Cina muslim (Chinese Cuisine) dan gaji pelajar-pelajar asing lain yang pandai berbahasa arab dan baik pekerti daripada bangsa Arab yang sangat jarang berlaku jujur dalam pekerjaan dan selalu menipu. Sesuatu yang orang arab tidak mampu saingi mereka dan mereka hanya bersaing sesama mereka.

Di Mesir ini juga, saya lihat bangsa Cina ini juga, ke hulur hilir berniaga barang elektronik dari negara mereka kepada bangsa arab, walaupun mereka sepatah haram pun tidak pandai berbahasa arab, hanya gunakan isyarat tangan sahaja. Tinggi sungguh survival hidup mereka. Hebat!

Kalau mereka baru memulakan perniagaan, sahabat-sahabat handai, sanak-saudara akan beri sokongan kepada perniagaan baru mereka.

Mereka akan ke kedai baharu kenalan mereka dan beli belah di situ sebagai tanda sokongan mereka terhadap perniagaan baharu itu.

Saya kira, budaya yang begini sangat-sangat harmoni. Mungkin juga kerana budaya kecil ini, bangsa Cina ini, jarang kedengaran gagal dalam perniagaan mereka.

Mereka mengerti bahawa bagi setiap peniaga yang baru memulakan sebarang perniagaan, peniaga tersebut pasti telah bergolok gadai melaburkan duit modal untuk memulakan perniagaan tersebut.

Jadi, pada awal perniagaan, sah-sahlah poketnya kering. Lalu, oleh sebab itulah, masyarakat perlu beri sokongan dengan memperbanyak beli belah di kedainya, bukan minta dikeluarkan belanja untuk kita.



Ubah Budaya Niaga Bangsa Kita.

Ini baru dari satu segi budaya niaga bangsa Cina. Banyak lagi sebenarnya yang kita boleh ambil pedoman.

Lantaran kos hidup yang makin tinggi melangit, mutakhir ini, kita boleh lihat, lambakan peniaga-peniaga online dan alam nyata yang tumbuh bak cendawan tumbuh selepas renyai gerimis.

Oleh sebab itu, ada eloknya, kita mengubah budaya dan mentaliti niaga dalam kalangan orang kita. Tingkatkan inovasi, gencarkan promosi, saling menyokong perniagaan sesama kita.

Tiada apa yang rugi jika kita ubah perkara ini. Bahkan, menguntungkan masyarakat sejagat kita.


image
Petikan buku 'Rahsia Bisnes Orang Cina' - Ann Wan Seng


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal,
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1039
230914