Showing posts with label Adab. Show all posts
Showing posts with label Adab. Show all posts

11/27/15

Berakhlak Dalam Niaga

Semua orang punya emosi.

Semua orang suka dilayan dengan akhlak dan layanan terbaik. Hatta yang garang-garang dan yang berperibadi kasar sekali pun, suka jika dirai dengan santunan penuh akhlak. Dan itulah yang antara asbab Rasulullah sollallahualaihiwasallam diutuskan; buat menyempurnakan akhlak yang mulia.

Jadi, dalam berurus niaga, kita perlu juga pandai mengurus emosi dengan cara paling terbaik.

Tambah pula, dalam alam niaga ini, banyak bermain dengan manusia - raja segala emosi.

___

Jadi, persediaan pertamanya, pastikan emosi sendiri dahulu, biar lurus, biar stabil. Ini yang paling penting, kerana penentu emosi-emosi yang berhadapan dengan dengan kita nanti, ialah diri kita sendiri.

Kedua, emosi pelanggan. Perlu dibelai-belai semampu mungkin. 

Yang ketiga pula, emosi pembekal. Ini juga perlu sentiasa dibaja.

Bagaimana caranya?

Lihat kembali bagaimana akhlak al-Quran dan siapa yang mempunyai akhlak al-Quran.

Sama saja praktikalnya.

Sentiasa membalas yang baik-baik dan sopan-sopan walau dihina dan disumpah seranah (ya, peniaga perlulah bersifat tahan makian jika sudah terlanjur membuat salah dna meminta maaf, tahanlah sekejap, ini biasa dalam berniaga, pasti ada silap)

Jika berniaga online, baiki cara penyampaian tulisan kita. Tulisan biar ditulis dengan ejaan paling sempurna, yang apabila orang baca, orang boleh faham, bukan singkatan perkataan yang entah apa-apa dan serupa tidak pernah belajar Bahasa Melayu di sekolah. Ingat, kita mudahkan urusan orang, insyaAllah Allah mudahkan kita. Lagi pun kalau pelanggan tak faham atau salah faham, siapa yang akan susah? Siapa yang akan lari?

Jika berniaga di alam nyata, baiki segala penampilan dan keterampilan berbahasa dengan orang. Lebarkan senyuman, lemparkan aura positif. Barulah orang berminat mahu membeli dengan kita 

Bukan berniaga sahaja sunnah, tetapi berakhlak dan bersopan juga tidak terlepas, itu juga sunnah. Itu juga ada ganjaran pahala.

Semoga berjaya. Moga Allah murahkan rezeki kita semua.

Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad.

#NotaNiagaibnuDDin

Muhammad Iqbal
Kuala Pegang, Baling, Kedah.
2343
280915

Adab Merespon

Belajarlah adab sebelum mula belajar apa sahaja pembelajaran.

Sungguh, padanya ada barakah tiada ternilai.

Teringat saya dahulu ketika belajar beberapa bulan di pondok. Ah, entah mengapa kenangan-kenangan di sana, walau tidak lama, ia melekat dan konsisten melambai-lambai menggamit rasa. Di sana sangat menekankan perihal adab.

Antara yang paling saya ingat, adab ketika merespon.

Sering kali ketika merespon dengan kadar tergesa atas keterkejutan kita, akan membuahkan diri kita sebenar. Kalau memang diri sudah diresapi adab, walau dalam apa jua keadaan, yang keluarnya tentu juga yang ada bunga-bunga  adab. Tetapi, kalau yang buat-buat tahu beradab atau acah-acah beradab, apabila dalam keadaan terkejut, terzahir juga apa yang sebenar dalam diri.

Contohnya, ketika menerima berita kematian, siapa yang tidak terkejut jika menerima berita kematian, lagi-lagi apabila yang meninggal dunia itu orang yang kita kenal rapat, apa yang terlintas sebagai respon pertama kita selalunya, "Apa sebab dia mati?"

Sepatutnya, dimulakan dengan ucapan, "innalillah wainnailaihi raajiuuun", dan seterusnya mendoakan si gemulah, kemudian tanyalah apa sahaja yang hendak ditanya.

Tetapi dalam kebanyakan masyarakat kita hari ini, kita gagal. Adab ini sudah tenggelam tidak berwaris.

Satu ketika lagi pula, tatkala orang memberikan kita sesuatu, kita jadi berat untuk merespon dengan ucapan penghargaan.

Tapi yang munculnya kadang kala dengusan emosi pula.

Terimalah dengan rela hati apa yang orang berikan. Sambut dengan kuntum senyuman, dan berikan kata penghargaan, semudah ucapan, "terima kasih".

Adab, mencerminkan peribadi hati kita. Carilah orang-orang beradab dan yang mengajarkan adab. Sambut belai adab mereka dan warisilah dengan bersungguh-sungguh.

Sesungguhnya kita berada pada zaman yang meminggirkan adab, kerana menganggap adab itu 'skema', padahal kita lupa manusia paling agung yang mampu memberi syafaat buat kita di akhirat nanti juga seorang yang hidupnya penuh dengan adab dan akhlak, bahkan sememangnya diutuskan untuk menjadi menegakkan sebaik akhlak dan adab.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1259
280515