5/4/12

Siri 12 : 'Asir Asob

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Speaker dan mp3, tika studi ianya merupakan elemen yang agak penting dalam hidup Muhammad. Kehadiran speaker dan mp3 lazimnya dengan izin Allah akan memanjang tempoh studi Muhammad. Kepentingan dua benda alah itu, memang tak dapat dinafikan lagi.

Speaker kecil molek yang boleh dicas semula itu hampir 3 tahun berkhidmat untuk tuannya. Setelah menemani tuannya studi selama beberapa bulan di Mesir, tiba-tiba dia menjadi semput, seakan mahu menghela ruhnya pergi sejauh-jauhnya tanpa kembali lagi. Muhammad reda dengan pemergiannya setelah pelbagai cara dikerahkan untuk pulihkan kembali, namun gagal. Lalu jasadnya terus disemadikan dalam laci bersama kawan-kawan baharunya yang lain. Tak sanggup pula mahu membuang mengenangkan jasanya yang agak mecurah sejak zaman pra SPM.

Keluar Malam.

" Qadir, malam ni hang teman aku pi Technology Mall sat, kita pi beli speaker. Speaker aku rosak la.." Muhammad bersuara dihadapan pintu rumah Qadir setelah bertembung kedua-dua mereka.

" Insya-Allah, boleh ja. Lepas aku balik ARMA kita pi terus 'ala tuul. Aku nak kena pi pasang komputer kawan aku sat kat ARMA nu." Balas Qadir sambil tersengih-sengih bak kerang 'wangi' di pasar malam.

" Lepas tu boleh la kita pekena Takobe sekali, dah mengidam lama dah ni." Tambah Muhammad.

Malam yang dingin. Dingin malam musim bunga tetap tidak sama dengan malam musim dingin, namun dinginnya masih dapat dirasa. Selepas ditelefon Qadir, Muhammad terus meluru turun imarah dengan sepantas mungkin.

Melangkah keluar dengan penuh yakin. Lebih yakin dengan pesanan Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam yang menyuruh membaca satu doa sebelum keluar rumah. Insya-Allah, keselamatan lebih terjamin.

" بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ "
( H.R Abu Daud ; 5097 )

Tengok jam, sudah pukul 11 lebih. Memang sangat lewat bagi Muhammad, di tambah pula keesokkan harinya ada kuliah. Bukan apa, musim sekarang ni, subuh awal, seawal pukul 3 lebih pagi. Agak memenatkan kalau tidak tidur awal. Takut-takut ter'syahid' dalam dewan kuliah pula nanti.


Memilih.

Kesian si Qadir, mujurlah dia jenis penyabar. Boleh la bersabar dengan kecerewetan Muhammad memilih speaker yang berkenan di hati. Entah berapa kali Technology Mall itu ditawaf, sampai letih si Qadir. Setelah hampir 40 minit, baru selesai memilih dan terus beli.

Mahukan yang elok dan tahan lama, perlulah cerewet sikit kan. Biar susah sikit awal-awal, moga mudah kemudian nanti. Cerewet memilih juga satu ikhtiar. Cerewet memilih pasangan hidup juga mungkin satu ikhtiar.

Sebagai 'upah' sebagai peneman Muhammad bertawaf di Technology Mall, Muhammad membelanja Qadir Takobe. Walaupun malam tu entah macam mana tiba-tiba ayam goreng yang dimasak tidak sesedap selalu, namun perut yang semakin sayu berkeroncong, sanggup terima saja apa yang masuk, asalkan halal!

Makan tanpa ragu, makan tanpa risaukan duit yang digunakan melayang kepada pihak Israel. Walau tak sedap mana, tenang sahaja hati, tak perlu fikir banyak.

Sambil menunggu makanan sampai, banyak perkongsian ilmiah yang dapat Muhammad dapat daripada Qadir. Qadir pelajar tahun 2 Syariah Islamiah Universiti al-Azhar. Dia paling minat bab fiqh, jadi kalau nak bersembang dengannya, mesti la bab-bab fiqh juga. Baru sedap bersembang.

Sempat kami berbincang tentang fatwa semasa yang dikeluarkan Syeikh 'Ali Jum'ah dalam Majalah al-Azhar yang berharga L.E 1.50 itu. Banyak sungguh mutiara ilmu yang dikutip. Sambil menyelam di lautan ilmu, makin banyak mutiara yang dapat dikutip.


'Asir Asob

'Asir asob atau dalam bahasa arab fushanya 'asir qosob iaitu jus tebu. Mesti terbayangkan bulan ramadan kan, sebab air tebu kan popular tatkala ramadan menjelma.

Kedai 'asir atau kedai jus ni kalau di Mesir ni bercambah tak terkira banyaknya. Harganya tak mahal sangat, memang berpatutan. Dan, paling penting keasliannya yang tiada bandingan berbanding dengan yang telah dibungkus dalam kotak di pasar raya. Sedap!

" Muhammad, jom kita singgah sat kedai 'asir depan tu. Aku dah lama tak pekena 'asir asob dah ni. Dahaga  pulak malam-malam ni." Tanya Qadir dengan muka penuh pengaharapan.

" Insya-Allah, boleh ja, aku dah lama tak minum asob ni, setakat secawan tu insya-Allah boleh saja..Jom!" Muhammad menjawab sambil menutup hidungnya gara-gara pemandu teksi yang menghisap rokok durjana.

" Aiwah, hena ya raais." Arah Qadir kepada pemandu teksi.

Betul-betul hadapan kedai 'asir pemandu teksi memberhentikan teksi putihnya. Bayar dan terus keluar menuju ke dalam kedai tersebut. Kelihatan tak sibuk sangat, mungkin dah agak malam.

" 'Asob itnin." Qadir beritahu kepada pak cik penjaga kaunter.

Pak cik kaunter memberikan dua keping plastik bulat berbentuk duit syiling lima puluh sen yang berwarna hijau, melambangkan dua tempahan asob.

Seterusnya, diserahkan kepada abang si pembuat 'asir tersebut. Tak payah cakap pun dah faham dah, hanya senyum tanda hormat.

Tiba-tiba datang lagi seorang orang arab untuk menempah 'asir asob juga. Dia berada dekat sangat dengan kaunter pembuatan 'asir tersebut. Kelihatan dia seperti marhaen biasa, comot sikit namun tetap kemas.

Siap sahaja asob tu, dengan kecekapan dan pengalaman yang menggunung tinggi, dia hanya tolak sahaja cawan yang hampir penuh dengan muatan jus tebu itu. Akhirnya, tertumpah terkena baju orang arab tadi.

Gulp. Senyap seketika. Muhammad dan Qadir hanya melihat.

Muhammad sangka, orang arab itu akan marah sebab kebanyakkan orang arab ni panas baran, pantang silap sikit mesti nak gaduh saja. Tapi...

Tiba-tiba terhambur pantas satu ayat al-Quran dari mulutnya, lantas dia tersenyum.


"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;"
( Ali 'Imraan 3 : 133 )


Lalu, Qadir secara tak semena-mena menyambung bacaan ayat yang dibacakan orang arab tadi. Mereka gelak ketawa bersama-sama.


"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;"
(Ali 'Imraan 3 : 134)


Dekat di sudut hati Muhammad, dia kagum. Kagum dengan akhlak yang Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam anjurkan. Paling penting, dia dapat melihat, bagaimana ilmu dan iman seseorang dapat mengawal emosi. Walhal, dia wajar untuk marahkan abang si pembuat jus tebu tadi. Tapi, semuanya gara-gara akhlak Rasulullah yang telah tertanam dalam dirinya. Akhlak al-Quran akhlak hebat!

Muhammad dan Qadir jalan beriringan menerjah kegelapan malam pulang ke rumah. Sambil bergurau satu sama lain hiburkan hati sedikit. Malam yang penuh manfaat. Maka, beruntunglah buat hamba-Nya yang sentiasa berfikir tentang keagungan-Nya tatkala merantau alam fana ini.




Wallahua'alam.



Muhammad Iqbal,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.





4 comments:

  1. keluar dalil terus..power gila.. =p

    ReplyDelete
  2. besa la orang arab, al-Quran dalam dada :)

    ReplyDelete
  3. Dalil Pak Arab & akh Qadir tu pun 'kena' terus dengan situasi. Tajam pemikiran! :)

    ReplyDelete
  4. @Afiq :

    orang arab ni kalau dengan al-Quran memang dekat sungguh, mungkin faktor bahasa yang menyebabkan al-Quran jadi teman rapat dalam hidup mereka.

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter