5/25/12

Cerpen : Dipeluk Hatinya



[Cerpen : Dipeluk Hatinya]

______


Al-Quran terjemahan coklat bersalut warna krim di tepi dicapai. Beriringkan kesedihan dan kekecewaan yang telah memanah tajam ke lubuk hati, Mutmain buka zip al-Quran terjemahan kesayangannya itu. Perlahan-lahan, seiring kepedihan hati.

Dia amat sayangkan al-Quran terjemahannya itu kerana dia percaya dia tidak akan keseorangan ketika membacanya, terasa lebih dekat dengan-Nya. Tambahan, al-Quran terjemahan itu hadiah terakhir ibunya sebelum datang ke Mesir. Andai terasa rindu kepada Allah, Rasulullah dan ibunya, al-Quran itu akan dipeluknya erat-erat.

Bersertakan selawat kepada Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam, dia membuka al-Quran terjemahan itu, secara random.

“ Allahumma Salli ‘Ala Sayyidina Muhammad..”

Muka surat 396. Belah kiri, bawah sikit. Surah al-Ankabut. Hatinya kuat untuk memabaca surah itu.
Sampai sahaja pada ayat tiga surah tersebut. Dia terhenti. Terpaku dengan ayat dua dan tiga.

“ Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

“ Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”
(Al-‘Ankabuut 29 : 2-3)

Seakan tak percaya. Seakan berbicara dengan-Nya. Hati Mutmain bagai diketuk kuat dengan penukul besar. Dumm!

Terketuk sendiri, ketukan padu.

Tompokan air mata membasahi al-Quran terjemahan itu.

“ Allahu Rabbi…”

“Mengerti sendiri. Bagaimana aku boleh rasa terlalu putus asa, padahal ujian yang menimpa tidak setara mana.” Dengus jiwa Mutmain sendirian.

Melengung. Sambil jiwa maskulinnya dibasahi air jernih keluar perlahan-lahan tanpa dipinta.

“ Mutmain, kenapa ni, apa nangis-nangis ni?” Sapa Zaki dari belakang yang muncul tanpa diduga.
Cepat-cepat Mutmain mengelap titisan-titisan air di celahan matanya.

“ Eh, mana ada apa, biasa je ni, tiba-tiba je gatal pulak mata ni.” Pantas Mutmain jawab pertanyaan Zaki, sambil mengesat air mata yang pastinya masih lagi panas.

Zaki menarik kerusi. Mendekati kerusi tempat duduknya Mutmain.

“ Sudah la Mutmain, sekilas pandang wajah hensem kau, aku dah boleh tahu dah, tak payah la nak cover-cover sangat, takkan dengan aku pun segan.”

Empat mata bertentangan. Terasa panas bahang suasana, ditambah pula bahang musim panas.

“ Result mid year tu tak payah la nak sedihkan sampai hari ni. Lagipun aku tahu kau dah usaha yang terbaik dah kan. Final exam pun dah tak lama dah. Baik kau usaha saja sungguh-sungguh. Insya-Allah, Allah tak akan hampakan hamba-Nya yang berusaha bersungguh-sungguh.”

“ Hmm, lagi satu. Aku tahu kau baik. Tapi, jika kau rasa kau masih ada lakukan sebarang maksiat kepada Allah, aku dengan rendah hati nasihatkan kau tinggalkan saja semua itu. Mungkin aku tak tahu, namun Allah itu tahu segalanya. Berperang dengan diri sendiri untuk satu perubahan yang baik memang sakit. Bagai kulit yang disiat-disiat, darahnya tak terkira. Tapi aku yakin, kesannya memang manis. Serius! Insya-Allah, andai tiada lagi hijab di hati kita, mudah sahaja ilmu nak menapak dalam hati kita. Ingat tu ye...” Zaki bersungguh-sunguh memberikan nasihat.

Mutmain masih membatukan diri. Mengenang kesilapan diri.

Zaki bangun untuk beredar.

Zaki, tunggu jap.”

Zaki yang telah bangun, kembali duduk.

Kenapa kau suka nasihat aku walaupun aku dah banyak kali kecundang dalam exam. Orang lain tengok aku semacam je. Macam aku ni dah tak ada harapan dah kan.”

Eh, jangan la cakap macam tu. Tu perasaan kau je tu. Mungkin mereka sibuk studi kot. Aku ni bukan apa, kalau semua macam tu, siapa yang nak tolong kau.”

Kita datang sini sama-sama, dan insya-Allah nak berjaya pun sama-sama. Tak akan aku nak tinggalkan kau sorang-sorang kan. Bukan sahabat la kalau macam tu. Lagipun, aku pun pernah rasa apa yang kau rasa sekarang. Tak akan aku nak biar saja. The first to help you up are the ones who know how it fells to fall down. Aku pun pernah jatuh, aku tahu betapa pedihnya semua itu.”

Mutmain mengangguk lesu. Namun, seakan ada sinar baharu menusuk jiwanya.

“ Ingat, rezeki Allah itu sentiasa ada. Tak perlu terlalu risau dengan perkara yang telah ditentukan. Insya-Allah tak ke mana. Apa yang penting sekarang ialah bagaimana mahu bangkit semula daripada kegagalan dan terus berusaha. Jika sudah terjatuh, bangun semula dan lawan!”

Mutmain mendongak merenung wajah Zaki.

“ Paling penting, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Bersabarlah dalam berjuang!” Tenang Zaki sampaikan nasihat, tersenyum indah.

“ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’ ”
(Surah al-Zumar 39:53)

“Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
( Surah al-Zumar 39: 10)

Dipeluk.

Usaha itu bukan mudah. Perlu disertai mujahadah. Andai mudah, mungkin sudah ramai yang tak mengalah. Tapi, hakikatnya payah. Indah sebenarnya jika berbaik sangka dengan Allah. Kita usaha lebih, insya-Allah bagi lebih juga buat kita.

Di sebalik kesusahan, ada kesenangan. Di balik lopakan air mata, ada derai tawa.



Mungkin ada kata kita hipokrit kerana apabila exam datang sahaja, kita jadi baik. Baik akhlaknya, baik ibadahnya, baik pengurusan waktunya, baik segala bagai. Namun, kita mampu tentukan. Kita mampu juga untuk jadikan ‘baik’ kita pada musim ini untuk ‘trigger’ diri kita mengemudi bahtera perubahan dalam hidup kita. Ya, kita mampu lakukan!

Hendak jutaan usaha, tak mahu infinitian dalil.

Hati yang suci itu sungguh indah. Kerana dialah raja buat segalanya. Baiknya dia, baiklah anggota lain. Membawa yang lain turut suci.

Mari, mari sentiasa perbaharui segala permulaan, jauh di sudut hati, dia si ‘niat’ kita selalu lupakan. Buatkan segalanya hanya untuk Allah, hanya untuk gapai redha-Nya. Saat itu, insya-Allah segalanya indah. Sungguh indah. Rasa bagai dipeluk hatinya!



Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




5/20/12

Lelaki Kolot

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Lelaki kolot, belum tentu comot.

Lelaki kolot. Rambut disikat tepi, ke arah kanan. Konon-konon mahu menganankan semuanyalah. Mana tidaknya, kanan itukan sunnah! Tapi kadang-kadang tercacak juga sikit.

Lelaki kolot itu, bila diajak 'fly', tidak mahu, tunjuk baik sangat la kan.

" Jom pi pekena nasi goreng kat kedai luar tu, tension study kot." Ucap Salim sambil melihat jam yang sudah 2 pagi.

" Pi la dulu, aku tak lapar lagi ni, stok makanan aku pun banyak lagi dalam loker nu " 

" Tak mau order apa-apa ka, sat gi menyesal "

" Tak apa la, aku makan biskut ja la.."


 Lelaki kolot, memandang rendah. Bukan padang rendah orang lain, tetapi menundukkan pandangan. Segan mahu pandang perempuan-perempuan ajnabi atau dalam bahasa yang tidak kolot dan lebih mudah, awek-awek cun. Eh, benda cantik ni memang untuk dipandang la. Buat segan boleh. Huh, kolot!

Lelaki kolot, awal saja sentiasa. Pergi mana pun jadi orang first atau jadi antara terawal. Ish, skemanyaaa. Pergi kelas awal, pergi kuliah awal, bangun awal, mandi awal, dan paling teruk tidur awal!

" Wei, jom tengok movie malam ni lepas study? Ye la tak mau kacau hang study."

" Tak mau ah. Aku nak tidur awal, aku ada kerja pagi esok. Takut-takut malam aku tak 'hidup' pulak"


Lelaki kolot, suka bangun malam-malam. Tak tahu la buat apa, sebelum subuh dah bangun, mandi awal lepas tu duduk atas sejadah dan nangis sorang-sorang. Macam budak-budak, lelaki apa entah macam tu. Tak macho. Lebih memilukan, sempat lagi buka buku. Nak tunjuk rajin la tu. Hmm, rimas aku. Kita remaja lagi kot, tak remaja langsung!

Lelaki kolot, suka rehat di surau. Entah, dia suka bungkus makanan,  lepas tu pergi surau. Padahal, kantin kafeteria ni pun ada. Heee, tak faham aku. Pagi-pagi macam tu nak solat apanya kat surau tu, waktu rehat bukan lama sangat pun. Hishh.

Lelaki kolot, suka sungguh beli buku. Kalau setakat beli saja tidak mengapa, ni duk buat gigih membaca pula. Buku-buku pula bukanlah semua jenis santai, semua jenis berfikrah, jenis islamik la apa la. Apa kena sawan la orang jenis ni. Orang layan majalah hiburan ke apa ke, baru sedap beb!

Lelaki kolot, suka sangat dengan speaker dia. Speaker mahal tu. Tapi dia just dengar lagu-lagu nasyid saja, dan paling tak tahan, play ayat-ayat quran saja selalu. Dengar la yang berjenais sikit, rock kapak ke, rock batu lesung ke balada cintan cintun ke, baru sentap sikit. Memang aku tak tahu nak apa lagi, memang kolot!

Lelaki kolot, bila sedih buka al-Quran. Suka, sedih, geli, marah, rindu semuanya buka Quran tu. Tak tahu la apa yang terlalu special dengan Quran dia tu. Baca setakat khatam sekali cukup la, tu saja kan adat orang kita? Eh, zaman sekarang ni bukan macam dulu. Kita dah ada fb, eh 'facebook', ye lah sebut 'fb' tak tahu pula nanti. Rasa apa pun, buat saja status kat facebook ni. Biar semua orang tahu, tak payah nak privasi sangat la hidup kita ni.

Lelaki kolot, awek pun tidak ada. Orang lain sibuk melayan awek, dia buat tak tahu saja. Sibuk dengan belajar dia tu. Buku, buku, buku. Mengaji, belajar, mengaji, belajar. Rimas betul, tak reti nak ber'awek' langsung. Yang dia tahu, selalu hantar mesej sayang kepada ibu dia. Kadang-kadang kat ayah dia pun dia boleh hantar. Pelik. Hey, mak dengan ayah kau tu, selalu dah kot duk jumpa kat rumah. Tak payah nak luah-luah sangat la. Hii, geli betul dengan si kolot ni!

Lelaki kolot, nak makan pun memilih. Memang tak best, semuanya nak tengok ingredient. Selalu macam tu la, dia kata sebab takut makan benda haram atau syubhah. Alah, makan sajalah, makanan jugak kan.

Lelaki kolot, selalu senyum. Ini paling tak faham. Orang marah, orang kenakan dia, orang bahankan dia, orang fitnah dia, orang buat itu buat ini. Semuanya, senyum. Sabar saja. Macam tak ada perasaan, tak ada effect. Malah, orang bertambah suka dekat dia. Kalau marah pun, sebab aku lambat-lambatkan solat. Aku pelik. Pelik plus bingung. Hampir biol kepala aku ni tengok si kolot ni.

Lelaki kolot, suka sungguh buat orang suka kat dia. Dia layan orang di sekeliling dia dengan sama rata. Baik saja semua. Semua dia layan. Geng rock kapak pun layan, geng surau pun layan, geng lembut, geng keras, geng tough, geng rempit puuun layan. Jarang orang luahkan tak puas hati kat dia. Ubat pengasih apa entah yang dia pakai.

Lelaki kolot, suka betul ajak orang buat baik. Orang selalu kata apa, haaaaaa, dakwah kot. Kerja-kerja macam tu dia boleh buat. Ajak orang buat pahala itu ini la apa la. Suruh orang solat jemaah, suruh tutup aurat. Ustaz dengan tok imam pun ramai lagi. Biar saja la mereka yang buat. Tak payah buat baik sangat la. Hmm.

Kolot sungguh kan, entah-entah kahwin nanti pun dengan minah kolot lebih kurang dia jugak. Uh, pelik!

Ah, banyak lagi yang si kolot ni buat. Tak sanggup aku dedahkan lagi. Letih.

Hmm, budak kolot ada la rupa macam ni. Erk! [kredit]




Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda mafhumnya :
“Islam itu bermula dalam keadaan asing (ghareeb) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu (ghuraba’).” 
(Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, Kitabul Iman, 1/350, no. 208 (Dari Abu Hurairah). Ibnu Majah, Sunan Ibni Majah, Kitabul Fitan, 11/485, no. 3976 (Dari Abu Harairah). Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 34/25, no. 16094 (Dari 'Abdurrahman B. Sannah))

Baginda Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah di tanya, 
' Siapakah golongan yang ganjil ( ghuraba' ) itu ya Rasulullah??' Rasulullah menjawab " Mereka itu ialah manusia yang melakukan islah ( pembaikan ) ketika fasadnya (rosaknya) manusia". 



Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.





5/14/12

Aktif


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Hari-hari ingat mati. Ingat matinya hati, ingat matinya hakiki. Agar tak terlalu leka dek sebarang ilusi dunia yang menyebabkan ditangisi kelak nanti di negeri abadi.

Menyubur terus tarbiyah hati daripada Sang Ilahi. Oh indah, andai hati sudah dipeluk-Nya.

" Aku rasa, musim exam ni, baik hang deactivate sat facebook hang." 

" Erk, elok jugak tu. Kalau hang rasa itu antara solusi terbaik bagi aku, apa salahnya kan. Aku ni kadang-kadang terperangkap jugak dengan 'penjara' facebook ni."


" Bukan apa, aku takut hang tak dapat tumpu ja study untuk final exam ni. Banyak gila kot. Nak cover semua tu bukan senang. Alah, untuk musim exam ni ja, sat ja. Aku yakin hang boleh. Aku nasihat ja, terpulang la nak buat ka dak."


" Terima kasih. Aku suka jenis kawan macam hang, sebab mampu tegur aku. Aku kadang-kadang hairan, kenapa la tak ramai yang berani nak tegur aku. Padahal, aku rasa aku banyak ja buat salah. Hmm."

Deactivate facebook insya-Allah boleh saja buat. Tapi, untuk deactivate mode menulis, kurang boleh sikit. Bukan apa, mode menulis bukannya sentiasa aktif pun, sekejap datang sekejap pergi.

Jalan juang bukan mudah. Sekali sudah terjebak, terus berjuang hingga akhir. Tiada sakit itu bukan adat berjuang.


Luah Si Perindu.

13 Mei. Oh hampir terlupa, hari ibu. Minggu kedua setelah mei menjelang. Mesej berjela-jela terus dihantar sambil menghirup mi sup lebihan breakfast pagi tadi.

Masih tak puas. Pantas mencapai laptop 17 inci untuk terus telefon melalui internet.

" Assalamualaikum, mama apa khabaq? Sihat ka?"


" Alhamdulilah, sihat ja.."


" Mama, selamat hari ibu....! "


Terbayang mama tersenyum cute sambil meriba adik Danish di riba.


" Awat mesej panjang sangat, jenuh nak baca."


" Biasa la mama, tak dak apa pun, saja ja."

Tak pandai sangat berkata-kata, jadi aku simpulkan rasa yang terpendam dengan aksara-aksara sahaja. Moga rasa sayang buat insan yang mulia yang mengenali aku 9 bulan lebih awal daripada orang lain ini, sampai ke benak hatinya. Selepas Allah dan Rasulullah, tiada yang lain, mama dan ayah sahajalah di hatiku.


Suram

Pagi nan suram, muram. Subuh yang terlalu awal, meletihkan sedikit, memengantukkan. Usaikan kelas akhir Muwatta'.

 Lagu mula berdendang dari speaker baharu, memenuhi fitrah insan yang suka hiburan. Tidur-tidur ayam sebentar.

Beberapa minit berlalu. Opick, Maha Penyayang menerjah lowongan udara. Indah. Melayan sambil mengutip jemuran semalam di penyidai, penuh debu.


Engkau Allah yang pengasih, Engkau Allah yang penyayang
Engkau Allah di tangan-Mu segala kuasa kejadian
Ampunilah ampunilah segala dosa kesalahan
Terangilah terangilah bimbing ke jalan yang benar

Engkau Allah yang pemurah, Engkau Allah yang dermawan
Engkau Allah di tangan-Mu segala rahmat pertolongan
Padamulah digantungkan segala harap keselamatan
Lindungilah kami semua wahai sang penguasa alam

Engkau Allah Engkau Allah yang pengasih dan penyayang
Ampunilah ampunilah semua dosa
Engkau Allah Engkau Allah yang pemurah dan dermawan
Lindungilah lindungilah kami semua

Engkau Allah Engkau Allah yang pengasih dan penyayang
Ampunilah ampunilah segala dosa
Engkau Allah Engkau Allah yang pemurah dan dermawan
Lindungilah selamatkan kami semua

Engkau Allah, Engkau Allah, Engkau Allah, Engkau Allah
Engkau Allah yang pengasih, Engkau Allah yang penyayang
Engkau Allah di tangan-Mu segala rahmat pertolongan.



Lirik yang indah. Sayu mengenang khilaf.

Mohon diberi kekuatan untuk hadapi rencah hidup yang kian mencabar.





Wallahua'lam 



Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




5/4/12

Siri 12 : 'Asir Asob

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Speaker dan mp3, tika studi ianya merupakan elemen yang agak penting dalam hidup Muhammad. Kehadiran speaker dan mp3 lazimnya dengan izin Allah akan memanjang tempoh studi Muhammad. Kepentingan dua benda alah itu, memang tak dapat dinafikan lagi.

Speaker kecil molek yang boleh dicas semula itu hampir 3 tahun berkhidmat untuk tuannya. Setelah menemani tuannya studi selama beberapa bulan di Mesir, tiba-tiba dia menjadi semput, seakan mahu menghela ruhnya pergi sejauh-jauhnya tanpa kembali lagi. Muhammad reda dengan pemergiannya setelah pelbagai cara dikerahkan untuk pulihkan kembali, namun gagal. Lalu jasadnya terus disemadikan dalam laci bersama kawan-kawan baharunya yang lain. Tak sanggup pula mahu membuang mengenangkan jasanya yang agak mecurah sejak zaman pra SPM.

Keluar Malam.

" Qadir, malam ni hang teman aku pi Technology Mall sat, kita pi beli speaker. Speaker aku rosak la.." Muhammad bersuara dihadapan pintu rumah Qadir setelah bertembung kedua-dua mereka.

" Insya-Allah, boleh ja. Lepas aku balik ARMA kita pi terus 'ala tuul. Aku nak kena pi pasang komputer kawan aku sat kat ARMA nu." Balas Qadir sambil tersengih-sengih bak kerang 'wangi' di pasar malam.

" Lepas tu boleh la kita pekena Takobe sekali, dah mengidam lama dah ni." Tambah Muhammad.

Malam yang dingin. Dingin malam musim bunga tetap tidak sama dengan malam musim dingin, namun dinginnya masih dapat dirasa. Selepas ditelefon Qadir, Muhammad terus meluru turun imarah dengan sepantas mungkin.

Melangkah keluar dengan penuh yakin. Lebih yakin dengan pesanan Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam yang menyuruh membaca satu doa sebelum keluar rumah. Insya-Allah, keselamatan lebih terjamin.

" بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ "
( H.R Abu Daud ; 5097 )

Tengok jam, sudah pukul 11 lebih. Memang sangat lewat bagi Muhammad, di tambah pula keesokkan harinya ada kuliah. Bukan apa, musim sekarang ni, subuh awal, seawal pukul 3 lebih pagi. Agak memenatkan kalau tidak tidur awal. Takut-takut ter'syahid' dalam dewan kuliah pula nanti.


Memilih.

Kesian si Qadir, mujurlah dia jenis penyabar. Boleh la bersabar dengan kecerewetan Muhammad memilih speaker yang berkenan di hati. Entah berapa kali Technology Mall itu ditawaf, sampai letih si Qadir. Setelah hampir 40 minit, baru selesai memilih dan terus beli.

Mahukan yang elok dan tahan lama, perlulah cerewet sikit kan. Biar susah sikit awal-awal, moga mudah kemudian nanti. Cerewet memilih juga satu ikhtiar. Cerewet memilih pasangan hidup juga mungkin satu ikhtiar.

Sebagai 'upah' sebagai peneman Muhammad bertawaf di Technology Mall, Muhammad membelanja Qadir Takobe. Walaupun malam tu entah macam mana tiba-tiba ayam goreng yang dimasak tidak sesedap selalu, namun perut yang semakin sayu berkeroncong, sanggup terima saja apa yang masuk, asalkan halal!

Makan tanpa ragu, makan tanpa risaukan duit yang digunakan melayang kepada pihak Israel. Walau tak sedap mana, tenang sahaja hati, tak perlu fikir banyak.

Sambil menunggu makanan sampai, banyak perkongsian ilmiah yang dapat Muhammad dapat daripada Qadir. Qadir pelajar tahun 2 Syariah Islamiah Universiti al-Azhar. Dia paling minat bab fiqh, jadi kalau nak bersembang dengannya, mesti la bab-bab fiqh juga. Baru sedap bersembang.

Sempat kami berbincang tentang fatwa semasa yang dikeluarkan Syeikh 'Ali Jum'ah dalam Majalah al-Azhar yang berharga L.E 1.50 itu. Banyak sungguh mutiara ilmu yang dikutip. Sambil menyelam di lautan ilmu, makin banyak mutiara yang dapat dikutip.


'Asir Asob

'Asir asob atau dalam bahasa arab fushanya 'asir qosob iaitu jus tebu. Mesti terbayangkan bulan ramadan kan, sebab air tebu kan popular tatkala ramadan menjelma.

Kedai 'asir atau kedai jus ni kalau di Mesir ni bercambah tak terkira banyaknya. Harganya tak mahal sangat, memang berpatutan. Dan, paling penting keasliannya yang tiada bandingan berbanding dengan yang telah dibungkus dalam kotak di pasar raya. Sedap!

" Muhammad, jom kita singgah sat kedai 'asir depan tu. Aku dah lama tak pekena 'asir asob dah ni. Dahaga  pulak malam-malam ni." Tanya Qadir dengan muka penuh pengaharapan.

" Insya-Allah, boleh ja, aku dah lama tak minum asob ni, setakat secawan tu insya-Allah boleh saja..Jom!" Muhammad menjawab sambil menutup hidungnya gara-gara pemandu teksi yang menghisap rokok durjana.

" Aiwah, hena ya raais." Arah Qadir kepada pemandu teksi.

Betul-betul hadapan kedai 'asir pemandu teksi memberhentikan teksi putihnya. Bayar dan terus keluar menuju ke dalam kedai tersebut. Kelihatan tak sibuk sangat, mungkin dah agak malam.

" 'Asob itnin." Qadir beritahu kepada pak cik penjaga kaunter.

Pak cik kaunter memberikan dua keping plastik bulat berbentuk duit syiling lima puluh sen yang berwarna hijau, melambangkan dua tempahan asob.

Seterusnya, diserahkan kepada abang si pembuat 'asir tersebut. Tak payah cakap pun dah faham dah, hanya senyum tanda hormat.

Tiba-tiba datang lagi seorang orang arab untuk menempah 'asir asob juga. Dia berada dekat sangat dengan kaunter pembuatan 'asir tersebut. Kelihatan dia seperti marhaen biasa, comot sikit namun tetap kemas.

Siap sahaja asob tu, dengan kecekapan dan pengalaman yang menggunung tinggi, dia hanya tolak sahaja cawan yang hampir penuh dengan muatan jus tebu itu. Akhirnya, tertumpah terkena baju orang arab tadi.

Gulp. Senyap seketika. Muhammad dan Qadir hanya melihat.

Muhammad sangka, orang arab itu akan marah sebab kebanyakkan orang arab ni panas baran, pantang silap sikit mesti nak gaduh saja. Tapi...

Tiba-tiba terhambur pantas satu ayat al-Quran dari mulutnya, lantas dia tersenyum.


"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;"
( Ali 'Imraan 3 : 133 )


Lalu, Qadir secara tak semena-mena menyambung bacaan ayat yang dibacakan orang arab tadi. Mereka gelak ketawa bersama-sama.


"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;"
(Ali 'Imraan 3 : 134)


Dekat di sudut hati Muhammad, dia kagum. Kagum dengan akhlak yang Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam anjurkan. Paling penting, dia dapat melihat, bagaimana ilmu dan iman seseorang dapat mengawal emosi. Walhal, dia wajar untuk marahkan abang si pembuat jus tebu tadi. Tapi, semuanya gara-gara akhlak Rasulullah yang telah tertanam dalam dirinya. Akhlak al-Quran akhlak hebat!

Muhammad dan Qadir jalan beriringan menerjah kegelapan malam pulang ke rumah. Sambil bergurau satu sama lain hiburkan hati sedikit. Malam yang penuh manfaat. Maka, beruntunglah buat hamba-Nya yang sentiasa berfikir tentang keagungan-Nya tatkala merantau alam fana ini.




Wallahua'alam.



Muhammad Iqbal,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.