1/31/12

Siri 8 : Angan

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Itu malam terakhir Muhammad berdamping dengan rumahnya, sebelum melangkah keluar menuju ke alam baharu, tempat yang tak pernah dia jejaki. Rasa berat. Masakan tidak, itulah tempat dia bercanda membesar. Segalanya memori tawar, manis, masin, masam, semua tersimpan di situ.

Duduk di hadapan laptop. Scan passport, kad pengenalan, surat beranak dan yang sewaktu dengannya. Sesuatu terlintas di minda. Angan-angan. Mimpi. Impian. Ya, Muhammad ada impian yang teramat besar untuk digapai. Sangat besar.


Angan Untuk Dikongsi

Muhammad tidak mahu mengurung impiannya. Setiap cita-citanya pasti diberitahu ibu bapanya. Agar kedua-dua tahu. Muhammad yakin, ibu bapanya pasti berdoa untuknya. Doa ibu sangat dahsyat! Tidak kurang juga doa ayah yang merintih tatkala manusia lain berdengkur.

Sunyi malam itu. Hanya tinggal beberapa jam sahaja mahu bertolak ke Shah Alam. Jari-jemari pantas menaip di atas keyboard laptop Acer milik ayahnya. Segala impian maha besarnya di salurkan. Tanpa ada rasa ragu lagi kerana dia takut menzahirkan mimpi besar itu. Takut tak terlaksana. Takut tak kuat untuk bekerja ke arah itu.

Usai menaip segalanya. Terus mencari butang print di skrin. Buat 3 salinan. Buat mama, ayah dan dirinya sendiri.

Tidak penting sebesar mana impianmu itu. Tetapi  yang penting ialah sebesar manakah kamu untuk merealisasikan impianmu itu.

Muhammad rasa dia bukanlah orang yang besar, yang mampu menggalas maha impian itu.

Tetapi sampai bila? Selalu dia soal dirinya.

Andai itu hajatnya, kenapa masih takut untuk mulakan usaha? Tidakkah kamu yakin Allah sentiasa bersamamu untuk menolong usaha murni itu?

Allahu Musta'an.


Bersama-Mu, Indah Segalanya.

Sudah tiba masanya untuk Muhammad memulakan kerja. Semuanya untuk capai redha Sang Khaliq. Percetus segala impiannya. Itu cita yang terbesar sekali. Itu terpenting.

Impian tinggi melayut jika tanpa redha-Nya, karut! Kering. Kontang. Kosong.

Mulut mengumam sendirian. Bukan keluarkan kalam merapu. Tapi, berselawat kepada Kekasih-Nya yang tercinta. Untuk tajamkan rasa cinta kita kepada Allah, wajiblah kita cintai Kekasih-Nya dahulu. Allahumma Salli 'Ala Sayyidina Muhammad.

Bila buat kerja kerana-Nya, semuanya indah.

Jika berjaya, syukur! Redha.

Jika gagal, syukur! Redha.

Allah S.W.T berfirman :

 فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ 
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya."
(QS. 3 : 159)



"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
(At-Talaaq 65:3) 



Itulah sifat 'pelik' seorang mukmin. Yakin 100% kepada Allah. Semua yang terjadi ada hikmahnya. Cuma kita cepat atau lambat mengesan hikmah itu sahaja.


Dari Suhaib ra, Rasulullah saw telah bersabda:   

"Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka."  
[Hadis riwayat Muslim: 2999]




Long Term Planning

Dua helai kertas yang bertajuk ' Long Term Planning' diserahkan kepada mama dan ayahnya. Kedua-duanya menyambut baik. Senyum. Hati Muhammad rasa bahagia. Rasa lepas sejenak resah di dada. Fuhh..

Malam kian gelap. Segala persiapan di teruskan. Letih pun berbaur, ramai juga tetamu yang datang.

Muhammad berjalan keluar rumah. Bersama beg-beg besar. Menoleh ke belakang, memandang sepi, memandang rumah. Masa lampau laju menerjah minda. Hanya jadi kenangan selepas itu.

Tak lama selepas itu, permusafiran bermula. Tinggalkan kampung halaman.



Mula dan istiqamah.

Sungguh mudah untuk mulakan, walau ada sekelumit halangan. Tapi, cabaran hakikinya ialah untuk istiqamah. Sangat sukar. Allah...

Bekerja dan terus bekerja. Berusaha terus usaha. Mantainkan kayuhan.

Sesungguhnya, Muhammad sangat tagihkan keberkatan masa.

Allahu Musta'an.


" Sesuatu yang tumbuh tanpa ditanam, tak sempurna hasilnya."



Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


1/25/12

PseudoChenta




Baru ku tahu, 'jatuh cinta' dan 'bangun cinta' itu berbeza.

"Cinta yang selalu terjatuh itu PseudoCinta. Asyik 'terjatuh' itu menyebabkan kita selalu 'terjatuh' ke lembah hina. Lembah zina dan sebagainya.

Berilah peluang untuk cinta kita 'bangun' menggapai cinta yang lebih tinggi. Cinta Allah dan Rasul-Nya."

Mari bangunkan cinta kita!


Nota :

Pseudo = false / not true / palsu


Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.





1/23/12

Lemah

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Kuat. Lawannya??

Lemah. Bila lemah, kau lawan?

Saat kuat, adakah kau pernah ingat yang kau pernah lemah?

Tetapi saat kau lemah, pasti kau akan ingat pada masa kau kuat.

Kerana kau mahu kekuatan kau semula.

Kekuatan itu datang daripada engkaukah?

Tidak. Allah lah sumber segala kekuatan. Percayalah!



" Apakah manusia sangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan berkata ' Kami telah beriman', dan mereka tidak diuji?" 

( al-Ankabut 29 : 2 )


Ini medan ujian. Ya, dunia itu memang tempatnya untuk diuji.

Diuji sejauh mana kekuatanmu. Diuji sekuat mana kemegahanmu. Diuji sebaik manakah amalmu. Diuji seikhlas mana perjuanganmu. Diuji semurni mana hatimu.


" Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta"


( al-Ankabut 29 : 3 )


Mata.

Dalam kitab-kitab tasawuf, bab yang pertama yang selalu diletakkan ialah mata. Sejauh mana pentingnya dua bebola ini, anda kita sendiri boleh menilainya.

Allahu Akbar. Hebat! Sangat hebat!

Bermulanya sebuah ibadah, bermula dengan mata.

Rasulullah Bersabda :
" Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu lihat aku solat."

( Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.  631. )

Kita lihat orang lain buat kebaikan kita tiru. Ibu kita ajar kita membaca, kita lihat. Ayah kita ajar kita baca al-Quran, kita lihat. Kita tengok orang sedekah, timbul rasa ingin bersedekah. Berjalan ke rumah Allah, menggunakan mata.

Bermulanya maksiat juga dengan mata.

Awek hantar mesej rindu, kita baca. Tonton video porno, akhirnya membawa kepada ketagihan dan jenayah lain seperti rogol dan zina. Memandu kereta ke Pub untuk berhibur. Meng'ushar' awek-awek cun yang mengerbangkan rambutnya yang lurus.

Satu pahatan. 

Pagi yang hening. Hari itu merupakan hari akhir Kursus Pesediaan Bahasa Arab sebelum datang ke Mesir. Sunyi. Saya bersama seorang sahabat sempat bersarapan dengan salah seorang guru yang mengajar kami. Beliau marhaen Mesir. Menghafaz al-Quran sejak kecil. Di celahan itu, ada amanat yang beliau sampaikan. 

" Kalau mahu belajar apa pun, pasti perlu jaga mata. Baru mudah ilmu nak lekat. "

Lantas laju sahaja bibirnya mengeluarkan butir-butir ayat al-Quran.

" Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya ; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan."

( an-Nur 24 : 30 )


Pesanan itu saya ingat. Saya pahat.

Tetapi, hidup ini mesti diuji. Jika itu titik lemahnya seorang yang bernama lelaki. Ada sahaja asakan bertali arus menguji. Berat, sangat berat!



Ia menjadi lebih berat jika ada sekelumit niat besar untuk menjadikan diri sebagai seorang ahli al-Quran. Bukan main-main. Kalau mahu jadi ahlinya tidak semudah itu. Tambahan jika mahu teruskan niat itu pada umur remaja ini. Syaitan akan perangi habis-habisan! Arghh..



Adakah mahu berputus asa?

Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallahil 'Azim.

Diri ini sangat lemah.

" Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya."

( al-Baqarah 2 : 286 (potongan) )

Dah tahu semua itu. Tapi tetap rasa diri ini lemah. Acap kali tersungkur.

Takut. Sangat-sangat takut. Takut terus tersungkur hingga ke pintu syurga. Na'uzubillahi min zaalik.


"Sesungguhnya syaitan ialah musuh kepada kamu, maka jadikanlah dia musuh. Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka."

( al-Faatir : 6 )


Bersangka baik pada Allah. Kamu mungkin melakukan kesalahan yang sama. Kemudian kamu bertaubat. Kemudian kamu buat lagi kesalahan yang sama. Kemudian taubat lagi.

Jangan berhenti untuk terus bertaubat. Mohon selalu agar diakhiri kalam dengan kalimah ' Laa ilaha illallah'. Penutup hidup yang baik. Lazimi lidah dengah istighfar.

Astaghfirullahal 'Azim.

Astaghfirullahal 'Azim.

Astaghfirullahal 'Azim.


Kata ayahanda tercinta :

Kalau kamu rasa diri kamu down atau lemah, kamu ingat prinsip ayah.

" Jatuh. Bangun. Lawan!"



Wallahua'alam


Muhammad Iqbal,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




1/19/12

Lepaskan

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Buka locker. Laptop Asus N53SV dicapai. Tekan on.

Sunyi sebentar.

Broadband Vodafone di cucuk. Tidak mahu 'hack' wifi orang lain. Walaupun terselit sedikit ilmu hacking itu. Amanah. Kalau dah tahu hukumnya Haram, mengapa mahu buat lagi kan? Stop sahaja. Titik.

Kalau sudah jelas di dalam perigi buruk itu penuh dengan keburukan, penuh dengan barangan-barangan yang boleh mencederakan anda, mengapa masih mahu terjun ke dalamnya? Akal kurniaan Allah dibuang ke mana?

Melepas nafas. Huh. Entah mengapa. Sesak saja dada ini. Mahu menulis, tapi hati sering berdalih. Idea melimpah-limpah. Tapi tak tertumpah-tumpah.

Azam diri pada diriku. Bila hati bersih, baru boleh menulis. Kalau tidak, payah benar nak hasilkan sesuatu yang bermanfaat. Apatah lagi mahu menyentuh hati sang pembaca.

Entah, akhir-akhir ni, apa yang perasan, sangat kurang ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang melekat dalam mana-mana entri terbaharu. Kenapa? Hmm. Semuanya mungkin rasa tidak terlalu layak untuk mengeluarkan dua sumber terpenting itu. Rasa macam belum sempurna. Belum cukup ilmu di dada. Rasa jahat sangat pun ada. Aduhai. Ternyata itu salah. Mungkin itu salah satu hasutan syaitan. Allah..


Iman menurun dan menaik. Bila dah rasa turun, sedar-sedarlah sendiri untuk naikkan.

Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallahil 'Azim. Sungguh mudah dilafazkan. Sungguh berat juga ditimbangan mizan.

Nak tahu tak?

Salah tawaran Allah yang awesome! Mai tengok!

Surprise...










Best? Kalau tak best tu, mesti ada something wrong dengan hati kita. Cepat check balik!

Changes for good is not a crime. Tunggu apa lagi?


Allahumma Salli 'Ala Sayyidina Muhammad.


Moga Allah merahmati kita. Moga ada manfaat. 

Ini hanya entri melepas rindu menulis.

Arrgghhh, akhirnya lepasssss juga. Gggrrrr....

Lepassskann...

 Baarakallahufikum (^_^)







Wallahua'lam



Muhammad Iqbal 
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




1/13/12

Siri 7 : Berdapur

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Sambungan daripada : [Siri 1][Siri 2][Siri 3][Siri 4][Siri 5] [ Siri 6 ]


Hari ahad. Hanya hari biasa suatu ketika dahulu. Hari permulaan minggu persekolahan. Kini jadi hari permulaan minggu kuliah. Di sebalik kesibukan belajar, ada saja tugas 'formal' di rumah.

" Hayyu Sabi'?" Tanya Muhammad kepada pemandu tremco.

"Aiwah." Jawab pak cik tremco yang dipanggil wusto.

Muhammad dan kawan-kawan lain terus melompat masuk ke dalam tremco tersebut.

" Assalamualaikum.." Muhammad memberi salam kepada seluruh penumpang tremco tersebut.

" 'Alaikumussalam warahmatullah.." Jawab para penumpang-penumpang lain.

Itu situasi biasa di Mesir. Masuk kenderaan pun bagi salam. Yang baik, kita ambil. Yang buruk, ambil pengajaran.

Mencari tempat kosong, dan terus duduk. Berehat sebentar. Tenangkan diri, tenangkan otak yang ligat berfikir sebentar tadi.

" Eh, hari ni turn kita kan masak? " Tanya si Akram yang macho.

" Haa, betul la tu. Lupa pulak.." Jawab Muhammad.

" Nak masak apa haa petang ni? Ada idea dak? " Si roomate terus menyoal.

" Hmm, lama tak makan tom yam kan. Lagipun boleh la jimat masa dan duit sikit masak tom yam ni." Jawab Muhammad mengusul cadangan bernas.

" Ok, insya-Allah, beresss... Sat gi aku pi beli barang, hang jadi chef utama hari ni! " Dengan pantas Akram membalas.

" insya-Allah..."

Suasana diam sebentar. Bunyi hon kereta di jalanan masih sahut-menyahut. Seperti biasa.

Otak kini mula laju berfikir. Memikirkan resepi masakan tom yam, seperti yang telah diajar oleh mama di Malaysia dahulu.

Tomato, serai, garam, minyak, bawang merah, bawang putih, ayam seekor, carrot, bunga kobis, limau nipis.

Serai tersangat susah dicari. Namun, kalau ada rezeki, ada saja.

Nokia E71 ditarik dari dalam poket. Online. Meng'google' 'resepi tom yam'. Laman myresepi menjadi pilihan. Bukanlah resepi mama tak cukup power dan mantap. Tersangat mengancam, tapi sengaja mahu membuka minda, mahu lihat banyak lagi resepi orang lain. Boleh la pelbagaikan lagi skill masakan yang sedia ada.

3.30 p.m. Sampai rumah. Tingkat 4 dijejak. Alhamdulillah, akhirnya sampai.

Seperti biasa, lepas letak beg dalam bilik, seakan ada magnet di dapur yang menarik pantas si kaki. Basuh segala bagai periuk mangkuk yang mahu digunakan. Memastikan beras cukup untuk 15 orang ahli rumah. Basuh beras. Basuh kearah lawan jam. Selawat sebanyak-banyaknya. Sudah bersih, terus ditanak diatas dapur.

" Aku pi kedai dulu. Ada apa-apa lagi nak pesan?" Tanya roomatenya itu.

" Tak ada lagi setakat ni. Kalau ada nanti, aku call hang." Muhammad menjawab sambil mengawal api nasi di atas dapur.

" Maasyi, pergi dulu.." Jawab Akram sambil berlari anak ke pintu keluar.


Hanya sekejap. Alhamdulillah, segalanya lengkap. Mulalah kerja potong memotong segala barang-barang yang diperlukan. Bawang merah, bawang putih, carrot dan segala bagai. Semuanya dibuat bersama-sama.

Ayam beku seberat 1200g di rendam dalam air panas, bagi memudahkan urusan pemotongannya. Keras, sangat keras. Tambah-tambah masa winter ni pulak. Memang sejuk! Sangat keras!

Mata roomatenya itu tiba-tiba tertancap pada periuk nasi diatas dapur.

" Nasi macam mana, dah masak?" Tanya Akram.

" Cuba tengok, kalau dah nampak ok tu, kacau-kacau la sikit. Lepas tu, perlahankan api sikit." Confident Muhammad menjawab selaku chef utama hari ini.

" Baik tuan chef." Akram menjawab dengan riang.


Amalan manakah yang terpilih?


" Muhammad, ni periuk belanga ni macam mana? Nak basuh ka? Setiap minggu asyik kita ja yang basuh. Letih la kita kalau macam ni." Keluh Akram.

Muhammad tersenyum.

" Alah, tak apa, kalau tak larat aku boleh basuh. Tinggalkan ja kat situ. Kalau nak terus basuh pun tak apa. Bukan apa Akram, kita tak tahu amalan yang mana satukah daripada kita yang Allah bakal terima. Mana la tahu, dengan hanya membasuh periuk belanga pinggan mangkuk ni, Allah menerima amalan kita. Kita tak tahu. Memang tak pernah tahu. " Ringkas dan padu sabdu daripada Muhammad.

Akram menyulam senyuman.

" Ermm, tak apalah kalau macam tu. Betul jugak kan apa yang hang cakap tu. Hmm. Insya-Allah, aku akan basuh." Akram menjawab sambil mengangkat periuk belanga yang berselerakan diatas lantai ke sinki.


Mulakan misi

Perencah bismillah ditaburkan. Minyak dipanaskan. Bawang merah dan bawang putih dimasukkan. Ahh, harum baunya. 2 minit selepas tu, ayam yang telah siap sedia dipotong lima belas bahagian, dimasukkan. Periuk ditutup. Biarkan sehingga sepuluh minit. Biar jus ayam keluar. Bau ayam menyelinap ke seluruh pelosok rumah. memang menyelerakan baunya.

Cukup 10 minit, penutup periuk dibuka. Perghh, memang sedap la bau. Seperti biasa, letakkan air. Masukkan tomato, carrot, cili, sedikit bawang merah dan kobis yang telah dipotong tadi. Biarkan 15 minit.

Perencah tom yam yang masih berbaki daripada Malaysia dimasukkan. Kacau dan terus kacau. Garam ditaburkan, secukup rasa di lidah, mewakili rasa 14 ahli rumah yang lain.

" Eh, apa lagi yang aku belum masukkan?" Muhammad bertanya meminta pandangan.

" Hmm, try rasa tengok. Kalau ada yang rasa terkurang tu, masukkan ja la." Tenang Akram menjawab sambil tangan menggosok periuk di sinki.

Muhammad menceduk sedikit kuah. Digoncang ke kiri dan kanan senduk itu. Agak sudah sejuk sikit, dia cuba merasa.

" Hmm, dah tahu dah. Limau nipis tak masukkan lagi. Ya, tak dapat disangkal lagi! " Muhammad mengumam sendirian.

Menggagau tangan di dalam peti ais. Mencari limau nipis segar yang baharu dibeli tadi. Ya, dah jumpa. Potong, dan terus perahkan. Ops, terlupa pulak, perencah tawakal juga tidak ditinggalkan.

" Masam. Masin. Pedas. Yesss, hypothesis is accepted. Hoyeahh. " Muka Muhammad penuh kepuasan.

Akram senyum melihat roomatenya. Turut terhibur.

" Haa, dah boleh jadi suami orang la kalau macam ni. Untung bakal isteri hang. " Akram cuba bergurau.

" Alah, hang pun sama ja. Hebat! Untung jugak bakal zaujah hang." Balas Muhammad.

Kedua-dua mereka ketawa seia sekata di dapur petang itu. Memecah keheningan petang.

Talam diatur rapi. Elok sahaja nasi dan lauk dihidangkan, azan magrhrib bergema.

Ternyata, kepuasan memasak itu mudah. Dengan melihat mereka makan dengan berselera, hingga menjilat jari makanan yang kita sediakan. Itu sudah banyak memberi kepuasan.

Ya, samalah juga teorinya buat si ibu. Hatinya berasa puas, apabila melihat makanan yang dimasak olehnya dijamah dengan berselera seisi keluarga. Hebat!







Wallahua'lam



Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt