2/17/24

HILANG JANTUNG

Dalam satu buku psikologi yang pernah saya baca satu ketika dahulu, penulis ada menyatakan bahawa kehilangan anak akan jadi trauma dan luka dalam yang amat besar, berbanding kehilangan ibu ayah di sisi anak.

Itu dapat dibuktikan dengan pengalaman dan kajian yang dijalankan penulis sendiri.


Itu bacaan saya lebih 10 tahun yang lalu.


Hinggalah tempoh hari, ketika saya di satu pusat beli belah, jantung saya berhenti dalam keadaan saya masih hidup.

Saya rasakan mana-mana ibu bapa yang pernah mengalami, tahu dan dapat dalami perasaan ini.

Ketika sedang beli belah, anak lelaki saya berada pada jagaan isteri saya, manakala anak perempuan saya dalam jagaan saya. 

Within seconds kata mat saleh, fi kalamhil basor bahasa al-Quran, sekelip mata sahaja anak lelaki saya hilang dari pandangan.

Senyap.

Idris mana?” Tanya saya kepada isteri.

Tanpa kata, matanya melilau kiri dan kanan mencari.

Selalunya, kalau Idris ketakutan atau tak nampak ummi atau abatinya dia akan menangis meraung, tapi kali ini senyap. Entah mengapa. Maka banyaklah lintasan-lintasan meluru datang menerpa fikiran.

Allahu.

Literally can't even feel my heartbeat

Terbungkam seraya terkesima.

Menjerit ke sana ke mari memanggil dia.

“Idris!”

“Idris!!”

“Idrisss!”

Masih belum ada sahutan.

Saya dan isteri berpecah mencari.

Terus saya meluru ke pintu masuk dan tempat permainan yang dia suka pergi, namun raut wajahnya tidak juga kelihatan.

Sahutan pada namanya juga tidak kedengaran.

Introvert saya hilang pada ketika itu, dan terus saya bertanyakan kepada pekerja-pekerja pasar raya tersebut, tapi mereka pun tak nampak.

Ya ALLAH, anak aku!

Seperti mahu menangis, tapi air mata tak tercicir keluar. Hanya terbendung di dalam.

Masih, ke hulu, ke hilir, mencari, tetap tidak juga nampak kelibat sang anak.

Ya ALLAH...

Saya berlari anak pesan kepada semua warga kaunter pasar raya tersebut untuk maklumkan saya jika ternampak Idris.

Larian anak itu terasa nian lemah sekali, lunyai segala sendi.

Fikiran terus bergentayangan. 

Muka tak lekang raut cemas.

'Ya ALLAH selamatkanlah anak aku, aku teramat sayang padanya.' Getus sang hati ini.

Tiba-tiba telefon  berbunyi,

"Abang, sayang dah jumpa Idris"

ALLAH...

Hanya TUHAN yang tahu betapa leganya hati ini.

Hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa bersyukurnya diri ini.


Benarlah apa yang saya baca satu ketika dahulu itu, kehilangan anak itu tersangat niannya pedih.

Tak tertanggung dek hati.


_____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Arena Niaga Simee, Ipoh, Perak

1717H, 170224

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter