1/21/19

Al-Quran Akan Sentiasa Jadi Amanahmu


Itu malam jumaat paling berdebar yang pernah saya nantikan, selama diri ini diizin bernafas.

Setelah talaqqi tahsin bacaan al-Quran selama sekitar dua tahun lebih, akhirnya tibalah di hujung khatimah al-Quran.

Moga ALLAH limpahkan rahmat buat guruku yang mulia, al-Fadhil Ustaz Ahmad Anis yang sabar dan tak jemu mengajarkanku. Hinggakan, jikalau saya sibuk, beliau akan datang ke rumah saya untuk mengajar, tanpa minta segenih pun.

Sebelum ini saya bertalaqqi dengan beberapa orang masyeikh di sini, dan di pengakhir saya di bumi Kinanah ini ALLAH taqdirkan saya khatam bacaan al-Quran dengan Ustaz Anis yang amat amanah dengan ilmunya.

Petang itu, selepas asar saya terus bergegas ke Darrasah untuk ke maktabah berdekatan dengan Masjid Syeikh Soleh Ja'fari untuk membeli kitab al-Bayan, sebuah kitab tajwid dalam riwayat Hafs 'an 'Asim, thoriq Syatibiah dan Thayyibah.

Kitab itu disuruh beli oleh Ustaz Anis untuk rujukan saya pada masa hadapan. Saya sangkakan kitab nipis sahaja, rupanya boleh tahan juga tebal. Alhamdulilah kitab itu berjaya dibeli dengan harga LE75, selepas diskaun LE15.

Keluar dari maktabah terus saya berjalan menuju ke rumah Ustaz Anis di belakang Universiti dan Masjid Al-Azhar. Semasa berjalan Ustaz Anis telefon untuk menyuruh saya pergi ke Masjid Imam ad-Dardir berdekatan dengan rumahnya, nanti dia akan datang menemui saya kerana ketika itu dia sedang ada urusan di luar dan belum pulang ke rumah.

Setia menunggu sambil membaca al-Quran di dalam masjid. Kesempatan itu juga digunakan untuk bertawassul di Makam Imam ad-Dardir (w.1201H), seorang ulama' besar mazhab maliki, pengarang kitab Syarh al-Soghir Mukhtassir al-Khalil , menumpang barakah para solihin. Daku mencintai para ulama', auliya' dan solihin, tetapi daku bukanlah dalam kalangan mereka, hatta menjadi debu di telapak kasut mereka pun tiadalah layak bagi diri kecil ini.

Selepas solat maghrib Ustaz Anis tiba dan kami bergerak ke rumahnya seusai solat isyak.

Satu perkara yang jarang diketengahkan oleh para asatizah dan guru-guru di Malaysia adalah pada ketika khatam al-Quran, ketika itu sangat mustajab doa kita. Oleh sebab itulah dibuat 'majlis' agar ramai-ramai dapat bersama di dalam majlis itu dan menumpang barakah dan mustajab doa pada masa itu.

Malam penuh barakah itu bukan sahaja bertujuan untuk khatam al-Quran, tetapi juga diisi dengan khatam kitab Araba'un an-Nawawi, kitab 40 hadith Imam an-Nawawi. Juga disertakan dengan bacaan Ratib dari kitab Mukh al-Ibadah dan beberapa Silisilah Hadith Musalsal.

Majlis dimulakan dengan saya membaca al-Quran bermula dari Surah al-Lail, hingga Surah An-Nas, Surah Al-Fatihah dan lima ayat pertama Surah Al-Baqarah.

Selesai bacaan al-Quran, saya bacakan doa khatam al-Quran. Kemudian disambung doa-doa lain oleh Ustaz Anis.

Perasaan syukur sudah mula menyerbak seluruh pelosok hati.

Ustaz Anis meneruskan bacaan sardan untuk khatam Araba'un an-Nawawiyah, bermula dari hadis ke-40 hingga ke-42, menggunakan kitab toba' (cetakan) Darul Minhaj kerana dalam toba' ini ada muqaddimah dan khatimah asal daripada Imam an-Nawawi (w.676H). Menurut Ustaz Anis, jika mahu beli kitab Arba'un an-Nawawiyah, pastikan kitab itu ada muqaddimah dan khatimah.

Selesai khatam Arba'un an-Nawawiyah, majlis diteruskan dengan membaca sanad-sanad beserta pengalaman dan amanat guru-guru yang pernah menurunkan sanad kepadanya. Kemudian sama-sama membaca Ratib al-'Attas, seterusnya membaca beberapa Hadith Musalsal.

Setelah semua selesai, sekitar jam sebelas malam, kami mula menjamu selera. Masakan Nasi Briyani super power daripada ahli beit Ustaz Anis terutamanya Ustaz Rafiq (kembar) dan Ustaz Hafizuddin.

Hadirin lain yang hadir turut menjamu selera, menumpang barakah majlis. Tak lama selepas itu, datang Syeikh Nahriti secara mengejut bersama sahabatnya Dr. Khalid. Walaupun kehadiran mereka tidak diduga, namun taqdir ALLAH itu maha indah, mereka benar-benar menyerikan majlis khatam ini. Semakin syukur mekar di hati.

Jam sudah melepasi 12 pagi, saya ambil keputusan untuk pulang menaiki Uber memandangkan bas dan stesen metro sudah pun tutup ketika itu, dan terus pulang ke Abbasiyah. Kalut-kalut mahu pulang, saya terlupa bawa pulang kitab al-Bayan yang dibeli pada petang itu. Barangkali, ALLAH mahu saya datang lagi ke rumah Ustaz Anis selepas ini.

Badan sangat letih, pemandu Uber pula menduga imanku. Namun alhamdulillah masalah selesai dengan masing-masing menurunkan ego.

Alhamdulillah, Maha Suci ALLAH, tiada kata yang paling indah dan tiada kata syukur yang sepadan dengan rasa yang daku rasakan setelah selesai majlis khatam penuh barakah ini.

Tiadalah daku menulis ini untuk menunjuk-nunjuk atau sebagainya, cuma ingin diri ini mengambil barakah menuliskan semua ini agar ia abadi untuk diamati dan dicontohi anak-anak cucu, agar mereka jadi lebih baik daripada diriku yang serba kurang ini.

Di telinga ini, terngiang-ngiang kata Ustaz Anis, "Al-Quran ini amanah, dan akan sentiasa jadi amanah."

Saya sentiasa yakin ada hikmah besar ALLAH campakkan rasa cintaku pada al-Quran dan seluruh ilmu mengenainya. Para pembaca yang mulia, doakan diri kecil dan kerdil ini agar dapat meneruskan lagi pengajian al-Quran selepas ini, terutamanya di bidang tafsir.

Ya, al-Quran akan sentiasa jadi amanahku, dan amanahmu.

Wallahua'lam.

______

Muhd Iqbal Samsudin
2308, 200119
El-Abbsiyah, Cairo, Egypt




No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter