9/21/12

Siri 17 : Hujung Cuti.


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Sedar tidak sedar, menghayun-hayun kepala, mengeleng-geleng, menghantuk-hantuk, lihat atas dan bawah, sudah lebih setahun Muhammad menghirup udara berdebu di bumi Kinanah ini. Cuti pun sudah di penghujung.

Muhammad telah mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia pada cuti kali ini sejak di awal fatrah pengajian tahun pertama lagi. Ilmu-ilmu di sini belum puas lagi diteguknya. Biar sakit dahulu, agar mudah kemudian. Dalam jalan menuntut ilmu, tiada yang mudahnya. Penuh saja jalan berliku, penuh duri-duri jalanan. Sakitnya usahlah lagi dipersoalkan, hanya Tuhan saja yang tahu.

Ketika mengadu kepada ayahnya tentang susahnya belajar, hanya dengan kalam mudah ayahnya menjawab.

" Kalau nak mudah, baik tak payah belajar!"

Nah, diam seribu bahasa, seram kelu hendak membalas.


Cuti-cuti.

Aktiviti-aktiviti cuti, tidak lain mestilah berkait dengan ilmu. Sia-sia saja, kalau berada di bumi Qiblat Ilmu, tapi masih leka dengan segala hiburan segala bagai.

Pesan seorang ustaz kepada Muhammad, antara perkara yang perlu dapat setelah graduate di sini nanti, tak kiralah kamu berada dalam bidang apa sekali pun, ialah Sijil Markaz Lughah ( Setaraf diploma bahasa arab di Malaysia ) dan Sanad Bacaan al-Quran.

Maka, mula segalanya, perlulah menyusun segala gerak kerja mengikut prioriti dan penuh rasional. Perlu bijak dalam menyusunnya, jika tidak rugi jadinya.

Lambakan buku-buku, sama ada buku-buku bidang perubatan sendiri atau bidang lain, perlu dikerah tenaga untuk habiskan. Susun bahasa, Melayu, Inggeris dan Arab. Baca setakat yang termampu, bawa dan baca di mana saja berada. Tak kira dalam tremco, teksi, metro ( seakan LRT ) atau dalam bas sekali pun.

Letihnya usah dikira. Penuntut ilmu akhir zaman perlu sedar yang masa mereka hanya sedikit. Perlu juga kiranya untuk kurangkan waktu tidur, waktu rehat apatah lagi. Biarkan otak sentiasa berjalan, menerima ilmu bermanfaat.


Efisien.

Pengangkutan sangatlah penting dalam proses menuntut ilmu, tambahan pula jika tempat pengajian yang berbeza-beza dan jauh jaraknya. Buat yang mampu di bumi Anbiyak ini, mereka boleh membeli motosikal dengan harga yang agak murah berbanding Malaysia.

Tetapi, buat yang tidak mampu dan yang ingin merentas rasa susahnya dan nikmatnya menuntut ilmu, boleh saja menggunakan pengangkutan awam yang disediakan. Kawasan bandar seperti Kota Kaherah ini sememangnya pengangkutan awamnya sangat efisien dan murah.

Kini, apabila telah berpindah ke Abbasiyah, jarak ke Masjid al-Azhar, Masjid Husien dan Masjid Soleh Ja'fari lebih dekat. Tetapi, kekangan lain muncul pula. Pengangkutan terus ke sana agak lebih rumit sedikit. Kena bertukar-tukar pengangkutan. Agak letih dan rumit. Sakit.



Hujung.

Namun, kini sudah dihujung percutian. Tak lama lagi sudah mula kuliah. Maka, dengan itu Muhammad sudah masuk pengajiannya untuk tahun kedua. Alhamdulilllah.

Semua kudrat bakal ditumpukan sepenuhnya untuk pengajian perubatan. Tinggalkan sedikit penumpuan terhadap bidang lain.


Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
19.9.2012
4:19 p.m


1 comment:

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter