9/20/12

Siri 16 : Nasi Kabsah.

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Fikiran Muhammad menerawang. Mahu beraya di mana agaknya Aidilfitri ini. Hayyu Sabi' atau Hayyu 'Asyir? Kedua-dua tempat itu merupakan kawasan tumpuan para pelajar Malaysia di Mesir.

Akhirnya, bulat fikiran memproses keputusan. Memandangkan kini Muhammad sudah menetap di Abbasiyah, nampaknya keputusan memihak kepada beraya di situ sajalah. Bagi Muhammad, baru la ada feeling beraya diperantauan sikit. Tak ramai orang Malaysia yang berada di situ waktu perayaan.

Muhammad seterusnya berpakat dengan dua lagi sahabatnya, untuk beraya bersama. Rasa la sikit kemeriahan raya.


Nasi Kabsah.

Pertama kali dengar nasi kabsah ini setelah hampir setengah tahun berapa di bumi Mesir. Tapi, dengar setakat dengar, tak pernah tahu rupanya bagaimana. Tak tahu juga rasanya sesedap mana.

Alhamdulillah, pada suatu hari, Muhammad dan sahabat-sahabat lain telah berkunjung ke sebuah rumah dua orang ustaz senior di bumi barakah ini. Mereka sudah berada di Mesir lebih dari dua belas tahun. Mereka sangat-sangat berpengalaman dan sangat-sangat senior. Rugilah kiranya jika tidak menceduk ilmu yang sangat bertimbun tingginya dari mereka. Segala ilmu, ilmu agama, ilmu survival hidup dan tak dilupa ilmu masak-memasak.

Kunjungan mereka bukan kunjungan kosong. Mereka membawa bersama juga barang-barangan untuk dimasak. Muhammad tidak tahu pada malam itu mereka bakal memasak nasi kabsah. Dia hanya menolong sahaja.

Menurut ustaz-ustaz itu, nasi kabsah ini sememangnya berasal dari kawasan Arab Saudi. Mereka sendiri telah belajar memasak nasi kabsah itu daripada warga negara Arab Saudi ketika ada sekumpulan pelajar yang tinggal di kawasan tempat tinggal mereka dahulu.

Apa yang membuatkan nasi ini istimewa ialah ramuan asalnya merupakan daging kambing dho'ni. Kambing dho'ni ini sejenis kambing biri-biri yang tidak ada di Malaysia. Bau dan rasanya, sangat-sangat mengancam. Harganya juga boleh tahan mahal.

Kambing dho'ni dalam al-Quran.

"(Binatang ternak itu) lapan ekor - (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar".
(Al-An'aam 6:143)

Setelah siap semua dan dihidang, barulah tahu bahawa itu sebenarnya nasi kabsah. Betapa dalam diri Muahmmad berasa rugi kerana tidak melihat dengan teliti cara pembuatan nasi kabsah itu. Walaupun dia turut terlibat dalam pembuatan nasi kabsah tersebut, namun dia tak begitu teliti.

Pertama kali Muhammad rasa, Subhanallah betapa sedapnya nasi kabsah itu. Daging kambing dhokni yang sememangnya mengiurkan sesiapa yang mengidunya. Ummmmph, mantap!

Apabila ditanya berkali-kali, akhirnya ustaz-ustaz itu sudi menurunkan resepi nasi kabsah buat Muhammad. Semuanya dicatat dan ditanya sebagaimana Muhammad selalu bertanya resepi kepada ibunya.


Malam Raya.

Di sebabkan gas di rumah sudah habis, maka segala persiapan raya semuanya dibawa ke rumah sahabat-sahabat lain. Termasuk persediaan makanan. Mereka tak bercadang untuk buat kuih raya dan rendang ketupat, tetapi mahu cuba kelainan untuk memasak nasi kabsah.

Walaupun belum pernah masak nasi kabsah sebelum ini, Muhammad dan rakan-rakannya cuba juga berganding bahu menyiapkannya. Duduk berhalaqah tiga orang dan mulalah adegan potong memotong bahan. Air mata malam raya di perantauan juga mengalir, bukan kerana sedih tetapi pedih mata menyiang bawang.

^_^


Syukur, setelah bertungkus lumus, akhirnya nasi kabsah menjadi pada pukul dua setengah pagi walaupun dengan kekurangan bahan masakan. Rasanya, walau pertama kali buat, boleh tahan juga sedapnya. Semua melirik senyuman manis malam raya tanda puas.

Orang lelaki memang simple kan? Kuih arab di tepi itu tidak termasuk dalam pekej, cuma sebagai ganti kuih raya. Kan Muhammad?



Pagi Raya.

Semua bercadang menunaikan solat sunat raya aidilfitri dengan pakain lengkap baju melayu bersampin. Mata orang arab semua tertumpu kepada mereka. Ada yang mengejek dan ada yang tengok seakan-akan kami ini alien dari planet asing. Begitulah arab, tidak seperti masyarakat eropah yang katanya lebih menghormati budaya negara lain.

Pagi raya dimeriahkan lagi dengan bersama pergi menaiki metro ( seakan LRT ) ke Asrama Rumah Melayu (ARMA ) di kawasan Abdou Pasha, Abbasiyah. Sate yang telah lama diidamkan akhirnya dapat juga dijamah oleh mereka. Berjumpa dengan sahabat handai beraya dan bersalaman dengan mereka.

Hidup merantau seronok. Kitalah yang mewarnai kematangan diri kita dari pelbagai aspek. Walau keluarga jauh di mata, mereka sentiasa berada di dalam hati, walau sejauh mana merantau pergi.


Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal.
el-Abasiyah, Cairo, Egypt.


1 comment:

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter