10/20/12

Siri 18 : Kotak Chenta


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Muhammad tika ini, sudah pun beberapa hari menghirup udara tahun dua dalam pengajian perubatannya. Walau bau udaranya masih sama, namun rentaknya makin berbeza. Ada perkara yang perlu diubah, ada perkara yang perlu dikekalkan.

Mahu tidak mahu, perlu ada satu perubahan. Kecil atau besar kapasitinya, tidak kira. Janji ada dan semestinya perlu lebih baik dari sebelumnya.

Sakit?

Kalau dipaksa, pasti awalnya akan ada rasa sakit. Namun, jika benar hati kita hanya berharap kepada Allah, sentiasa bulatkan niat kita hanya untuk Allah, insya-Allah segalanya bakal jadi mudah dan pastinya jadi indah!

Tanda hati yang ikhlas ialah apabila hati sentiasa mengharap kepada Allah. Tidak kepada makhluk. Kepada Allah sahajalah segala pengaharapan. Hati itu tidak akan pernah kecewa kerana segalanya dibulatkan hanya kerana Allah. Bukan kepada mana-mana makhluk.


Sebuah kotak.

Ianya hanya sebuah kotak biasa. Berwarna coklat cerah yang diperbuat daripada kertas. Isinya, bombastik. Bukan sahaja barangan keperluan dari Malaysia, bahkan ianya juga disalut tebal dengan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Membuka kotak itu, sesuatu yang amat bermakna. Tingginya makna dan rasa kasih sayang sang ibu itu hingga membuka tirai air mata sang anak yang membukanya. Tiada lain yang Muhammad rasakan, hanya syukur. Syukur yang melimpah ruah.

Rasa yang tak terungkap.

Kuih-muih buatan sang ibu, tiada tandingannya. Rindu yang bertandang di sisi Muhammad, sedikit terubat. Mengunyahnya dapat membayangkan wajah ibu ayah serta adik-beradik yang sentiasa berada di lubuk hatinya. Oh, sungguh syahdu rasa hatinya. Lebih dari setahun tidak berjumpa.


Setekad azam.

Muhammad, tidaklah sepandai mana. Walaupun begitu, harapan, tekad dan azam perlu terus dibina dan dipasak sekemasnya. Supaya memudahkan segala perjalanan hidup kelak.

Hidup, makin dewasa makin susah, makin rumit. Itulah resam yang harus di lalui semua orang. Iman dan ilmulah yang memandu hidup kita.

Dekat di sudut hati Muhammad, dia berharap yang segala usaha dalam memajukan diri dalam pelajaran dan kehidupan dapat terus meningkat dan istiqamah. Tiadalah segalanya, melainkan hanya taufiq daripada Allah.

Berazam itu mudah. Melaksanakannya itu cabarannya.

Merintih-rintih hati Muhammad.

" Ya Allah,

Engkau tahu segala kemampuanku,

Engkau tahu segala kelemahanku,

hanya Engkau yang tahu segala yang terbaik buatku,

aku malu,

aku hanyir dengan dosa,

hatiku hitam yang hampir buta,

Engkau kuatkanlah imanku yang rapuh ini,

Engkau ampunkanlah segala dosa hamba dhaif-Mu  ini,

Engkau redhailah hidupku ini,

Engkau rahmatilah hamba-Mu ini. "


Sekuat mana kita, kita perlu juga bergantung kepada orang lain.
Lebih penting, bergantunglah kepada yang tidak pernah mati.



Wallahua'alam.



Muhammad Iqbal.
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
19 Oktober 2012
11:43 p.m



5 comments:

  1. mereka menantikan hadiah pengorbanan mereka, kejayaan kita, dunia dan akhirat. kan ?

    ReplyDelete
  2. usahalah elok2 demi org yg tersayang.. hehe tapi org yg komen ni pun xberusaha mana sgt pun..hehe

    ReplyDelete
  3. D Sim :

    Ya, moga-moga Harapan besar ibu bapa kita tak akan di sia-siakan. Teruskan mujahadah.

    # Lama tak nampak komen? hehe.

    Yui 92 :

    Insya-Allah, doa-doakanlah saya :)

    ReplyDelete
  4. "Kalau dipaksa, pasti awalnya akan ada rasa sakit. Namun, jika benar hati kita hanya berharap kepada Allah, sentiasa bulatkan niat kita hanya untuk Allah, insya-Allah segalanya bakal jadi mudah dan pastinya jadi indah! "

    tidak ada yang tidak sakit di dunia, semuanya sakit belaka jika mahu buahnya manis kelak. ada hikmah di setiap rasa sakit itu.

    beraya dengan izinNya,moga menjadi yang bermanfaat buat ummah kelak, bi iznillah :)

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter