6/28/12

Diuji Untuk Mengingati


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Sakit itu lumrah buat yang hidup. Juga medan ujian untuk hamba-Nya. Tak kurang juga sebagai manifestasi ingatnya Sang Pencipta buat kita hamba dhaif lagi hina.

Namun, sedarkah kita?

Saya, ketika menaip ini, baharu sahaja reda demam yang melanda. Seperti biasa, selalunya demam akan datang berpekej dengan batuk dan selesema. Lebih menarik, tika saya direzekikan untuk sakit, ia merupakan masa study leave saya untuk final exam. Makanya, tak dapat tidak saya akan ketinggalan untuk studi berbanding kawan-kawan yang lain.

Kadang-kadang kita rasa macam masa kita diambil, hingga tak dapat lagi studi. Lalu yang muncul dibenak hati rasa stress! Rasa tension!

Tapi, kita selalu salah. Kita gagal berhusnuzzon atau berfikir positif. Lantas yang merana diri sendiri. Benda yang berhikmah ini, memang tak nampak. Kita hanya sedar ianya akan datang dalam pelbagai hikmah satu ketika nanti yang kita sendiri pun tak tahu bila tarikhnya. Dan berfikir positif itu lazimnya selepas kita sudah belajar ilmu mengenainya dan tak lepas, melalui pengamalan atau latihan yang kita sendiri yang cuba lakukan dalam hidup kita.

“Mungkin Allah beri aku sakit untuk beri kifarah dosa-dosa aku yang banyak”

“ Mungkin dengan kesakitan ini aku lebih bersyukur dengan nikmat kesihatan selama ini”

“Berkat kesakitan ini, mungkin Allah akan aturkan keberkatan masa buat aku study lepas ni”

“Dalam tempoh masa aku sakit ni, Allah mahu elakkan aku untuk buat lebih banyak maksiat atau dosa kepada-Nya”

" Alhamdulillah, aku terpilih untuk diuji."

Hidup akan lebih mudah dan indah bahkan meriah jika kita boleh berbaik sangka dengan Allah Subahanallah Ta’ala dan juga dengan hamba-hamba-Nya. Belajarlah dan latihlah diri kita. Insya-Allah, tak rugi!

Dalam tempoh sakit juga, andai berjauhan dari keluarga, kawan-kawan sangat penting. Apa-apa terjadi, merekalah yang akan banyak membantu. Pada waktu beginilah, kita dapat lihat, siapa dalam kalangan rakan kita yang caring dan cakna dengan perihal kawan-kawan sendiri.  Dan selepas itu, kita boleh ukur sendiri kawan-kawan kita.

Sabda Nabi Muhammad sallallahu a’laihi wa sallam :

“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam.”

 (Riwayat Muslim)

Sakit itu satu anugerah, bukan untuk disumpah seranah. Bersyukurlah setiap kurniaan daripada Allah.

Kita diuji sakit, moga-moga kita ingat, kita semakin dekat dengan hari mati.




Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.



6/14/12

Calitan F50


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Pagi itu pagi yang biasa-biasa.

Ada exam kedua, selepas Anatomy minggu lalu. Kali ini Histology pula. Buku-buku berkenaan puas ditatap, agak puas dibaca, dibuat latihan. Namun, tika fasa berserah diri bertawakkal kepada Allah tiba, hati entah apa rasanya. Rasa yang begitu pelik, selalunya tidak seperti ini.

Mulut cuba berselawat kepada Kekasih Allah, namun rasa pelik itu tetap ada. Rasa yang indescribable.  Pelik sungguh. Rasa itu sedikit sebanyak, mempuakakan hati ini. Rasa takut. Entah mengapa.

Setelah beberapa minit perjalanan, Tremco berjaya mendarat dengan jayanya di hadapan pintu utama Universiti Ain Shams. Kemudiannya, sebulat suara mahu berehat sebentar di masjid hospital di hadapan pintu masuk universiti memandangkan jam yang dijeling tadi menunjukkan masih awal lagi untuk masuk lecture hall.

Pintu Utama


Sekumpulan kami berkumpul di masjid itu. Masjid itu sentiasa menjadi tempat belajar dan lepak kami. Suasana yang tenang dalam masjid, tidak ada tolok bandingnya dengan yang lain, termasuk shopping complex!

Tatkala semua dalam masjid, semua masing-masing membuat persiapan akhir membaca buku atau nota-nota dengan penuh kesungguhan dan kekhusyukan. Saya juga turut serta mengkhusyukkan diri. Kira-kira 15 minit sebelum peperiksaan bermula, ramai yang semakin beransur ke dewan kuliah. Saya masih duduk membatu di tepian tiang menatap nota-nota akhir.

Habis saja semua, nampak seakan saya seorang saja yang tinggal di samping ada dua lagi sahabat yang terkehadapan sikit.  Saya pun terus memakai kembali stoking yang ditanggalkan tadi. Lalu, laju saya bergerak ke rak kasut yang terletak dekat sahaja dengan saya. 

Melihat rak kasut itu yang seakan tiada lagi seri kasut F50 hitam hijau muda saya, saya jadi sedikit gelabah. Mana tidaknya, hanya lebih kurang 10 minit sahaja lagi exam akan dimulakan.

Inna lillah wa inna ilaihi raaji’un…. Allah dah tarik balik….”

Saya terus berlari memanggil dua orang kawan yang baharu sahaja melangkah keluar  pintu masjid. Panggilan keempat barulah mereka sedar. Seakan blur, saya minta mereka cetuskan idea bagaimana saya mahu ke dewan kuliah memandangkan masa yang suntuk dan dan jarak kedai yang memakan masa yang mengerikan. Selepas dua tiga idea dilontarkan, akhir ada cadangan paling style telah dipersetujui, Alhamdulillah.

Hah, kau ambik je la slipper jamban masjid, habis exam letak la balik”.

Dengan wajah kesenyuman bersalut sedikit duka di hati, terus tergesa-gesa masuk ke dewan kuliah. Tiada patah ayat lain yang saya ingat tika itu, hanya beberapa patah ayat suci al-Quran yang terus menerobos tajam ke dalam minda, memujuk hati nan lara. Bermain laju ayat-ayat itu.




Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”
( Surah al-Baqarah : 155-157 )

Walau diri ini yakin dengan segala yang telah ditetapkan Allah, namun hati kecil masih tegar meronta, entah dari mana perasaan begitu datang pun tak tahulah. Ia tak dapat dinafikan, sedikit sebanyak agak mengganggu saya menjawab soalan-soalan essay ketika itu. Ah, mengapa ini semua terjadi..

Seperti biasa, anak ini pasti memberitahu kondisi dirinya kepada ibu tercinta, walau jauh berlainan benua, namun dekatnya hati kami hanya Allah sahaja yang tahu, moga-moga terubat sedikit apa-apa yang terluka. Nasihat dan keprihatinnya tiada tolok bandingnya. Tajam menujah jiwa lara. Doanya jadi asset utama.

Dari Suhaib radhiyallahu ‘anhu, Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

"Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka."

[Hadis riwayat Muslim: 2999]

Jarang saya meluahkan sesuatu peribadi di sini. Saya tak terlalu kisah sangat dengan sirnanya calitan hijau muda F50 saya, cuma yang saya kisah ialah Histology saya. Moga tiada apa yang buruk berlaku. Na'uzubillahi min zaalik. Doakan kejayaan saya dalam final exam ni, masih ada beberapa lagi exam yang perlu saya hadapi.

# Di Mesir, kasut biasanya akan di letakkan dalam masjid bagi mengelakkan risiko besar kecurian.

# Kecurian kasut itu sesuatu yang boleh saya sifatkan terlalu biasa jika di sini. Semuanya perlu dijaga rapi, andai hilang juga, terima saja dengan redha.

Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo.


6/12/12

Cerpen : Driver Anakku

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



[Cerpen]

Fatimah, seorang gadis sunti yang baik budinya. Walaupun bukan berasal daripada keluarga 'ustaz ustazah', kesolehahannya tidak dapat dinafikan lagi. Keluarganya hanyalah marhaen biasa-biasa, tidaklah dalam kalangan ilmuwan yang disegani. Dalam dadanya, terpilih untuk menghafaz Kalam Allah yang agung. Dia seorang yang amat taat kepada kedua ibu bapanya malah turut merangkul sebagai anak kesayangan di mata kedua ibu bapanya.

Lima tahun hidupnya sebagai mahasiswi berakhir dengan mendapat segulung ijazah dan segunung redha ibu dan ayahnya. Kini, sudah setahun dia bekerja. Semua orang senang dengan peribadinya, memang menenangkan hati.

Hingga suatu hari, ayahnya mula sedar yang anaknya ini sudah tiba masanya untuk diperisterikan insan bernama suami. Lalu, selepas berbincang dengan ibu si Fatimah, pendapatnya terus disuarakan kepada anaknya itu walaupun hakikatnya mereka masih agak berat mahu melepaskan intan payung mereka itu. Namun, mereka tahu, fitrah seorang manusia itu tidak boleh dihalang, tapi diuruskan dengan sebaiknya.

Fatimah selepas mendengar semuanya, angguk patuh dengan cadangan ayahnya dan turut akur juga dengan naluri jiwanya yang sudah patut berkeluarga. Maka, segala pinangan mula dibuka seluas-luasnya.

Si bunga yang pandai menjaga diri ini sudah sememang menjadi idaman ramai lelaki di luar sana. Bermula dari zaman di universiti dahulu hingga ke zaman pekerjaan, memang digilai ramai. Namun, sikapnya yang 'jual mahal sebentar' sebelum masanya menggambarkan betapa sukarnya untuk dapatkan gadis semulia itu.

Bagi ayahnya, tiada penetapan yang khusus buat bakal menantunya, tapi biarlah yang beragama. Itu sahaja. Tapi, bagi seorang ayah, mahu juga melihat anaknya bakal hidup dengan senang, supaya tidaklah sang suami nanti terlalu bergantung terhadap harta si isteri. Ringkasnya, mahu juga dia seorang menantu yang berharta.

Tak lama selepas itu datanglah seorang lelaki meminang anaknya. Ayah Fatimah terkedu melihat rombongan deretan belasan kereta-kereta mewah datang memenuhi laman depan rumahnya. Sungguh ramai yang datang, walau hanya sebuah pinangan, bukan lagi pernikahan.

" Mungkin ini petanda kesungguhan si lelaki ini yang benar-benar mahu memperisterikan anaknya". Getus jiwa kecil ayahanda Fatimah.

Sampai suatu ketika, di akhir kalam sebelum rombongan semua balik, tibalah dialog antara ayah Fatimah dan si lelaki yang datang meminang itu.

" Kamu ni nama apa? Maaf, pak cik terlupa." Soal si ayah Fatimah.

" Nama saya  Faisal Hamidi, pak cik. Pak cik boleh saja Faisal." Sambil dia membetulkan kolar kot hitamnya.

" Oh, sedap nama kamu ye. Kamu kerja apa? "

" Saya kerja Ketua Engineer di Kuala Lumpur. Saya senior Fatimah masa di universiti dulu, tu yang saya boleh kenal dia tu." Tersengih Faisal menjawab panjang.

" Maaf la nak bertanya, mungkin soalan pak cik ni pelik sikit. Dalam hidup kamu, apa yang kamu paling cinta?" Sengaja ayah Fatimah mengajukan soalan emas yang telah lama dia fikirkan.

" Begini pak cik, sejak saya kenal anak pak cik, hati saya tiada lain, hanya mencintai Fatimah sahaja. Hanya dia seorang sahaja di hati saya." Manis Faisal menyusun ayat laksana dalam filem hindustan kesukaannya.

Ayah Fatimah mengangguk pelahan sambil menguntum senyuman.

" Baguslah, bawak kereta tu baik-baik ye. Ada masa datanglah lagi.."

Sekelip mata laman rumahnya kembali kosong. Dia bersyukur melihat anaknya dipinang dengan cepat sekali.

Selang dua hari, datang lagi satu rombongan. Tetapi kali ini entahlah hendak dikatakan sebagai rombongan atau tidak kerana yang hadirnya hanya dua orang. Seorang lelaki yang hanya mengenakan t-shirt berkolar dan bersama ibunya yang berbaju kurung tudung labuh. Mereka hanya datang dengan sebuah kereta Kancil hijau tua 660ex, mirip miliknya.

Walaupun jejaka kali ini hanya berbaju biasa dan seluar slack, tidak seperti lelaki pertama yang datang beberapa hari yang lepas, namun panahan cahaya wajahnya tajam menujah hati ayah Fatimah. Seakan ahli tahajjud gitu. Dia kelihatan begitu rapat dengan ibunya. Apabila ditanya, rupanya dia sudah tidak punya ayah sejak berumur 4 tahun lagi.

Usai ibunya membawa hajat pinangan anak lelakinya. Tibalah masanya untuk ayah Fatimah pula berdialog dengan si lelaki tersebut sebagai buah akhir sebelum berangkat pulang.

" Maaf, kamu nama apa tadi, pak cik lupa pulak." Ayah Fatimah memulakan buah pertanyaan.

" Nama saya Muhammad Ibrahim. Insya-Allah, pak cik boleh panggil saya Muhammad, sebab saya suka nama tu." Balas Muhammad sambil mengukir senyuman ikhlas.

" Kamu kerja apa di Kuala Lumpur tu?"

" Hmm, saya hanya kerja sebagai driver saja".

" Macam mana kamu boleh kenal dengan anak pak cik ye?"

" Begini pak cik, sebenarnya ada seorang ustaz yang rapat dengan saya yang mencadangkan saya masuk meminang anak pak cik. Saya yang mintakan dia carikan  jodoh untuk saya kerana saya yakin dengan pilihan dia. Tapi, sebelum itu saya perlulah melihat sendiri dulu kan, itukan sunnah."

" Maaf la banyak bertanya, mungkin soalan ni pelik sikit. Boleh pak cik tahu, dalam hidup kamu, apa yang paling kamu cinta?"

Muhammad senyap seketika sambil tidak lekang dengan senyumannya.

" Cinta utama saya ialah buat Allah, Rasulullah dan ibu saya. Selepas itu insya-Allah isteri yang halal buat saya suatu hari nanti." Ringkas tapi padu jawapan Muhammad.

Ayah Fatimah juga turut tersenyum mendengar jawapan yang rasanya datang dari hati yang juga bercahaya.

Fatimah setelah diberitahu oleh ayahnya, masih memberi kepercayaan penuh kepada ayahnya untuk memilih. Namun, ayahnya mahu juga Fatimah dan ibunya lakukan solat istikharah bersama-sama dengannya untuk pastikan keputusan yang bakal diambil bukanlah hanya berpihak di kepada nafsu duniawi semata-mata, tetapi mahu minta juga petunjuk Ilahi yang hakiki. Moga segala-galanya berkat dunia akhirat.

Setelah beristikharah sekian waktu, mereka bersepakat hati mereka memberikan jawapan yang sama, iaitu jejaka berkancil hijau 660ex. Ya, itulah jawapan mereka bersama.

Walau jawapan itu sudah disepakati, namun jauh di sudut hati ayahnya timbul juga kerisauan. Tidak dipinta ia datang, tapi ia datang juga menerjah. Risau bagaimana nanti kalau anaknya hanya bersuamikan driver sahaja. Mampukan dia membahagiakan anaknya. Cukupkah makan pakai dia nanti.

Semua fikiran sebegitu tiba-tiba kembali terhakis mengenangkan kalam Ustaz Din yang pernah dia dengari ketika mendengar kuliah maghrib di masjid tempoh hari.

" Kita ni kadang-kadang pelik. Kita terlalu memikirkan dan berkira-kira dengan rezeki kita. Sedang ianya sudah pun di tentukan oleh Allah kepada kita. Apakah kita tidak yakin dengan segala yang telah diaturkan ke atas kita? Ingatlah, Allah lah sebaik-baik perancang buat kita semua."

Seminggu selepas itu, Muhammad Ibrahim selamat bertunang dengan Fatimah. Dan selepas sebulan, mereka terus bernikah.

Sebelum Fatimah selamat diijabkabulkan bersama Ibrahim pada hari itu, ayah Fatimah merenung pelik ke arah rombongan pengantin lelaki yang datang. Ayah Fatimah seakan tidak percaya melihat kemunculan bakal menantunya itu dengan bergaya meluncur laju ke halaman masjid kampung itu dengan kereta BMW 7 Series mirip seperti yang ditayangkan dalam rancangan Top Gear dalam tv itu. Muhammad dengan masih dengan gaya simplenya terus menuju ke dalam masjid bersama ibunya di sisi.

BMW 7 Series. Mewah kan?


Ayahnya menganggap mungkin bakal menantunya itu pinjam atau sewa daripada sesiapa untuk hari perkahwinannya. Ya lah, raja seharilah katakan. Dia menangguhkan pertanyaannya kepada bakal menantunya itu.

Masjid dipenuhi gelombang ucapan alhamdulillah sejurus sahaja Muhammad Ibrahim dan Fatimah selamat diijabkabulkan. Kedua-duanya tersenyum luas melambangkan mereka sudah melangkah ke alam baharu.

Ketika Muhammad berjalan bersama dengan mertuanya, tiba-tiba dia ditanya.

" Alhamdulillah, selesai jugak ye semuanya. Muhammad, kamu sebenarnya driver apa?"

Muhammad kali ini tersenyum lebar kepada bapa mertuanya.

" Sebenarnya, saya driver kapal terbang, ayah. Hihi."

" Oowh, kiranya pilot la menantu ayah ni ye. Kereta besar tu kamu punya ke?"

" Ya, insya-Allah. Kereta tu dulu adik saya pinjam sekejap, sekarang dia bagi balik dah. Kereta kancil tu dia punyalah."

" Macam tu rupanya, ayah ingatkan kamu driver apa sebelum ni, lupa pulak nak tanya, bijak betul kamu ye."

Mereka berdua ketawa kecil bersama.

" Tapi cuma pesan ayah, jadilah driver yang terbaik buat anakku Fatimah, bawa dia ke arah jalan Allah, bukan jalan mewah yang melalaikan."

" Jadikan dia, wanita syurga..."




Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.