7/23/18

Tulisan Lalu Yang Hanya Picisan




Menulis ini ada fasa-fasanya.

Dalam setiap fasa itu kita belajar dan terus belajar. Hanyasanya yang tidak memulai tidak akan mempelajari. Kerana itu kita mengatakan alam teori itu bukan salah, tetapi belum berjejak ke tanah nyata. Bukan perlu ditolak, tapi perlu dilengkapkan dengan amal di alam nyata.

Dari alam tidak matang ke alam pra-matang, pra-matang, pra-matang, hinggalah menjengah ke alam matang. Semua itu memerlukan masa, tetapi jika betul-betul konsisten dan pecaya dengan apa yang kita tulis, insyaALLAH akan sampai ke fasa seterusnya.

Hingga dari fasa matang, akhirnya beralih masuk pula ke alam professional dan master. Fasa akhir untuk sa-orang penulis istiqamah berada di dalamnya.

Adakalanya mungkin bila kita di fasa matang atau master, kita melihat tulisan-tulisan lama dahulu semasa fasa belajar atau fasa pra-matang itu sebagai tulisan picisan, tiada guna dan tiada manfaat. Namun pada telahan hakikat, ia tidak menjadi seperti itu, ia tetap malar segar dan hidup dalam lingkungan potensinya.

Itulah apa yang saya pernah rasakan setelah buku Dia Bukan Malaikat siap dicetak.



Apabila saya pulang ke Malaysia, terus saya ke syarikat penerbit Galeri Ilmu. Saya bertemu dengan editor dan pengurus Buku Puris (salah satu cabang genre buku remaja).

Antara soalan yang saya lontarkan, "Saya rasa karya saya ini agak kurang matang, kerana cerpen-cerpen dalam buku ini saya tulis sejak selepas SPM lagi."

Jawapan Ustaz Shafie sungguh melega dan mencerahkan, mafhum katanya, "Jangan risau, tulisan-tulisan itu semua mungkin sekarang kita nampak macam kurang matang atau lebih keanak-anakkan, kerana fasa itu telah kita lalui. Tapi buat  golongan remaja, pelajar sekolah rendah dan menengah, tulisan sebegitu sudah cukup bagus untuk hadaman mereka."

Sungguh saya lega mendengar jawapan itu.

Betul kata Ustaz Shafie.

Hari ini disebabkan kita sudah melangkah ke fasa seterusnya, janganlah kita ragu-ragu menyampaikan tulisan-tulisan yang dahulu. Jika tiada yang salah apalah salahnya untuk kita terus sebarkan manfaat.

Jangan lupa hargai masa lalu, jika tidak kita melaluinya dahulu, kita tak akan berada di tempat hari ini.

Kerana ada golongan pembaca yang masih sesuai membaca tulisan kita yang dahulu itu.

Sa-orang penulis perlu sentiasa membesar; bersama buku, pembacaan, rencam pengalaman hidup dan tulisannya.

Jika tidak dia hanya akan berada di takuk lama dan produk tulisannya juga tak terlalu berkembang.

Teruskan menulis, biarkan saja manusia-manusia lain iri mendengki, hidup kita harus berjalan.

Biar tulisanmu terus berbicara walau jasadmu sudah tiada.

___

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
0141, 230718

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter