7/29/18

Dicampak Untuk Menyelam

(Izinkan saya gunakan 'AKU' dalam tulisan ini, agar ia lebih dalam mewakili diri kecil)



'Entah apa rencana TUHAN di hadapan setelah diriku dipersiapkan...'


Ada banyak kata-kata dan rasa-rasa yang bergentayangan di dalam kepala dan di dalam atmosfera hati kecil ini. Berterbangan dan berawangan, bersepoi-sepoi, entah kenapa dan entah ke mana.

Hidup aku terasa makin unik, makin tidak tahu mengapa TUHAN letakkan pada masa dan rasa yang tak pernah diduga hamba kecil ini. 

Segala yang tak terduga ini buat aku rasa makin kecil dan kecil dan kecil dan kecil sekecil-kecilnya di sisi Sang Kekaseh.

Pada awalnya aku resah tatkala rasa-rasa pelik ini muncul, namun dari satu sudut yang lain, hari makin hari aku seakan sedar bahawa ini bukan sesuatu yang bahaya jika aku betul-betul mengerti, tetapi ini satu kurnia.

Aku tidak kisah jika orang lain tidak mengerti, kerana aku sendiri seakan tidak yakin diri sendiri dan tidak sepenuhnya mengerti apa yang diri ini rasai. Yang aku yakin hanya satu - ALLAH.

DIA tahu apa yang DIA persiapkan untuk aku sekarang untuk masa hadapan, walau aku sendiri tidak pernah yakin aku akan hidup 1 saat di hadapan.

Rasa-rasa yang aku maksudkan ini bukan tup tup terus ada dan hadir, tapi ia sebenarnya adalah produk, ia adalah hasil, dari sebuah perjalanan setelah dicampak.

TUHAN bawa aku ke daerah itu, lalu aku merasai yang makhluk di situ rasakan. TUHAN bawa aku ke negeri sana, lalu aku merasai apa yang makhluk di sana rasai. Dengan sebenar-benar rasa. Ya aku bergerak dari satu tempat ke tempat dalam perjalanan batin yang tidak aku dan orang lain sedari. Ia sungguh aneh pada diriku, apatah lagi jika diceritakan kepada umum. 

Aku sendiri tidak percaya jika ada orang bercerita perkara yang sama, kerana itu aku sukar ceritakan perkara ini. Adapun dengan (memilih untuk) menulis perkara ini, sedikit sebanyak buat hati kecil ini berasa te.nang dan damai dengan gelora rasa yang begitu galau dan giat bertaufan di dalam.

Tidak dapat dinafikan rasa-rasa yang hadir ini amat meletihkan, tapi sebagaimana yang aku bila di awal tadi, aku redha. Kerana aku lebih yakin dengan ALLAH yang Maha Besar berbanding meyakini diri yang sentiasa kecil.

Sama sekali aku tidak nampak apa yang di hadapan, tetapi aku harap produk-produk rasa yang aku dapatkan ini setidaknya tidak buat aku lupa, tetapi makin lebih percaya kepada insan dan makin membolehkan insan percaya kepada TUHAN.

Ini perjalanan sulit dan sakit.

Aku dicampak untuk menyelam di daerah dan negeri yang tidak pernah aku jangkakan, hanya untuk aku dapat produk rasa. Lalu dalam rasa itu aku bertemu Sang Kekaseh.


Ya, benar. Aku dicampak.

_____

Muhd Iqbal Samsudin
1519, 290718
El-Abbasiya, Cairo, Egypt

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter