11/25/16

Air di Belakang



[Cerita Dari Masjid]

_____

Kami berjalan dari Wafa' Amal, mahu bergerak ke Technology Mall. Sebelum itu kami singgah maghrib sebentar di masjid berdekatan.

Usai sahaja solat, saya undurkan sedikit ke belakang dan tangan saya tiba-tiba tertolak satu botol minuman. Jatuh. Jadi saya tegakkan kembali dengan anggapan mungkin botol minuman itu orang Arab di sebelah saya yang punya.

Seketika itu, saya perasan juga ada dua orang budak lelaki comel berlari-lari ulang alik dalam masjid. Saya hanya lihat sekali lalu, tanpa hiraukan.

Saya terus duduk berteleku di situ.

Orang di sebelah kanan saya tadi tiba-tiba meletak botol air yang saya jatuhkan tadi di hadapan saya. Apabila saya berpaling ke kanan dan kiri, baru saya sedar yang masing-masing ahli jemaah dapat sebotol air mineral sejuk. Plastik di penutupnya juga masih belum terbuka. Baru.

Kemudian baru saya perasan dua orang budak lelaki tadi sedang ambil air mineral dari kotak besar dan berikan kepada jemaah masjid.

Seorang pemuda di sebelah saya tiba-tiba bersuara, "Ini semua untuk apa?"

Saya jawab, "Hadiah."

Kami tersenyum.

Lelaki di sebelah kanan saya pula mengungkapkan, "Seindah-indah hadiah, ialah air (اجمل هدية المياة)."

Kami beramai-ramai menyahut, "Betul!"

Dia menyambung lagi dengan firman Tuhan ayat tiga puluh dari Surah Al-Anbiya', "وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَي (Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup)."

Puas mendengar firman Tuhan yang maha indah, sama-sama kami menguntum senyum.

Lelaki tersebut terkumat kamit meneruskan zikir dan kami meneruskan agenda perjalanan kami.

Kadang, dengan hanya sebaris ayat Tuhan yang disebut insan, boleh bawa jutaan makna dalam diri insan yang mendengarnya.

Kerana, pada setiap ayat-ayatNya, punya segala keindahan yang tak dapat diungkap sekalian indera.

______


Ayat lengkap Surah Al-Anbiya', Ayat 30.

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya. Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup.
Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

_______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
241116

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter