11/22/15

Yang Dibenci


Saya tidak tahu bagi orang lain, tetapi bagi saya yang bernama HUTANG itu perlu saya tendang jauh-jauh, tidak mahu mendekati walau sekadar menghidunya sekalipun. Tidak  dilupa, antara ayat terpanjang dalam al-Quran ialah ayat berkenaan hutang. Itu ternyata menggerunkan.

Tetapi, itu kehendak kita, bukan kehendak Dia.

Kita tiada apa-apa, yang lebih berkuasa, yang mengawal segalanya, hanya Dia. Dia tahu apa yang terbaik buat kita. Dia sentiasa dekat dengan kita, sayang dengan hamba-hamba-Nya.


Dibenci.

Lalu, dengan apa yang dibenci, kita diuji. Di sapa untuk menghadapinya, hingga tiada jalan lain lagi untuk kita keluar dan mengelak.

Pada saat itulah, terasa diri terlalu kerdil. Tiada ada apa yang boleh dibuat lagi. Hanya mengharap Redha Yang Maha Pengasih.

Pada saat itu juga, kita teringatkan, sudah terlalu lama, mata ini dilanda kemarau, kering.

 Tiada lagi takungan mata yang mengalir pada waktu malam mengharap dan mengadu pada yang Esa. Semua gara-gara hedonisme dan dunia yang tiada mahu lepaskan pelukan ketat. 

Terlekat di persada pseudodunia.


Dia Rindu.

Pegang lehermu duhai diri. Rasakan venamu itu. Ketahuilah, Allah itu lebih dekat dari itu. Lebih dekat.
"Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, " [50:16]
Jangan engkau menjauh lari.

Carilah waktu gelap tatkala semua kebanyakan insan tidur, engkau menangis menyata rindu, engkau menagis mengharap redha, engkau menangis mengadu masalah melanda.

Lupakah engkau duhai diri bahawa tatkala disapa ujian, engkau perlu kuat dengan sabar dan solat?
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; " [ 2:45]

Perkukuhkan tali hubung dengan Tuhanmu.

Jangan kamu lupa, antara sifat 'ibādurrahman ialah rajin bersujud dan qiam.

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,

Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan.

Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk"
[25:63-66]

Kamu Kuat, Duhai Diri.

Kata seorang pakar kaunseling Barbara D. Rosof dalam bukunya "The Worst Loss -How Families Heal from the Death Of A Child", yang kerap kali mendengar permasalahan daripada berbagai-bagai jenis manusia, mengatakan beberapa kalimah yang akan buat orang bermasalah rasa tenang ialah dengan memujuk bahawa dia tidak berseorangan dan katakan padanya bahawa dia sangat kuat untuk menghadapi segala apa yang berlaku.

Saya juga jadi teringat, tatkala Buya HAMKA mentafsir ayat 5 dan 6 daripada Surah al-Insyirah, beliau ada memetik kata-kata Sayyidina 'Umar yang sangat menginspirasikan.
"Maka tersebutlah di dalam kitab Al-Muwaththa’ Imam Malik, di dalam Kitab pada menyatakan Jihad, suatu riwayat demikian bunyinya:

“Dari Zaid bin Aslam, berkata dia: “Abu ‘Ubaidah bin Jarrah menulis surat kepada Umar bin Khathab yang isinya menerangkan bahwa suatu Tentara Rum yang sangat besar telah siap akan menyerang mereka, kekuatan tentara itu amat mencemaskan.”

Surat itu dibalas oleh Saiyidina Umar bin Khathab, di antara isinya: “Amma Ba’du. Bagaimana jua pun kesukaran yang dihadapi oleh orang yang beriman, namun Allah akan melepaskannya jua dari kesukaran itu, karena satu ‘usrin (kesulitan) tidaklah akan dapat mengalahkan dua Yusran.”

( فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا. إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا )
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."

Kuatlah kamu. Kamu kuat. Kamu mampu menghadapinya. Kamu tidak berseorangan.

image
Setiap Kesusahan, Pasti, Pasti, Pasti Ada Kesenangan.


Hikmah.

Hari ini, kita yang belum nampak apa yang di hadapan mungkin membenci, sebnci-bencinya. Tetapi, itu diluar kuasa kita, Allah tetap menguji. Maka dengan apa yang kita hadapi itu, sudah pasti, penuh infiniti hikmah tersembunyi pada segala yang sudah terjadi.
Mungkin dengan Allah beri susah pada kita hari ini, supaya kita tidak lupa 'rasa' sebenar susah itu saat Allah beri kesenangan pada kita pada masa hadapan.

Mungkin juga, Allah ingin kita rasa, bagaimana erti menjadi peminjam hutang, agar pada masa hadapan, kita lebih santun dengan orang susah yang berhutang dengan kita.
Semua ini tarbiyah istimewa daripada Allah. Kita dibentuk dengan segala kesusahan yang kita rasa pada hari ini.

Hanya perlu berlapang dada dan yakin dengan segala ketentuan Allah. Semua yang dicipta, semua yang terjadi, tidak pernah sia-sia. Berlimpah segala hikmahnya. Cuma, belum sampai masanya mungkin, untuk kita dapat melihatnya secara penuh, tak nampak, masih kabur.
Selalulah bersangka baik dengan Allah.

*  *  *

Dari Hudzaifah r.a., katanya:
"Allah mendatangkan seseorang hamba dari sekian banyak hamba-hamba-Nya ini, ia telah dikarniai oleh Allah akan harta, lalu Allah berfirman padanya, "Apakah yang engkau lakukan di dunia?"

Hudzaifah berkata, "Orang-orang di akhirat itu tidak ada yang dapat menyimpan sesuatu pembicaraanpun di hadapan Allah."

Orang itu berkata,"Ya Tuhanku, Engkau telah mengarniakan harta padaku, saya lalu berjualan kepada orang banyak dan sudah menjadi watak saya yaitu bersabar - kepada orang yang kekurangan kalau memberikan kepadanya  hutang, lagi pula suka menerima berapa saja yang mereka berikan sebagai cicilan.

Jadi saya memberikan kelonggaran kepada orang kaya dan memberikan tangguhan waktu kepada orang yang kekurangan."

Allah Ta'ala lalu berfirman, "Aku lebih berhak berbuat sedemikian itu daripadamu. Hai Malaikat: "Bebaskanlah dosa hamba-Ku ini."
'Uqbah bin 'Amir dan Abu Mas'ud al-Anshari radhiallahu 'anhuma berkata, "Demikian itulah yang kita dengarkan sendiri dari mulut Rasulullahi sallalhu 'alaihi wasallam"
[Hadith Riwayat Muslim]


Muhammad Iqbal
El-'Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1450
020514

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter