11/22/15

Sukkari

[Cerita Dari Pasar]

Sudah kira-kira tiga tahun aku di bumi Nabi Yusuf ini. Alangkah laju masa memutar, hingga sirna sedarku.

Kini musim panas. Pada setiap musim, buah-buah yang dijual di pasar berbeza-beza.

Namun, aku kira, buah manggalah yang paling mengancam dan antara buah yang digemari orang arab.  Harganya juga boleh tahan.

Saiz mangga di sini pula penuh variasi. Ada yang sebesar dua penumbuk Malek Nor, dan ada juga yang besar sebesar penumbuk bayi.

Sesekali, tengingat juga pelam panjang dan buah ponen di kampung, punya rasa unik yang tersendiri. Ada nilai sentimental walau diri sudah merantau jauh ke luar.

Sudah nalar aku ke pasar, tetapi jarang-jarang aku beli buah mangga. Kerana padaku, buah mangga ini kategori eksklusif, walaupun rasanya bisa membuatkan air liurku berlenangan gugur, namun harganya hanya buatkan aku mengiur.

Namun kali ini mangga-mangga ini nampak sangat mengancam di bawah terik mentari. Lalu, aku jadi terjebak dalam timbunan baunya. Tiada daya lagi. Pitis-pitis tidak lagi aku berkira.

Aku berhenti di satu kedai. Di kedai ini ada satu peristiwa nostalgia bagiku. Entah mengapa, sejak aku hampir menangis melihat sang ibu yang tanpa lelah berniaga, sambil di sebelahnya mengajarkan anaknya membaca al-Quran, aku jadi terpikat untuk membeli di kedai itu selalu.

Kali ini, suaminya ada. Aku pinta di perkenalkan aku dengan semua jenis mangga yang ada di kedainya. Lebih 5 jenis mangga berlainan diperkenalkannya. Subhanallah, nampak sahaja serupa, tetapi tidak sama. Benarlah, hanya jauhari mengenal manikam.

Dia menyebut satu per satu nama setiap jenis mangga itu, namun akhirnya, jenis terakhir sahaja yang dapat aku ingat. Namanya, 'man ga sukkari', yang lebih kurang maksudnya, 'mangga bergula'. Maka, aku jadi berkenan dengan yang itu, kerana saiznya sederhana besar, dan murah.

Pulang sahaja di rumah, terus aku sumbat ke dalam peti ais, membiar ia sejuk. Padaku, pepakan isi-isi mangga saat ia sudah sejuk, mampu menggoncang seluruh rasa jiwa.
Sesudah beberapa lama dibiarkan di dalam peti ais, aku jadi tidak keruan mengupas dan membahamnya. Aku lalu ambil yang paling kuning, mahu menguji setara mana rasa 'sukkari'nya.

Nyata, soalan pertama yang meluru keluar dari benakku ialah, "Adakah pohon mangga ini ditanam dalam timbunan gula?"

Rasanya manis menggila.

Tiada langsung rasa masam yang mencorak rasa mangga.

Oh, ini penangan 'sukkari' rupanya.

Baru sahaja di dunia, bagaimana agaknya nikmat buah di sorga sana.

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ
"Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki; "
[Surah Yaseen 36 : 57]


image
Terlupa tangkap mangga di pasar, mujur ada ini sebelum dibaham. ^^
(Sedang cuba mencolek rasa dengan bahasa. Nian indah bahasa kita.)


Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
2337
280814

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter