11/22/15

Semangat Esok


Beberapa hari yang lalu, saya ada poskan sesuatu di instagram. Gambarnya, hanya gambar penjuru dinding. Padanya, ada longgokan tali-tali kecil berwarna biru, hanya longgokan itu, yangkiri kanannya besi lebihan dari sebuah bangunan. Sekali pandang, tiada langsung nampak harganya.

Namun, pandangan hati ada lebihnya. Kisahnya saya tulis panjang sebagai description gambar di profile instagram saya. Saya tulis, saya tidak sedar pula menjadi panjang. Mungkin sudah lama tidak menulis, lalu dilepaskan terus secara spontan di pentas intagram.

Memikirkan yang gambar tersebut punya nilai, saya fikir ada baiknya saya abadikan dalam blog ini. Secara tidak langsung, saya dapat semangat setiap kali membacanya. Moga pada saat saya jatuh, semangat burung-burung itu menerbangkan kembali saya ke atas, untuk kembali berdiri tegak.

Moga-moga ada manfaatnya, buat saya terutamanya dan buat orang lain yang sudi mengambilnya sebagai manfaat.

Ini kisahnya...

*   *   *

Di sebuah penjuru dinding.
Di sebuah penjuru dinding.

Saya tidak tahu, ini kisah kebetulan atau apa.

Dalam fasa study leave ini, bila tengok banyak benda yang kena baca. Hati kecil dengan dorongan syaitan dan nafsu jahat, asyik menyeru kepada malas dan memperbanyakan tidur.

Baca malas. Buat latihan malas. Nak menghafaz malas.

Tetapi memikirkan yang duit yang digunakan sekarang ialah duit umat Islam, perlu sedar ini satu amanah besar. Walau langit bumi dan gunung ganang enggan menerima amanah, tetapi kita manusia, masih sering bermain dengan amanah. Berat.

Dan pada saat saya malas juga, saya lemparkan pandangan ke luar tingkap. Walau tidak seindah mana pemandangannya, tetap juga dipandang, dengan harapan ada satu ketenangan di sana.

Pada setiap kali pandangan itu dilemparkan jugalah, saya akan melihat burung-burung tekun terbang membawa seolah benang-benang biru untuk dibuat sarang. Diangkut satu persatu untuk menghasilkan kediaman selesa milik mereka.

Selepas angin kuat atau ribut pasir melanda, mereka kembali bekerjasama membuat kembali sarang itu. Tekun mengangkut. Seolah tiada keletihan.

Di celahan dinding itulah mereka bina rumah mereka. Bahagia berkicau.

Mereka tidak pernah mengalah. Sentiasa berusaha, tidak kenal erti letih, untuk pastikan mereka bahagia.

Di atas kerusi, saya malu sendiri. Betapa teruknya diri ini.

Kita sebaik-baik ciptaan ini masih angkuh, masih membiarkan nafsu fasad mengawal diri, tanpa mahu berlawan.

Oh Allah, ampuni hamba ini.

^^
Dinukil pada : 1/6/2013

*   *   *

Wallahua'lam.
Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
6.6.2013
7:59p.m

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter