11/22/15

Menyukat Iman

[ NT : Nota Tarbiyyah ]

Musim Sejuk.

"Maaflah, aku sudah cuba yang terbaik untuk bangun subuh, tetapi aku selalu sahaja gagal, musim sejuk macam ini, biasalah...Sedap dipeluk saratoga..."

Penuh dengan alasan. Siapalah yang sempurna, memang tiada. Tetapi biar usaha kita itu nampak cuba yang bersungguh-sungguh, bukan hanya bersungguh di mulut.

Malamnya yang panjang, bukan hanya untuk berhibur, tetapi dilebihkan lagi untuk tidak membiar iman kita melebur. Biarnya sentiasa keras dan kuat, moga boleh berjaga malam beribadah kepada-Nya ketika orang lain lelap dalam dunia mereka.

Yang namanya solat subuh berjemaah itu, bukan suatu yang mudah, dan bukan pula untuk diambil mudah.

Dengan lagak macho, badan berketak-ketak, baju ketat nampak otot, selalu mengunjungi gym, belum tentu dapat membuat kunjungan istiqamah ke masjid untuk tunaikan solat subuh berjemaah. Belum tentu.


Musim Panas.

"Kau gila, subuh pukul tiga pagi sekarang ini! Macam mana mahu bangun subuh, tidak sempat untuk bermimpi berjumpa bidadari, azan bilal sudah berlaungan. Manalah aku mampu..."

Mulut sekali lagi melimpah mengeluarkan alasan.

Kita mungkin mampu berkata indah di hadapan orang, namun mahu melakukannya punya seribu satu kepayahan yang perlu ditempuh. Itu biasa. Kerana, kita insan biasa, perlu sentiasa belajar dari kesilapan.

Badan kita sudah mula naik lemak kerana sudah lama lemak diternak di situ. Nafsu fasad pula sudah berpusu-pusu memenuhi rongga badan. Badan pejuang, bukan begitu, badan mereka milik Allah, milik Islam, tiada dimanja-manjakan. Ditempa khas di dunia, untuk dapatkan hasil yang elok dan berkualiti untuk dibawa terus ke syurga.


Sukat Imanmu.

Ada orang berkata kepada Syeikh Hassan al-Basri,

“Saya tidak boleh bangun malam. Berikanlah aku penawarnya...,”


Kata Syeikh Hassan al-Basri dengan tenang :
“ Janganlah kalian bermaksiat kepada Allah Subhanallah Ta'ala di siang hari, nescaya Dia akan membangunkan kalian di hadapan-Nya pada malam hari.

Nampak?

Iman kita, sebagai hamba-Nya yang biasa-biasa, sememangnya ada naik dan ada turunnya. Kita perlu pastikan sukatan dan prestasi imanmu sentiasa yang tertinggi, supaya mudah untuk kamu berbuat taat kepada Allah Subhanallah Ta'ala.

Kegagalan untuk mengerjakan solat subuh berjemaah atau berqiamullail itu bukan kerana peralihan musim yang berubah, tetapi ianya kerana kondisi iman kita. Kita tidak cakna dengan peralihan iman kita.

Seorang pak cik tua, kekuatannya fizikalnya bukanlah seperti orang muda, tetapi tetap juga sampai dan berjaya solat di saf hadapan ketika subuh berjemaah. Dia kuat bukan kerana fizikalnya, tetapi kerana imannya.

Bagaimana mahu menyukat iman?

Pegang dada kamu.

Hanya Allah dan kamu yang tahu kondisi imanmu.

Khas, untuk diri sendiri.

Biar ada rasa menyesal pada setiap kali kita gagal subuh berjemaah, bukan dengan tidak merasa apa-apa, seolah menjadi kebiasaan.
Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
7.7.13
5:04 a.m






No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter