2/4/13

Siri 19 : Souq



Assalamualikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Setelah disepakati, Muhammad memegang jawatan bendahari rumah. Bendahari rumah, ibarat penggerak sebuah rumah. Segala keluar masuk duit, dialah yang menguruskan. Itu baru dalam rumah, di luar banyak lagi yang perlu diuruskan. 

Ikutkan hati, jawatan apa pun dia sudah tidak punya minat untuk memikulnya. Tetapi apabila suara majoriti mula memecah ruang atmosfera, ia mengatasi segalanya. Redha dan segalanya perlu diterima dengan hati terbuka dan cuba dan terus mencuba untuk sentiasa menjadi yang terbaik.

Walau apa sahaja amanah yang dipikul, kuncinya ikhlas. Tanpa keikhlasan, segalanya bagaikan sia-sia. Mungkin segala ibadah kita tidak dikira, bahkan tidak dipandang langsung oleh Allah Ta'ala. Tika adanya keikhlasanlah, hati kita jadi kuat, lantas menguatkan segala jasad badan kita untuk membuat segalanya kerana Allah.


Sibuk.

“ Bagaimana, sanggupkah awak lalui semua ini? Jalan untuk menjadi seorang doktor ini bukan mudah, payah. Ketika belajar pun sukar, apatah lagi ketika sudah bekerja nanti.”Provokasi seorang panel penemu duga sebelum medapatkan sebuah biasiswa.

Jika dahulu sudah dirasakan sibuk, kini makin sudah terasa bahang kesibukan yang tak terhingga. Terbayang juga, bagaimanalah agaknya tahun-tahun mendatang. Pasti lebih mencabar, pasti perlukan lebih kecekalan.

Sekali melihat para senior, dalam hati rasa seronok, rasa suatu kebahagiaan. Sudah tentu banyak yang mereka telah lalui dan kini jalan mereka tinggal sedikit sahaja lagi untuk dihabiskan. Bahagia. Di sebalik senyuman-senyuman manis mereka, tertera sebenarnya kepuasan mereka melalui jalan yang tidak semua orang lalui ini.

Bagi Muhammad, inilah satu medan latihan, sebelum benar-benar menempuhi realiti sebenar suatu hari nanti. Jika sekarang sudah mengeluh, apatah lagi pula nanti. Kerja lagi menimbun, waktu rehat belum tentu banyak bahkan perlu pula bertemankan stress berhadapan dengan pelbagai kerenah ciptaan Allah paling sempurna ini.

Sakit memanglah sakit. Namun, kesakitan itulah yang bakal mengajar kita pelbagai erti kehidupan. Letih memang letih, namun itu ruang jalan jihad yang telah ditentukan-Nya.

Ya, ini juga satu channel jihad. Percayalah.

Kadang-kadang kita tidaklah sesibuk mana, tetapi yang membezakan segalanya ialah cara kita mengawal dan mengatur masa kita.

Pinta kepada Allah sang empunya masa untuk memberkati masa kita dan sentiasa isikan masa dengan perkara-perkara berfaedah, yang di hujungnya di matlamatkan hanya kerana Allah, yang boleh bawa manfaat kepada Islam, yang punya kepentingan untuk ummah. Insya-Allah, berkatlah masa.


Telur Rebus.

Sibuk, sibuk juga. Makan jangan lupa. Jangan biar perut kosong. Nanti banyak pula masalah yang datang. Perut kamu itu perlu sentiasa diisi, takut sakit pula nanti. Bukan mama tak tahu perut kamu tu...” Pesan ibu Muhammad.

Setiap kali bercakap dengan ibunya, itulah antara nasihat yang selalu diungkapkan melalui corong telefon atau lowongan skype. Seorang ibu itu, nasihatnya sangat-sangat berguna, sampai bila-bila. Walau dengarnya ringkas, tapi sungguh, ia perlu dicakna sebaik mungkin. Kerana, kadang-kadang sang ibu lebih tahu perihal anak-anaknya berbanding diri anak-anak itu sendiri.

Kini mudah, selepas membaca buku Prof. Dr. Muhaya, dia banyak makan telur rebus. Semuanya kerana telur rebus mudah disediakan dan penguraiannya yang mengandungi kandungan protein yang tinggi menyebabkan ia lambat diuraikan berbanding makanan-makanan berasaskan karbohidrat.

Paling tepat untuk disifatkan dengan telur rebus ialah, dapat jimatkan masa! Suatu perkara yang sangat penting bagi seseorang yang kurang masa terluang.


Pasar.

Souq, atau semasa di Malaysia, kita gelarkan pasar. Setelah berpindah rumah, pasar yang berdekatan dengan rumah Muhammad sangatlah menarik. Ada dua pasar, satu yang kecil, dan satu lagi lebih besar dan meriah.

Pada umur kecilnya, dia sering dibawa ke pasar. Mengikuti ayahnya pergi ke pasar seperti jadi kemestian. Ikut dan ikut, mengekori sang ayah. Seronok. 

Selalu juga ayahnya berikan sedikit duit untuk beli apa yang dia mahukan. Tika itu, itulah saat yang di nanti-nantikan dan sangat seronok. Perkara utama untuk dibeli, pastinya ais kacang atau cendol pulut. Subhanallah, itulah menu pasar malam yang paling mengancam. Hingga sudah berada di kejauhan, ais kacang dan cendol pulut itulah yang dirindui. Sangat banyak kenangan.

Muhammad suka ikut ayahnya. Beli ayam, picit-picit ayam. Beli ikan, menyelak insang, picit-picit ikan dan basuh tangan. Sangat seronok tika itu.

Semua itu di lalui Muhammad suatu ketika dahulu. Tanpa disedari, itulah yang membentuk dirinya hari ini. Itu satu didikan tidak formal, yang tidak semua orang pernah lalui dan sukai. Berapa ramai sangat anak-anak hari ini yang mahu temankan sang ayah membeli barang keperluan, bertukang dan berkebun? Juga berapa ramai juga anak-anak yang suka meneman ibunya beli belah di pasar raya, memasak dan mengemas?

Percayalah, itu semua satu didikan buat kita. Didikan untuk jadi matang pada masa mendatang. Yang boleh mendidik diri supaya faham erti sebuah tanggungjawab.

Pasar di sini, sudah tentu berbeza dengan di Malaysia. Mana tidaknya, jika di Malaysia, segala macam barangan boleh diniagakan di pasar, tetapi di tempat baharu Muhammad ini, pasarnya hanya jual barang basah. Barang kering ada, tetapi cuma sedikit.

Sayur-sayuran segar, dijual dengan harga yang agak murah. Risiko untuk rambang mata juga jadi lebih tinggi kerana ramai yang berniaga perkara yang sama, cuma kualitinya berbeza. 

Jika di Hayyu Sabi' dahulu sukar untuk dapatkan ikan, kena pergi ke tempat yang agak jauh, kini di souq baharu ini, punya banyak pilihan untuk memilih dan harga tidaklah mahal sangat, biasa-biasa sahaja. Jika pergi pada awal pagi kebanyakannya pasti masih segar lagi. Tetapi jika sudah larut petang, hanya tinggal yang kurang elok sahaja kebanyakannya, tetapi harga dikurangkan. Masing-masing ada kelebihan.

Di souq ini jugalah, medan Muhammad memperdalam kemahiran komunikasi dengan orang arab. Kerana di kawasan tersebut, kurang orang asing berbanding tempat yang pernah tinggal sebelum ini. Ini menjadikan mereka tidak selalu cuba cakap bahasa Melayu dengan kita. Betapa mudahnya bahasa Melayu, orang arab pun boleh bercakap. Mereka juga tidak memandang rendah kepada kita untuk berbahasa arab 'ammi berbanding di kawasa souq yang lain. 

Para penjual itulah yang jadi gurunya. Sekali pergi, tanya nama barang yang belum diketahui, " Dah ismu eh (ini nama apa) ?". Kadang-kadang lupa, tanya lagi, lama-lama insya-Allah boleh ingat. Mereka akan layan kita jika kita punya usaha dan kesungguhan untuk belajar bahasa mereka.

Padanya juga, banyak manfaat buat orang yang suka berfikir. Dari melihat suasana dan adat jualan orang arab, hinggalah kepada barangan yang mereka jual. Semuanya indah buat orang yang suka berfikir, yang di hujng fikirnya, di matlamatkan kepada Allah. Boleh datang berbagai-bagai rasa.


Sebuah tanggungjawab.

Satu perkara yang semua orang ada, iaitu tanggungjawab. Dari sekecil-kecil tanggungjawab, hingga sebesar-besar tanggungjawab. Ia tetap dinamakan tanggungjawab.

Walau bagaimana pun, perkara pentingnya ialah peranan kita terhadapnya dan keikhlasan kita menghadapinya. Maka, sabarlah menghadapinya dengan tenang. Allah tahu perkara yang mampu kita pikul.


Tanggungjawab itu perlu disusuri dengan cahaya iman. Supaya mudah untuk diheret ke alam redha-Nya.


Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
4.2.2013
9:04 a.m





2 comments:

  1. Allahurabbi..
    Hebat nukilanmu..
    realiti kehidupan seorang hamba..

    *part yang buat tersenyum..
    'telur rebus'
    memang mudah, cpt & mengenyangkan..

    teruskan bertinta, mengetuk hati2 insan dgn izin-Nya.

    ReplyDelete
  2. Kullu min fadli rabbina.

    Telur rebus, kalau tidak pernah amalkan memang agak lucu untuk didengari, tapi itulah realiti. Bila dah terbiasa, rasa sedap pulak, hehe.

    Insya-Allah, di sebalik kesibukan yang tiada penghujung ini, moga-moga Allah kurniakan keberkatan masa untuk membuat sesuatu yang bermanfaat buat ummah. Allahumma ameen...

    Jazakillahukhairan.

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter