2/27/13

Cerpen : Ah Long Siong (Bahagian 1)




Subuh hari itu sunyi, sebagaimana subuh selalunya. Deringan handphone buat kali ketiga akhirnya berjaya mengejutkan saya. Mujurlah sempat bersiap sebelum iqamat. Tidaklah terlalu kelam kabut.

Sebaik sahaja parkir motor betul-betul berdekatan besebelahan dengan tangga untuk naik ke masjid, iqamat terus dilaungkan oleh bilal. Tiga mangga siap dipasang pada motor. Parkir di tempat sebegitu tidak lain tidak bukan untuk tenangkan hati ketika solat, tidaklah terlalu risaukan motosikal EX5 cabuk kesayangan saya ini. Insya-Allah boleh khusyuk lebih sikit ketika solat nanti.

Pagi itu, hanya dua saf sahaja. Selalunya, dua saf setengah, paling banyak sangat pun tiga saf suku. Walaupun masjid ini memang letaknya di tengah bandar raya, tetapi itulah hakikatnya. Inilah umat kita. Perlu menelan hakikat ini.

Andai boleh meneropong solat subuh umat Islam kita, ramai manakah kita agaknya...


Pertemuan.

Imam subuh kali ini membawa Surah al-Qiyamah dan al-Surah al-Zalzalah. Jiwa ini rasa bergoncang-goncang mendengar surah-surah itu dilantunkan oleh imam masjid itu yang masih hijau usianya itu, sebagaimana kedahsyatan goncangan hari kiamat yang digambarkan dalam ayat-ayat dalam surah-surah itu. Gerun!

' Assalamualaikum warahmatullah, assalamualaikum warahmatullah...'

Alhamdulillah, hati rasa tenang pagi ini. Saya beruntung, kerana kerja saya bermula agak lewat sedikit berbanding orang lain, dan pejabat saya pun tidaklah jauh sangat dari rumah. Tidak perlu risau dengan kesesakkan lalu lintas atau masalah-masalah lain, naik motor lima minit, insya-Allah sudah boleh sampai. Tapi hari ni, saya diberikan cuti kerana tuan pengurus berikan cuti umum hari ini bersempena hari kelahiran Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam. Baik sungguh majikan saya, bukan semua pejabat boleh dapat cuti macam itu.

 Usai saja imam membacakan doa, saya mengambil masa beberapa minit untuk menghabiskan wirid-wirid dan selawat buat cinta hatiku, kekasih Allah 'azza wa jalla.

Selesai semua itu, saya toleh belakang untuk lihat siapa lagi yang masih berada dalam masjid. Selalunya, hanya saya bersama tok siak saja yang ada, sebab tok siak itu sudah lama pencen, selalunya hanya tinggal kami sahajalah dalam masjid.

Kali ini saya benar-benar terkejut. Ada satu wajah yang punya nur yang tersendiri, berteleku di saf belakang, memegang tasbih putih. Suci mukanya. Riak wajahnya seakan tiada gaya seorang Melayu. Mukanya saling tak tumpah macam wajah Stephen Chow yang berlakon filem Shoalin Soccer itu. Pelanduk dua serupa agaknya.

Hati bagaikan tertarik sangat-sangat. Diri insan yang sedang meratib di belakang bagaikan ada kuasa magnet yang sungguh padu. Habis sahaja berzikir, saya terus bergerak ke belakang dan merapatinya. Dengan harapan, tidak mengganggunya dan dia bersedia melayan saya.

 " Assalamualaikum..." Saya beri salam sambil menghulurkan senyuman dan salaman.

" Waalaikumussalam..." Dia menjawab sambil menyambut salaman tangan saya, mesra mimik mukanya.

" Maaflah tanya, you ni orang baru ke di sini?" Tanpa segan silu saya hulurkan juga buah pertanyaan.

" Ya, ini kali pertama saya datang ke masjid ini, sebelum ini tak pernah datang pun, tengok dari luar sahaja..."

" Alhamdulillah, bagus la macam tu, bertambah la jemaah kita kat masjid ni. Boleh tahu, apa you punya nama haa?"

" Oh, nama saya Muhammad Abdullah Lee Long. Panggil saja saya Abdullah ataupun Muhammad. Saya suka kedua-dua nama saya tu. "

" Oowh, Encik Muhammad Abdullah. Sedap nama tu, indah macam wajah tuannya juga. Eh, terlupa pula, nama saya Muhammad Ibrahim."

" Subhanallah, sedap Encik Ibrahim, macam nama anak nabi kita." Balas Abdullah dengan kepetahannya berbahasa Melayu.

" Wah, hebat awak ye, mesti awak dah banyak belajar sirah nabi kan. Saya kagum dengan awak. "

"Encik, saya ni baru lagi encik, kalau ada salah silap saya, harap encik dan yang lain-lain tegur saya ye."

" Ya, insya-Allah boleh saja. Kalau saya ada buat silap, tiada masalah juga untuk tegur saya, saya juga manusia biasa, yang boleh buat silap."

Abdullah mengangguk-angguk tawadhuk. Sopan orangnya. Lagaknya lebih sopan daripada orang Melayu walaupun mukanya agak legend.

" Eh, awak asal mana ye? Memang orang sini ke? " Sengaja ditanya untuk lebih mengenali.

" Tak, saya asal orang Kedah. Siong, Baling, Kedah. Tapi saya berhijrah ke sini sudah lebih dua puluh tahun."

" Oh, orang Kedah. Saya asal orang Sungai Buloh, dekat saja dengan tempat ini..."

" Iya, dekat saja dengan kawasan kita ini.."

" Saya mahu tanya awak, saya nampak macam awak dah banyak dah belajar fasal Islam, siapa yang ajar awak? Maaf la banyak pula saya bertanya..." Saya cuba juga untuk tahu asal usul bagaimana dia masuk Islam. Mana tahu ada kisah yang menarik tentang brother ini.

" Eh, tidak mengapa, tidak ada masalah punya. Lagipun, tidak ramai yang mahu dekati saya. Maklumlah, mungkin saya hanya dianggap sebagai pendatang baru di sini. Saya sudah biasa. Tapi, kisah saya agak panjang Encik Ibrahim..."

" Tidak apa, saya tidak ada masalah kalau awak mahu bercerita, saya cuti hari ni."

" Ok lah kalau macam tu, saya cerita seringkas yang mungkin ye. Sebenarnya macam ni....

Saya ni dulu, berhijrah ke Kuala Lumpur dari kampung saya. Dengan harapan, saya akan dapat kerja yang bagus, yang halal. Tak payah la saya bergantung hidup dengan keluarga saya lagi, keluarga saya bukan keluarga yang berada sangat macam saudara-mara saya yang lain. 

Setelah hampir 2 minggu saya mencari kerja di KL, tak ada satu habuk kerja pun yang saya tak dapat. Semuanya dah ada pekerja. Tension betul saya waktu tu. Poket saya dah kempis sangat dah waktu tu. Tak tahu lagi nak buat apa.

Jalan-jalan punya jalan, saya ada nampak satu iklan berbahasa mandarin kat satu pokok yang mahukan pekerja. Saya seronok sangat waktu tu, saya terus call pihak terbabit. Tak lama selepas tu saya terus dapat kerja. Pada waktu tu memang saya dah berazam, kerja apa saja yang ada, saya buat saja semua, asal tak balik kembali ke kampung, malu!" Cerita Abdullah bersungguh-sungguh penuh perasaan.

" Sebenarnya, kerja tu kerja haram. Mereka sebenarnya mahu cari siapa saja yang mahukan kerja-kerja mengutip duit hutang. Senang cerita saya jadi kuli kepada ketua Ah Long, lu pun tahu maaa. Sampai satu ketika, setelah saya dah lama berkhidmat, saya dilantik menjadi ketua kawasan, dan saya ditugaskan oleh ketua saya untuk menjaga tempat itu. Kira macam abang kawasan jugalah.

Semua orang gelar saya Ah Long Siong, sebab saya berasal dari Siong, dan sebab gigi taring saya ni nampak tajam." Sambil menunjukkan gigi taringnya yang tajam itu.

Saya tengok pun jadi seram. Gigi bertaring siong, bekas jahitan di kanan dan kiri, bermata sepet ala Stephen Chow dan paling pelik, dia punya 'nur' pada wajahnya. Tapi hakikatnya, memang muka dia garang sungguh.

" Tapi, satu ketika anak buah saya buat silap. Dia pukul seorang budak muda dengan dahsyat sebab budak tu terlalu degil, tidak mahu bayar hutang. Akhirnya budak itu mati di tangan anak buah saya. Apabila polis buat siasatan, anak buah saya kaitkan saya dengan kes itu. Selepas itu, mahkamah jatuhkan saya 10 tahun penjara, tapi anak buah saya tu dihukum gantung sampai mati. Mujurlah peguam saya bijak, saya terlepas daripada hukuman gantung dan dikurangkan tempoh dalam penjara menjadi 7 tahun.

Sejak itu, bermulalah era baru hidup saya. Hidup saya berubah sekelip mata. Daripada mengganas membabi buta hingga menyesal tak terkira. Saya jadi tertekan dengan apa yang telah terjadi, dengan masa lampau saya. Semuanya gara-gara silap memilih jalan hidup."

Saya masih mengangguk khusyuk mengiakan kisah hidupnya yang penuh dramatik.

" Eh, menariklah kisah awak. Mesti perit kan duduk dalam penjara." Saya cuba mencelah.

Muhammad Abdullah hanya senyum.

" Di sana, saya ditempatkan dengan seorang orang Melayu. Dia nampak selekeh sangat. Muka comot penuh dengan tampok hitam-hitam, gigi kuning pekat, rambut kusut masai kasar bersikat tepi dan berkuku panjang. Tapi ada satu sahaja yang saya hairan, dia sungguh wangi. Bau wanginya semacam dengan minyak attar yang selalu ustaz-ustaz guna untuk ke masjid. Saya jadi pelik. Tersangat pelik.

Di sebabkan wangi, walaupun nampak kotor, saya tetap berkawan dengan dia kerana dia pun buat baik dengan saya. Dia ambil berat tentang saya, dia buat saya macam adik beradik. Saya tidak rasa langsung yang kami ada perbezaan agama dan bangsa.

Mukanya kotor dan comot, tetapi apabila memandangnya, hati jadi sayu, jadi tertarik. Wajah yang ada ruh cahaya yang tersendiri. Cahaya yang datang bukan dari cahaya mentari atau cahaya lampu neon dalam penjara, tetapi cahaya suci daripada hatinya.

Hati mana yang tak cair melihat seorang yang beperwatakan mulia seperti itu. Dia ambil wudhuk, saya lihat. Dia solat, saya lihat. Dia merintih berdoa, saya dengar. Dia berzikir, saya dengar. Dia berselawat, saya dengar. Dia membaca al-Quran, saya dengar. Wajahnya sentiasa tenang, seakan tidak ada masalah langsung yang dia hadapi. Sentiasa tenang. Muka yang tak lekang dengan senyuman manis."

Saya jadi terleka mendengar ceritanya. Leka dalam lautan kekaguman.



Bersambung...

[ Cerpen yang sudah terlalu lama terperam (belum diedit dengan sempurna), moga ada idea untuk menyambung lagi selepas ini, insya-Allah ]


Saya jemput anda untuk baca sambungan cerpen ini dalam buku #DiaBukanMalaikat di kedai-kedai buku berhampiran anda atau boleh terus dapatkan di sini.




4 comments:

  1. sometimes i wonder how u mange ur time. busy2 pun smpt lagi buat cerpen.bkn calang2 dokter ni.:P kalu nani, hrp cuti seminggu bru bleh nak update;D n btw, nice story. org kampung nani rupanya-sg buloh he he.

    ReplyDelete
  2. For me, it's no wonder if you really love writing. Yes, it's about love.

    Sebenarnya, kalau mendalami betul-betul, banyak kaedah yang boleh digunakan untuk menulis ni. Untuk orang sibuk macam kita pun ada caranya. Antaranya KJ method ( boleh la google ). Ana hanya fokus kepada apa yang ana minat dan apa yang kita mahu jadi pada masa hadapan.

    Bila kita tumpu kepada kekuatan kita, ianya lebih baik berbanding asyik menyalahkan diri dengan kelemahan yang ada. Cari kekuatan dan tumpu pada kekuatan tu. Kekuatan itu boleh kita matlamatkan untuk Islam, supaya bermanfaat untuk ummah.

    Haha, orang kampung Nani la pulak. Saja ja terpikiaq boh Sg. Buloh tu sebab ada penjara kat sana. Hehe. Cerita dah terlalu lama terperam, lepaih tu publish ja la sebab rasa macam lama sangat tak update blog.

    Thanks :)

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter