3/15/12

Akal Dalam Kubur

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang




Dari ‘Aisyah R.A, "Aku tidak lihat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam selepas solat melainkan baginda meminta perlindungan daripada azab kubur”. 
(H.R Bukhari dan Muslim)

Selalukah kita ingat mati?

Pernahkah kita berimaginasi bagaimana keadaan kita ketika dalam kubur nanti?

"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati."
 (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya.)

Wajarlah orang yang cerdik ialah orang yang selalu ingat mati. Kerana dengan mengingati mati, hati kita jadi  terlalu sayu lalu rasa insaf menyergah!

Dengan ingat mati, kita jadi malu sendiri. Sedar kembali asal kejadian kita. Sedar kepada siapa kita akan kembali. Sedar kita tidak selama-lamanya hidup di dunia ini!

Pernah fikir, di mana jasad kita bakal dikebumikan nanti? Atau kita tak kisah semua itu? Sungguh, kita tak tahu semua itu. Sama ada di tempat yang mulia, atau hanya di longkangan lebuh raya dek hancur kemalangan!

Entah sempat, entah tidak kita mengucapkan kalimat 'La ilaaha illallah" sebagai akhir kalam hayat kita.

Tak tahu, memang tak tahu.

Berdoalah. Doalah. Moga segala-galanya terbaik daripada Allah Subhanallah Ta'ala.


اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

Lafaz : 'Allahummakhtim lana bi husnil khaatimah, wa la takhtim 'alaina bi suu il khaatimah'

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk)”




Satu artikel yang pernah menyentap jiwa kecil saya, ialah artikel karya Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, yang berbicara tentang alam kubur. Sungguh menakjubkan, sungguh menginsafkan!


*  *  *  *  *  *  *  *

Bagaimana Akal Kita Tatkala Di Dalam Kubur ?

Apa perasan kita jika berselubung di dalam selimut tebal di waktu tengahari? Cuba lakukan ia selama sepuluh minit sambil berbaring seperti sekujur tubuh yang telah mati. Tanpa kipas, penghawa dingin dan tingkap dan pintu di tutup rapat.

Siapakah yang mampu bertahan lebih dari 30 minit ?

Sudah tentu minda dan tubuh kita tidak mampu menanggung ketidakselesaan itu walaupun hanya untuk 10 minit. Saya pasti kerana saya pernah mencubanya. Panas dan berhaba.



Setiap kali saya fikirkan semula percubaan saya itu, saya terfikir keadaan di alam barzakh kelak..terutamanya di liang lahad yang sempit, tertutup, tanpa penghawa dingin, tilam, tingkap serta kipas itu.

Sewaktu kita berada di alam barzakh kelak, adakah pancaindera dan penilaian minda kita terhadap alam ini sama seperti sewaktu kehidupan biasa kita di dunia?

Apabila saya utarakan hal ini. Ramai yang menjawab : "Tidak" atau juga "tidak tahu"

Apa jawapannya sebenar ?

Suka saya membawakan sebuah hadis berikut :-

ان رَسُولَ اللَّهِ ذَكَرَ فَتَّانَ الْقُبُورِ فقال عُمَرُ أَتُرَدُّ علينا عُقُولُنَا يا رَسُولَ اللَّهِ فقال رسول اللَّهِ نعم كَهَيْئَتِكُمُ الْيَوْمَ

Ertinya : Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur.

Lalu Umar al-Khattab r.a bertanya : "Adakah akan dikembalikan kepada kita aqal-aqal kita (di dalam kubur kelak)?"

Nabi menjawab: Ya, (ia akan dikembalikan) sebagaimana keadaan kamu (sekarang) :

(Riwayat Ahmad, no 6603, 2/172 ; Ibn Hibban, 7/387 ; Majma Zawaid , 3/47 : Al-Haithami : Perawi Ahmad adalah Sohih kecuali terdapat Ibn Lahi'ah ; Syeikh Syuaib : Hasan Lighairi)


Bagaimana pula jika terpaksa menunggu di alam kubur ni sepanjang seribu tahun sebagaimana yang dikenakan kepada si Abu Jahal. !

Dalam keadaan status penilaian aqal kita sama seperti di waktu hidup, tetapi status keadaan tubuh dan keselesaannya adalah diletakkan di ruang liang lahad yang kecil, berselimut dek kain kapan dan ditimbus oleh tanah.

Namun, bagi mereka yang derhaka kepada Allah swt, disebutkan di dalam sebuah lagi hadis :-

إن للقبر ضغطه لو سلم أو نجا منها أحد لنجا سعد بن معاذ

Ertinya : "Sesungguhnya di dalam kubur itu terdapat himpitan, dan jika seorang itu mampu selamat darinya sudah tentu (salah seorangnya) adalah Sa'ad Bin Muadz ( seorang sahabat Nabi yang hebat )" ( Riwayat Ahmad, dengan sanad yang baik ; al-Mughni 'an hamlil asfar, no 4466, 2/1237 ; Ibn Hibban, Sohih, 7/379 ; Al-ahadith Al-Mukhtarah, Dhiya ad-Din al-Maqdisi, 5/200 ; Al-Maqdisi : Perawinya thiqat)

Ya, ruh terperangkap di dalam jasad di kuburan dan merasai azab himpitan dan lainnya yang amat berat lagi perit. Moga kita dijauhkan Allah swt dari keadaan ini.

Hanya amal soleh yang dapat memberikan keselesaan tatkala itu. Ye, benar, bagi yang bersedia, bersukar untuk mempelajari, mengamalkan, dan mengajarkan Islam kepada orang ramai dengan ikhlas dan tulus, mereka akan dikurniakan kenikmatan barzakh yang bermula dengan ruhnya diangkat dan dimasukkan ke dalam burung-burung berwarna hijau dan berterbangan serta menikmati makanan di pepohon syurga. Demikian sabdaan Nabi s.a.w yang mengatakan :-

إنما المؤمن طائر يعلق في شجر الجنة حتى يرجعه الله إلى جسده يوم يبعثه

Ertinya : Sesungguhnya ruh orang mukmin itu seperti burung (atau berada di dalam burung - bermakna tidalah kelihatan ruh manusia berterbangan), yang menikmati hidangan (dan berterbangan bebas) di pepohon Syurga sehinggalah dikembalikannya oleh Allah ke jasadnya di hari kebangkitannya. ( Riwayat Malik, Tirmidzi & Ibn Hibban : Hadis Sohih ; Ibn Hibban, Arnout, Syakir)

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


Muhammad Iqbal :

Sama-samalah kita ingatkan kembali pada diri kita. Sesungguhnya, manusia itu memang selalu lupa dan lalai. Memang selalu kena ingatkan :)



Wallahua'alam

Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


2 comments:

  1. mati, xkira umur xkira jantina.. Bila Allah panggil, maka pergilah kita mhadapNYA..
    Nice entry dr., jazakallahu khairan kathir.

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter