3/22/18

Tak Semua Benci Mesti Dibenci



Tidak semua benci itu buruk.
Ada benci yang baik.


Apabila kita ikut benci apa yang ALLAH dan Rasul benci, maka itu benci yang baik bahkan dituntut!


Benci yang buruk pula adalah benci semberono. Benci yang tidak adil. Pembentukannya didirikan dalam taqlid batil.


Kita tak tahu dan tidak alami sesuatu perkara atau tidak kenal secara dekat pun dengan seseorang itu, tetapi bila orang di sekeliling kita membencinya, kita ikut membenci. Orang sekeliling kita mencaci, kita ikut mencaci. Semuanya ikut-ikut.


Sa-orang yang mahukan kebenaran dan adil pada kebenaran dilarang bersikap begitu, sekali pun telah tertempek di dahi luas kita tanda ‘Saya Paling Benar’.


Sa-orang yang adil, dia akan mengambil masa mendengar, membaca, bertanya kepada pihak autoriti, berbincang dan mengalami. Dia tidak kalut-kalut melulu untuk menuduh dan melabel. Segala gerak menapis di jalankan dengan salutan ‘hati-hati’. 


Kemudian, apabila lengkap segalanya, dia memilih satu jawapan. Kuat meyakini jawapan dan kebenaran yang sudah digenggam, walaupun keputusan dalam genggamannya bukan keputusan yang populis. Tak akan berganjak walau diserang dengan caci dan benci.


Sifat sebegini sudah makin pudar dalam ritma ummat. Kita banyak menyokong dan percaya media populis kerana siang malam kita terkurung tanpa sedar dalam dunia media sosial.


Bak kata sahabatku yang mulia, “Hari ini kita lebih banyak baca Facebook berbanding al-Quran. Kesannya kita lebih percaya apa yang ada dalam Facebook berbanding al-Quran.”


Minda sedar menafikan tidak, minda bawah sedar memenangkan batil.


Demikianlah kuatnya kuasa media sepanjang zaman. Berubahlah semaju mana pun wasilah platform yang digunakan, kuasanya sama. Ia boleh buat yang benar dibenci dan yang batil disanjung tinggi.


Mari, mulai hari ini, sama-sama kita usaha, untuk panjangkan aqal fikir kita dalam berinteraksi dengan isu dan alam.


Benci yang buruk ini tak pernah buat dunia makin harmoni dan baik. Benci yang buruk ini hanya pandai berdiri untuk memburukkan. Benci yang buruk hanya untuk ummat yang buruk!


#ibnuDDin

______

Muhd Iqbal Samsudin 

1358, 210318

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter