6/8/17

Galau Hati



Hari itu antara hari yang amat sedih bagi hatiku.

Aku biarkan. Kerana kalau galau ini ditahan-tahan, nanti ia akan datang kembali. Itu bahkan akan jadi lebih teruk.

Jadi aku biarkan ia bersedih.

Sedih itu hingga buat seluruh badanku jadi lemah. Ah, entahlah mengapa sampai begitu, aku sendiri hairan.

Makan pun hanya cukup untuk mengisi hak di perut, cukup haknya, cukuplah sekadar tak berbunyi-bunyi.

Mandi mujurlah masih basah, belum lagi jadi keladi. Barakat makan nasi mandi barangkali.

Gerak badan aku tidak banyak, perancangan yang sebelum-sebelum ini banyak yang tertangguh.

Malam esoknya ALLAH menegurku sungguh-sungguh dengan ayat-ayat-Nya yang maha agung.

Bermula pada rakaat pertama solat isyak malam itu, imam Masjid Wehdah Islamiah memulakan bacaan Surah Taubah pada ayat 40.

Hingga pada ayat –

ِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


Aku tidak lagi mampu menahan sebak. Air mata mengalir laju tak terkira. Menitik-nitik membasahi jubahku.

Allah. Allah. Allah.

Seolah ALLAH sedang bercakap memujukku, "Jangan engkau sedih wahai hamba-Ku."

Dan apabila disambung pula pada ayat seterusnya pada ayat 41 –


انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ


Subhanallah, teguran ini buat aku makin kuat menangis. Aku biar tangisan ini mengalir laju, tidak sempat diseka-seka lagi.

Seolah ALLAH mahu aku yang lemah ini agar terus berjalan, dan kalau  tidak kuat berjalan bergerak seorang, bergeraklah dalam jamaah. Itulah yang lebih baik.


Lalu seusai tarawih malam itu, hatiku makin terubat, makin tenang dek penangan 'ubat' penenang maha ajaib daripada Tuhan.


Malam itu juga aku cuba melakukan gerakan pertama selepas beberapa ketika aku statik – terkandas.

Aku masih percaya, dalam mengobat sedih, perlu berjalan. Berjalanlah walau hanya ke tempat yang dekat-dekat, janji berjalan.

Dalam tremco menuju ke Hayyu 'Asyir, sekali lagi ALLAH menegurku melalui Surah Yusuf.

Terutama apabila tiba di ayat 87 ini –

 وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Allahu Allah.

Sekali lagi aku menangis teresak-esak, sekonyong-konyong seorang di dalam tremco ketika itu. Ketika orang Arab lain melihatku, aku alihkan pandangan ke arah tingkap agar tak terlihat.


Demikianlah ALLAH yang maha pengasih memujukku dengan ayat-ayat-Nya yang sungguh menakjubkan.

Terima kasih ya ALLAH. Aku malu padamu.

Demi ALLAH, inilah pengalaman ruhani terindah bersama ayat-ayat-Mu. 😭

Dengan nama-Mu ya ALLAH, aku kembali berjalan!

#PatahnyaSudahTerputus


_____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2333, 070617

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter