11/26/15

Dinamika Dinamit

[Cerita Dari Masjid] [Nota Jalanan]

Usai solat subuh. Udara terhad metropolitan Kaherah menusuk berlumba memasuki rongga hidung hingga sampai ke daerah paru-paru bagi membekal oksigen yang lebih berkualiti. Maklumlah, Kota Kaherah ini terkenal dengan indeks pencemaran udara yang paling teruk di dunia.

Syukur juga dapat tidur lebih awal semalam selepas lelah membaca satu buku travelog santai perihal ekonomi, akhirnya dapat bangun sedikit awal memerah keringat otak.
Ketika melangkah keluar, aku cuba ingat kembali surah apa yang dibaca imam dalam solat tadi. Ustaz-ustaz selalu cakap, kalau mahu uji solat yang telah dikerjakan lalai lewa atau penuh ruh khusyuk,  boleh cuba ingat kembali surah dan ayat mana yang dibaca oleh imam. Itu satu petanda baik yang kita fokus dalam solat.

Ya, tidak syak lagi, imam muda tadi membaca surah ad-Dukhan. Imam menyambung kisah Nabi Musa dan Fir'aun di muka surat kedua dan seterusnya perihal neraka dan syurga di muka surat ketiga. Permulaan surah pada muka surat pertama sudah dibaca dalam solat isyak semalam. Walaupun ada juga yang tersalah, namun makmum masyarakat arab di belakang kebanyakannya penghafaz al-Quran. Terus akan tegur jika ada kesilapan, tanpa ragu-ragu.

Entah mengapa, dalam perjalanan pulang di lorong kosong dilimpah zulumat itu, perut seakan merintis lama merungut kosong, mahu dirinya diisi, rentak borborygmus seraya memain lagu balada.

Melintasi gerai to'miah di lorong itu sepertinya telah membawaku ke daerah rindu pada keenakan dan kerangupan to'miah yang dicampur dengan pelbagai adunan lain. Jiwa marhaen Mesir sedikit sebanyak sudah merasuk jasadku.


image
Gerai kecil biasa yang menjual to'miah. [Lokasi : Darrasah]

Aku seluk poket, 'Alhamdulillah, ada sepuluh genih!'

Gembira tidak terkata. Musim-musim 'puasa-belanja' ini memang sukar untuk ada duit dalam poket, takut-takut 'terbeli' macam-macam, makan apa saja makanan yang berada di rumah,  jimat! Kenal nasib diri bukan macam insan lain.

Bau fuul, to'miah dan shakshukah benar-benar merangsang cerbral cortex, setelah membayangkan keenakan sandawich Dinamit. Tanpa ragu rangsangan itu menyelinap masuk salivary center dalam medulla, dan terus ke saraf autonomik dan kelenjar salivary. Natijahnya, terliur-liur aku membayang kelazatan dinamit. Borborygmus dari perut makin meliar meluah rasa.

'Ah, ini tak boleh jadi ni, kena pergi jugak ke kedai to'miah yang sedap tu...' Jerit batinku dengan nada dengus.

Pernah aku beli beli Dinamit di gerai lorong itu, tetapi rasanya tidak seenak di kedai yang selalu aku beli. Bahkan, aku memang kurang yakin dengan kebersihannya. Dengan pekerjanya yang kurang bersih dan dijual pula di tempat yang agak kotor.

Lalu, aku terus melangkah ke kedai to'miah kegemaran komuniti Melayu di sini. Aku lihat seorang pak cik tua yang sering menyantuni warga Malaysia dengan baik itu, setia menunggu di kaunter. Barangkali dua juga baru lepas solat subuh. Tepat pada waktunya, tak perlu bersesak-sesak dengan pembeli-pembeli arab yang lain.

Aku terus berjalan menuju ke dalam kedai, setelah memberi salam kepada pak cik tersebut. Nampak dia sedang sibuk di kaunter. Dalam kedai pula, seorang pemuda ceria sedang memotong 'aish(roti arab) jenis shami sebagai persediaan untuk dibuat sandwich nanti. Aku kenal dia, namanya Ramadhan, persis nama bawab rumahku yang dulu.

Lantas, dia memulakan bicara, "Kau pelajar Universiti Ain Shams kan?"

Aku jawab, "Ya...".

Dia terus menyambung soalan, "Hari ini dengarnya akan ada muzaharot(demonstrasi) besar-besaran, betul ke?"

Soalan begini aku sudah biasa, lalu aku sudahkan dengan jawapan biasa bercampur realiti semasa, "Aku tak tahu ada atau tidak hari ini, sebelum ini ada, tapi tak besar sangat pun, kecil-kecil saja..."

Soal muzaharot tersebut terhenti apabila pak cik di kaunter bayaran tadi masuk ke 'gelanggang' persediaan makanan dan berkata, "Eh, yang itu bukan kuliah Tibb(perubatan), itu semua berlaku di kuliah-kuliah Ain Shams yang lain."

Tanpa berlengah, terus aku pesan satu Dinamit kepada pak cik itu. Persoalan politik Mesir ini tak boleh dibicara banyak, terlalu sensitif. Dia tidak bertanya banyak, dia terus buat berdasarkan pengalamannya yang sudah dikira masak dengan selera warga Malaysia di sini.

Dinamit jarang-jarang dibeli oleh marhaen Mesir oleh kerana harganya yang agak mahal, sekitar LE3.00 ke LE3.50. Namun, aku sudah gemarkannya sejak di awal perkenalan aku dengan makanan Mesir. Ustaz-ustazlah insan yang bertanggungjawab memperkenalkan dan memasyhurkan dalam kalangan kami.

Ianya mahal kerana inti isinya diisi dengan segala macam rasa. Ada to'miah, telur, fuul, shakshukah, jejari kentang, mashed potato, potato chip, terung goreng pedas. Penuh!
Tambah-tambah, kalau diisi dalam 'aish baladi, maka bertambah banyak dan kenyanglah jadinya. Namun, atas faktor kebersihan, aku lebih gemar makan menggunakaan a'ish shami. Lebih bersih walau kecil sedikit.

image
Dinamit yang telah dimakan sedikit. Tak tahan lapar.


'Aish baladi saiznya lebih besar, murah dan dimakan kebanyakan warga Mesir, bahkan 'aish subsidi kerajaan juga menggunakan 'aish jenis ini untuk diberikan kepada rakyat. Manakala, 'aish shami pula lebih lembut, bersih dan mahal, walaupun saiznya lebih kecil.

Dinamakan 'aish pula katanya kerana 'aish itu sendiri bermaksud 'hidup', dan masyarakat warga Mesir memang makan apa sahaja menggunakan 'aish ini untuk meneruskan kehidupan.  Ringkas kata, jika di Malaysia makanan ruji kita nasi, maka di Mesir makanan ruji mereka ialah 'aish.

Pagi-pagi begini seronok pemandangan di kedai to'miah ini. Bau-bau makanannya mampu menggodam minda. Semuanya segar bugar baru dimasak dan keadaan kedai belum sibuk. Setelah bilah-bilah cahaya mentari menujah cahayanya ke tanah, mulalah arena sibuk di kedai ini.

Walaupun to'miah dan makanan-makanan warga Mesir yang lain berlambak-lambak, namun tidak ramai Melayu yang suka makan. Kebanyakan warga Malaysia yang menjadikan makanan arab seperti ini sebagai pilihan ialah pelajar-pelajar yang status kewangannya kurang dan perlu memilih makanan murah, sebagai langkah penjimatan.

Teringat aku semasa di kursus persediaan bahasa arab sebelum datang ke Mesir, ada satu video yang telah ditayangkan kepada kami.

Video itu bukanlah video baru, tapi video itu jelas memberikan kesan yang lebih mendalam ketika menonton pada saat itu, kerana ketika itu lagi beberapa bulan sahaja kami akan bertolak belajar di Mesir.

Video tersebut memaparkan seorang marhaen Mesir yang fasih bercakap bahasa Melayu longat Kelantan, atau dalam bahasa mudahnya, 'kecek kelate'. Beliau juga mengaku beliau sudah menggemari budu.

Satu kata-katanya, yang masih saya ingat ialah beliau nyatakan bahawa orang Melayu di Mesir, kurang gemar makan makanan masyarakat arab Mesir. Maka jadinya bagaimana mahu fasih berbahasa arab dengan lahjah bahasa yang betul?

Kata-kata itu aku renung hingga hari ini.

Aku ingat juga kata guru al-Quran aku di sekolah dahulu, Ustaz Abdul Talib, kalau mahu ikut cara bacaan al-Quran yang tepat, perlu lihat betul-betul mulut guru yang mengajar, ikut dan latih. Barulah dapat amalkan bacaan dengan betul.

Dinamit itu aku bawa balik ke rumah. Tambah padu 'meletup-letup' rasanya apabila ditambah sos cili.

'Alhamdulillah... Syukur.'

Moga-moga dengan makanan apa sekali pun, ianya tidak sekadar memberatkan perut dan menjadikan kita malas melakukan ketaatan kepada-Nya dan banyak pula kelaratan berbuat dosa durjana.


image
Sandawich To'miah atau nama lainnya Falafel. [Credit to Google]


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
2105
141114

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter