11/22/15

Cerpen : Tapi Mengapa, Ibu? (Bahagian 1)

[Cerpen]

Pada setiap kali diminta untuk memperkenalkan diri ketika zaman saya belajar di sekolah dahulu, selalunya saya hanya akan memperkenalkan diri saya dengan nama “Akram”.

Tetapi, setelah menjadi lebih dewasa, semakin banyak ilmu yang saya pelajari. Sudah semestinya, segala apa yang telah kita pelajari  berpotensi besar, untuk benar-benar memberi kesan dalam diri kita. Cuma, itu semua kehendak kita, antara ‘mahu’ atau ‘tidak mahu’ sahaja. Jika ilmu itu bermanfaat untuk diri, mengapa pula ianya tidak diamalkan?


Yang Saya Sayang.

Muhammad Akram. Itu nama saya yang sebenar. Saya benar-benar bersyukur atas nama itu. Dengan panggilan nama itu, secara tidak langsung orang lain mendoakan saya. Ya, nama bukan sekadar nama, ia juga doa buat kita.

Namun, bukan itu sahaja yang mahu dibicara. Lebih penting daripada itu, ialah nama awal saya itu, “Muhammad“. Mungkin kita tidak ada rasa apa-apa dengan nama itu. Manakan tidak, nama itu sememangnya telah dinobatkan sebagai  nama manusia paling banyak sekali di bumi Tuhan ini. Ianya kini dilihat hanya sebagai ‘common name’, seolah tiada lagi keistimewaan lain melainkan hanya untuk melambang bahawa jika ada nama “Muhammad” itu maka secara automatiknya anak itu anak orang Islam atau Melayu, tidak lebih dari itu.
Kini, saya memandangnya lebih daripada itu.

Sungguh, kini saya sedari. Nama itu punya kepentingan dan keunikan tersendiri. Duhulunya  saya lihat dan bacanya, hanya sekadar nama, tidak lebih daripada itu. Kini, membacanya, membuatkan saya bertambah rasa chenta dan rindu dengan pemilik asal nama itu, Baginda Rasululllahi sallallahu ‘alaihi wasallam. Sungguh, itulah yang saya rasakan. Aliran rasa rindu dan sayang yang tidak dapat diungkapkan dengan aksara yang terbatas ini. Baginda, seorang makhluk yang paling dikasihi Allah Subhanallah Ta’ala.

Jadi, dengan itu, saya berasa amat beruntung punya nama ‘Muhammad’ di hadapan nama saya. Boleh jadi dan harap-harap, apabila orang lain membaca nama saya atau mendengar nama saya, orang lain juga mampu mengingati dan merindukan Kekasih Allah itu. Betapa mulianya Baginda.

Sejak saya sedar perkara itu, tiada dan tanpa rasa malas dan segan silunya, pada setiap kali saya memperkenalkan diri hina ini, saya akan sebut dengan bangganya nama saya, "Muhammad Akram".

Tiada lagi rasa malas untuk menyebut nama ‘Muhammad’ itu, bahkan itulah nama seorang  yang saya sayang, selepas Allah Subhanallah Ta'ala.



Biar Biasa.

Hidup saya hidup seorang yang tidak terlalu bergantung pada orang lain. Saya banyak berdiri sendiri, atas kaki saya dengan gah, sejak kecil. Bukan kerana ibu ayah saya tidak bertanggungjawab terhadap saya, tetapi oleh sebab mereka bertanggungjawablah mereka didik saya segitu rupa. Mereka mahu anak mereka ini, tidak mejadi orang yang biasa-biasa, biar saya biasa berjasa dan bermanfaat buat ummah.

Saya pernah dengar ayah bercakap dengan ibu, ketika itu mereka berdua duduk berdua di meja makan, bersarapan seperti biasa, secangkir kopi O kampung dicecah dengan biskut kering, sebelum ayah pergi ke kebun getah milik Cikgu Din untuk menoreh.

Dalam senyap, saya dengar perbualan mereka di celahan dinding kayu. Satu kata-kata ayah, yang saya tidak pernah terlupa hingga sekarang, “Sal, biar kita jadi orang biasa-biasa, makan yang biasa-biasa, kerja biasa-biasa. Tapi, yang penting, anak kita. Dia harapan kita. Biar dia jadi jauh dari kebiasaan. Jadi insan luar biasa, yang biasakan dirinya untuk jadi bermanfaat buat ummah.

Walaupun ketika itu, perkataan ‘ummah’ itu sendiri tidak saya tahu apa maksudnya, namun tetap juga saya ingat kata-kata ayah itu dan hingga kini,dan  saya sedar pentingnya saya untuk ummah ini.



Berpisah.

Kisah saya bersama keluarga, agak pilu dan memedihkan. Lepas sahaja habis di sekolah TADIKA, ayah bersepakat dengan ibu menghantar saya ke sekolah tahfiz. Harapan ayah bukan harapan kosong, harapannya untuk cerahkan masa depan saya dan ibu ayah sendiri, tidak sekali-kali dan bukanlah mahu menyeksa saya dan naluri ibu saya.

Saya masih ingat, ibu pada waktu itu, kelihatan agak kurang bersetuju dengan keputusan ayah.

Mana tidaknya, saya merupakan satu-satunya anak mereka. Baru enam tahun bermanja mesra, sudah perlu berjauhan, dihantar ke asrama sekolah tahfiz. Begitulah naluri seorang ibu, tidak sanggup berjauhan dengan anak tercinta.

Namun, apabila ayah menyuarakan perihal ‘pengorbanan’, ibu senyap menyepi. Berfikir panjang barang kali. Saat itu saya nampak butir-butir air jernih keluar dari mata ibu.
Saya hanya melihat, tidak tahu apa-apa. Mahu tidak mahu, ibu harus berpisah dengan saya. Saya akur mengikut apa sahaja yang telah diatur. Ibu redha, namun dihatinya bersulam hujan kesedihan. Saya tahu, kerana saya juga rasa apa yang ibu rasa.



Hangat Dakapan Ibu Ayah.

Di mata ibu, walau sebesar mana pun diri saya, di matanya saya masih bayi kecilnya.
Sejak melangkah ke sekolah rendah lagi, saya sudah berjauhan dengan ibu ayah. Itu yang ibu ayah ajarkan. Walau hanya saya anak mereka, mereka tidak mahu saya ini dimanja-manjakan.

"Belajar baik-baik Akram. Sentiasa buat yang terbaik. Ayah doakan moga Allah kurniakan kekuatan dan ketabahan untukmu. Moga mudah al-Quran lekat di hati dan seterusnya melekat pada amal buatmu."

Ayah tidak pernah menangis di hadapan saya. Tetapi, di belakang, ibu pernah bercerita yang ayah kadang-kala, menitis juga air matanya. Ibu kata, itulah air mata sayang dan kerinduannya pada saya.

Walau dengan air mata itu nampak seakan lemah, tetapi hakikatnya dengan air mata itulah saya banyak mengumpul segala kekuatan.

Pada setiap kali bersalaman dan lambaian tangan saya buat ibu, saya perasan, sebelah tangan ibu akan menutupi mulut dan hidungnya menahan sebak. Saya masih ingat saat-saat itu.

Begitulah episod mula hidup saya dengan ilmu, penuh duka pengorbanan.

Pada kehangatan dakapan ibu ayahlah, yang membuatkan aku terus berganjak ke hadapan, pada redha merekalah juga, beri inspirasi untuk mencapai ilmu di segenap jalan.




Terus berjauhan.

Ketika di sekolah menengah, saya turut berjauhan dengan keluarga. Untuk menjaga diri saya ini, ayah menghantar pula saya ke sekolah tahfiz yang punya pendidikan sains. Namun kali ini bukan biasa-biasa jauhnya, terus terpisah jauh di sebuah kepulauan nan indah. Di pulau itu, kerajaan pada masa itu binakan sebuah maahad tahfiz sains. Jauh dari riuk pikuk kota. Air laut yang jernih, benar-benar membuat saya teruja. Warna-warni hidupan laut cukup untuk menenangkan jiwa dan menghayati ciptaan indah ini. Pulau yang begitu nyaman dan masih belum ternoda itu, dipilih bagi memudahkan segala proses tarbiah dan pembelajaran yang di tetapkan pihak sekolah.

Sudah semestinya, tika itu ibu makin bertambah rindu pada saya. Sungguh sakit dan pedih. Itulah yang saya bayangkan apa yang ibu rasa.

Alhamdulillah, berkat doa ibu dan ayah, saya sentiasa menjadi yang terbaik dalam semua bidang yang saya ceburi. Tanpa doa mereka, saya fikir belum tentu kejayaan yang sebegitu banyak ini dapat saya dapat. Betapa berkatnya doa ibu dan ayah. Saya langsung tidak pernah memandang perkara itu sebagai perkara kecil. Buatlah apa sekali pun, biarlah mereka redha dan gembira. Itu antara prioriti saya.

Seterusnya, saya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Saya bersyukur, minat saya untuk mendalami bidang penerbangan, direstui ibu ayah saya. Ayah ketika itu pun sangat gembira. Katanya,"Ayah memang berhajat mahu melihat kamu menjadi seorang juruterbang. Tetapi bukan sekadar seorang juruterbang biasa, ayah mahu yang bertaqwa, itulah yang paling penting bagi ayah. Dan kini, Allah makbulkan doa ayah dan ibu untuk kamu jadi juruterbang.” Saya berasa sangat lega saat melihat reaksi mereka.

Selepas setahun saya di luar negara, ayah sakit tenat, lalu meninggal dunia tidak lama selepas itu. Saya sangat sedih ketika itu, memikirkan keluarga. Mahu balik, malangnya duit saya ketika itu hanya cukup untuk  saya makan sahaja. Secara tiba-tiba, Allah uji kewangan saya pada waktu itu. Saya redha. Saya tidak dapat pulang untuk melihat buat kali terakhir wajah seorang yang aku sangat kasihi,yang disebut-sebut dalam setiap doa. Sangat sedih, hampir seminggu saya terperap dalam bilik,bagaikan hilang segala-galanya.

Saat itu, datang seorang sahabat saya. Dia lalu membisikkan sesuatu di cuping telinga saya sesuatu yang tidak mungkin saya lupakan hingga saat ini.

“Ingat Akram, kamu masih punya seorang ibu. Kamu masih boleh terus berbakti kepadanya. Tengok diri aku, aku hanya mampu mengirim doa buat ibu bapaku, mereka telah lama pergi meninggalkan aku. Kamu masih beruntung duhai sahabat. Ibu kamu itu, syurgamu.”

Pesannya bagaikan ada gam cap gajah yang mampu melekat di sudut otak saya untuk saya simpan sebagai memori jangka masa panjang.

Dan pada waktu itu juga, saya mula teringat segala pesanan-pesanan ayah. Bertalu-talu datang tanpa dipinta. Terngiang-ngiang. Hati terus syahdu, mengenang satu kalam ayah.

“ Kamu ingat, kamu di sana nanti, walau apa terjadi kepada kami di sini, semua itu aturan Allah. Kita berjalan atas jalan aturannya. Apa sahaja terjadi, kita perlu redha. Menandakan kita tidak membantah segala taqdir yang telah ditentukan-Nya. Yang pergi, perlu pergi, tidak boleh tunggu walau sesaat. Yang bernyawa perlu terus berjuang meneruskan hidup. Hidup yang bermanfaat buat orang lain.”

Mengingatkan perkara itu, hati saya basah kembali. Kembali tenang.



Bersambung...

NOTA 1 : Cerpen ini sudah diperkemas dan sudah disambung dalam buku kedua saya, buku Dia Bukan Malaikat. Tajuk yang digunakan masih sama. Kalian baca di sana ya!

NOTA 2 : Saya me.nang.is sebak ketika menyudahkan cerpen ini.

Muhd Iqbal Samsudin
1318
180814

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter