12/31/12

Cerpen : Dia Mahu Senyum

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


[Cerpen]


Halim, lelaki kampung, keras fizikalnya.

Apabila ditanya kepada Pak Cik Soleh, jiran sebelah rumah sewa kami, " Saya sudah senyum banyak kali, tapi hingga kini, dia masih belum senyum kepada saya."

Kata Mak Cik Zainab penjaga kaunter pembayaran kafeteria, " Kalau dia mahu bayar duit, tidak pernah langsung senyum. Letih Mak Cik senyum banyak kali."

Mak Senah tukang sapu dewan kuliah juga pernah bertanya kepada saya, " Eh, Halim itu kawan engkau? Kenapa muka dia bengis sangat, tidak pernah senyum langsung. Harap muka saja kacak..."

Ketika saya bersalaman dengan bilal masjid berdekatan rumah saya, soalan tentang Halim juga ditanya, " Mahal betul senyuman kawan awak itu, sudah hampir setahun berjemaah di sini, mukanya asyik tegang sahaja..."

Bahkan, pertama kali ketika saya berjumpa dengannya kira-kira tiga tahun yang lalu, hati saya sendiri tertanya-tanya, ' Kenapalah agaknya, dia ini jarang betul tersenyum, bukannya susah pun.'

*  *  *

Sahabat kontra.

Setahun lalu, kami mula bersama. Kami berenam, tinggal dalam rumah sewa yang sama. Berdekatan dengan universiti, untuk memudahkan segala urusan setelah tidak dibenarkan tinggal di asrama lagi.

Di takdirkan, setelah undian dibuat, Halim tinggal sebilik dengan Luthfi.

Saya ragu-ragu, lalu saya tanya Halim, " Engkau boleh tinggal dengan Luthfi?"

Tiba-tiba, Luthfi pula yang menjawab, sambil sebelah tangannya memeluk Halim, " Insya-Allah, boleh saja, aku yakin. Kita semua dah macam saudara, takkan mahu bergaduh..."

Halim, seperti biasa, senyap, tidak senyum.

Saya garu kepala, mereka jelas-jelas berbeza. Seorang periang, ramah dan suka senyum dan seorang lagi senyap, pendiam dan ketandusan senyuman.

Nah, terlalu kontra!

' Ah, bagaimana ini boleh berlaku?'


*  *  *

Suara Emas.

Suasana senyap. Masing-masing mengadap buku. Hanya bunyi kopakan helaian kertas sahaja yang mencelah. Bunyi kipas berdiri cap Toshiba yang dibeli setahun yang lalu juga, turut membantu membawa suasana belajar bilik Halim dan Luthfi.

Sambil menutup buku, Halim memecah kesunyian, " Subhanallah, sudah setahun lebih kita tinggal di rumah sewa ini. Sekejap saja rasanya. Belajar, belajar, belajar, nanti sudah boleh kerja..."

Luthfi senyap. Hairan. Terus bermonolog, ' Selama ini, aku bercakap seorang saja dalam bilik ini, tiada siapa mahu membalas pertanyaan aku. Kiamat sudah dekatkah?'

Sambil menggaru tepi kepalanya, Lutfi membalas pendek, " Oh ya, sudah lama kita tinggal di sini. Setahun dua lagi, sudah boleh kerja, insya-Allah..."

Tiba-tiba suara emas Halim berbunyi lagi, " Hampir setahun lebih aku tidak pulang ke Malaysia. Engkau tahu, aku rindu betul dengan keluargaku. Tambah-tambah ibu aku. Aku paling rapat dengan dia, dia insan yang paling memahami diri aku, sayangnya diri aku kepadanya, terletak selepas Allah dan Rasulullah yang aku cintai..."

Berkelip-kelip mata Luthfi, hatinya lantas mengomel, ' Boleh tahan juga dia ini berkata-kata. Wah!'

Halim menyambung, " Semasa aku kecil, aku selalu dipukul oleh ayah aku. Ya, aku tahu aku salah. Tetapi, kesalahan aku semuanya kecil-kecil, namun terus dibedal, ditampar, dirotan dan dihujam kepala ke lantai tanpa bertanya mengapa aku buat begitu, tidak diberi kebebasan memberi alasan. Aku hidup dalam keadaan dengan penuh kemarahan. Salah sedikit, tanpa cakap banyak, terus kena. Letih sungguh aku waktu itu. Semua itu, masih belum luput di fikiran aku. Susah jika mahu melupakan semua itu."

Luthfi mencelah, " Tidak elok engkau dedahkan keburukan keluarga engkau kepada aku. Itu rahsia keluarga engkau, aku tidak perlu tahu."

Halim dengan muka tegang, terus tersenyum sumbing, " Fahamilah Luthfi. Mahu bercakap dengan orang pun aku susah. Apatah lagi mahu ceritakan perihal keluarga aku kepada orang. Apabila aku ceritakan kepada engkau perkara ini, ia bermakna, engkau adalah orang yang aku percaya. Faham?"

Terdiam Luthfi, dia mengangguk-angguk.

" Suatu ketika dahulu, aku pernah bercerita masalah aku kepada kaunselor di sekolah aku, dia cakap dia boleh simpan rahsia, namun selepas itu, dia bocorkan kepada guru-guru lain. Akhirnya, aku sering diperli guru-guru aku yang lain. Masa itu, memang aku sedih, tertekan. Selepas itu, aku sukar lagi untuk percaya kepada orang lain. Tambah-tambah kaunselor-kaunselor yang mengaku dirinya boleh dipercayai! "

" Ok, sekarang aku faham. " Luthfi bersuara.

Tidak menunggu lama, Halim menyambung kembali." Aku hidup dalam keadaan penuh kemarahan suatu ketika dahulu. Keadaan itu, banyak memberi kesan kepada aku hari ini. Aku hanya diam, jika membantah, pasti dipukul. Mesti menunduk, jika meninggikan kepala, dikatakan melawan. Akhirnya, jadilah aku sebegini rupa. Mujurlah ada ibu aku. Dialah yang telah banyak lindungi diri aku. Banyak yang dia faham perihal diri dan hatiku. Aku betul-betul sayangkan dia."

" Tapi, ayah engkau itu tetap ayah engkau. Engkau tidak boleh abaikan dia." Luthfi kembali mencelah.

Pantas Halim menjawab, " Ya, itu aku tahu. Dia ayah aku, satu-satunya ayah aku. Masih hidup lagi pun, belum mati. Sebelum aku ke sini dahulu, dia telah pun minta maaf kepada aku atas segala kesilapan dan sifat barannya yang dahulu. Aku pun tidaklah sekejam mana, aku pun masih sayangkan dia. Dia masih ayahku. Jika ayah kita seorang kafir pun, kita dituntut menghormati dan menyayanginya, apatah lagi ayah aku yang sudah tahu itu salahnya dan telah meminta maaf kepada aku."

Sambungnya lagi, "Bukan aku tidak mahu senyum, tetapi aku selalu gagal. Hati aku tiada taman, apatah lagi bunga-bunganya. Ketika aku bercakap biasa, orang cakap aku marah. Padahal, mimik muka aku memang sebegitu. Nampak bengis. Mahu cuba senyum, keras betul bibir aku. Memang rasa ketandusan sungguh bibir aku ini. Itulah kesan kehidupan aku yang dahulu, hingga kini kesannya. Kesan kehidupan dalam keluarga itu lebih memberi kesan dan sukar untuk diubah. Pada engkau, mungkin senyum itu mudah. Tapi, bagi aku payah. Tidak semua perkara yang kita anggap mudah, ianya mudah di sisi semua orang."

Terdiam suasana sebentar. Luthfi kelihatan seperti sedang berfikir.

Sambil tersenyum-senyum, Luthfi membalas, " Alhamdulillah, sekarang aku sedar. Aku silap. Dalam senyap, aku berprasangka buruk terhadap orang lain. Astaghfirullah. Semua orang datang dari latar belakang yang berbeza-beza, dengan mengetahui latar belakang keluarga, kita dapat menyelami setiap perbezaan di antara kita semua.Tapi, aku harap engkau tidak terus berputus asa. Teruskan berusaha. Insya-Allah, Allah kira setiap usaha kita, walaupun gagal."

Hati Luthfi terus berdoa, ' Ya Allah, dia mahu senyum, permudahkanlah dia...'

it's sunnah!




"Tidak semua orang sama, ada yang berbeza. Apabila, perbezaan itu tidak merosakkan, maka raikanlah."

"Letih menyebar senyuman? Senyuman yang ikhlas, senyuman yang tidak meletihkan. Namun, 'fake smile', ternyata letih!"


" Bibir yang ketandusan senyuman, sukar didekati.

Senyum, walau susah.

Senyum, walau dalam hati tiada taman.

Senyum, kerana chenta segala sunnah Rasulullah. "



^_^



Wallahua'lam.



Muhammad Iqbal
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
30.12.2012
7:04 p.m






2 comments:

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter