2/16/18

Emosi dan Egois




Telah aku temukan, ramai insan yang bijak-bijak, rajin-rajin dan berilmu, bahkan ada antara mereka yang rapat dengan ulama'.

Namun apabila bergaulnya mereka dalam masyarakat yang berbeza-beza pegangan dan darjat pendidikan, mereka kalah. Ilmu dan kebijaksanaan mereka tidak dapat membantu mereka untuk 'masuk' dalam lingkungan perbezaan. Perbezaan yang sepatutnya diraikan dan dihormati, akhirnya menjadi tragedi pergaduhan.

Khabarkan padaku duhai teman, apabila insan-insan bijak dan punya ilmu ini terlibat dalam permusuhan dan persengketaan, pada siapa lagi kita boleh harapkan?

Ilmu-ilmu segudang banyak dan kepintaran setinggi mentari akhirnya tewas hanya kerana EGOIS dan EMOSI. Dengan ditambah talbis sang iblis, ilmu-ilmu di dada 'dibiliskan', kepintaran di otak di bekukan.

Sudahnya jadi sama dengan insan lain yang tidak punya ilmu dan tidak punya pintar.

Walhal ALLAH menyebutkan yang berilmu pasti tidak sama dengan yang tidak berilmu, yang celik tak sama dengan yang buta.

Duhai diriku dan teman sekalian, kita tidak punya masa untuk bergaduh balah dalam keadaan kondisi umat kian membarah.

Jangan kita lupa nilai-nilai insani yang perlu dihormati.

Jangan kita tewas dengan EGOIS dan EMOSI lagi.

Sesaat kita berbalah dan berpecah, sudah menjadi kerugian besar buat segenap dunia dan membuka ruang pada pihak yang jahat untuk merosakkan agama kita.

Kita kuat kerana kita tidak berseorangan. Kita ada 'kita'.

Tamadun yang hebat tak akan bangkit dari tidurnya jika yang hebat hanya sebatang tubuh.

Tetapi jikalau jiwa-jiwa yang mengisi tamadun itu hebat dan besar, kemudian bersatu hati, tamadun yang gilang gemilang akan bingkas bangun membangunkan dan memakmurkan dunia ini dengan penuh keagungan rahmat.



______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1944, 150218

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter