10/25/16

Gerabak Ayam

[Cerita Dari Jalanan]

Benarlah, berseorangan itu penat.

Dari Kaherah, aku bergerak ke Kota Iskandariah berseorangan, untuk lakukan pembedahan kecil yang dilakukan pada kedua-dua belah kornea mataku; LASIK.

Laser-assisted in situ keratomileusis atau LASIK ini merupakan satu pembedahan mata yang menggunakan laser, yang berupaya membetulkan semula myopia(rabun dekat), hyperopia(rabun jauh) dan astigmatism(silau). Selepas semua defective ini dapat dibetulkan semula, maka bebaslah kita dari cengkaman kaca mata. Bagi seorang yang aktif bersukan dan aktiviti lasak, maka ini ialah satu nikmat besar!

Oleh kerana itulah, setelah kaca mata aku pecah semasa perlawanan futsal antara batch dahulu, aku terus bertekad untuk lakukan LASIK, kerana mengikut kira-kira aku, ianya lebih menguntungkan. Iyalah, cuba bayangkan, kalau setiap kali pecah atau rosak kaca mata perlu diperbaiki atau ditukar, sudah berapa kos semua itu, boleh tahan mahal juga.

Memandangkan kos buat LASIK di Mesir ini tidak terlalu mahal seperti di Malaysia, maka aku membulat tekad bertegak azam untuk buat juga LASIK. Walaupun final exam ketika itu sudah agak di hujung tanduk, aku tetap teruskan,

Selepas kerja-kerja membandingkan harga sudah dibuat, aku memilih untuk buat LASIK di bumi Iskandariah, memandangkan kos di sana jauh lebih murah berbanding di Kaherah.

Dengan tekad itulah aku bergerak. Tidak kisah jika tiada yang dapat menemani aku, dan aku pun tak sanggup mahu menyusahkan orang lain pada musim peperiksaan yang makin dekat. Aku memahami situasi ini, tatkala peperiksaan mendekat, semuanya seakan bertukar menjadi narsisistik, kadangkala aku juga terikut menjadi begitu.

Jarak dari Kaherah ke Kota Iskandariah sekitar 200km, kutempuh berseorangan. Pada sebelah pulang kutempuh lagi 200km, menjadikan jumlah perjalanan aku lebih kurang 400km totalnya. Aku bertabah.

Ini bukan kali pertama aku berseorangan ke kota ini, sudah kali kedua kalau tidak silap ingatan aku. Jadual kehidupan kita, tidak akan mampu mengubah jadual hidup orang lain, tambah-tambah pada musim peperiksaan. Aku pula, apabila sudah membulat tekad, aku tidak kira apa sahaja di hadapan, aku tempuh, yang penting aku berjaya.

Tak mengapa semua itu, biar berseorangan, aku harus kuat, aku perlu memandang hadapan dan terus berjalan.

Seperti biasa, teman akrab yang terus menerus menemaniku, walau tidak bernyawa, nyata ianya sebuah buku. Ke mana-mana pasti bersama; teman paling setia.

Setibanya di sana, mujurlah ada sahabat karib aku di kota persisiran pantai ini, dalam kesibukan mereka masih mampu melayan tetamu persis aku. Dalam bab melayan tetamu, aku banyak belajar daripada mereka. Sahabat-sahabat ini, siapa pun mereka, kurniaan nikmat besar daripada Tuhan buatku, harus sentiasa menghargai mereka.

Ahyad, Ahmad Naufal, seandainya kalian baca tulisan ini, aku amat berterima kasih pada kalian. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan kebaikan yang lebih besar.


*   *   *

Di sebelah pulang, kali ini aku memilih pilihan yang langka, iaitu menaiki tren ayam.

Tren ini dipanggil tren ayam, kerana kebanyakan marhaen Mesir apabila mereka menaiki tren ini, mereka akan bawa sekali bersama mereka haiwan ternakan mereka, dengan berbagai-bagai tujuan. Ada yang mahu dijual di bandar lain, ada yang mahu dibawa ke rumah saudara-mara, ada yang ternak di tempat lain,dan bermacam-macam lagi.

Sudah semacam bahtera Nabi Nuh jadinya. Menguntum senyum keseorangan.

Bukan apa aku memilih tren ini. Pertama, kerana saat aku meraba-raba kocek seluarku, aku tersedar yang aku sebenarnya sudah pokai. Masakan tidak, sudah berapa ribu genih aku habiskan untuk bayar kos pembedahan LASIK itu. Tren ayam ini murah saja tiketnya, tak sampai pun lima genih, perbezaan yang amat ketara jika mahu dibandingkan dengan tren kelas dua atau kelas pertama. Kedua, kerana aku benar-benar ingin melihat sendiri suasana keadaan tren ini. Keinginan dala diri aku amat tinggi untuk merasai sendiri pengalaman berbeza ini, pasti menarik untuk ditambah pengalaman di bumi Kinanah ini, tidaklah asyik merasa naik yang mewah-mewah saja.

Usai sahaja membeli tiket, terus aku berjalan di sisi tren. Tak tahu gerabak mana satu, aku pastikan dengan bertanya pegawai di situ, dan aku pun naiklah gerabak yang aku sendiri tidak pasti apa yang ada di dalamnya. Ada sahabat-sahabatku mengatakan tren ayam ini berbau hancing dan amat sesak, namun aku tak kisah, aku tetap naik.

Setelah menapak kaki di dalam gerabak, rupanya tidaklah buruk seperti yang dicerita, atau mungkin nasib aku baik dapat gerabak yang baik. Tidak terlalu sesak, tiada binatang-binatang bawaan yang pelik-pelik. Semuanya damai, cuma fasilitinya sahajalah yang berbeza; hanya sekadarnya saja, seperti yang dijangka.

Ya, aku sekonyong-konyong sa-orang Melayu dalam gerabak tren ayam ini.

Bersebelahan dan berhadapan aku dua orang pemuda asli Mesir, aslinya mereka ini hingga negara yang bernama Malaysia pun mereka tidak pernah kenal. Itu tidak menjadi kehairanan, kerana tentera yang buta huruf masih ramai di Mesir ini.

Tetapi, perbualan sesama kami mudah, mereka memahami aku, aku memahami mereka.

Kedua-dua mereka bernama Mustafa, dan kedua-dua mereka berumur dua-dua; lebih muda daripadaku.

Si baju merah menjerit kepada si baju hijau "Mustafa!", si baju hijau pun menjerit kepada si baju merah, " Mustafa!". Begitulah di Mesir, nama sama jadi biasa, memanggil nama orang lain dengan nama sendiri pun biasa.

Sa-orang penjual roti gula berbijan lalu dilaluan kami, lalu si Mustafa berbaju merah belikan tiga. Dua untuk mereka, satu untuk sekonyong Melayu ini.

Mustafa baju merah tanya, "Malaysia tu dekat dengan China?" Yakin persis yakin sa-orang Arab bertanya.

Aku masih berkaca mata hitam Ray Ban, menjawab, "Tidak, jauh. Tapi masih sama-sama dalam benua Asia". Kacak betul aku.......punya spek.

Dia bertanya lagi, "Kau ni ada masuk tentera ke?" Dia tunjuk-tunjuk abam askar berbaju celoreng coklat muda bersulam tulisan di dadanya Geish El-Masri.

Aku terus menepis, "Eh tak, aku ni hanya pelajar saja." Sambil sinyium-sinyium, acah-acah aku pun buat badan ketak-ketak.

Selepas mereka turun, ada seorang perempuan berhijab gaya Arab sekitar awal 30-an masuk ke gerabak itu dan duduk di hadapan kanan aku.

Kami hanya duduk tanpa bicara. Aku cuba juga berinteraksi dengannya apabila sampai di stesen baru, "Kita sekarang di mana?"

Lalu dia pun memandangku sembari menjawab dengan santun. Kemudian menyambung lagi meletak dagu di jendela gerabak, melihat isi alam.

Di tempat duduk sebelah kiri aku ada sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki. Anak mereka sekitar umur tiga tahun dan nampak begitu memanjakannya, barangkali itulah satu-satunya anak yang merek ada.

Rupanya bukan aku seorang yang sedang melihat budak itu, perempuan berhijab tadi pun sedang memerhatikan anak kecil itu. Wajahnya redup, matanya seakan berkolam dan berkaca-kaca. Kadangkala dia senyum melihat keletah anak kecil itu. Romannya berubah menjadi seorang ibu yang penyayang. Riaknya seakan menunjukkan kalbu seorang ibu sedang hangat merindui anaknya, atau dia sudah berkahwin tetapi belum direzekikan menimang anak. Ah, entah aku pun tak tahu.

Tetapi daripada wajahnya, benar-benar mengesan hatiku. Wajah keibuan yang tiada siapa mampu menduga apa yang telah dilaluinya.

Lama sungguh perjalanan kali ini. Tren ini seakan laju, tetapi agak perlahan rupanya. Hampir lima jam lebih perjalanannya, berbanding tren kelas dua yang hanya mengambil masa sekitar tiga jam.

Hinggalah apabila matahari sudah menyorok ke bawah, barulah tiba semula aku di stesen kereta api Ramses, Kaherah.

Aku bangkit dan lihat sekeliling, takut ada barang yang tertinggal, sambil berkata sunyi dalam hati, 'Betapa banyak aku belajar dari gerabak ini.'

Perjalanan yang sepatutnya penat, tetapi apabila hati sudah puas, segalanya jadi riang.

Selamat tinggal gerabak ayam!



Muhd Iqbal Samsudin
Dalam tren ayam.
080516

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter