8/10/17

Senyum Sikit


Apabila jiwa meracau dan dada mula bergalau, masjid adalah tempat yang tepat untuk dikunjungi.

Demikianlah apa yang akan saya cuba lakukan selama di Mesir. Kerana, kebanyakan masjid di Mesir ini kaya dengan senyuman. Bukan pada bangunannya, tetapi pada insan di dalamnya.

Insan-insan di dalamnya, apabila kita bersalaman dengan mereka, bersiap siagalah untuk menerima senyuman paling manis beserta doa, "Taqabbalallah".

Lebih enak apabila ammu-ammu menepuk-nepuk bahu (atau biceps secara spesifiknya). Perasaannya sangat luar biasa bila diperlakukan begitu, terus terasa bersemangat dan rasa dihargai.

Syaratnya, selepas solat janganlah terus bangkit keluar dari masjid. Bersalamanlah dahulu dengan orang sekeliling, pasti mereka akan menyambut dengan senyuman manis. Tak semua, seorang dua di kiri kanan pun sudah cukup. Kita sebagai orang asing, moleklah kiranya kita yang mulakan. Di sinilah salah satu fungsi solat bejemaah sebagai medan kita bermasyarakat.

Banyak kali tatkala kadang diri ini terjelepuk dalam perasaan kurang enak dan kurang semangat di sini. Namun, apabila diberi senyuman indah, doa dan ditepuk-tepuk bahu, terus hari itu terasa bersemangat untuk memaknakan hari tersebut.

Mereka murah senyuman, lisan mereka ringan mendoakan, mereka tahu untuk menghargai.

Apabila saya pulang balik ke Malaysia, bila usai solat berjemaah, saya selalu diserang hampa bila bersalaman dengan para jemaah masjid.

Jika boleh di bahagikan dengan per sepuluh, mungkin ini pembahagiannya.
.
2/10 : Bersalam sambil senyum.
3/10 : Bersalam dengan wajah kelat atau mereka bersalaman tanpa memandang wajah yang disalam.
Baki 5/10 : Bersalam sekadar bersalam, tanpa ada sebarang reaksi.
.
Saya fikir, kita perlu berubah. Perkara yang baik, molek kiranya kita contohi.

Bersalaman tanpa memandang wajah orang yang disalam, sesuatu yang kurang beradab.

Mafhum kata HAMKA dalam satu rakaman kuliahnya, "Betapa pedihnya hati apabila kita bersalam dengan orang, tetapi orang itu langsung tidak memandang wajah kita..."

Pedih. Pedih nun jauh di lubuk hati.

Bayangkanlah kalau sehari lima kali kita menghadapi para jemaah yang banyak bermasam muka dan 'expressionless' ini, bagaimana mungkin kita mulakan bahagia di rumah ALLAH?

Senyum ini bahasa indah paling universal yang haiwan pun banyaknya faham ia simbol bahagia.

Senyum ini juga ajaib; ukiran keikhlasannya boleh dirasa di hati yang melihat.

Tambah-tambah dalam masjid tempat kita semarakkan aktiviti kemasyarakatan.

Tiada salahnya. Senyumlah, saudara saudari.

Mungkin senyum itu terasa berat kerana betapa pundak kita dibebani dengan berbagai-bagai masalah.

Tetapi dengan senyum jugalah kita mendidik agar minda kita positif.

Bermula mengawal diri dengan senyum jugalah membantu ia menghantar signal ke otak untuk hadapi segalanya dengan tenang.

Mulakan dengan senyum, teman.

Bahagia itu akan mula tercipta, di hati sendiri dan di hati insan yang melihat.


_____
Muhd Iqbal Samsudin

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter