11/22/15

Doktor Ahmad

[Cerita Dari Pasar #1] [Nota Medik]


Pada satu ketika, aku berkunjung ke wad neurologi, di hospital universiti tempat aku belajar. Untuk hari-hari awal aku di wad tersebut, ada seorang pesakit yang bukan marhaen Mesir yang juga turut terlantar dalam wad itu. Dia berkulit hitam, namun aku tidak tahu sakit apa yang dia hidapi.

Namun, setelah berkenalan, tahulah aku bahawa dia berasal dari Sudan. Katanya, dia belajar di Al-Azhar dan aku rasakan ianya betul, kerana tutur cakapnya berbahasa Arab Fusha.

Jururawat-jururawat dan doktor-doktor asyik terpekik menyebut namanya, memandangkan namanya persis nama presiden baharu Mesir, Sisi.

Aku juga bukan sekadar berkenalan dengan dia, bahkan aku beruntung dapat mengenali kenalannya yang melawat, iaitu Doktor Ahmad.

Sekali pandangan aku mengagak dia juga pelajar di Al-Azhar,  tapi sangkaan aku ternyata meleset selepas aku terlihat buku dermatology di tangannya.

Ketika aku berbual ringan bersama seorang doktor wanita di wad itu, Dr. Ahmad itu datang, lalu doktor wanita tadi memperkenalkan aku dengan beliau. Doktor wanita itu mungkin kurang fasih berbahasa Inggeris,  jadi dia menggunakan bahasa Arab Fusha untuk bertutur dengan aku, kerana dia tahu, kebanyakan pelajar Malaysia dapat berbahasa Arab Fusha berbanding bahasa Arab 'Ammiyyah.

Lalu, dari situ, aku kenal Dr. Ahmad. Dia merupakan pelajar master di Universiti Ain Shams ini dalam bidang dermatologi (sakit kulit). Bersembang seketika dengan dia membuatkan masa aku jadi sungguh bermakna.

Dia berkongsi pengalaman dia menjadi pelajar medik 10 tahun yang lalu. Aku jadi terhibur mendengar pengalamannya. Sungguh, apabila bersembang dengan seorang sama bidang dan minat dengan kita ia akan jadi lebih menarik dan fantastik.

Bahasa inggerisnya juga baik. Dengan kesantunan dan sifatnya yang penuh luhur, aku yakin dia bakal jadi seorang pakar sakit kulit yang sangat berjaya suatu hari nanti.

Menariknya, saat aku berjalan di pasar hari ini, aku berjumpa sekali lagi dengan dia. Kelihatan dia sedikit kalut dan tergesa-gesa. Namun, sebuah buku Dermatologi tetap tersemat di tangannya. Aku jadi kagum.

Moga aku diberi kekuatan dan keiltizaman untuk mencontohi keluhuran peribadinya untuk menjadi seorang doktor suatu hari nanti.

Wallahua'lam

Muhammad Iqbal
'Abbasiya, Cairo, Egypt.
1453
070713

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter