11/22/15

5 Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa

[Nota Diri]

Sebelum bermulanya ramadan, sempat saya belek-belek buku Fadhailu Ramadhana Wa Ahkamuhu hasil tulisan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan.

Buku ini hanya buku kecil, tapi padat dengan ilmu. Saya membaca buku ini dengan harapan moga dapat mengingatkan kembali apa yang perlu diingat sempena bulan Ramadan yang hanya datang setahun sekali, sambil-sambil berdoa agar menjadi tetamu Ramadan lagi pada tahun ini.

Syukur, banyak input yang saya dapat, alhamdulillah. Tetapi, apa yang ingin dikongsikan tidaklah begitu banyak, namun insyaAllah ada manfaat padanya.

Ianya tentang beberapa perkara yang tidak membatalkan puasa jika kita lakukan pada saat menjalani ibadah puasa ini.

Anda ingin tahu?

Mari. Saya sudah senaraikan semuanya di sini. Jemput baca dan hadam. ^^

Berikut situasi-situasi yang tidak menyebabkan puasa kita terbatal.


- 1 -
Sekiranya seseorang itu benar-benar terlupa, lalu dia termakan, terminum atau terlajak menggauli atau menyetubuhi pasangannya. Jika dalam yang sebegini, terus lengkapkan puasa, kerana itu pemberian Allah buatnya, berdasarkan hadith daripada Al-Bukhari dan Muslim.


- 2 -
Tidak batal puasa jika menggunakan ubat titik mata (eye drops) atau menggunakan celak untuk tujuan pengubatan. Walaupun orang yang berpuasa tersebut, merasa ubat titik mata atau celak itu dalam tekak mereka.


- 3 -
Tidak batal puasa jika diberikan apa sahaja jenis suntikan (injections), sama ada suntikan bawah kulit (subcutaneous), dalam otot (intramuscular), atau dalam vena (intravenous).

Walau bagaimanapun, adalah lebih baik atau lebih afdal sekiranya suntikan ke dalam vena itu diberikan selepas berbuka puasa.


- 4 -
Jika seseorang itu bangun dari tidur dalam keadaan berjunub atau jika seseorang itu tidur dan mengalami mimpi basah (yang mengakibatkan dia berada dalam keadaan berjunub), maka keadaan dia berjunub itu tidak membatalkan puasanya.
Namun, jika berada dalam keadaan berjunub, janganlah bertangguh untuk mandi wajib. Kerana untuk memudahkan kewajipan yang diwajibkan seperti solat, supaya dapat ditunaikan tepat pada waktunya.


- 5 -
Muntah secara tidak sengaja. Tetapi, jika secara sengaja meransang diri untuk muntah, maka itu akan membatalkan puasa. Walaupun begitu, jika muntah yang keluar itu hanya sedikit sahaja, maka puasanya masih sah.

Moga ada manfaat buat kita bersama.

image

Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal,
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0654
060714

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter