11/26/15

Az-Zahrawi : Idola Pakar Bedah Sepanjang Zaman

Az-Zahrawi juga dikenali sebagai Albucasis
  Az-Zahrawi?
Saya tahu nama itu. Namun, hakikatnya saya malu. Tidak tahu apa sebenarnya sumbangan besarnya dalam dunia perubatan. Pelik, saya berbangga dengan orang Islam seperti beliau, namun tidak lebih mengenali selain nama, sungguh ironi. Tambah teruk, saya sudah telah beberapa tahun bergelar pelajar jurusan perubatan, tetapi nama penuhnya pun saya belum lagi kenal. Jujur, saya malu. Mungkin generasi hari ini, lebih banyak mengangkat tokoh-tokoh barat atau tokoh-tokoh bukan muslim yang lain lantaran generasi hari ini lebih banyak didedahkan dan dimomokkan dengan drama-drama dan filem-filem eropah, dan tidak kurang juga negara-negara asia seperti Jepun dan Korea. Bahkan, sukatan pelajaran perubatan hari ini juga banyak bergantung kepada hasil kajian para ilmuwan yang rata-ratanya bukan muslim.
Ya, ini kelemahan umat Islam masa kini. Kita bagai dikawal raksasa halimunan yang penuh hasad dengki di belakang kita, yang tidak akan membiarkan umat Islam lebih maju daripada mereka. Namun begitu, sains bukanlah berasal dari sesebuah negara sahaja. Ianya bersifat antarabangsa, datang dari pelbagai bangsa dan masa. Kita hari ini berkongsi buah hasil tanaman pepohonan para ilmuwan yang terdahulu. Jasa-jasa ilmuwan Islam dahulu, langsung tidak dapat dinafikan.
Tokoh-tokoh seperti al-Kindi, ar-Razi, Ibn Sina, al-Biruni, Ibn Hajsem, az-Zahrawi, al-Farabi, Ibn Zuhr, Ibn Rush dan ibn Nafis, punya sumbangan yang tidak ternilai hebatnya, yang akhirnya dapat dinikmati oleh kita semua hari ini. Mujur, Allah taqdirkan saya untuk mengenali sosok tokoh hebat ini setelah ditugas untuk mencoret sedikit sebanyak tentang beliau. Penuh hikmahnya, syukur. Jika dahulu mempelajari berkenaan darah, kita akan menjumpai sejenis penyakit bernama haemophilia, saya hanya menghafaz apa yang perlu sahaja, tetapi kini saya mengetahui, bahawa orang yang menemui dan dapat menerangkan secara terperinci penyakit ini merupakan seorang muslim bernama Abu Al-Qasim Khalaf ibn Al-Abbas Az-Zahrawi.
Beliau seorang sasterawan dan sejarawan, al-Humaidi mengatakan dalam bukunya ‘Jadzwatul Muqtabas fi Akhbari Ulama’il Andalus’ bahawa az-Zahrawi merupakan orang yang sangat dihormati, agamawan dan berilmu. Bahkan, ada juga yang berpendapat mengatakan bahwa Az-Zahrawi menggunakan separuh waktu siangnya secara khusus untuk mengubati orang yang sakit secara percuma kerana beliau hanya mendamba reda Allah Ta’ala sahaja. Di barat, namanya masyhur sebagai ‘Albucasis’, dan jolokan terkenal untuk beliau pada zaman pertengahan itu, merupakan ‘Bapa Pembedahan’ atau ‘The Father of Surgery’.
Beliau bukan sahaja handal dalam selok belok pembedahan, bahkan sangat pakar dalam menggunakan pelbagai jenis ubatan, hinggakan beliau juga digelar ‘Pharmacist Surgeon’. Manakala, gelaran az-Zahrawi pula diberikan kepadanya kerana beliau lahir di sebuah bandar bernama al-Zahra, enam batu di utara Cordova, Sepanyol.
Bandar Purba Al-Zahra ketika Sepanyol dikenali sebagai Cordova
Di Cordova jugalah, beliau menerima pelajaran dan seterusnya mengajar dan mempraktiskan segala ilmu perubatan dan pembedahan. Tokoh ini lahir pada tahun 930 Masihi dan kembali kepada Sang Pencipta pada tahun 1013 Masihi saat umur telah menjangkau 77 tahun.

Penulisan Az-Zahrawi.
Hingga hari ini, dunia perubatan dan pembedahan begitu menyanjungi karya-karya sarjana Islam seperti Qanun fi-Tibb yang dikarang oleh Ibn Sina, Kitab Al-Hawi oleh Al-Razi, Sandaqol Hikmah oleh Jabbir al-Hayyan dan pelbagai lagi karya sarjana ilmuan Islam.
Antara manuskrip kitab Al-Tasrif Liman Ajiz ‘an Al-Ta’lif
Az-Zahrawi tidak kurang hebatnya dari segi penulisannya. Walau hanya menghasilkan dua buah buku sahaja sepanjang hayatnya, namun sumbangan penulisannya sangat besar dalam dunia perubatan. Bukunya yang berjudul Al-Tasrif Liman Ajiz ‘an Al-Ta’lif, merupakan ensiklopedia pembedahan terkenal dan sangat berguna bagi pengamal perubatan khususnya dalam bidang pembedahan. Manakala Kitab Al-Maqalah fi Amali ‘ala Fanni al Jarahah pula, menjadi rujukan hingga ke abad 21. Walaubagaimanapun, berdasarkan kajian lepas, hanya Kitab At-Tasrif sahaja yang lebih terkenal.
Karya beliau menjadi terkenal pada zaman pertengahan, kira-kira menjelang abad ke-12 dan ke-13. Seorang pakar bedah Perancis yang terkenal, Gus de Ghauliac (1368 Masihi) menjadikan tulisan al-Zahrawi sebagai bahan tambahan dalam buku bedahnya. Kitab At-Tasrif juga menjadi bahan rujukan selama 5 abad di Universiti Salerno di Rom, Itali , Motpellier di France dan beberapa universiti lain di Eropah. Sejarah penterjamahan kitab At-Tasrif dilakukan kali pertama oleh Gerard Cremona, seorang sarjana Itali pada zaman pertengahan dan zaman Renaissance.
Gus de Ghauliac
Gerard menterjamah kitab at-Tasrif ke dalam bahasa latin. At-Tasrif juga dicetak dalam bahasa Latin dan Hebrew dengan nama ‘Medical Vademecum‘ pada 1497 Masihi. Bahagian mengenai tumbuhan dicetak di Venice pada 1471 Masihi, manakala mengenai pembedahan pula dicetak di Venice pada tahun 1497 Masihi. Bahagian klinikal pula dicetak pada tahun 1519 Masihi di Osnabruck, Jerman dan seterusnya pada tahun 1566M, bahagian sakit puan dicetak di Basel, Swiss. Kitab at-Tasrif menjadi masyhur dalam kalangan sarjana Barat dan menjadi rujukan sehingga ke abad ini. Sekaligus, ketokohan Al-Zahrawi telah membuka jalan kepada para sarjana sains baik Islam mahupun Barat untuk mengembangkan teknologi perubatan dan pembedahan selari dengan era moden masa kini.
Dalam penulisannya itu, beliau banyak menekankan peri pentingnya seorang doktor untuk menguasai sains asas seperti anatomi dan fisiologi, sebelum berkecimpung dalam arena pembedahan. Seorang doktor ditegaskan perlu mengetahui dengan mendalam berkenaan struktur, hubungan, dan sempadan bagi setiap organ. Beliau juga sangat menekankan tentang kritikalnya pengetahuan perihal saraf, otot tulang, penyambungan serta kaitannya antara satu sama lain. Ini termasuk susunan setiap pembuluh darah dan vena yang membantu melancarkan setiap pembedahan yang akan dilaksanakan. Lantas, ini menjadi asbab pada zamannya, hanya doktor yang benar-benar mahir sahaja boleh melakukan pembedahan dan inilah disiplin ilmu yang amat disanjung tinggi.


Teknik dan Alatan Pembedahan Az-Zahrawi.
Kitab At-Tasrif atau disebut juga sebagai ‘Ensiklopedia Al-Zahrawi’, mengandungi 30 jilid, yang meliputi pelbagai bidang perubatan, kedoktoran dan pembedahan. Jumlah helaian pula tidak kurang daripada 1500 muka surat. Subhanallah, ilmuwan Islam dahulu bukanlah calang-calang.
Dalam bab pembedahan, az-Zahrawi mencatatkan pelbagai ilustrasi teknik-teknik pembedahan, alat-alat bedah, serta panduan melakukan pembedahan dengan tertib. Antara teknik pembedahan dan pemeriksaan yang diperkenalkan oleh az-Zahrawi ialah:
– Teknik pembedahan mata untuk penyakit katarak.
– Teknik pembedahan hidung dan telinga.
– Teknik pembidanan untuk ibu-ibu bersalin.
– Teknik rawatan pergigian.
– Teknik pembedahan perut dan pundi kencing.
– Teknik pembedahan bagi kanser (contohnya kanser payudara).
– Teknik merawat tulang patah.
Al-Zahrawi juga memperkenalkan alat-alat bedah ciptaan beliau beserta cara penggunaannya. Setiap alat bedah yang dicipta itu mempunyai fungsi tersendiri untuk merawat, memeriksa dan membedah pada bahagian-bahagian tertentu. Alat-alatan bedah beliau tidak kurang dari 150 alatan. Al-Zahrawi juga mencatatkan alat-alat bedah yang dibuat daripada besi adalah lebih baik daripada bahan lain seperti emas. Ini kerana emas tidak cukup panas apabila dipanaskan ataupun terlebih menyerap kepanasan yang akan menyebabkan emas mencair.
Antara alat-alat ciptaan Al-Zahrawi ialah :
– Alat bedah dan pemeriksaan bagi mata, hidung, lidah dan telinga
– Alat untuk mengeluarkan batu karang dalam pundi kencing
– Alat untuk mengeluarkan sel kanser tahap 1. (kanser peringkat awal).
– Alat untuk mengeluarkan janin mati daripada perut ibu.
– Alatan dalam bidang pergigian.
Dalam Kitab At-Tasrif juga, al-Zahrawi memuatkan info-info penting berkenaan tips kesihatan dan diet seimbang untuk pesakit. Sebagai tambahan, al-Zahrawi juga menyumbang kepada penyediaan ubat-ubatan seperti ubatan herba. Ubat-ubatan beliau kebanyakannya dihasilkan melalui teknik penyulingan dan pemejalwapan.

Hemophilia
Selain kepakaran az-Zahrawi yang dapat menghurai berkenaan ‘ectopic pregrancy’ atau ‘kandungan luar rahim’, beliau juga menjadi orang pertama yang mampu menerangkan secara terperinci mengenai haemophilia.Haemophilia merupakan penyakit keturunan, yang berpunca akibat kekurangan faktor pembekuan darah. Pesakit akan mengalami pendarahan yang serius apabila terluka. Sosok ini juga telah memperkenalkan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat.

Az-zahrawi telah menemui asas Hemophilia dan menghuraikannya secara terperinci
Selain itu, Al-Zahrawi juga memperkenalkan teknik pengikat di lengan untuk menghentikan aliran darah ketika berlaku pendarahan yang teruk. Sumbangan Al-Zahrawi ini ternyata amat besar dan mencapah. Beliau bukan sahaja mahir dalam bidang perubatan dan pembedahan malahan ada yang mendakwa Al-Zahrawi juga turut mahir dalam bidang kosmetik dan kecantikan. Beliau telah memperkenalkan minyak gosok serta kepentingannya. Cara-cara penyediaan minyak gosok daripada bahan-bahan asas juga pernah dicatat oleh beliau dalam karyanya At-Tasrif. Al-Zahrawi juga menggunakan zat minyak yang disebut sebagai Adhan untuk rawatan dan kecantikan.
Bukan hanya itu, malahan Al-Zahrawi juga memperkenalkan jenis-jenis wangian yang pelbagai dan penuh beraroma. Teknik-teknik menguatkan gusi serta memutihkan gigi juga telah diperkenalkan oleh tokoh hebat ini. Oleh itu, masyarakat Islam Andalus pada abad ke-12 telah mengetahui dan menggunakan produk-produk kecantikan antaranya krim tangan, pembersih mulut dan pembersih hidung.

Tokoh Idola Semua Muslim
Dr. Mustofa Syahatah, mengatakan dalam makalahnya ‘Al-Khanjarah wa Amradhuha fi Ath-Thibbil Islam’,
Ketika ilmu perubatan Islam telah maju, maka ilmu pembedahan yang dipelopori oleh Abu Al-Qasim Az-Zahrawi di Andalusia pada abad ke-10 Masihi juga maju. Pada saat itu, Eropah tidak sedikit pun tahu tentang ilmu pembedahan. Adapun ilmu bedah di sekolah perubatan Monbili Perancis, mereka dilarang mempraktikkan pembedahan oleh gereja, pada abad ke-17. Maka ketika seorang doktor Perancis, La Frank membaca buku az-Zahrawi, dia merasa kagum dan menyedari kebodohan para doktor di Perancis, lalu dia mengungkapkan dengan tulisannya tentang kebodohan dan keterbelakangan para doktor Perancis. Dia mengatakan, tidak ada satu pun di Perancis, seorang ahli bedah yang menjadi ilmuwan dan memiliki suatu penemuan.”
Terlalu banyak kejayaan dan sumbangan az-Zahrawi pada dunia perubatan hari ini. Kita sebagai seorang muslim, bukanlah sekadar menjadikan para sarjana hebat seperti ini sebagai idola atau bahan banggaan sahaja, sedang pada diri kita sendiri, leka dimamah kebodohan. Akhirnya, diri kita langsung tidak mendatangkan sebarang satu hasil pun sumbangan buat Islam. Alangkah ruginya.
Ayuh teman-teman. Mari kita maju, kita pacu perubahan umat hari ini. Mulakan perubahan dari dalam diri sendiri dahulu, dan seterusnya rangsang orang lain untuk turut berjuang memartabat Islam demi reda Allah. Tuntutlah ilmu dengan tekun, moga kita jadi salah seorang yang mampu memberi sumbangan, walupun sedikit buat Islam.
Wallahua’lam.  

SUMBER RUJUKAN

Muhammad Iqbal
Oktober 2014

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter