4/15/24

TUMPUL TANPA SUGUL

6 BULAN TANPA REHAT DAN CUTI, BEKERJA 24 JAM, AKU TUMPUL TANPA SUGUL


GILA. 

Mungkin itu sahaja kata dan bahasa yang selayaknya buat keadaanku saat ini.


TUMPUL.

Jika ditanya apa perasaanku, inilah perkataan paling sesuai pada hematku.


SUGUL.

Sepatutnya aku akan lebih sugul, tetapi aku masih memilih untuk berlawan dengan diriku hingga saat ini. Ia perit, menggerit hingga ke urat paling pelit. Sakit. Namun tidak sesekali aku benarkan hinggap ke daerah sugul.


*  *  *


Ini keadaan paling gila dalam hidupku.

Aku perlu berikan menjadi doktor terbaik, beri rawatan yang terbaik, beri layanan paling ultra istimewa, namun pada masa yang sama aku struggle teruk memulakan bisnes di tempat yang baru dan langsung tak ada kena mengena dengan aku dan tidak pernah aku jejaki sebelum ini. 

Aku wajib usahakan agar sales tidak merudum, aku harus pastikan bekalan ubat-ubatan dan medical supplies lain tidak kehabisan, aku perlu uruskan hutang syarikat, uruskan staf keluar masuk dan training mereka, aku perlu perhalusi marketing dan promosi dan aku perlu patuh dengan pendapat sharing partner lain yang lebih berpengalaman.

Pada masa yang sama, aku masih sa-orang anak kepada mama ayah, sa-orang suami kepada sang isteriku yang satu, sa-orang ayah buat kedua-dua anakku; tanpa mengabaikan keperluan dan kewajipan aku kepada mereka..

Ya, dengar saja sudah gila, belum pun kau laluinya. Gila.


* * *


TUMPUL


Ini episod paling tragis dalam hidupku. Aku terasa kian tumpul.

perasaanku kepada aku, deriaku pada alam, sensitiviti aku pada cuaca, peka aku kepada iras durja manusia, semuanya kian hari kian tumpul.

Punca terbesarnya aku keletihan otak yang teramat sangat.

mulutku mampu tersenyum namun tidak otakku.

gembiraku mampu tercetus namun belum tentu dari perasaan hati naluri 


Aku menulis ini sekarang pun kerana aku risau tumpulnya aku akan lebih berleluasa dan teruk.

tapi aku masih belum ada pilihan melainkan bertahan setahan mungkin.


*  *  *


Anak-anak juga kian membesar, dan mereka membesar di klinik.

Bila tak ada patient dan kerja sudah dibereskan, aku akan terus naik atas.

Anak-anak kecil ini tak jemu-jemu menyambutku di hadapan pintu bilik, datang sa-orang demi sa-orang datang memeluk kakiku, tak dapat digambarkan betapa gembiranya hati ini bila dipeluk anak-anak, muka memang nampak cool tapi di dalam hati terpaling bahagia.

Idris pula sudah pandai berkata-kata dan sudah pandai untuk faham pekerjaan abatinya. Dia sudah pandai mengungkapkan, "Alaaa abati ada patient".

Adakalanya dia bersedih dan menangis bila telefon aku berbunyi, dia tahu abatinya ada patient dan perlu turun ke klinik untuk rawat pesakit

Allah...

Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa pilunya hati ini saat menuliskan perkara ini.

Tapi inilah perjuangan yang sedang aku ajarkan kepadanya dan qudwah sebagai pemimpin keluarga dan menyumbang dalam masyarakat setempat.

Sesekali apabila membawanya ke masjid, dia betul-betul terasa 'healing' dan gembira dengan sepenuh hatinya, hingga ada pakcik-pakcik di masjid yang memujinya sebagai anak kecil yang bagus kerana mengikut aku selalu ke masjid.

Acap kali dia cuba meraih perhatianku namun aku cuba sedaya upaya untuk memenuhi perhatiannya dan bercakap dengannya, tetapi ada masanya ketika aku letih aku sendiri tak terdaya lagi, terus kepala diletakkan di bantal dan luppp.

Maafkan daku duhai anak, tiada yang mudah bila kita memilih untuk berjuang. Aku sungguh berharap yang engkau akan mengerti sendiri apa perjuangan abatimu suatu hari nanti.


***

aku perlu menuliskan segala isi hatiku ini, buat tatapan masa hadapan. sesungguhnya ini adalah sejarah penting hidupku yang bakal aku kenang suatu ketika nanti.

dan tetap aku perlu menulis semua ini, kerana aku juga manusia biasa, aku perlu terapi kepada kegetiran yang sedang aku hadapi sekarang ini.

dengan menulis, aku akan kian sembuh.


***

sesungguhnya aku sangat dambakan doa kalian, terutama sekali doa syurgaku mama dan ayah.

tanpa doa mama dan ayah, tempang cacatlah hidupku di dunia ini, takk mampulah lagi aku berjalan laju di dunia ini.

Ya ALLAH, jangan KAU biar aku tumpul dan sugul dalam berjuang.


______

Dr Muhd Iqbal Bin Samsudin

Mediklinik Rakyat Ipoh, Arena Niaga Simee

0237, 150424

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter