9/24/18

Tiada Nafas



Cairo masih petang, matahari belum pulang, rembulan belum datang.

Saya terlalu rindukan ayah. Terasa sangat lama tidak bercakap-cakap dengan ayah.

Kalau saya telefon Malaysia selama ini, saya hanya akan bercakap dengan mama. Walaupun bercakap dengan mama selalunya hampir satu jam, jarang ayah ada bersama atau mama berikan kepada ayah untuk bercakap.

Kerana itu ada masanya saya jadi rindu mahu bercakap-cakap dengan ayah. Ayah ada auranya tersendiri, perkataan dan nasihatnya yang keluar, walaupun adakalanya agak tegas, tapi saya tahu itu semua kerana sayang.

Jadi, kerana terlalu rindu, saya terus telefon ayah, menggunakan VOIP yang memerlukan kredit dalam matawang Euro.

Setelah bertanya khabar dan semua yang berkaitan, tibalah masa yang saya nantikan.

Saya mahu beritahu kepada ayah, yang saya ditawarkan menulis dari sebuah syarikat penerbitan besar di Malaysia dan ingin beritahu beliau yang saya akan cuba habiskan menulis dua buah manuskrip semasa final exam tahun akhir ini memandang tahun sebelum ini saya berjaya siapkan satu manuskrip sebelum final exam berakhir. Jauh di sudut hati, saya mahu bercakap dengan ayah sebagai sa-orang anak seni, mewarisi darah seni daripadanya, dan saya mahu ayah bangga.

Tetapi sebaliknya berlaku. Nada suara ayah bertukar tegas dan seakan marah.

Ayah melarang saya menyiapkan dua manuskrip itu.

Ayah tetap melarang dan mengulang-ulang kata "Put first thing first", walaupun telah saya buktikan kepadanya yang saya mampu menulis sekali pun sibuk studi untuk final exam.

Sungguh menyakitkan.

Saya begitu berharap untuk bercakap dengannya sebagai sa-orang yang mempunyai darah seni sepertinya.

Tapi saya lupa, telah lama saya tidak membesar di depan ayah dan keluarga. Ayah tak nampak saya telah membesar dan matang seperti apa sekarang.

Inilah hakikat anak yang merantau demi ilmu.

Itu belum masuk bab dan perihal kahwin.

Di mata kebanyakan ibu ayah, terutamanya yang berada di luar negara, kita masih sa-orang yang dahulu, masih kecil di mata mereka, kerana kita tidak membesar di hadapan mereka.

(sebak pula rasa hati..)

Saya tinggal di asrama selama 5 tahun. Kemudian meneruskan pengembaraan ilmu di Mesir sudah lebih 7 tahun. Bila dijumlahkan semuanya, hampir 13 tahun saya berjauhan dengan keluarga, hampir separuh umur saya. Bermakna saya banyak membesar di tempat lain dan tidak membesar di hadapan ayah dan keluarga.

Barangkali ayah sama sekali tidak perasan dan tidak sedar yang saya sudah menjadi sa-orang anak seni seperti dirinya.

Atau ayah hanya meletakkan kerisauan terhadap pelajaranku dan bimbangnya makin meningkat kerana saya sudah di tahun akhir sekolah perubatan, sudah mahu bergelar doktor lagi beberapa bulan.

Sesudah saya meletakkan telefon, hati terus jadi hiba, inginku menangis tapi kutahan. Aku anak jantan, aku harus tahan.

Menulis ini juga satu seni.

Seperti seni-seni yang lain, ia sentiasa mengalir dan terus mengalir. Ia tak dapat dihalang sama sekali. Ia sudah hidup dengan diri.

Apabila 'hidup' itu sudah dihalang dan dilarang, maka tidaklah dapat saya bernafas.

Apabila tiada nafas, maka apakah pekerjaan lain dapat saya lakukan?

Ya, ia sukar.

Namun saya cuba gagahkan diri dan hati. Menerima dengan ikhlas.

Salah satu manuskrip yang sedang saya tukangkan bertajuk #RedhaDenganTUHAN. Sebelum berlaku semua ini, saya tidak memasukkan tulisan berkenaan redha ibu ayah. Namun perencanaan TUHAN maha indah. DIA timpakan saya dengan peristiswa ini agar saya sedar, redha TUHAN tak akan dapat diperolehi tanpa redha ibu ayah.

Demikianlah indah apa yang digariskan Islam.

Ibu ayah tidak boleh dikesampingkan. Kerana dalam redha mereka, ada redha TUHAN.

Semestinya saya bersedih, tetapi alangkah rugi jika berterusan sedih tanpa mengambil ibrah dan belajar dari apa yang telah berlaku.

Saya redha.





____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1636, 240918





No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter