1/25/16

Bawa Mati


Rasa resah gelisah bukan kepalang, apabila sudah cukup haul seminggu tidak dengar suara mama. Hujung minggu yang telah lalu diriku dirundung gering, cuaca makin sejuk barangkali, entah-entah juga kerana diriku kian banyak beban dosa, jadi tidaklah dapat telefon ke Malaysia.

Disebabkan kredit untuk menelefon menggunakan VOIP sudah makin semput. Jadi aku memilih untuk guna WeChat sebagai alternatif percuma, memandangkan adik-adik ada di rumah, bolehlah tunjukkan cara menggunakan aplikasi ini kepada mama dan ayah, mudah kerja.

Sembang-sembanglah seperti biasa. Selalunya pasti lebih dari setengah jam. Dan selalu juga lebih dari satu jam, setiap kali berbual setiap minggu.

Tapi, kali ini ada yang menyentuh.

Ketika aku menerang serba sedikit perkembangan berkenaan penerbitan buku pertamaku, ada sesuatu yang aku lontarkan. Tanpa sedar. Yang tanpa sedar inilah, yang jujur membujur lalu dalam benakku selalu.

Habis saja penerangan aku, mama menyebut, "Itulah, abang ambil medik, tapi tulis buku."

Terus aku menjawab laju, "Nak buat macam mana, mama. Minat abang ada di situ."

Mama setia mendengar.

Aku menyambung, "Harta tak ada lagi. Tapi kalau abang mati, tulisan-tulisan inilah antara harta abang, nak bawa ke sana."

Duduk sendiri-sendiri. Aku fikir kembali, panjang-panjangkan lagi fikir.

Aku sendiri terkesan. Soal-soal mati ini, sentiasa beri nafas baharu buat hati.

Maka kutanyakan diriku lagi, 'Apa lagi yang kaumahu tinggalkan?'

Tubuh ini, tubuh yang menanggung, dan menjawab di sana nanti.


عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ


Daripada Abu Barzah Al-Aslami berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa salam bersabda,

"Kedua telapak kaki seorang hamba tidak akan berganjak pada hari kiamat sampai ditanya

tentang UMURNYA untuk apa dia habiskan,

tentang ILMUNYA untuk apa dia amalkan,

tentang HARTANYA dari mana dia peroleh dan ke mana dia infakkan

dan tentang TUBUHNYA untuk apa dia gunakan."

[Hadis Riwayat Tirmidzi : Nombor 2341]


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1636
250116

Ulasan Buku : Terapi Diri - Siri Satu (Fyrol Ikram Othman)

Terapi Diri - Siri Satu.



Juga, ini terbitan Baytul Hikma.

Buku ini ditulis sebanyak tiga siri, tetapi yang sudah berjaya diterbitkan sekarang hanya siri satu.

Siri Satu ini khusus membicarakan soal pertimbangan sunnah menghadapi masalah dan tekanan.

Ada satu elemen yang menyebabkan buku ini tidak jadi buku ala-ala motivasi yang klisé. Di hujung-hujung buku ini, penulis menyediakan realiti kes-kes yang beliau hadapi, lengkap beserta pandangan dan jawapan daripada beliau. Pada bahagian inilah bagi saya menghidupkan buku ini, selebihnya bagi saya hanya satu perbincangan biasa, cuma mungkin dari sudut bincang yang sedikit berbeza, buah isinya masih berkitar perkara yang sama.

Apa pun, saya kira buku ini masih dalam kategori bacaan yang berkualiti. Namun pada laras pertengahan, tidak terlalu ringan, tidak terlalu berat.

Kalau mahu beli buku ini, boleh hubungi saya.

#BaytulHikma
#TerapiDiri
#TerapiDiriSiriSatu
#FyrolIkramOthman

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____

Ulasan Buku : Aku Pemaksiat (Abraz Talderi)



Aku Pemaksiat

Buku terbitan Baytul Hikma pertama yang saya baca.

Menghimpunkan 22 buah kisah pemaksiat, yang pulang bertaubat kepada Allah.

Ada satu kisah yang pernah saya baca sebelum ini,  tetapi yang lain-lain semuanya kali pertama.

Terjemahan yang baik membuatkan hampir semua cerita ini dapat dirasai dengan baik.

Peterjemah nampak bersungguh-sungguh cuba agar terjemahan tidak nampak 'keras', dan beliau hampir berjaya bagi saya.

Walau penerbit ini masih kecil, kualiti buku keluarannya masih dijaga.

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2237
180116


1/12/16

Rahmat Alhamdu

[Puisi]


Carik-carik aksara
Larik-larik bahasa
Menerbit indah
Rahmat isi-isi dunia


Bersit-bersit kata
Luah-luah rasa
Damai nan nuansa
Hias peribadi mulia


Kutulis kalam cinta
Pada bahasa-bahasa dunia
Jadi alat aku kembara
Di lembaran-lembaran
Di helai hilai ilmu
Tekun kuteleku


Pada mula kalimah puji
Ada kandil syukur menerangi
Pada rahmat alhamdu
Mahabbah terlahir, rindu
Tulus halus, untuk Rabbi


 الحمد لله ربّ العالمين



[Rujukan : Ayat Pertama Surah Al-Faatihah, Sofwah at-Tafasir, Syeikh Ali As-Sabouni]




Muhd Iqbal Samsudin
Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams, Kaherah, Mesir.
1001
110116