12/15/16

Yang Di Kiri Pun Tidak Tahu



[Cerita Dari Masjid]



Pada setiap hujung bulan Januari hingga pertengahan Februari, kami selalunya akan cuti musim sejuk.

Cuti musim sejuk tidaklah terlalu lama, hanya sekitar dua minggu sahaja. Dua minggu itu boleh jadi dua minggu bermakna atau dua minggu pejam celik pejam celik lena.

Tidak dapat tidak perlu rancang sebaik-baiknya.

Dan pada cuti musim sejuk kali ini, saya dan sahabat saya bercadang mahu pergi mengerjakan umrah di Mekah dan menziarahi Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam di Madinah.

Agak tidak logik sebenarnya untuk kami ke sana, kerana duit biasiswa kami cukup-cukup makan sahaja memandangkan duit Malaysia jatuh dan ekonomi Mesir pun ikut turut teruk.

Kalau kami memilih untuk pergi umrah juga ketika itu, bermakna kami juga buat keputusan untuk ikat perut dan cari duit sendiri selepas itu, untuk makan dan untuk urusan hidup yang lain, sekitar lima bulan yang masih berbaki.

Fikir punya fikir, saya dan sahabat saya nekad. Kami benar-benar membulat tekad. Apa pun yang akan terjadi, kami akan tetap pergi, biiznillah!

Yang ada di hati kami hanya yakin pada Allah, kerana DIA yang memberikan rezeki; bukan duit, bukan biasiswa.

Maka pada bulan Disember, setelah duit biasiswa masuk, saya gunakan hampir habis semuanya untuk kos ke sana; Haramain.

Bohonglah jikalau insan lemah seperti saya ini tidak ada langsung kerisauan. Walaupun saya pernah hidup setahun tanpa biasiswa sebelum ini, ada juga sekelumit risau tak terundang datang mencuit.

Malam itu saya ke masjid berdekatan rumah sewa saya untuk mengerjakan solat maghrib. Usai solat, saya duduk-duduk berteleku sambil melakukan apa-apa yang patut.

Bingung juga memikirkan yang saya perlu kerja kuat lagi lima bulan untuk hari mendatang kerana duit sudah habis. Sudahlah tahun lalu setahun saya berhempas pulas berniaga dan belajar, nampaknya Allah jodohkan saya untuk berniaga lagi lima bulan. Pasti ALLAH mahu ajar sesuatu yang lain lagi, fikir saya.

Tengah saya duduk-duduk, tiba-tiba bahu saya dicuit.

Mulanya saya ingat ada kanak-kanak yang ingin bercanda main, rupanya saya tersilap.

Apabila saya pusingkan badan, saya lihat ada seorang lelaki yang memakai blazer coklat dan berbadan besar saiz biasa Arab. Kemudian dia menghulurkan tangan untuk bersalam.

Saya pun lemparkan senyuman lalu menyambut tangannya untuk bersalam. Saya gembira. Selalunya, saya yang mulakan dulu untuk bersalam dengan bangsa Arab di sini, tetapi kali ini terbalik, dia yang mulakan dahulu.

Romannya juga turut mekar menyimpul senyum. Tetapi nampak mahu cepat-cepat dan kalut untuk meninggalkan masjid.

Saya terkejut.

Salam saya dan dia rupanya 'salam berisi'.

Telapak tangannya laju menempelkan sesuatu ke telapak tangan saya.

Selesai salam saya lihat apa isi salam tadi.

Sekali lagi saya terkejut, rupanya itu sejumlah wang yang agak besar!

Apabila saya ingin mengejar dan mengucapkan terima kasih, ternyata dia lebih laju daripada saya.

Hilang. Dia hilang dalam sekelip mata. Walhal masjid itu besar!

Allahu Allah.

Kelu sungguh lidah dan kelaku. Tidak tahu untuk berkata apa-apa selain mengucapkan syukur pada ALLAH Jalla wa 'Ala.

Rasa bagaikan mimpi.

Menjerit-jerit di dalam hati, 'ALLAH mendengar rintih aku! ALLAH mendengar rintih aku!'

Terpuji sungguh akhlak dia. Mahu memberi dalam keadaan paling ikhlas di mata ALLAH.

Hingga barangkali, tangan di sebelah kirinya pun tidak tahu.

Terima kasih Ya Rahman!
Terima kasih duhai hamba kepada ar-Rahman!

Adakalanya kebaikan diperlakukan kepada kita, menjadi contoh, dan ikutan petunjuk untuk kita juga turut berbuat seperti itu. Ia mula tumbuh untuk menginspirasikan diri!

'Kalau aku ada duit lebih, aku juga ingin jadi sepertinya!' Azam hati.





وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا


"...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

[Surah At-Talaq 65 : Ayat 2 - 3]



Tangan yang di atas, lebih besar baiknya dari yang di bawah.
[credit : misteraans]




_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2327, 170116






No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter