4/25/16

Kesalahan Hari Ini

[Cerita Dari Jalanan]


Selepas solat asar, saya terus berjalan pulang ke rumah. Sengaja saya melencong ke jalan yang agak jauh, memandangkan tiada apa-apa yang mendesak untuk dilakukan, melainkan seruan indah buku-buku di meja dan rak, untuk dibaca.

Berpusinglah saya ke jalan yang agak jauh, menikmati permandangan petang Kota El-Abbasiyah. Pemandangan-pemandangan petang di sini agak indah walaupun bingit, penuh rencam drama dan keindahan yang dilitup.

Hingga tiba di persimpangan masuk ke rumah saya, tiba-tiba saya lihat seorang akhawat(pelajar perempuan) yang merupakan jiran dan rakan sekuliah saya.

Dia berseorangan membawa dua beg bagasi besar, dan pada masa yang sama cuba menahan teksi. Apabila ada teksi telah berhenti, dia angkat bagasi-bagasi itu masuk ke dalam teksi dengan begitu susah payah. Ya, dia seorang wanita, sudah pasti itu sesuatu yang berat dia.

Namun, pada masa yang sama, saya yang melewati persimpangan itu masih berkira-kira mahu menolong atau tidak. Perasaan malu yang tidak bertempat, akhirnya menatijahkan hati saya untuk terus lalu tanpa menolong akhawat tersebut.

Apabila sampai di rumah, saya berfikir kembali hingga dasar paling dalam.

Saya benar-benar kecewa dengan diri sendiri kerana tidak berperanan menolong akhawat itu.

Mulai saat itu, saya menulis di buku nota saya.

"Kesalahan Hari Ini"

Selepas setahun, kesalahan-kesalahan yang telah saya senaraikan itu benar-benar mengubah saya.

Pertama, tulisan-tulisan itu membawa saya jadi berani mengaku kesalahan diri.

Kedua, tulisan-tulisan itu juga melancarkan momentum saya untuk jadi berani mengubah diri.

Ketiga, tulisan-tulisan itu akan sentiasa mengingatkan supaya saya tidak lagi melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang.

Ya, walau hanya dengan tulisan.


Wallahua'lam

Muhd Iqbal Samsudin
Canal Suez, Egypt
1957
220416

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter