4/5/16

Di Hadapan Nasi


Lapar.

Lauk sudah habis. Tetapi nasi masih berbaki.

Pegang-pegang perut, 'Aku perlu makan, kalau lapar sangat nanti tak boleh belajar dengan tenteram...'

Aku ambil dua ketul nugget dalam peti ais, aku panaskan minyak, dan goreng hingga rangup kriuk-kriuk isi luarnya.

Nugget itu aku beli sekilo, dibeli sebelum bertolak ke tanah Haramain, dengan jangkaan menjadikan nugget itu talian hayat kalau-kalau tersekat hidup selepas pulang dari mengerjakan umrah. Maklumlah, duit dalam akaun sudah melangkau ke paras negatif, duit biasiswa lambat lagi mahu menerjah masuk. Hidup harus tawakkal, tapi perlu berusaha terlebih dahulu sebelum itu.

Dan hari ini nugget itu terus menjadi talian-talian hayat aku, sebagai survival untuk terus hidup. Dua nugget itu aku potong menjadi kecil-kecil, supaya minda aku dapat mentafsirkan nugget itu sebagai banyak.

Letakkan nasi dalam pinggan, masukkan nugget yang telah dipotong tadi, dan sedikit sos yang masih tersisa di botol.

Aku bawa masuk dalam bilik, letakkan di atas meja belajar. Melihat jam, ada 30 minit lagi sebelum kelas bermula, masih ada harapan untuk jamah perlahan-lahan.

Ditenung-tenung makanan itu. Nasi, nugget, sos. Aku angkat tangan seraya membaca doa. Habis doa, aku merenung lagi makan itu.

'Ini makanan gaya hidup susahkah?'

Aku berdialektik dengan raga dalam aku.

Terdetik hatiku untuk berselawat.

'Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad.'

Usai sahaja selawat, rasa syahdu paling mengharu berderu mengerumuni hati.

Berdialektik aku sekali lagi dengan diri.

'Ini makanan kategori susah?'

Titik-titik air suam mengalir perlahan dari sudut mata.

'Bagaimana perit agaknya Rasulullah menahan lapar? Walhal Baginda kekasih Allah.'

Titik-titik air tadi makin melaju.

Terlantun lagi di bibirku lantunan selawat, 'Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad'.

Makanan yang sepatutnya dimakan sekadar menegakkan tulang belakang untuk berbuat taat, selalu aku lebih-lebih hingga sengkak mengenyang, dan memberi tenaga lebihan untuk berbuat maksiat.

'Ya Tuhan, betapa kuzalimi diri ini'.

Dalam sendu-sendu, aku mulakan makan.

Terima kasih Ya Tuhan, hadirkan rasa yang mahal ini.

Aku belum cukup susah.
Malu.

____

Saidatina 'Aisyah menuturkan,

"Rasulullahi sallahu 'alaihi wasallam tidak pernah memakan roti gandum sampai kenyang selama dua hari berturut-turut, sehingga Baginda wafat."

[Hadis Riwayat Tirmizi, Muslim dan Ibnu Majah]


Wallahua'lam


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1056
010416

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter