11/26/15

Yang Namanya Harapan

[Nota Diri] [Saling Menguat Mengingat]

Pabila sudah panjang dewasa, satu perkataan besar yang akan muncul dalam kepala, ialah HARAPAN.

Kadang, ia menjadi mimpi besar menggapai segala alam kejayaan. Ia bermain peranan menjadi tangga kedua setelah bermimpi.

Tiada dapat dinafi, ia sesuatu yang besar. Besar dalam menghajati, besar dalam menanggapi, lebih besar dalam bermimpi.

Seluruh anggota jasad tubuh akan bekerja dengan kadar luar daripada biasa, hanya kerana yang namanya harapan itu, masih tersisa wujud.

Sungguh, saat engkau tiada apa, yang engkau ada hanya harapan.

Sebanyak-banyak limpah, ialah limpahan harapan daripada Tuhan. Yang ini tiadalah ditakut-takut, kerana buat yang punya ilmu dan tahu apa yang al-Quran serta hadith hamparkan, pasti harapan daripada Tuhan itu dikenangnya tidak akan pernah terputus-putus.

Adapun begitu, harapan juga tidak lupus datangnya daripada sifat insani manusia.


Harapan Daripada Tuhan.

Saat ditimpa-timba musibah dalam meranduk tongkah kehidupan, harapan itu ada juga tiba-tiba jadi terputus. Ia kitaran normal hidup manusia. Kecualilah andai kata hati manusianya sudah kering, lalu apa sahaja yang ditimpa-timpa juga turut ikut kering, tiada apa untuk dirasa lagi.

Namun seketika diingatnya harapan rahmat daripada Tuhan,  terus hatinya rasa bagai dipeluk tenang. Ditambah air mata berteman genang. Nampak jalan cerah mencorak alam peluang.

Kerana orang mukmin itu, hidupnya adalah dengan keyakinan. Membulat hati yakin kepada Tuhan Jalla wa 'Ala. Yakin dalam apa jua keadaaan. Biarlah sakitnya disiat musibah setara mana, Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah mati, masih setia pada tawaran harapan dan rahmat-Nya. Tidak pernah sesekali mungkir.



Harapan Daripada Manusia.

Hidupnya di dunia ini pula, tidak terlepas daripada bermain tingkah dan kata dengan manusia. Dari situ juga muncullah bibit-bibit aneka harapan yang diterbit.

Ada yang tersalah memberi harap. Ada pula yang tersilap mengharap. Malah, buat diriku sendiri, takut benar dengan kedua-dua khilaf itu.

Dilembut dikata beri. Dikeras dikata kasar. Jadi serba tidak kena bermain dengan jiwa-jiwa insani. Tambah pula lembutnya kalbu-kalbu si perempuan, jangan main-main dengan harapan.

Jikalau dengan kasarnya hati insani lelaki pun jadinya calar berbalar kalau dimain-main harapan, sementelah pula dengan peri lembutnya hati perempuan.



Hanya Pada Tuhan.

Demikianlah seni hidup permainan harapan. Yang jikalau disabit dengan Tuhan, segalanya sempurna tiada dirisau. Didasar yakin, segalanya jadi terpaut kemas. Yang gundah boleh diredah. Yang rendah boleh ditinggi semula. Indah-indah belaka harapa daripada Tuhan.

Tetapi, saatnya bermain harap dengan manusia, banyak perlu dijaga-jaga. Kalau benar mahu memberi, berilah sepenuhnya, jangan separuh-separuh, separuh diberi separuh dimain. Jangan, tidak boleh begitu.

Namun, untuk sentiasa meletak harap besar pada manusia, perlu sangat berhati-hati. Kerana natijah biasanya ialah kecewa, yang juga telah banyak mematikan jiwa-jiwa insan yang jasadnya masih bugar hidup.

Haraplah sebanyaknya pada Allah, kerana pada harapan-Nya tiada pernah bertepi. Itulah tanda kaseh sejahtera sang Rabbi buat hamba-hamba yang sentiasa mengabdi diri.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
[Surah Az-Zumar 39 : 53]
 

Hanya ALLAH Yang Paling Tahu.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1639
050115

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter