11/26/15

Menanggung Tunggu

[Nota Diri] [Nota Niaga]

Berseorang menuju ke Hayyu Sabi', Madinah Nasr. Sebelum ini aku bawakan dua beg sendeng yang dimuatkan dengan buku-buku. Tapi kali ini lengang sedikit buku-buku yang perlu dihantar ke sini. Hanya satu beg galas belakang sudah cukup untuk diisi semuanya.
Aku katakan pada para pelangganku, "InsyaAllah lebih kurang pukul empat petang aku akan di sana." Dan aku cuba sedaya termampu untuk jadi 'punctual'. Tidak mahu dipotong pedang-pedang masa.

'InsyaAllah' itu lambang aqidah kita. Kita tidak tahu sama ada Allah benarkan atau tidak kepada apa yang kita rancangkan. Bukan sebuah alasan yang dicanang-canang bangsa Melayu yang mengatakan bahawa itu lambang seorang itu tidak mahu buat atau meringan-ringan sesuatu perkara.

'Lebih kurang' itu bahasa budi kita. Juga kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di depan. Boleh jadi terlewat sedikit, dengan lewat yang betul-betul tidak dapat dielak. Seterusnya, mahu elak kita dari jadi seorang fasiq yang membohong.

Dalam perniagaan, sama juga seperti di alam kedoktoran dan perubatan, banyak berinteraksi dengan manusia.

Satu perkara yang aku cuba elak ialah menjadi seorang yang lambat setelah satu janji temu dibuat. Cuba sedaya yang termampu untuk jadi berdisiplin dengan masa.

Namun, yang namanya manusia ini, walau difirmankan sebagai sebaik-baik kejadian, namun banyak lopong lemahnya. Melalui penjagaan masa ini juga, aku banyak belajar daripada manusia-manusia.

Menjaga ketepatan masa itu rupanya tidak boleh berseorang, harus beramai-ramai, harus secara berjemaah memahami pentingnya menjadi seorang yang menghargai masa, tambah-tambah lagi yang mengaku Islam seperti diriku yang serba tiada apa ini. Kerana, rata-rata umat Melayu Islam atau lebih tepat dituju kepada kebanyakan golongan agamawan, ramai yang dilihat culas dengan masa.

Aku tidak dinafikan, kadang-kadang terikut-ikut rentak orang-orang disekeliling.
Kita beriman dengan al-Quran dan segala isinya. Surah al-'Asr sentiasa meniti di kulit-kulit bibir kita, namun masih tetap sama perilakunya, tidak pernah tepat masa kalau berjanji.
Sampai sahaja di lokasi, seperti biasa saya terus menunggu dan menunggu lalu menyeru-nyeru para pelanggan untuk datang, walau mereka sudah diberitahu beberapa jam yang lalu.

Di sebabkan berurusan dengan umat Melayu, aku jadi sudah lali, tambah-tambah lagi jika menunggu kebanyakan (tidak semua) para bakal agamawan, tak perlukan dos pelali lagi, aku sudah memang lali. Lalu tunggulah aku menempuh sejuk gigil musim shita' ini.

Kadang-kadang, untuk mengubat rasa duka kalau manusia-manusia yang datang lewat ini, aku bertanya balik pada diri serba lemah ini, 'Kau jaga tak masa kau dengan Allah? Kau solat di awal waktu tak selepas mendengar seruan-Nya dialunkan?'

Selepas aku malu sendiri, aku jadi akur. Tidak mengapalah, sambil berbisik, 'Mungkin ini salah aku kepada Allah. Moga-moga Dia ampun segala dosa aku.'

Di celah-celah menunggu itu, seronok juga aku melihat suasana di tempat sibuk. Ada pelbagai ragam, Banyak pelajaran kalau boleh melihat dengan mata-mata hati kita, sambil-sambil menanggung tunggu.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter