11/27/15

Kasut Ayah

[Kasut Ayah]

Saya agak jarang bertukar kasut.

Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, saya hanya guna dua pasang kasut hitam.

Kasut yang pertama tidaklah terlalu mahal, hanya beli di pasar malam Kuala Pegang saja sebelum mendaftar tingkatan 1, tak sampai RM20 pun seingat saya.

Punyalah saya sayang, tidak pernah lagi saya ada kasut semacam itu, setiap pagi kiwi tak mau mau sebelum pergi ke sekolah, bak kata orang Kedah, "cewi".

Sebaik tamat tingkatan 1, walau sudah dijaga rapi, akhirnya tamatlah juga riwayat kasut tersebut. Tidak dapat diselamatkan lagi, terlalu parah.

Kasut yang kedua pula kasut kulit yang punya jenama. Ayah cakap, biar mahal sedikit tak mengapa, tetapi berbaloi. Lalu, pergilah kami beli kasut itu di Central Square, Sungai Petani. Harganya lebih kurang seratus lebih. Saya ikut saja ayah ketika itu, ayah lebih menggaram pengalamannya. Lagi pun, siapa yang tak mahu kasut mahal?

Benar bagai dikata, syukur, kasut kedua itu saya pakai hingga tamat tingkatan 5, bahkan diteruskan pakai hingga ke semua temuduga selepas keputusan SPM diumumkan.

Bukanlah kasut itu tidak pernah rosak, pernah juga ia 'ternganga' di bahagian depan semasa saya tingkatan 4, namun selepas digam dengan gam '3 seconds' yang hanya berharga dua ringgit, alhamdulillah pulih kembali seperti sedia kala, siap pakej 'good prognosis'.

Apa guna beli kasut yang harga RM60 kalau kerap kali ditukar? Bukankah bila didarab tambah jadi lebih rugi berbanding jika beli hanya tetapi sekali tahan buat jangka masa yang lama(jika pandai jaga)?

Dari sudut itu, begitulah ayah mengajar.

Kebanyakan barang-barang kami adik-beradik begitulah, biar mahal sedikit, asal berkualiti dan berbaloi. Bak kata ayah, "Jangan jadi pandiaq, guna akai, pikiaq biaq panjang!"

Agak terkejut semasa saya pulang ke Malaysia tahun lepas, kasut kedua saya itu, ayah tidak buang walaupun tapak dibelakangnya sudah agak haus. Tetapi ayah masih menyarung pada kakinya untuk ke sekolah mengajar pada setiap pagi. Sedih pula saya melihat. Kiranya, jika hari ini ayah saya masih memakai kasut itu lagi, bermakna kasut itu telah digunakan hampir 8 tahun oleh dua individu yang berbeza. Wow!

Dan pada dua tahun lepas, saat saya lunak berbicara dengan ayah, ketika itu ayah sedang duduk, manakala saya pula pegun berdiri mengadap di hadapannya. Dalam kata-katanya dia ada menyebut semisal ini, "Ayah tidak kisah tak pakai barang mahai, sejak dari kecik ayah pakai barang murah lagu ni. Baju bundle, seluaq bundle ayah tak kisah sangat, janji hampa semua dapat pakai elok-elok."

Dengan tidak semena-semena dada menjadi ketat, sebak. Air mata bagai mahu tersembur tiada leluasa. Ketika itu saya melihat sandal sendiri yang agak mahal, dan saya palingkan kepala melihat selipar ayah yang tidak sampai RM10, entah barangkali tidak sampai pun RM5. Bertambah bergenang berlenang-lenang.

Ayah banyak mengajar untuk berusaha, bukan dengan meminta-minta.Tatkala saya dirundung susah, saya cuba usahakan sendiri dahulu, ke hulur ke hilir berniaga sendiri mencari sesuap rezeki. Biarlah orang kata apa sekali pun, janji saya tidak meminta-minta tanpa berusaha.

Namun, kadang-kadang apabila diri sudah tidak larat mengerah kudrat, si ayah seakan punya kekuatan luar biasa menghidu kesusahan anak-anaknya, dan Mama akhirnya memberitahu, "Abang, tadi ayah dah bubuh duit dalam akaun abang sikit, guna baik-baik naa."

Selamat hari bapa, ayah. Betapa pun keras cara ayah mengajar, kekerasan itulah nilai kasih sayang yang penuh makna, tidak kontang, tiada bertepi.

"Ya Tuhan, tempatkan ibu bapa kami di syurgamu yang paling indah di sisi-Mu, kerana itulah tempat selayaknya buat mereka."

image
Dalam gambar, ayah 'kokkong' Danish di Muzium Terengganu.
Kredit gambar : Adikku Muhammad Muqhriz.

Antara perkara yang menakutkan saya, Mama bagitau, "Ayah selalu duk baca blog ibnuddin.com abang punya tu."

Alamak, habislah kantoi! Haha.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0915
210615

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter